Halaman

28 May 2009

YPU Platform Ceburi Perniagaan

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Mohamed beramah mesra dengan wartawan yang hadir pada majlis Ramah Mesra YPU - Media di Ri-Yaz Heritage Resort & Spa, Pulau Duyong. -Foto SHUHAIMI AHMAD

Pegawai yang pernah berkhidmat di Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) mampu memanfaatkan pengetahuan yang dimiliki bagi mendekati dan memahami peranan usahawan di kawasan masing-masing apabila bertukar ke jabatan lain.

Malah, mereka bukan hanya menjadi pegawai kerajaan, sebaliknya mereka mampu menjadikan bidang tugas terdahulu sebagai platform menceburi perniagaan dan berkongsi pengalaman dengan pihak lain bagi memajukan lagi prospek perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Dato’ Mohamad Awang Tera, berkata pegawai di YPU memiliki karakteristik tersendiri untuk membimbing usahawan lain dan mencapai kejayaan dalam perniagaan.

“Mereka bukan setakat menjadi pegawai kerajaan, tetapi mereka menjadikan pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi di YPU sebagai platform untuk berjaya.

“Apabila mereka menghayati tugas, mereka lebih mudah mendekati dan memahami kehendak usahawan di kawasan masing-masing,” kata beliau ketika Majlis Ramah Mesra YPU Bersama Media, di Ri-Yaz Heritage Resort & Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, semalam (26 Mei).


Dato' Mohamed menyampaikan hamper cabutan bertuah kepada wartawan Berita Harian Hanissyah.

Hadir sama, Pengurus Besar YPU, Haji Azmi Razik dan Presiden Kelab Wartawan Terengganu, Encik Ayob Mamat serta kira-kira 50 tetamu dari pelbagai agensi media tempatan.

Terdahulu, Haji Azmi dalam ucapannya berharap semua pihak perlu berusaha dan memandang ke depan serta mengorak langkah bagi menjadikan Terengganu sebagai hab melahirkan usahawan di negara ini.

Katanya, menerusi Pelan Strategik YPU bagi tempoh lima tahun lagi, seramai 3,800 usahawan baru akan lahir dari seluruh Terengganu.

“Peluang terbuka luas dengan kemudahan dan bantuan memulakan perniagaan yang disediakan pelbagai pihak khususnya daripada kerajaan dan YPU sendiri bagi melahirkan usahawan terbaik yang mampu memberikan kebaikan untuk rakyat,” katanya.

Unit Komunikasi NegeriTerengganu