Halaman

30 August 2009

NGO Islam Kurang Membantu Pesakit HIV/AIDS

KUALA TERENGGANU, 29 Ogos (Bernama) -- Penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ataupun pihak persendirian beragama Islam dalam menyediakan rumah perlindungan khusus untuk pesakit HIV/AIDS Islam di negara ini masih kurang.

Presiden Majlis AIDS Malaysia Prof Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, keadaan itu menyebabkan ramai pesakit HIV/AIDS yang dipingirkan oleh keluarga terpaksa menumpang di rumah perlindungan kelolaan agama lain walaupun berhadapan dengan stigma negatif dan cemuhan oleh masyarakat.

"Tidak banyak pihak yang rela mahu ke hadapan untuk membantu kerja-kerja macam ini. Kita mesti belajar daripada agama lain yang mana mereka mendampingi orang-orang terpinggir ini.

"Sedangkan dalam masa yang sama NGO Islam yang berjuang untuk pesakit-pesakit AIDS dan HIV setakat ini belum ada," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa dan Program Pemasyarakatan HIV/AIDS anjuran Majlis Aids Malaysia dan Jabatan Kesihatan negeri di Taman Tamadun Islam di sini semalam.

Bagaimanapun, katanya terdapat NGO yang dikelolakan orang Melayu yang membantu pesakit HIV/AIDS wanita seperti Prihatin dan Soleha di Kelantan dan Cahaya Harapan di Alor Setar manakala untuk pesakit lelaki tidak ada.

Dr Adeeba berkata, dianggarkan 75 peratus daripada penghidap HIV/AIDS di negara ini merupakan orang Melayu.

Sehubungan itu, beliau meminta umat Islam di negara ini supaya tidak mudah menghukum mereka yang menghidap HIV/AIDS kerana ada di antara mereka merupakan mangsa keadaan.

Sementara itu, mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Unit HIV/AIDS Kementerian Kesihatan, jumlah mereka yang dijangkiti HIV menurun daripada 5,830 pada tahun 2006 kepada 4,549 pada tahun 2007, manakala sehingga Jun tahun ini hanya 1,766 orang sahaja yang dijangkiti.

Jumlah mereka yang menghidap AIDS juga menurun daripada 1,842 pada tahun 2006 kepada 1,130 (2007) dan sehingga Jun tahun ini hanya 498 orang telah dijangkiti penyakit itu.

Kelantan mencatatkan jumlah jangkitan HIV tertinggi di negara ini pada tahun lepas dengan 749 kes, diikuti Johor (501) dan Selangor (441).

Dr Adeeba berkata kebanyakan kes jangkitan adalah berpunca daripada masalah penagihan dadah.

-- BERNAMA