Halaman

03 June 2009

Terengganu Jadi Model Bidang Pendidikan

Oleh : Zulkipli bin CW. Putera



Langkah Kerajaan Terengganu memperkenalkan kegunaan e-Book kepada murid-murid sekolah rendah di negeri ini, menarik minat negeri-negeri lain untuk mengikuti kaedah pembelajaran tanpa menggunakan buku teks itu kepada pelajar mereka.

Sehingga ini, dua negeri iaitu Melaka dan Sarawak menghantar wakil bagi meninjau kaedah tersebut dan menunjukkan minat menjadikan Terengganu sebagai model bagi meningkatkan mutu pendidikan negeri masing-masing.



Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, kerajaan negeri tiada halangan untuk berkongsi pengalaman dengan negeri lain bagi meningkatkan bidang pendidikan menggunakan teknologi yang lebih canggih.

Malah, katanya, syarikat Top IT yang bertanggungjawab membekalkan e-Book kepada murid sekolah rendah negeri ini, akan diarah membekalkan kemudahan tersebut kepada negeri-negeri lain yang berminat.

“Kita sedia membekalkan kemudahan e-Book ke sekolah-sekolah di seluruh negara jika Kementerian Pelajaran memutuskan untuk menggunakan e-Book di sekolah-sekolah menggantikan buku teks,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini (28 Mei).

Menteri Besar berharap penggunaan e-Book akan menjadikan masyarakat negeri ini ‘celik komputer’ dan pada masa yang sama mahir melakukan ajaran agama seperti solat dan solat jenazah melalui penggunaan teknologi berkenaan.



Pada majlis itu, bekas Pengarah Pelajaran, Dato’ Mohamed Che Hamid, diisytiharkan sebagai Tokoh Guru 2009 negeri Terengganu.

Menteri Besar turut menyampaikan insentif kemenangan berupa wang tunai kepada pelajar cemerlang dan semua atlit yang muncul juara Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) baru-baru ini.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu