Halaman

27 September 2013

Pertandingan Bot Berhias ‘Dirgahayu Tuanku, TMT 2013’

Oleh: Aida Abd Rahman

Orang ramai berpeluang menyaksikan keunikan reka bentuk dan hiasan yang melatari bot di Pertandingan Bot Berhias sempena Sambutan Ulang Tahun ke-51 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, pada 28 September (Sabtu) ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dijangka berangkat merasmikan pertandingan yang bertemakan ‘Dirgahayu Tuanku, Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013’, yang bermula jam 8 malam itu.

Pertandingan bakal disertai 16 jabatan termasuk tujuh pejabat daerah, masing-masing Pejabat Daerah (PD) Kuala Terengganu, PD Hulu Terengganu, PD Marang, PD Besut, PD Dungun, PD Kemaman dan PD Setiu serta jabatan kerajaan yang lain.

Ketua Pegawai Eksekutif TMT 2013, Encik Ahmad Fathil Abdul Ghani berkata Majlis Kebudayaan Kuala Nerus, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), TATI University College (TATIUC), TESDEC Sdn Bhd dan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) juga akan menyertai pertandingan itu nanti.

 “Pada pertandingan tersebut, setiap daerah disyaratkan untuk menonjolkan produk masing-masing dan mereka bebas untuk memilih produk pelancongan yang ingin diketengahkan berdasarkan kreativiti tersendiri dalam menata rias bot mereka.

“Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM420,000 untuk diagihkan kepada semua pasukan yang terlibat sebagai bantuan bagi menyiapkan dan menghias bot masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pemenang tempat pertama bakal menerima wang tunai RM25,000, tempat kedua RM15,000; tempat ketiga RM10,000 dan dua hadiah saguhati, masing-masing RM7,000 setiap satu. 

Katanya, sistem pemarkahan dalam pertandingan itu dikira berdasarkan kreativiti sebanyak 30 peratus, kesesuaian hiasan dengan tema (30 peratus), kekemasan (30 peratus) dan bonus sepuluh peratus.

Menurutnya, acara pada malam itu turut diserikan dengan persembahan `Tarian Selamat Datang’, diikuti dengan titah perasmian oleh Sultan Mizan serta perarakan bot dan juga persembahan kebudayaan oleh artis kesenian Terengganu.

 

Stage 5: PAKA - KEMAMAN














26 September 2013

200 sedia cemerlang PMR

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Sebahagian pelajar yang menyertai kem.
KUALA NERUS: Seramai 200 pelajar dari 26 buah sekolah seluruh negeri Terengganu berkampung selama tiga hari di Quinara Al Safir Resort, Tok Jembal, di sini, berakhir hari ini mengikuti Kem Kecemerlangan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai persediaan akhir menghadapi peperiksaan itu yang akan bermula 2 Oktober ini.

Kem anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan dibiayai oleh kerajaan negeri itu bertujuan untuk meningkatkan pencapaian keputusan PMR di negeri ini dan melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dengan keputusan 8A.

Jurucakap Urusetia kem, Ku Zaifulizam Ku Abu Bakar, berkata, kebanyakan pelajar yang menghadiri kem ini menunjukan komitmen yang tinggi untuk mencapai keputusan baik dalam peperiksaan PMR nanti malah masing-masing mahukan keputusan 8A.

“Pihak urusetia dan penceramah yang menjayakan kem ini sudah memberi mereka ilmu yang berguna untuk cemerlang dalam PMR nanti. Walaupun hanya dalam masa tiga hari tetapi mereka banyak mendapat manfaat daripadanya dan kami semua mengharapkan semua pelajar yang hadir kem ini akan mendapat keputusan cemerlang,” katanya.

Ismail...kongsi ilmu.
Sementara, wakil JPNT, Pengetua Sekolah Menengah Sultan Mizan, Ismail Kusri dalam ucapan perasmian penutup kem itu, berkata beliau mengharapkan semua pelajar akan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR nanti.

“Saya mengharapkan semuanya akan berjaya dan tiada lagi yang akan kecewa. Itulah harapan saya dan harapan JPNT. Saya mengharapkan pelajar semua memberi sumbangan bermakna kepada kerajaan negeri dan yang paling penting ialah sumbangan kepada diri kita sendiri,” katanya.

Ismail berkata, dalam tempoh yang terdekat ini, beliau mengingatkan kepada pelajar supaya berkongsi segala ilmu yang mereka perolehi dengan kawan-kawan yang tidak menghadiri kem itu apabila pulang ke sekolah masing-masing.

“Apabila balik nanti ceritalah kepada kawan-kawan apa yang pelajar semua perolehi sepanjang tiga hari di sini. Kejayaan kita akan lebih manis kalau kita berjaya membantu rakan-rakan kita,” katanya.


Proses meremajakan UMNO Besut berjalan lancar


ADUN Kota Putera Mohd Mahdi Musa bersama bakal Ketua Pemuda Besut,Azizul Jasmi Mohamad

Oleh: Mohammad Ishak

UMNO Bahagian Besut muncul bahagian pertama negeri ini semua jawatan utama parti dimenangi tanpa bertanding menjelang pemilihan parti Oktober depan.

Ini berikutan beberapa jawatan termasuk Ketua Bahagian, Timbalan,dan Ketua Pemuda calon yang bertanding memutuskan untuk menarik diri dan memberi laluan mudah kepada calon terbabit.

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Nawi Mohamad menang tanpa bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian, apabila pencabarnya Muhamad Pehimi Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih menarik diri kelmarin.

Ketua sekarang, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Menteri Pendidikan II,tidak mempertahankan jawatan itu sebaliknya menang tanpa bertanding jawatan Naib Ketua yang sebelum ini disandang Muhamad Pehimi.

ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa juga menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Ketua apabila pencabarnya, Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM),Shamsuddin Sulong turut menarik diri bagi memberi laluan kepada Mohd Mahdi.

Manakala jawatan Ketua Wanita,Engku Naimah Engku Taib menang selesa apabila tiada pencabar sebelum ini.

Bagi Ketua Pemuda, Azizul Jasmi Mohamad, turut menang tanpa bertanding selepas pencabarnya, Mohd Husaimi Che Hussin, menarik diri. Kecuali Ketua Puteri, akan berlaku pertandingan antara Mazime Mohamad dan Erni Salwani Saidi.

Menurut Nawi, keputusan semua jawatan utama itu tidak dipertandingan dibuat secara musawarah antara calon terbabit dalam usaha untuk mengekalkan tradisi di bahagian Besut tiada berlaku pertandingan sejak dahulu lagi.

“Ia juga atas nasihat Idris yang mahukan ahli parti di bahagian ini menjadi contoh dan teladan kepada bahagian lain,” katanya.

Berikutan itu, Nawi berkata, beliau akan melantik Muhamad Pehimi sebagai Setiausaha Bahagian yan g baru menggantikan Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar.

Selain itu, ADUN Kuala Besut,Tengku Zaihan Che Ku Rahman pula akan dilantik sebagai Ketua Penerangan baru.

14.3 juta pengguna internet terdedah penjenayah siber

Oleh; Esah Abdullah 

Daripada kira-kira 14.3 juta pengguna komputer dan internet di negara ini didapati kurang dari satu peratus sahaja pengguna yang mempunyai kesedaran mengenai keselamatan penggunaan komputer dan internet.

Peserta kursus bersama  Jazanul Azriq Aripin fasilitator Cyber Security (tengah)
Ketua Jabatan Outreach Cyber Security Malaysia (OCSM), Encik Rosli Yahil berkata, kurang kesedaran itu menyebabkan ramai pengguna mudah ditipu oleh `penjenayah siber’ yang disebarkan dalam internet bagi mendapatkan keuntungan dengan cara yang mudah.

“Sehubungan itu 14.3 juta pengguna internet dilihat amat terdedah dengan penipuan siber kerana sikap mengambil mudah terhadap apa yang mereka perolehi melalui alam siber.

 “Ini kerana banyak kes-kes yang dikenalpasti pengguna mudah terpedaya dengan rakan yang dikenali dalam talian termasuk penipuan dengan helah penghantaran barang, menjadi keldai dadah dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis penutup Kursus Cyber Safe kepada guru-guru pemimpin Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu di Makmal Komputer Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Negeri di Marang.

Menurutnya,  OCSM di bawah kawal selia Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu melalui program outreach sedang berusaha untuk meningkat kesedaran mengenai penggunaan komputer dan internet kepada pengguna.

 Katanya, pada masa ini OCSM mengadakan kerjasama dengan Persatuan Pandu Puteri Malaysia untuk mengadakan kursus tersebut kepada pemimpin persatuan di seluruh negara.

``Melalui program ini diharapkan pemimpin terbabit dapat menyalurkan maklumat kepada pemimpin dan ahli-ahli lain mengenai keselamatan komputer dapat ditingkatkan,” katanya.

Seramai 20 peserta terdiri daripada pemimpin persatuan pandu puteri negeri dan daerah menghadiri kursus selama tiga hari yang bertujuan memberi pendedahan mengenai kerselamatan penggunaan siber.

Stage 4: MERCHANG - PAKA












Stage 3: BATU BURUK - MERCHANG













Stage 2: MERANG - BATU BURUK