Halaman

18 August 2009

Terenganu Tidak Cadang Batal Majlis

KUALA TERENGGANU, 16 Ogos (Bernama)-- Kerajaan Terengganu tidak berhasrat membatal atau menangguhkan majlis terbuka membabitkan orang awam walaupun banyak pihak bimbang ia menyebabkan penularan Influenza A (H1N1) di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata langkah terbaik untuk mengelakkan penularan wabak itu ialah dengan mengambil langkah pencegahan seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan iaitu memakai topeng muka untuk mengelakkan jangkitan.

Katanya sebelum melakukan apa jua tindakan seperti pembatalan majlis ataupun penutupan sekolah, kerajaan negeri sentiasa mendapatkan nasihat dan arahan daripada Jabatan Kesihatan terlebih dahulu.

"Kerajaan tidak boleh sesuka hati menutup sekolah atau pejabat kerana penyakit H1N1 ini hanya berdasarkan kepada andaian dan tanpa bukti jelas ada wabak itu di tempat berkenaan.

"Kalau kita lakukan penutupan sekolah terutama di saat pelajar hendak menghadapi peperiksaan sudah tentu ia akan merugikan," katanya kepada pemberita selepas perasmian Perhimpunan Semarak Merdeka 1Malaysia Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Batu Burok di sini pada hari Ahad.

Kira-kira 2,000 orang mengambil bahagian dalam program anjuran Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (JKPKPKK) itu.

-- BERNAMA