Halaman

29 June 2009

Bumi Hijau Medan Jaya Terbaik di Malaysia

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Medan Jaya, Marang - 25 Jun 2009


YB Rozi ketika melawat ladang melon di Medan Jaya, Marang. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Penglibatan 356 penduduk di Taman Medan Jaya, Rusila, Marang dalam program tanaman di kawasan rumah bukan sahaja menjana pendapatan tambahan, malah turut mengumpul hasil jualan Kumpulan Pengembangan Wanita (KPW) sehingga RM11 juta bermula 2006 sehingga pertengahan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, YB Rozi Mamat, berkata hasil jualan berkenaan dikumpul dalam tempoh hampir empat tahun sejak pelancaran Bumi Hijau peringkat negeri dilaksanakan di kampung itu pada Mei 2006.

Katanya, pada awal pelaksanaan program itu, kira-kira 100 peserta sahaja terlibat, di mana hasil tanaman itu adalah untuk kegunaan sendiri dan dijual apabila ada lebihan kutipan.

Bagaimanapun, keadaan itu kini berubah, apabila majoriti penduduk melihat usaha kerajaan negeri menerusi Jabatan Pertanian Negeri sebagai platform menambah pendapatan keluarga apabila mereka mengambil inisiatif mengusahakan sendiri di rumah masing-masing.

Katanya, perkembangan itu menyebabkan Taman Medan Jaya dikenali sebagai antara pusat komuniti paling berjaya melaksanakan Program Bumi Hijau di negara ini dan menerima pengiktirafan peringkat negeri serta Malaysia.

Antara projek pertanian yang diusahakan seperti melon, semaian pokok hiasan, sayuran pelihara kambing, lembu dan ikan keli dalam kanvas. Selain itu KPW turut mengusahakan jualan makanan tradisional, sos, biskut dan kerepek sebagai hasil jualan.

“Bagi membantu penduduk Medan Jaya terus mengembangkan usaha mereka, kerajaan negeri akan menimbang untuk mengeluarkan peruntukan bagi memajukan tanah rezab kerajaan seluas 4 hektar bagi meluaskan lagi aktiviti Bumi Hijau.

“Saya minta Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang berbincang dengan Pegawai Daerah Marang sebelum kita mengusulkan perkara itu dalam Mesyuarat Mingguan Exco,” katanya beliau dalam Lawatan Singkat Ke Pusat Komuniti Bumi Hijau Medan Jaya, Rusila, Marang hari ini.

Beliau menggantikan Menteri Besar Dato’ Ahmad Said ke program itu sebagai kesinambungan bagi melihat kemajuan dan perkembangan program Bumi Hijau di kampung itu, sekaligus melihat pembaharuan yang boleh dilaksanakan bagi memantapkan lagi program Bumi Hijau ke keseluruh Terengganu.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM).