Halaman

02 September 2013

Kementerian Komunikasi dan Multimedia pantau lagu Negaraku di pawagam

Oleh: Noraini Jusoh

Kementerian Komunikasi dan Multimedia memantau dari segi pelaksanaan tayangan lagu Negaraku di pawagam-pawagam seluruh negara.

Menterinya, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pada keseluruhannya semua pawagam termasuk orang ramai menunjukkan kerjasama.

"Apabila lagu Negaraku berkumandang di pawagam, semua penonton berdiri kecuali ada beberapa insiden kecil di Pulau Pinang dimana ada beberapa penonton yang tidak berdiri tetapi perbuatan tersebut ditegur.

"Ada beberapa tempat di tegur oleh pihak pawagam dan ada juga ditegur oleh penonton-penonton sendiri yang marah sekiranya ada di kalangan penonton yang tidak menghormati lagu Negaraku,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis rumah terbuka Parlimen Kemaman di Pantai Kuala Kemaman, semalam yang dihadiri kira-kira 20,000 orang.

"Keseluruhannya, sambutan adalah baik. Cuma kita akan mendengar maklum balas daripada orang ramai apakah ianya perlu dipanjangkan tempoh atau diulangi pada tahun hadapan berasaskan kaji selidik yang diedarkan selepas ini,” katanya.

Tambah beliau, di peringkat awal pelaksanaannya terdapat sedikit masalah berkaitan dengan format filem yang diedarkan kementerian.

"Format yang diedarkan adalah berbentuk digital tetapi ada beberapa pawagam yang masih menggunakan 35 mm iaitu kaedah filem biasa.

"Ianya memerlukan sedikit masa untuk diubahsuai serta perkara-perkara yang perlu disediakan untuk masa depan,” ujarnya.

Katanya, Ia adalah kes terpencil dan bukannya kes yang memerlukan tindakan undang-undang yang perlu diambil dan sebagainya.

"Pada keseluruhannya, orang ramai menyambut baik kerana sehingga sekarang tidak ada kes-kes besar yang melibatkan orang ramai tidak mahu pergi ke pawagam ataupun cuba mempersendakan lagu Negaraku,” ujarnya.

 

Umno lebih matang selepas PRU13

Oleh: Aida Abd Rahman

Umno Terengganu yakin dengan pengalaman yang diperolehi sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)   mampu memulihkan kelemahan dan setiap ahlinya lebih bersiap-sedia bagi berdepan pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penerangannya, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata Umno sudah banyak pengalaman termasuk berdepan dengan pelbagai konflik seperti mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang terpaksa dibatalkan sedikit masa dulu.

“Banyak pengalaman kita tempuh, termasuk zaman senang, susah dan konflik, sebenarnya ini yang mematangkan Umno itu sendiri.

“Saya yakin di bawah kepimpinan Presiden Umno, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan Pengerusi Umno Negeri, Dato’ Seri Ahmad Said, saya tidak nampak akan timbul masalah kerana dengan apa berlaku hari ini sudah banyak memberi pengajaran, “ katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Dato’ Amad Razif yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkata, seluruh kepimpinan dan ahli Umno harus mengorak langkah membetulkan apa yang perlu diperbetulkan dan memperkuatkan segala kelemahan yang ada.

Beliau berkata, pucuk pimpinan bahagian seluruh Terengganu yang bakal menerajui pelbagai jawatan di peringkat itu harus melihat kekurangan dan kelemahan sebelum ini serta mengambil memperbetulakannya secara kolektif.

Katanya, seluruh ahli perlu bekerjasama dan memuhasabah diri demi memperkasakan parti keramat yang sudah lama terbukti membela agama, bangsa dan negara.

 “Jika kita benar-benar belajar dan memuhasabah diri, melihat pengalaman lalu sebagai pengajaran berguna, seluruh ahli Umno akan lebih bersedia untuk berdepan pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Keunikan Merdeka Raya Parlimen Kemaman

Oleh: Noraini Jusoh

Penyertaan 258 bot nelayan dalam program jelajah merdeka menggunakan bot fiber sambil mengibarkan Jalur Gemilang menjadi keunikan sambutan Merdeka Raya Parlimen Kemaman.



Sempena sambutan Merdeka ke-56 dan Merdeka raya 2013, lebih 1000 peserta mengambil bahagian dalam perarakkan menggunakan bot sejauh 55 kilometer bermula di Kuala Kerteh dan berakhir di Kuala kemaman.

Ia turut diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai perbarisan dalam air yang terbesar dan belum pernah dibuat sebelum ini.

