Halaman

02 April 2014

Kampung Payang kini jadi lautan.

Abdul Rahman menunjukan laluan bot untuk ke Kampung Payang suatu ketika dahulu.
Oleh: Aminudin Ismail.

RAMAI yang tahu Kampung Payang yang terletak berhampiran Kampung Fikri, Daerah Setiu tetapi tidak ramai yang tahu di mana kedudukan sebenar Kampung Payang itu kerana sebahagian kampung itu kini menjadi lautan akibat fenomena alam iaitu hakisan laut akibat ombak membadai pantai.

Semalam wartawan Teganukita ke Kampung Kuala Setiu, Setiu untuk berjumpa dengan seorang orang lama di kampung itu bagi menyingkap kembali kisah Kampung Payang  yang pernah menjadi nadi bagi daerah Setiu suatu ketika dahulu itu.

Abdul Rahman Ismail, bekas Penghulu Kampung Kuala Setiu yang kini berusia 82 tahun itu masih lagi sihat dan mampu mengingati peristiwa lama dengan baik termasuklah beberapa perkara tentang Kampung Payang.

Beliau yang pernah berkahwin dengan penduduk Kampung Payang itu, berkata ibubapa penduduk Kampung Fikri sekarang ini adalah kebanyakannya berasal dari Kampung Payang dan mereka berpindah setelah mendapat tanah lot yang diberi kerajaan.

“Masa itu Ibrahim Fikri (Datuk Ibrahim Fikri, bekas Menteri Besar, Terengganu) memberi tanah kepada penduduk Kampung Payang supaya berpindah ke Kampung Fikri ini iaitu sebanyak satu ekar seorang pada tahun 1962.

“Kampung ini juga diberi nama Kampung Fikri sempena nama Ibrahim Fikri dan dia sendiri yang datang merasmikan pemberian tanah lot ini dan menyumbang papan dan kayu untuk pembinaan rumah di kawasan tanah lot itu,” katanya yang pernah menjadi penghulu pada tahun 1978 sehingga 1998 itu.

Abdul Rahman yang lebih mesra dengan panggilan Pok Man itu, berkata antara bangunan kerajaan yang terdapat di Kampung Payang ketika itu ialah bangunan mahkamah, pejabat kastam, Polis dan sebuah sekolah rendah ketika pemerintahan Inggeris dahulu.

“Di Kampung Payang ini juga menjadi persingahan peniaga-peniaga untuk menghantar barangan perniagaan mereka di daerah Setiu dan Besut ketika itu. Terdapat lebih 600 buah rumah di Kampung Payang ketika itu.” katanya yang pernah berjalan kaki pulang dari Kuala Terengganu ke Kampung Payang, Setiu pada masa dahulu itu.

Kini Kampung Payang hanya tinggal nama dan nama itu diabadikan sebagai nama jalan di Kampung Fikri dan sejarah ini tentunya menjadi kenangan indah bagi Pok Man yang pernah bermain di Kampung Payang suatu ketika dahulu yang kini menjadi lautan.

 

01 April 2014

Atlet Diberi Laluan Mudah Sambung Pengajian

Oleh: Suriati Ali

Langkah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) mengadakan persefahaman antara beberapa Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta di negeri ini, mampu memberi laluan mudah kepada atlet lepasan sekolah menyambung pengajian.

 Antara IPT dan pusat kemahiran yang terlibat, termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti UCSI,Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Laihan Perindustran.

 

 Rundingan dan persefamanan yang dijalankan sejak lima tahun lalu nyata memberi pelbagai manfaat kedua belah pihak sama ada atlet mahu pun MSNT.

Lebih 200 atlet sama ada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Pengajian Tinggi Malaysia (STPM) dapat menyambung dan sudah tamat pengajian masing-masing sejak persefahaman itu diperkenalkan.

 Atlet Judo yang juga bekas pelajar Tengku Mahkota Ismail, Johor, Nor Izzatul Fazlia Mohammad Tahir, 18, berkata dia tidak sabar untuk menyambung pelajaran ke IPT, jika diberi peluang ingin belajar di Unisza. Katanya, dia pilih universiti itu kerana mudah untuk menjalani latihan dan mengikuti program yang ditetapkan MSNT.

