Halaman

19 December 2013

Pendapatan isi rumah di Terengganu meningkat

Oleh: Aida Abd Rahman

Purata pendapatan bulanan isi rumah di Terengganu pada tahun ini RM4,205, meningkat 5.66 peratus berbanding 2012, hasil strategi dan program yang dilaksanakan kerajaan menerusi penjanaan perbelanjaan dan sumber yang ada dalam negeri bagi meningkatkan pendapatan rakyat.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Terengganu (DPMMT), Dato Wan Mohd Albakri Wan Md Noor, berkata purata pendapatan isi rumah berkenaan menjadi indikator yang menunjukkan kekayaan dan juga kesenangan penduduk di setiap kawasan mahu pun negeri.

 “Jika pada tahun 2003-2004 Terengganu negeri kedua miskin dengan pendapatan isi rumah ketika itu kurang dari RM2,000, pendapatan bulanan isi rumah yang direkodkan Jabatan Statistik pada 2012 meningkat dengan baik, iaitu RM 3,967.

 “Peningkatan itu turut melonjak kedudukan Terengganu dari tangga ke-13 naik ke tangga sembilan, maka jelas di sini  Terengganu antara negeri yang mampu merekodkan pertumbuhan ekonomi yang baik menerusi indikator purata pendapatan isi rumah, bagi tempoh kurang 10 tahun,” katanya ketika mengupas Bajet 2014, sempena Program Diskusi Bajet 2014, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau menjadi panel bersama Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Che Abdullah di program tahunan anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom).

Turut hadir, Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong; Timbalan Pengarah Ukom, Encik Ruslan Abd Rahman.

Dalam pada itu, Dato Wan Mohd Albakri berkata, peningkatan pendapatan isi rumah daripada RM3,967 pada 2012 kepada RM4,205 tahun ini, masih jauh ketinggalan berbanding purata pendapatan isi rumah nasional yang berjumlah RM5,000 pada masa kini.

 “Malah purata pendapatan isi rumah negeri itu jauh terkebelakang berbanding pendapatan isi rumah di China yang merekodkan RM6,000, iaitu hampir separuh ketinggalan. Ia satu cabaran kerajaan negeri bersama semua badan dan agensi bagi bersama-sama meningkatkan kenaikan pendapatan isi rumah ini ke tahap yang lebih membanggakan berbanding negeri lain  yang jauh lebih baik seperti Wilayah Persekutuan( RM 8,586), Selangor (RM7,023), Pulau Pinang (RM5,035), Johor (RM4,658), Sarawak (RM4,293) dan Sabah (RM4,013),” katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin kerajaan sentiasa komited dalam menjadikan Terengganu sebagai hub pelaburan yang kompetitif di rantau ini, bersandarkan kepada kemasukan 66 projek pelaburan bernilai 2,84 bilion pada tahun lalu.

Tambah beliau lagi, daripada jumlah itu, sebanyak RM2,2 bilion merupakan pelaburan asing yang mampu membuka peluang pekerjaan kepada 4,318 orang meliabtkan projek pembinaan kilang fabrikasi, loji pengeluaran gas, kilang IKS dan sebagainya.

 “Saya yakin pendapatan isi rumah akan meningkat lagi pada tahun ini bersandarkan kepada pelbagai pendekatan yang dilaksanakan kerajaan khususnya dalam usaha menarik pelaburan asing menerusi pelbagai projek mega yang akan tumbuh dan sedang dirancang di seluruh Terengganu.

“Apabila pelaburan semakin rancak, peluang perniagaan dan pekerjaan yang semakin meningkat mampu dipenuhi oleh para siswazah setaraf dengan kelayakan akademik yang mereka ada. Kadar pengangguran dapat dikurangkan, sekali gus meningkat pendapatan isi rumah dan menterjemahkan sumbangan kita untuk mewujudkan negara berpendapatan tinggi satu masa nanti,” katanya.


SAIS terbaik PMR di Setiu.

Oleh: Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Sekolah Menengah Sains Setiu (SAIS) buat pertama kalinya muncul sebagai sekolah terbaik dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di daerah Setiu yang diumumkan, hari ini.

Saudah..bersyukur.
Pengetuanya, Saudah Mat Nor berkata, beliau bersyukur dengan kejayaan pelajar pertama menduduki PMR sekolah itu dan kejayaan itu juga memberi semangat kepada pihak sekolah untuk terus memperbaiki lagi kecemerlangan sekolah pada pada masa depan.

"Selain itu, keputusan 100 peratus itu juga membantu meningkatkan pencapaian daerah Setiu dalam peperiksaan itu di tempat yang lebih baik berbanding tahun sebelum ini.

"Saya berterima kasih kepada semua guru-guru dan murid, semoga kejayaan ini memberi pendorong kepada pelajar lain untuk terus cemerlang dalam peperiksaan." katanya. 

Menurutnya, seramai 59 pelajar sekolah itu berjaya mendapat 'straight' A, 34 mendapat 7A dan 31 pelajar lagi mendapat 6A daripada 144 calon yang menduduk PMR pada tahun ini dengan Gred Purata Sekolah 1.18.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Setiu, Kipayatuallah Dato' Mohd Said, berkata pencapaian dalam peperiksaan PMR tahun ini meningkat berbanding tahun lalu.

"Gred purata sekolah meningkat dari 2.63 tahun lalu kepada 2.59 manakala pencapaian semua A meningkat dari 5.14 kepada 9.20 iaitu ke tiga dalam negeri Terengganu dan pada keseluruhanya meningkat dalam semua kategori," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada semua guru-guru dan murid atas kejayaan keputusan PMR daerah Setiu itu dan beliau mengharapkan pihak sekolah terus berusaha memperbaiki keputusan supaya mencapai keputusan yang lebih baik pada masa depan.

"Saya diberitahu, tiga buah sekolah mencapai keputusan 100 peratus di Setiu iaitu SM Sains Setiu, SM Lembah Bidong dan SMK Pelong.

"Seramai 11 pelajar mendapat 9A manakala 8A pula 180 pelajar. Daerah ini menduduki tempat ketiga di negeri Terengganu dalam PMR 2013," katanya.

 

Anggota PGK dan isteri ziarah pusara Perwira Negara ASP Zulkifli Mamat.


Rombongan anggota PGK ziarah pusara ASP Zulkifli Mamat di Kampung Gong Bayor, Besut.

Oleh: Mohammad Ishak 

Kehilangan Perwira Negara ASP Zulkifli Mamat, yang terkorban dalam serangan pengganas di Lahad Datu, Sabah, Mac lalu masih segar dalam ingatan rakyat negara ini kerana ia satu perjuangan murni untuk mempertahankan negara.

Pelbagai cara dilakukan oleh pihak tertentu untuk memperingati perjuangan Allahyarham sepanjang tempoh kematian beliau yang terkorban pada 1 Mac ketika bertempur dengan pencoroboh asing di Sabah.

Terbaru, Pasukan Gerak Khas (PGK) yang berpengkalan di Hulu Kinta, Perak, mengadakan majlis tahlil dan membaca surah yassin yang diadakan di Masjid Kampung Gong Bayor, dekat Jertih semalam.

Kira-kira 200 anggota polis, ahli Perkep, pegawai kanan polis serta penduduk kampung menyertai majlis tahlil berkenaan sempena sambutan ke 44 penubuhan PGK.

Majlis itu turut dihadiri Komandan 69 Komando PKK, Dato' Azizan Andul Aziz, Timbalan Ketua Polis Terengganu,Dato' Hamzah Mohd Jamil dan Ketua Polis Daerah Besut, Superentandan Kamaruddin Mohd Zakaria.

Selesai majlis tahlil Azizah mengetuai rombongan menziarah pusara Allahyarham Zulkifli yang terletak kira-kira dua kilometer dari masjid kampung terbabit.

Balu Allahyarham, Nor Aziah Noor, 28, bersama tiga anak lelaki termasuk yang baru lahir dua bulan lalu serta ibu mertuanya, Khadijah Ismail,64, turut menziarah pusara arwah Pahlawan Negara berkenaan.

Azizan ketika ditemui berkata, pasukan berkenaan kehilangan seorang pegawai yang dedikasi dalam menjalankan tugas dan beliau amat disegani oleh rakan dan pegawai lain.

Katanya, pihaknya sentiasa mengadakan aktiviti bagi memperingati Allayharham dengan mengadakan pelbagai program sebagai usaha mengenang jasa dan khidmat beliau terhadap pasukan dan negara.


“Kehadiran kami di kampung arwah turut disertai 100 anggota dan isteri masing-masing dari kem Hulu Kinta,Perak yang ingin menziarah pusara Allahyarham,” katanya.

Banjir: Antara Musibah dan Kasih Sayang.

Anggota tentera membawa keluar mangsa banjir di Kemaman baru-baru ini.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BANJIR yang melanda Kemaman pada bermula petang 3hb.12.2013 (Selasa) dan berakhir kira-kira seminggu kemudian tentunya akan menjadi ingatan bukan sahaja penduduk Kemaman malah penduduk di negeri ini kerana ia adalah antara yang terburuk dalam sejarah daerah itu sejak hampir 30 tahun lalu.

Banjir itu menyaksikan beribu penduduk dari beberapa kawasan terpaksa berpindah dan menyebabkan beratus buah kenderaan termasuklah kereta dan motosikal ditenggelami air, barangan rumah seperti perabot, barangan elektrik, elektronik, pakaian dan lain-lain, rosak.

Turut mengalami kerosakan ialah beberapa buah rumah papan, jalan raya, jambatan dan beberapa kemudahan awam lain, peralatan pejabat, tanaman, ternakan dan lain-lain yang dianggarkan pihak tertentu kerugian mencecah jutaan ringgit.

Namun disebalik musibah itu, tentunya kita dapat melihat wujudnya kasih sayang antara manusia, belumpun banjir surut sepenuhnya, bantuan sudah mula mencurah tiba samada daripada pihak kerajaan, syarikat swasta, NGO ataupun orang perseorangan dan lain-lain.

Pihak kerajaan selain menunaikan tanggungjawabnya menjaga kesempurnaan di tempat pemindahan seperti penyediaan makanan dan tempat tidur, juga memberi bantuan kewangan kepada mangsa banjir yang diperuntukan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Pihak syarikat swasta, parti politik , NGO, orang perseorangan dan lain-lain, mampunyai inisiatif masing-masing dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir samada dalam bentuk kewangan, barangan makanan ataupun kemanusiaan.

Pasukan penyelamat pula antaranya ialah Bomba, Angkatan Tentera, JPAM, Polis dan lain-lain berjaya dalam menjalankan tugas masing-masing dengan lancar dan baik . Begitu juga dengan agensi kerajaan antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran dan lain-lain bersama-sama berganding bahu membantu mangsa banjir.

Sepanjang penulis berada beberapa hari di sebuah rumah di Jalan Air Putih, Chukai yang terbabit dengan banjir kerana membersih kawasan rumah itu, pelbagai bentuk bantuan daripada pelbagai pihak dihulurkan antaranya ialah barangan makanan seperti roti, makanan dalam tin, selimut, bantal dan lain-lain silih berganti.

Ianya bukan sahaja dari negeri Terengganu malah ada yang datang dari beberapa negeri lain antaranya ialah seorang ahli perniagaan dari Kelantan yang datang membawa berpuluh helai ‘toto’ dan bantal untuk di bahagikan kepada mangsa banjir di beberapa kawasan perumahan sekitar Chukai.

Itu dari segi material manakala dari segi kemanusian pula, banyak pihak yang datang menawarkan perkhidmatan untuk membersih kawasan rumah, membantu membawa masuk dan keluar mangsa banjir antaranya ialah penuntut dari beberapa pusat pengajian tinggi, persatuan-persatuan dan orang perseorangan.

Selain itu, sanak-saudara yang bersimpati juga turut datang dari jauh untuk melihat sendiri keadaan rumah saudara mereka yang dilanda banjir dan membantu membersih rumah serta kawasan sekitarnya seperti membasuh pakain yang ditenggelami air lumpur, membasuh lantai berlumpur, membuang barangan yang tidak boleh digunakan dan lain-lain.

Sekalipun mengalami kerugian yang besar akibat banjir itu, ketiadaan bekalan elektrik ,air dan alat perhubungan, putus bekalan minyak, kehabisan bekalan makanan di beberapa kedai runcit selama beberapa hari namun masing-masing tetap tenang dan bersabar malah ada yang masih mampu tersenyum apabila diajukan soalan mengenai jumlah kerugian yang mereka alami.