Ahli Parlimen Kemaman, YB Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kibaran Jalur Gemilang di pesisir pantai memberikan suatu keindahan kepada sambutan kemerdekaan pada kali ini dan menjadi pengalaman baru khususnya buat penduduk Kemaman.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada yang telah menjayakan program ini dan hadir bagi merayakan Hari Kemerdekaan dan Hari Raya bagi Parlimen Kemaman,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis rumah terbuka Parlimen Kemaman yang berlangsung di Pantai Kuala Kemaman, semalam.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud turut hadir ke majlis tersebut sekaligus menyempurnakan pemberian saguhati kepada bakal-bakal haji daerah Kemaman tahun 1434H/2013M yang diraikan dalam majlis rumah terbuka berkenaan.

Kira-kira 20,000 orang menghadiri rumah terbuka yang menyajikan 35 gerai yang menyediakan pelbagai juadah menarik.

 

KEMERDEKAAN DAN HASILNYA DINIKMATI RAKYAT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman, Pengarang Teganukita.

Bahagian Kedua (Akhir)

'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' menjadi tema sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-56 pada 31 Ogos tahun ini.
 Tema itu lebih bersifat perpaduan dan berorientasikan kepada patriotik dan kesatuan negara berbilang bangsa. Tema ini dipilih bagi memberikan peringatan kepada rakyat akan kepentingan bersatu mempertahankan negara di samping mewujudkan kesedaran rasa sayang dan cintakan negara, di mana sahaja mereka berada, termasuklah di bumi Terengganu tercinta ini.
  Konsep sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini lebih menjurus kepada elemen-elemen perpaduan, patriotik, kedaulatan dan keselamatan negara. Insiden pencerobohan ke atas Lahad Datu dan Semporna di Sabah menjadi iktibar terbaik dalam memperbaiki teras utama dalam bidang ketenteraan dengan sokongan dari rakyat keseluruhannya.
  Kedaulatan bermakna, pemerintahan dan pentadbiran negara dan negeri tidak boleh digugat oleh mana-mana kuasa lain, termasuk ancaman dari pihak luar dan dalam negara.
 Dengan pemerintahan sendiri dan bebas dari campurtangan asing dalam pentadbiran negara akan membolehkan segalanya berjalan mengikut acuan dan kehendak pemerintah di negara dan negeri kita sendiri. Kerajaan di negara kita, termasuk di Terengganu ini adalah dipilih oleh rakyat secara sah.
  Pemerintahan negara kita adalah berteraskan sistem pemerintahan negara kita berteraskan, Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan. Dalam tempoh 56 tahun mardeka kita melihat banyak kejayaan demi kejayaan dan perubahan demi perubahan telah kita capai, baik di peringkat negara mahupun negeri. Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang yang memperkenalkan pelbagai “Transformasi Untuk Semua” telah banyak merubah rupa bentuk negara ke arah yang lebih sesuai dengan peredaran masa dan perubahan zaman. Kebajikan rakyat sentiasa menjadi fokus dan keutamaan kepimpinan negara bagi memastikan masyarakat berbilang kaum di negara ini kekal bersatu padu kerana ia teras utama kepada kejayaan agenda transformasi negara untuk kesejahteraan dan kemakmuran.
 Begitulah juga di peringkat negeri Terengganu, konsep Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan (MPPNT) yang diperkenalkan oleh Dato’ Seri Haji Ahmad Said telah meletakkan kepentingan dan faedah rakyat di tempat utama dalam setiap pembangunan dan pengurusan yang dijalankan.
 Kita begitu yakin bahawa kerajaan telah berjaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dengan menggerakkan dan menjayakan Program Transformasi Negara (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang nyatanya telah membuahkan hasil yang berganda kepada rakyat jelata.
 Malah tonggak lain seperti Model Ekonomi Baru (MBE), Bidang Eknomi Utama Negara (NKEA), Prakarsa Pembaharuan Strategik dan Wawasan 2020 juga merupakan komitmen yang cukup tinggi untuk kemajuan rakyat selaras dengan tuntutan zaman.
 Kita menyokong penuh gagasan Perdana Menteri bahawa pelbagai inisiatif mesra rakyat ini juga bertepatan dengan konsep negara Madinah sebagaimana yang telah diasaskan oleh Rasulullah dalam menjaga kebajikan rakyat.
  Sememangnya pemimpin awal negara juga telah merintis jalan dengan penuh kebijaksanaan menerusi konsep wasatiyah dalam mengurus tadbir negara ini. Melalui Perlembagaan Pesekutuan amat jelas kesederhanaan ini juga telah digariskan.
  Malah melalui Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri juga menjadi pengukuh kepada konsep kesederhanaan dan keseimbangan iltizam kerajaan dalam membina 1 Malaysia yang maju dan harmoni. Malah kerajaan juga telah mewujudkan beberapa produk di bawah jenama 1Malaysia seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia(KR1M), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Menu Rakyat 1Malaysia, Amanah Saham 1Malaysia, Kedai Ikan 1 Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Baucer Batuan Persekolahan 1Malaysia, Bantuan Tayar 1Malaysia, Baucer Buku 1Malaysia,  Menu Rakyat 1Malaysia dan juga insiatif kenaikan gaji kakitangan awam dan sektor swasta.
  Di Terengganu juga kebajikan rakyat tidak pernah diabaikan, pelbagai bantuan diwujudkan untuk rakyat. Perumahan sebagai keperluan asas kehidupan adalah menjadi agenda penting di bawah kepimpinan negeri kini. Sebagai satu masyarakat berbilang kaum, kepelbagaian fahaman politik kepartian amat penting untuk mempertahankan dan mengukuhkan persefahaman dan keharmonian antara sesama kita.
  Sesungguhnya harga sebuah keamanan terlalu tinggi nilainya.
  Asas ukuran utama untuk menilai pembangunan negara juga adalah melalui peningkatan kualiti hidup rakyat. Kita lihat hari ini kualiti hidup rakyat kian meningkat dan meingkat.
Yang ketinggalan dan susah sentiasa dibantu dan dibantu. Kita di Malaysia mengiktiraf bahawa rakyat mempunyai hak untuk mendapat faedah yang setimpal daripada pembangunan.
  Semua dasar transformasi oleh pihak kerajaan ditumpukan kepada pembangunan rakyat bertujuan untuk memastikan pencapaian kualiti hidup yang lebih baik untuk semua.
 Malah kerajaan transformatif baik di peringkat negara dan negeri juga telah menumpukan usaha untuk membasmi kemiskinan, meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah, menyediakan peluang untuk meningkatkan pendapatan yang lebih tinggi, membuat pelaburan dalam pendidikan, kesihatan, perumahan dan kemudahan lain, memastikan suasana tempat kerja yang lebih baik dan melindungi alam sekitar.
 Sesungguhnya amatlah wajar kita sama-sama membantu kerajaan dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara, mewujudkan keamanan berterusan, perpaduan yang kukuh dan membangunkan negara ini untuk faedah bersama, termasuk rakyat di semua peringkat dan lapisan.
 Sempena Hari Ulangtahun Kemardekaan ini, sekurang-kurangnya marilah kita mengibarkan jalur gemilang dan melafazkan rasa syukur di atas nikmat yang kita perolehi dan mendoakan agar ia terus berkekalan sampai ke generasi demi generasi di masa akan datang.

