Halaman

16 August 2009

Kurangkan Karenah Berokrasi Dalam Perkhidmatan.

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Peringatan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, agar penjawat awam bersegera dalam memberi perkhidmatan dengan mengurangkan karenah birokrasi wajar diberi perhatian kerana rakyat mahukan urusan mereka dipermudahkan dan dilaksanakan tanpa tertangguh.

“Tonjolkan ketelusan dan keboleh percayaan melalui bekerja dengan penuh integriti, beramanah, beretika tinggi dan sentiasa profesional,” katanya di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pelancaran Gerbang Khidmat Pesanan Ringkas Kerajaan ‘MySMS’ Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini (10 Ogos).


Dato' Ahmad bersama penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu 2009. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mokhtar Nong; Ketua Pengarah, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Dato’ Normah Mohd Yusof dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta lebih 1,000 penjawat awam dari pejabat-pejabat kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Katanya, selaras dengan pendekatan ‘merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ yang dilaksanakan sekarang, segala urusan pentadbiran mesti dipermudahkan, bersifat menolong rakyat serta berorieantasikan faedah kepada rakyat.

“Dalam era globalisasi kini, tugas yang dipikul oleh penjawat awam bukan lagi sekadar memenuhi waktu pejabat semata-mata, malah dalam situasi tertentu kadangkala penjawat awam perlu berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi mengutamakan kepentingan awam,” katanya.



Dato’ Ahmad berkata, penjawat awam perlu peka dengan keperluan rakyat kerana tugas utama mereka sebagai pemudah cara bagi menyelesaikan masalah atau keperluan rakyat disamping perlu memahami realiti semasa, berani membuat perubahan dan proses anjakan perlu dilakukan secara kreatif, berterusan dan berfikiran secara terbuka.

Katanya, dalam konteks pentadbiran dan pembangunan negeri antara cabaran yang harus dirungkai antaranya termasuklah meningkatkan prestasi dan kemampuan negeri ke tahap yang lebih cemerlang, memperkukuhkan daya saing dan daya tahan serta lebih berinovatif.

“Untuk mencapai keberkesanan, kakitangan kerajaan perlu memahami, menghalusi, menjiwai, melaksana dan memantau (5M) segala program. Jika sesuatu dasar itu tidak efektif, jangan didiamkan sebaliknya perlu berani untuk duketengahkan supaya dapat dicari formula yang lebih baik,” katanya.


Menteri Besar turut melancarkan gerbang `MySMS' aduan Terengganu 15888.

Mengenai Gerbang SMS Kerajaan Negeri MySMS 15888 yang dibangunkan secara bersama dengan Mampu melalui talian yang menggunakan satu nombor yang seragam, Dato’ Ahmad yakin usaha ini banyak memberi manfaat kepada orang ramai khususnya pengguna telefon bimbit.

“Hanya menggunakan nombor yang diberi mereka dapat berurusan terus secara talian dengan Pentadbiran Negeri, cukup mudah, cepat dan murah,” katanya.

Dato’ Ahmad kemudiannya menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu 2009. Seramai 30 orang penjawat awam telah menerima hadiah masing-masing berupa wang tunai RM7,500, sjil penghargaan dan menunai haji atau umrah di Mekah.

UKOM