Halaman

03 July 2009

Taman Agro UMT Pusat Penyelidikan Makanan

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kuala Terengganu - 1 Julai 2009

Bidang penyelidikan berasaskan makanan negara maju setapak lagi apabila Universiti Malaysia Terengganu bakal membangunkan Taman Agro pertama di luar kampus induk universiti itu di Bukit Kor, Marang tidak lama lagi.


Prof Dr Aziz beramah mesra dengan warga media pada Malam Mesra Umt Bersama Media di Pulau Duyung. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Taman Agro di bawah Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan akan dimajukan menerusi Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) di kawasan seluas kira-kira 240 hektar.

Naib Canselornya, Prof Dr Aziz Deraman, berkata UMT bercadang memohon peruntukan daripada kerajaan bagi membina taman agro yang sesuai dengan program Teknologi Lepastuai dan Sains Makanan di pusat pengajian itu.

“Kalau diihat pada jangka panjang, apabila ada syarikat kecil berasaskan makanan dan sebagainya beroperasi di Bukit Kor, dengan kawasan tanah yang agak luas di situ juga boleh dijadikan makmal pelajar untuk makanan dan makmal penyelidikan berkaitan herba dan sebagainya.


Prof Dr Aziz menikmati hidangan makan malam bersama ahli Kelab Wartawan Terenganu.

“Apabila kawasan itu membangun dengan konsep taman agro tadi, sebahagian pelajar UMT boleh melaksanakan latihan industri mereka di sana,” katanya ketika sidang akbar sempena Malam Mesra Bersama Media, Di Marina Terrace, Ri Yaz Heritage Spa & Resort, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, semalam (1 Julai).

Hadir sama, Pengarah Penyiaran Kawasan Timur, Dr Nawiah Che Lah; Penyelidik Kanan UMT; Presiden Kelab Wartawan Terengganu, Ayob Mamat; Ketua Biro dan hampir 80 pengamal media tempatan.

Dalam pada itu, taman agro dijangka mampu menempatkan 500 hingga 600 penyelidik dan pelajar pada satu-satu masa.

Prof Dr Aziz berkata, pelajar akan merasai sendiri pengalaman menanam tanaman yang bernilai tinggi di pasaran serta menjalankan penyelidikan mengenai tanaman yang diusahakan menerusi konsep taman agro.

Sementara itu, penyelidik UMT turut bekerjasama dengan pihak industri yang terlibat bagi mengenalpasti produk yang memiliki potensi dan mendapat sambutan di pasaran serta mempromosikan produk berkenaan menerusi syarikat UMT Holding.

UMT Holding dijangka akan dilancarkan tidak lama lagi beroperasi dengan modal permulaan RM2 juta bertujuan memasarkan produk yang dihasilkan oleh penyelidik UMT.

Selain itu, penubuhan syarikat itu juga bagi membolehkan penyelidik mempelajari selok-belok dalam bidang perniagaan.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)