KEJAYAAN PENTERNAK MUDA

Yusrizal sedang memberi makan beberapa ekor kambingnya.
.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

SETIU: Minat mendalam seorang pemuda untuk menceburi bidang penternakan, selepas melihat kejayaan beberapa rakanya sebagai penternak mendorongnya untuk melepaskan jawatan sebagai seorang juruteknik di sebuah syarikat swasta untuk menternak kambing.

Yusrizal Yusof, 26, dari Kampung Pandan, Rhu Sepuluh, Penarik, di sini, bekas pelajar diploma jurusan makanikal nekad untuk berhenti kerja kerana yakin bidang penternakan kambing mampu memberi pulangan yang lebih.

Ternyata, keputuasan Yusrizal untuk berhenti kerja tidak sia-sia apabila dia kini memiliki lebih 60 ekor kambing selepas menternaknya sejak 2009 dan pernah mencapai jumlah ternakan seramai 90 ekor.

"Sebenarnya saya mula meminati bidang perternakan kambing ini sejak di sekolah menengah lagi tetapi lepas sekolah, saya menyambung pelajaran dan terus dapat kerja. Minat saya terhenti seketika sehinggalah enam tahun kemudian saya teruskan minat saya itu.

"Lagipun beberapa rakan yang menyertai bidang perternakan ini berjaya dan ia memberi semangat kepada saya untuk menjayakan minat saya itu selain itu saya sering membaca mengenai penternakan kambing di internet serta pernah menyertai beberapa kursus yang dianjurkan kerajaan," katanya.

Dia yang memulakan perniagaan dengan membeli sembilan ekor kambing dengan harga RM3,000 dan membina kandang bernilai RM10,000 kini mampu menjual kira-kira 10 ekor kambing sebulan dengan harga antara RM300 hingga RM1,200 seekor.

"Selain memberi makanan segera kambing, saya banyak memberi rumput dan daun-daun pokok. Saya akan mampastikan kambing-kambing ini dalam keadaan sihat dan segar dengan mendapat khidmat nasihat dan perubatan dari Pejabat Haiwan," katanya.

Yusrizal berkata, jika mempunyai cukup modal dan tanah yang sesuai dia bercadang untuk membina sebuah ladang kambing yang boleh menempatkan jumlah kambing yang lebih ramai tetapi buat masa dia mahu menumpukan perhatian kepada kambing-kambing yang sedia ada.

 

KEINDAHAN PANTAI BARI KECIL

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Pemandangan indah di Pantai Bari Kecil
PANTAI Bari Kecil yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Bandar Permaisuri, Setiu tidak sepopular pantai Bukit Keluang di Besut ataupun Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu tetapi keindahan pantai ini mempunyai keunikan tersendiri dan sering dikunjungi penduduk sekitar daerah Setiu.

Memiliki pantai yang agak landai dan air yang cetek, Pantai Bari Kecil dijadikan tempat perkelahan mereka yang gemarkan suasana damai. Kedudukannya yang stategik, pengunjung Pantai Bari Kecil dapat melihat dengan jelas empat pulau iaitu Pulau Perhentian, Redang, Lang Tengah dan Pulau Bidong.

Bagi yang gemar sukan lasak, pengunjung dapat melakukan pelbagai aktiviti antaranya ialah memanjat bukit, berkayak, berlari di tepi pantai dan lain-lain.

Walaupun ada yang berani manda-manda digigi pantai tetapi anda tidak digalakan untuk berbuat demikian kerana bimbang berlaku tanah jerlus ataupun air pasang yang boleh mengancam nyawa pengunjung.

Pulau Redang dapat dilihat dengan jelas jika cuaca baik.
Seorang penduduk, Rubiah Sidek, 56, berkata, walaupun Pantai Bari Kecil tidak dikenali ramai sebagaimana Pantai Penarik tetapi pada setiap jumaat ramai yang datang untuk berkelah bersama keluarga. 

"Sejak dahulu hingga sekarang, pantai ini sememangnya menjadi kunjungan ramai terutamanya penduduk di daerah ini, keadaanya yang tenang dan damai serta mempunyai beberapa kawasan berbatu menjadikan pantai ini begitu indah sesuai untuk BBQ ataupun bermain di gigi pantai," katanya.

Keindahan Pantai  Bari Kecil sehingga ke Pantai Penarik
Pantai Bari Kecil ini dibangunkan oleh kerajaan Barisan Nasional kira-kira tiga tahun lalu dengan membina beberapa tempat rehat, tandas, jalan yang menghubungkannya ke Pantai Penarik dan menanam pokok ru.


     

01 September 2013

MCPF jalin kerjasama dengan m asjid atasi jenayah

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Negeri Terengganu akan mengadakan kerjasama dengan masjid-masjid di seluruh negeri bagi membantu membanteras kegiatan jenayah.

Pengerusi MCPF, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata buat permulaan pihaknya merancang menjadikan Masjid al-Muktabillah Shah, Ladang, sebagai projek perintis di mana kerjasama bagi membendung jenayah dilakukan melalui progam berunsur agama.

“Jika projek ini yang akan dimulakan dalam masa terdekat ini berjalan lancar dan membuahkan hasil yang baik, kita akan memperluaskannya di masjid seluruh negeri,” katanya yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Katanya, sebelum ini pihaknya mengadakan kerjasama seumpama itu dengan pihak sekolah rendah dan menengah di negeri ini dan ia menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

Beliau berkata, pihaknya sedia mengadakan kerjasama dengan pihak lain bagi memastikan kadar jenayah di negeri ini berkurangan dari semasa ke semasa.


24 Pasangan bersyukur atas kelahiran bayi

 Oleh: Suriati Ali 

Sambutan kemerdekaan negara kali ke-56 bukan sahaja disambut penuh semangat patriotik malah dengan rasa kesyukuran bagi 24 pasangan ibu bapa di seluruh negeri ini apabila dikurniakan cahaya mata sempena tarikh bersejarah Negara, semalam.

Ibu kepada bayi Merdeka pertama yang dilahirkan iaitu Noraini Mamat, 32, melahirkan rasa syukur dan bangga apabila dapat menimang cahaya mata ketiga sempena tarikh kemerdekaan negara.