“Walaupun saya pernah belajar di Johor dan berasal dari kedah, saya tetap pilih Terengganu bagi menyumbang jasa dan keringat dalam bidang sukan.

 “Banyak keistimewaan dan kemudahan diperoleh sejak berbakti di negeri ini, termasuk diberi elaun bulanan dan dapat laluan mudah untuk menyambung pengajian,” katanya yang pernah memperoleh pingat gangsa dalam sukan SEA, di Myanmar, tahun lalu.

Mohammad Faizzuan Mohd Pazi, 18, dari Bukit Besar, Kuala Terengganu, berkata dia berasa bertuah kerana dilahirkan berbakat dalam bidang sukan, untuk menyambung pelajaran pun kami diberi keistimewaan tertentu berbanding pelajar lain.

“Saya berharap dapat menyambung pelajaran di Unisza kerana ada ramai kawan-kawan yang juga atlet sedang belajar di universiti itu,” katanya.

 

RM863,000 lagi untuk BR1M Batu Rakit.


Bazlan menyampaikan BR1M kepada seorang penerima.
Oleh: Aminudin Ismail. 

SEBANYAK RM863,000 dibelanjakan kerajaan untuk penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)bagi penduduk di Dun Batu Rakit dalam dua majlis yang diadakan kelmarin dan semalam di Dewan Wakaf Catur, Batu Rakit.

Seramai 1,486 penduduk menerima wang di majlis yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman pada hari pertama itu.

Daripada jumlah itu, seramai 456 penduduk menerima RM650.00, 109 orang menerima RM300.00 pada hari pertama manakala pada hari kedua seramai 736 penduduk menerima RM650.00 dan 185 orang lagi menerima RM300.00.

Bazlan sempat beramah mesra dengan penerima.
Rata-rata penerima yang ditemui melahirkan rasa bersyukur dan amat berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi wang BR1M itu bagi menampung perbelanjaan harian mereka terutamanya untuk membeli keperluan barangan dapur.

Dalam pada itu, Bazlan berkata, kerajaan perihatin dengan masalah yang dihadapi rakyat terutamanya yang berpendapatan sederhana dan kecil kerana itulah BR1M disalurkan kepada mereka bagi menampung perbelanjaan harian.

“Kenaikan harga minyak akibat pengurangan subsidi bahan api itu adalah untuk rakyat negara ini juga kerana pengurangan subsidi itu dibayar dengan BR1M yang diterima penduduk hari ini dan ini tentunya akan dapat menampung perbelanjaan harian mereka,” katanya.
Sebahagian penerima BR1M Batu Rakit.

 

31 March 2014

MSNT Mahu Ikat Atlet

Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) mahu `mengikat’ atlet lepasan sekolah supaya terus kekal berada di negeri ini kerana mudah untuk mengatur program dan jadual latihan.

Hasrat itu disusuli program persefahaman dengan 12 Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta, termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Politeknik dan Kolej Komuniti.

 


 Berdasarkan rekod, lebih 200 atlet sama ada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Pengajian Tinggi Malaysia (STPM) dapat menyambung atau sudah tamat pengajian masing-masing sejak persefahaman itu diperkenalkan pada 2010 lalu.


Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Zainal Abidin Hussin berkata pihaknya berusaha mengadakan persefahaman dengan beberapa IPT awam dan swasta di Terengganu, bagi memudahkan atlet mendapat maklumat jelas.

“Kita mengambil pendekatan itu kerana tidak mahu berdepan masalah kehilangan bintang muda, terutama atlet yang pernah mencipta nama di luar negara dan memperoleh kejayaan dalam Sukan Malaysia (Sukma).

 “Jika atlet menyambung pelajaran di IPT awam atau swasta di Terengganu, mudah bagi MSNT memantau aktiviti sukan mereka, selain membuka ruang untuk memilih kerjaya dalam sektor kerajaan apabila tamat pengajian kelak,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Taklimat IPT Awam, Swasta dan Pusat Kemahiran, di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

 Lebih 120 atlet Sukma lepasan SPM dan STPM hadir di majlis itu bagi mendapat maklumat dan mendengar taklimat daripada wakil-wakil IPT awam, swasta dan pusat kemahiran.

 Zainal berkata, sebelum ini hampir keseluruhan atlet mendayung, sudah menempatkan diri di Unisza dan bagi atlet silat dan bola baling pula berjaya menyambung pelajaran di Intitut Kemahiran Belia Negara.

 Katanya, apabila bergelar atlet, mereka diberi laluan mudah untuk melangkah ke mana-mana pusat pengajian, diberi elaun khas dan keistimewaan tertentu, termasuk yuran penginapan dimansuhkan.

“Peluang itu sewajarnya direbut bagi mengelak atlet tercicir dalam pelajaran.

“Walaupun mendapat keputusan kurang memuaskan dalam peperiksaan yang diambil, mereka masih boleh mencuba, kerana ada ruang di mana-mana pusat latihan atau kemahiran untuk menyambung pelajaran,” katanya.



Sekitar Majlis Multaqa Imam, Guru Takmir & Jawatankuasa Masjid peringkat Negeri Terengganu yang dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Baharom (B) di Wisma Darul Iman, sebentar tadi. - Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Baharom bertanya khabar teman seangkatannya, Dato' Haji Mohd Rozali Salleh sambil ditemani SUK Terengganu, Dato' Haji Mazlan Ngah sebaik tiba di Wisma Darul Iman untuk merasmikan majlis berkenaan.

Apa yang dibincangkan oleh SUK Terengganu, Dato' Haji Mazlan Ngah dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Baharom sehingga mereka tergelak besar.

Antara iman dan jawatankuasa masjid hadir pada majlis berkenaan.




Sekitar sambutan Hari Kadet Polis di Setiu.

Oleh: Aminudin Ismail.

SERAMAI kira-kira 480 anggota Kadet Polis dari seluruh sekolah menengah di daerah Setiu hadir memeriahkan Majlis Sambutan Hari Kadet Polis Yang Ke-44, Peringkat Daerah Setiu yang diadakan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Daerah (IPD), Bandar Permaisuri, Setiu, pagi tadi.

Majlis yang dimulai dengan perbarisan dan pemeriksaan Pasukan Kawalan Hormat oleh Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Abdul Rahman Raja Mohamed itu turut dihadiri beberapa guru dan pegawai Polis IPD Setiu.

Abdul Rahman berkata, sambutan hari kadet sekolah itu adalah program tahunan Kor Kadet Polis dan ianya adalah anjuran bersama Pejabat Pelajaran Daerah(PPD) Setiu.

"Tujuan program itu diadakan adalah untuk menguji kemampuan dan kebolehan dari segi minda dan fizikal setiap anggota Kor Kadet Polis itu.

Abdul Rahman memeriksa pasukan kawalan.
"Sambutan hari kadet polis ini diadakan serentak pada 31 Mac di seluruh negara untuk memberi pendedahan yang luas mengenai aktiviti Kor Kadet Polis yang terpilih bagi memupuk semangat patriotik dan kerjasama dan kemahiran setiap anggota," katanya.

Pada majlis itu juga, Abdul Rahman membaca teks ucapan Ketua Polis Negara sempena sambutan Hari Kadet Polis itu dan menyampaikan sijil penghargaan kepada ketua anggota kadet polis serta guru.

Turut hadir ialah, Romeli Ismail, Komandan Kor Kadet Polis Daerah Setiu dan Ketua Siasatan Jenayah Daerah, ASP Idris Mohamed.
Ab Rahman tiba disambut beberapa guru.
Ketua Polis Daerah membalas tabik hormat.

Beberapa pegawai Polis daerah menyanyikan lagu tema Polis.

Seorang pegawai Polis dan pasukan kawalan mengaminkan doa.
Ketua kadet SMK Guntung menerima sijil.

Anggota kadet berikrar taat setia.

Ab Rahman menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil sekolah.

Pengetua SMK Putera Jaya menerima sijil penghargaan.

Pelajar sebuah sekolah turut dijemput.

Antara tetamu jemputan yang hadir

 

SBM wujud pusat pembelajaran sepanjang hayat

Oleh ; Esah Abdullah

Pertubuhan Orang cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Terengganu akan dijadikan sebagai Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat Zon Timur.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, YB Iskandar Jaafar berkata, pusat berkenaan akan memberi pelbagai kemudahan kepada ahli dan anak-anak ahli di tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Pusat berkenaaan akan beroperasi di bangunan baru dua tingkat yang berharga RM350,000 terletak bersebelahan Pejabat SBM Terengganu di Seberang Takir, Kuala Terengganu.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bangunan Baru SBM dan Karnival Sukan Zon Timur di Wisma Promacatera, Seberang Takir, Kuala Terengganu.

Turut hadir,Pegawai Khas kepada Menteri Besar, Dato' Haji Nasir Ibrahim Fikri; Presiden SBM Pusat, Encik Mohamad Nazari Othman dan Pengerusi SBM Terengganu Encik Mohd Abdul Nasir Malek.

Katanya, kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan miskin dan kurang upaya serta membelanjakan hampir RM1 juta setiap tahun untuk kesejahteraan hidup rakyat.

Sementara itu Encik Mohamad Nazari berkata, karnival sukan zon timur diadakan bersempena sambutan Jubli Emas SBM Pusat dengan menampilkan tujuh acara sukan antaranya, tenpin boling, ping pong, catur, dominos, congkak, dam aji.

Tuan rumah Terengganu muncul juara keseluruhan dalam karnival yang julung kali diadakan itu dengan 64 peserta cacat penglihatan dari tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.

30 March 2014

SRS Kampung Pelong di lancar.

Idris (dua dari kanan) bersama Abdul Rahman (sebelahnya)
Oleh: Aminudin Ismail.

PENUBUHAN Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kampung Pelong pada awal tahun 2013 lalu sememangnya mampu mengawal kegiatan jenayah di kampung itu sehingga mendapat penghargaan daripada Ketua Polis Daerah Setiu.

Sehubungan itu, bagi memantapkan SRS di kampung itu, satu majlis pelancaran skim itu diadakan kelmarin dan pelancaran dilakukan oleh Ketua Siasatan Jenayah IPD Setiu, ASP Idris Mohamed.

Turut hadir ialah Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung itu, ahli SRS dan beberapa penduduk kampung.

Antara jemputan yang hadir.
Pengerusi JKKK Kampung Pelong, Abdul Rahman Abu Bakar berkata, sehingga ini seramai kira-kira 100 penduduk menyertai SRS dan mereka ditugaskan secara bergilir mengawal kampung bermula jam 12 malam.

"Alhamdulillah, sambutan penduduk terhadap SRS ini amat mengalakan dan sejak ia ditubuhkan tahun lalu, masing-masing memberi kerjasama untuk menjalankan tugas rondaan.

"Keadaan kampung ini begitu selamat dan kegiatan mencuri dan penagihan dadah dapat dibendung dan dikawal. Saya mengharapkan matlamat jenayah sifar dapat dicapai supaya penduduk dapat hidup dengan aman dan harmoni," katanya.

 

Pangsapuri 30 tingkat di Ladang Kapor bakal dibina-MB

Penduduk sekitar Kampung Ladang tertarik melihat lakaran pembangunan termasuk membina sebuah lagi pangsapuri setinggi 30 tingkat di Ladang Batu Kapor, Kuala Terengganu.
Oleh: Suriati Ali 
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri akan membina sebuah lagi pangsasuri setinggi 30 tingkat membabitkan kawasan 15 hektar di Ladang Batu Kapor, Kuala Terengganu bagi menempatkan sebahagian lagi penduduk yang belum memiliki kediaman.

Pangsapuri yang sedang dalam perancangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu akan dilengkapi lot perkedaian dan kemudahan tempat letak kereta bagi memberi keselesaan kepada penduduk setempat.

Jadi kenyataan...sebahagian penerima kunci rumah Ladang Gemilang 1 dan 2 di majlis penyerahan kunci rumah oleh Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said, hari ini.
Setakat ini dua pangsasuri iaitu Ladang Gemilang 1 sudah didiami 170 penghuni dan Ladang Gemilang II setinggi 12 tingkat pula bakal dimiliki 192 ketua keluarga dalam tempoh terdekat.

Manakala, satu pangsapuri sama di Ladang Tok Pelam setinggi 30 tingkat menyediakan 407 unit kediaman berkeluasan lebih 840 kaki persegi berharga RM195,700 (sebelum subsidi) sudah siap sepenuhnya, bakal diagihkan kepada pemilik dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan sememangnya prihatin dengan nasib penduduk di kawasan ini kerana mengetahui mereka kurang berkemampuan untuk membina rumah sendiri apatah lagi membabitkan kawasan bandar.

 Katanya, bangunan kediaman yang bakal dibina di Ladang Batu Kapor itu juga akan diberi keutaman kepada penduduk Ladang, Ladang Sahak, Ladang Tok Pelam dan juga Kampung Tanjung yang melibatkan penstrukturan semula bandar Kuala Terengganu.

 “Ia akan dijual dengan harga subsidi yang bakal ditetapkan kelak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran Pangsapuri Ladang Gemilang II di pangsapuri itu, Ladang, Kuala Terengganu, petang ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato' Osman Muda dan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd.Sabri Alwi.

 Dato’ Seri Ahmad Said turut memberitahu, pembinaan kediaman cukup penting dan pada masa sama kiita perlu sedar bahawa keluarga terus berkembang dan kadang-kadang terpaksa hidup berasak-asak dalam rumah membabitkan beberapa keluarga.

 “Oleh itu kerajaan mengambil daya usaha membangunkan Kampung Ladang dan sekitarnya serta membina pangsapuri untuk menempatkan mereka dengan lebih selesa,” katanya.

 

Pasar Payang Jadi Pilihan Pelancong

Oleh: Suriati Ali 

Setiap kali tiba cuti sekolah atau cuti am beberapa destinasi menarik di Terengganu terutama Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) pasti menjadi lokasi pilihan pelancong untuk membeli pelbagai barang yang digemari.

Kebanyakan pengunjung yang datang dari pelbagai negeri ghairah membeli pelbagai jenis barangan seperti batik, sutera, songket dan makanan tradisional Terengganu untuk di bawa pulang ke tempat asal masing-masing.

 

Tidak ketinggalan, barangan tembaga, rantai kunci penyu dan baju-T bertulisan Terengganu turut menjadi pilihan mereka sebagai tanda kenang-kenangan dan cenderamata kepada saudara serta rakan-rakan.

Tinjauan Teganukita mendapati, setiap pelanggan terpaksa berhimpit ketika membeli dan melalui lorong yang mengasingkan peniaga kerana terlalu ramai pelanggan yang berurusan sepanjang cuti penggal pertama persekolahan yang berakhir semalam.

Seorang pengunjung dari Pulau Pinang, Shamsinah Shamsudin, 33, berkata dia yang pertama kali datang Terengganu seakan teruja apabila berpeluang singgah ke destinasi tersohor iaitu pasar payang.

‘Bagi pengunjung luar, bagaikan satu perkara perlu untuk singgah di lokasi setiap kali datang ke Terengganu, selain beberapa tempat menarik lagi, termasuk Pantai Batu Burok dan Taman Tamadun Islam.

 “Berkaitan makanan pula, mesti menikmati nasi dagang dan membeli keropok lekor untuk dibawa pulang, selain dijadikan buah tangan kepada saudara atau rakan.” Katanya.

 Pengusaha kedai Batik, Nor Hayati Kamaldin, 26, berkata cuti persekolahan dan cuti umum adalah bonus bagi dia serta rakan niaga lain kerana mendapat keuntungan lebih berbanding hari biasa.

 Katanya, dia mengambil kesempatan menjual batik Terengganu secara lelong iaitu 11 helai dengan harga RM100 dan pelbagai jenis barangan lain secara murah.

 “Cara berkenaan mampu menarik minat pelanggan untuk mengunjungi lot kedai saya dan rata-ratanya memuji kecantikan batik Terengganu,” katanya.