Itulah sebenarnya rakyat Malaysia penuh dengan kasih sayang, sabar dalam menghadapi dugaan. Semoga bencana seperti ini tidak akan hadir lagi di negara ini walaupun ia banyak mengajar kita mengenal erti kehidupan .

Berat Mata Memandang Berat Lagi Bahu Memikul. Bersama-samalah kita terus membantu mangsa banjir di negeri ini terutamanya penduduk di Kemaman yang begitu terkesan dengan musibah banjir ini bagi meringani bebanan mereka dengan menghulurkan segala bentuk bantuan termasuklah kewangan melalui saluran yang betul.

 

18 December 2013

Tambahan bantuan pakaian sekolah kepada mangsa banjir

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bersetuju menambah RM100 menjadikan jumlah RM300 bagi bantuan pakaian sekolah untuk setiap keluarga memiliki sekurang-kuranya dua anak yang bersekolah, yang terlibat dengan banjir di seluruh Terengganu.

Sebelum ini kerajaan negeri menyediakan bantuan berjumlah RM100 untuk seorang anak yang bersekolah atau maksimum RM200 bagi keluarga yang mempunyai lebih dari dua anak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tambahan itu bagi meringankan beban mangsa banjir yang perlu menyediakan lebih banyak keperluan persekolahan yang baru kepada anak-anak.

“Perubahan kali ini bagi mereka yang terlibat dengan banjir baru-baru ini, kerajaan negeri menyediakan bantuan maksimum RM300, bagi yang mempunyai anak yang bersekolah sekurang-kurangnya dua orang.

“Sebelum ini kita sediakan RM200 maksimum, kalau ada tiga empat orang tetap RM200. Tetapi ini kawasan banjir sahaja kita tambah RM100 lagi,” katanya selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Dalam pada itu, kerajaan negeri juga bersetuju membayar bonus kepada penjawat awam setengah bulan gaji atau minimum RM500 bermula Januari ini.

Keputusan itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri ketika mengumumkan Bajet 2014, Oktober lalu yang akan menyediakan insentif itu kepada kira-kira 1.4 juta penjawat awam seluruh Malaysia.

Belia Setiu bersih sekolah di landa banjir di Kemaman.

Beberapa peserta giat membersih kawasan sekolah.
Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Seramai 80 belia dan beliawanis dari daerah Setiu menyertai Misi Bantuan Banjir ke Chukai selama dua hari berakhir semalam.

Program anjuran Sahabat Belia Malaysia itu melakukan dua aktiviti besar ketika di Kemaman iaitu membersih bangunan dua buah sekolah dan mengagihkan pakaian terpakai kepada mangsa banjir.

Ammar (kanan) bersama rakan.
Penyelaras Program, Ammar Sauti berkata, sedar dengan kesusahan yang dialami mangsa banjir di Kemaman, pihaknya mengambil inisiatif mengumpul kira-kira 80 belia dan beliawanis dari beberapa kampung di daerah Setiu untuk melakukan program amal itu.

Dua buah sekolah menengah terbabit dengan banjir di Chukai yang dibersihkan oleh sukarelawan itu ialah SMK Elit Mak Langam dan SMK Chukai.

"Program ini bertujuan untuk menyelami perasaan mangsa banjir di kalangan peserta dan melihat sendiri dengan lebih dekat musibah yang berlaku di daerah Kemaman.

"Selain itu ia juga dapat memberi pendedahan kepada belia untuk menanam sikap tolong menolong serta saling membantu dan mempermudahkan urusan orang yang di dalam kesusahan," katanya.

Program yang dirasmikan pelepasannya oleh Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar itu mendapat sokongan penuh daripada Majlis Belia Malaysia melalui Setiausaha Agungnya, Mohd Zaidi Aziz serta Pejabat Belia dan Sukan Setiu.

"Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan misi ini termasuklah KBS, MBM, Pejabat Belia dan Sukan Setiu dan YB Iskandar yang menyalurkan sumbangan," katanya sambil mengharapkan misi seumpama itu dapat diteruskan pada masa depan.
Ammar (kiri) bersama Iskandar ketika pelancaran misi bantuan.

Sedia..sebahagian peserta bersedia ke kemaman.

Rosak..antara barangan yang dibersihkan.









 

Bantuan RM1,500 kepada setiap keluarga terlibat banjir

Oleh: Aida Abd Rahman

Kesengsaraan mangsa bencana banjir di Terengganu sedikit terubat apabila kerajaan negeri mengumumkan bantuan khas RM1,500 kepada setiap keluarga yang  rumah mereka mengalami kerosakan dan terjejas teruk akibat ditenggelami air, baru-baru ini.

Kerajaan negeri dijangka akan membelanjakan hampir RM15 juta melibatkan 10,000 keluarga yang terlibat dengan bencana itu di seluruh Terengganu.

Berita gembira itu disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

“Kerajaan negeri bersetuju menyediakan bantuan kepada mereka yang terlibat banjir dan rumahnya tenggelam. Dulu kita beri bantuan kepada mangsa banjir mengikut keluarga, jika tiga keluarga dalam satu rumah, bermakna setiap keluarga mendapat RM500.

 “Sekarang ini kita beri bantuan berasaskan rumah. Kalau rumah tenggelam, harta seperti perabut rosak , kita akan beri RM1,500 keseluruhan untuk satu rumah, bukan berasaskan bilangan keluarga yang ada dalam rumah berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, selain bantuan khas RM1,500 itu, kerajaan negeri juga akan mengagihkan bantuan khas RM500 kepada setiap keluarga yang terlibat dengan banjir tetapi rumah mangsa tidak ditenggelami air dan rosak.

Katanya, bantuan kerajaan negeri itu akan menjadi tambahan kepada bantuan khas kerajaan Pusat berjumlah RM500 kepada setiap keluarga sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, baru-baru ini. 

Tambah beliau, bantuan berkenaan akan diagihkan secara berperingkat-peringkat bermula Januari ini selepas senarai mangsa yang terlibat disahkan oleh ketua kampung, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung serta Penolong Pegawai Daerah di kawasan masing-masing.

 “Kita perlu mendapatkan senarai pengesahan terlebih dahulu, Kita tidak mahu orang mengambil kesempatan, dia tidak terlibat tetapi dia mengambil juga bantuan itu. “Seperti yang dikatakan tadi, jika dia tidak mengalami kerugian dari segi kerosakan harta benda dalam rumahnya, tetapi mereka mengambil juga bantuan itu (RM1,500), jadi itu tidak adillah. Kita minta rakyat jujurlah,” katanya.

Menurutnya, senarai penerima bantuan berdasarkan pendaftaran mangsa di pusat pemindahan banjir baru-baru ini itu, akan disemak terlebih dahulu di Pejabat Daerah yang terlibat bagi mengenalpasti kategori bantuan yang layak diterima oleh mangsa.

 

PSKT sasar 20 Program Cakap-Cakap Sains tahun hadapan

Oleh: Noraini Jusoh

Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) menyasarkan 20 slot Program Cakap-Cakap Sains berjaya diadakan pada tahun hadapan.

Eksekutif (Program Penggalakan Sains Inovasi) PSKT, Mohd Hakimi Awang Su berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, Program Cakap-Cakap Sains akan dijadikan aktiviti tahunan dan diselitkan dalam sebarang program yang dianjurkan PSKT.

“Ini kali pertama Program Cakap-Cakap Sains diadakan dan sekiranya mendapat maklum balas positif daripada para peserta, program ini akan diperbanyakkan lagi dan bukan setakat diadakan sempena Bulan Astronomi PSKT sahaja.

“Jika hari ini program ini diadakan sebagai pengisian penutup untuk Bulan Astronomi PSKT yang telah bermula September lepas, tetapi untuk tahun-tahun akan datang ia akan dijadikan acara tahunan bagi PSKT,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Program Cakap-Cakap Sains: Ilmu Falak di Pusat Dagangan Terengganu, hari ini.

Mohd Hakimi berkata, pada program berkenaan seramai 150 peserta mengikuti forum berkaitan ilmu falak yang disampaikan Ahli Astronomi, Shahrin Ahmad yang berpengalaman 30 tahun dalam dunia Astronomi.

“Peserta terdiri daripada pelajar Pusat Pengajian Sains Marin dan Persekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT); Ahli Kelab Astronomi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), imam dan bilal serta orang awam,” katanya.

 

RM2.2 juta baiki tiga klinik rosak teruk

Oleh: Nurul Azila Saberi



Kehadiran Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam ke Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, semalam memberi semangat baru apabila memperuntukkan RM2.2 juta bagi menggantikan peralatan yang baru dan membaiki segala kerosakan di tiga klinik kesihatan yang terjejas dalam banjir, baru-baru ini.

 Klinik kesihatan berkenaan adalah Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Klinik Desa Pasir Gajah dan Klinik Desa Seberang Tayor.

Datuk Seri Dr. S. Subramaniam turut melahirkan rasa bangga terhadap tiga petugas Hospital Kemaman dan dua petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat bersama seorang pemandu bot yang sanggup mengadaikan nyawa kerana bot yang dinaiki telah terbalik ketika mengharungi banjir untuk menyelamatkan mangsa-mangsa banjir di Pasir Gajah dan Seberang Tayor.

“Semangat yang ditunjukkan oleh semua anggota ini untuk meneruskan perkhidmatan walaupun baru saja ditimpa tragedi amatlah terpuji dan menjadi kebanggaan kepada seluruh warga Kementerian Kesihatan Malaysia.

 “Saya mencadangkan untuk melaksanakan satu latihan khusus bagi menghadapi bencana alam kepada seluruh kakitangan Kesihatan Malaysia. Ianya akan dilaksanakan mulai tahun hadapan,” katanya.

Beliau turut meluangkan masa pergi melawat ke tiga-tiga klinik kesihatan yang terjejas banjir baru-baru ini. 

Dalam pada itu, kesan bencana banjir yang melanda Kemaman baru-baru ini mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 22,159 orang dan daripada jumlah itu 302 mangsa merupakan kakitangan Hospital Kemaman serta 157 kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman.

Malah, 80 orang kakitangan Hospital Kemaman yang terlibat banjir dipindahkan ke pusat pemindahan Dewan Seminar Hospital Kemaman turut terus bertugas bagi memastikan perkhidmatan hospital tidak terjejas.

Segala operasi dan perkhidmatan terpaksa dihentikan dan anggota ditugaskan dipindahkan untuk bertugas di klinik lain seperti Klinik Kesihatan Cukai dan Klinik Kesihatan Kijal.

Manakala klinik-klinik lain yang terlibat seperti di Dungun mahupun di Kuantan juga akan menerima peruntukan untuk membaiki kerosakan akibat bencana itu.


Kenduri sekampung pupuk kerjasama

Oleh: Amirullah Othman

Kenduri sekampung menjadi acara tradisi yang mampu menyatukan silaturahim serta memupuk semangat kerjasama di kalangan penduduk di setiap kampung.
Usaha murni Umno Cawangan Kampung Kubu yang masih dikekalkan sehingga kini itu, mendapat pujian Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi Dan Teknologi Maklumat negeri, YB A Latiff Awang yang turut meluangkan masa menyertai program itu, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada penduduk atas kepercayaan mereka yang memilih Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kerusi di DUN itu.

 “Kemenangan ini adalah kemenangan bersama dan beliau berharap semua anggota masyarakat mengambil segala inisiatif untuk sama-sama menjaga perpaduan yang utuh dalam hidup bermasyarakat.

“Kerajaan Terengganu dan Pusat yang diperintah oleh BN pada hari ini begitu komited dalam menjaga kebajikan rakyat di negeri Terengganu dengan memberikan pelbagai subsidi seperti minyak diesel, baja, benih pokok, alatan nelayan, lembu dan sebagainya.

 “Jika segala kemudahan dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan ini, kita masih tidak bersyukur dan mengucapkan terima kasih sudah tentu kita akan tergolong dalam golongan manusia yang tidak tahu bersyukur dan di murkai Allah s.w.t,” katanya.

 YB A Latiff turut menemui penduduk dan mendengar segala permasalahan mereka, serta berjanji akan menyelesaikannya berdasarkan keperluan