Halaman

11 June 2009

Jangan Memanipulasi Cerita

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Dato' Mokthar Nong ketika berucap pada perhimpunan bulanan warga Wisma Darul Iman di Dewan Besar Wisma Darul Iman. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Kakitangan awam di negeri ini dingatkan supaya menjaga rahsia kerajaan dan jangan membiarkan segala keputusan kerajaan yang masih di peringkat rahsia, terlepas ke tangan pihak luar.



Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mokhtar Nong, berkata kakitangan awam perlu mematuhi sepenuhnya peraturan berkaitan Akta Rahsia Rasmi Kerajaan dan tidak membenarkan orang luar memperolehi sebarang dokumen yang diklasifikasikan sebagai rahsia kerajaan.


Pengarah Tanah dan Galian, Dato' Haji Abdul Razak Ismail menyampaikan anugerah khidmat cemerlang kepada kakitangan Wisma Darul Iman, Alfa Alias.

Pada masa yang sama berliau turut meminta masyarakat tempatan, khususnya kakitangan kerajaan supaya tidak memanipulasi cerita mengenai kejadian bumbung runtuh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Sebaliknya, kata beliau, perkara itu perlu diserahkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menyiasat secara terperinci bagi memastikan punca sebenar kejadian itu berlaku.

“Kita sebagai masyarakat tidak wajar putar belit cerita sehingga timbul pelbagai spekulasi yang kurang enak didengar.

“Tidak patut menuduh kontraktor , Jabatan Kerja Raya (JKR) atau mana-mana pihak yang bersalah tanpa sebarang bukti,” katanya pada majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kerja di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (10 Jun).



Warga Wisma Darul Iman yang hadir pada perhimpunan bulanan di Dewan Besar.

Seramai 10 kakitangan WDI dipilih menerima Anugerah Pekerja Cemerlang bagi Mac dan April.

Kakitangan cemerlang bagi Mac adalah Hajah Norazimi Sulong dari Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG), Encik Rani Mat (Pejabat SUK bahagian Pembangunan Manusia), Encik Alfa Alias (Unit Perhubungan dan Komunikasi Negeri), Encik Mohd Nasir (Perbendaharaan) dan Encik Azman Wahab (Unit Audit Dalam).

Manakala April, Nadia Mat Amin (Unit Pengurusan Maklumat Negeri Terengganu), Encik Uzir Salleh (Pejabat Pembangunan Negeri). Norini Tunggal (Kerajaan Tempatan), Norizan Che Muda (Unit Perancang Ekonomi Negeri) dan Hajah Laili Razita Abdullah (Pejabat Dewan Undangan Negeri).

Unit Komunikasi Negeri Terengganu