Jelasnya yang berasal dari Felda Kampung Rahmat, Setiu, dia dijangka melahirkan bayi seberat 3.2 kilogram berkenaan pada 4 September depan namun surirumah itu tidak menyangka dapat melahirkan bayi lelaki itu tepat pukul 12.21 pagi tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Ada dua benda yang mengejutkan saya iaitu pertama perlu melahirkan anak awal daripada tarikh sepatutnya dan bayi saya adalah lelaki kerana sebelum ini ketika buat pemeriksaan adalah bayi perempuan.

 "Bagaimanapun saya bersyukur kerana dia selamat dan mungkin ada rahmat dia dilahirkan sempena tarikh bersejarah hari ini dan saya harap dia dapat berkorban dan menjaga negara dan mempunyai semangat patriotik yang tinggi seperti mana tarikh hari lahirnya.

 “ Saya juga menyokong jika dia mahu menjadi polis atau tentera apabila besar nanti," katanya.

 Bagi Maisarah Mat, 33, dari Seberang Takir, dia amat gembira dan bangga dapat melahirkan bayi Merdeka pada pukul 1.09 pagi tadi dan berharap anak sulungnya ini dapat membanggakan dia dan suaminya serta mengharumkan nama negara satu hari nanti.

 "Sepatutnya saya lahirkan dia pada 28 September depan tetapi semalam rasa sakit dan terpaksa melahirkan dia walaupun masih belum cukup bulan dan ketika dilahirkan bayi saya seberat 2.5 kilogram sahaja.

 "Namun saya harap dia mempunyai jiwa yang besar untuk menjadi anak yang berguna pada masa depan dan mahu dia membanggakan saya dan suami suatu hari nanti dengan melakar pelbagai kejayaan," jelasnya.

Sementara itu, seramai 13 bayi perempuan dan 11 bayi lelaki selamat dilahirkan di seluruh negeri ini di mana bayi pertama Merdeka dilahirkan pada pukul 12.24 pagi di HSNZ.

 

Manfaat Jalanraya tiga kilometer




Jalanraya yang menghubung Kampung Kederang ke Binjai Manis, Permaisuri.


Teks dan gambar: Aminudin Ismail.


KEPERIHATINAN kerajaan Barisan Nasional membantu rakyat tidak mengira fahaman politik, ini terbukti apabila terbinanya jalanraya yang menghubungkan Kampung Kederang ke Binjai Manis di Permaisuri, Setiu kira-kira tiga tahun lalu biarpun dikatakan kebanyakan penduduk kampung itu adalah pembangkang. 

Tinjauan Teganukita mendapati, jalanraya sejauh tiga kilometer itu kini digunakan lebih 100 penduduk kampung itu untuk berulang-alik ke Pekan Permaisuri atau menghantar anak mereka ke Sekolah Menengah Tengku Ibrahim serta Sekolah Kebangsaan Permaisuri.

Seorang penduduk, Nik Soh Nik Kut, 44, berkata dia dan penduduk kampung berterima kasih kepada kerajaan kerana membina jalan raya bertar yang memberi manfaat kepada penduduk setempat kerana sebelum itu, penduduk terpaksa mengunakan jalan yang kurang elok dan mengambil masa yang lama untuk ke pekan Permaisuri.

"Memang banyak bezanya mengunakan jalan lama yang mengunakan jalan parit taliair untuk ke Pekan Permaisuri daripada mengunakan jalan ini yang hanya mengambil masa tidak sampai 15 minit ke pekan Permaisuri. Lagipun untuk ke sekolah menengah dan sekolah rendah hanya mengambil masa tujuh minit sahaja," katanya.

Nik Soh berkata, pada masa depan, jalanraya ini akan disambung ke Kampung Guntung dan ini akan mendekatkan lagi kampung itu ke kawasan pantai dan katanya, berkemungkinan jalan ini akan menjadi laluan penduduk kampung lain untuk ke pekan Permaisuri.

"Dengan mempunyai jalanraya yang baik, ia bukan sahaja boleh memberi kemudahan kepada penduduk tetapi juga boleh meningkat ekonomi penduduk kerana mereka boleh menghantar hasil pertanian ke pekan Permaisuri dengan cepat," katanya.


BATU BUAYA DI CALOK...kisahnya realiti atau dongeng?



Pengunjung bergambar kenangan berhampiran kepala "buaya".

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.


CERITA tentang seekor buaya besar akan menghentak air di atas sebuah Bukit di Kampung Gong Terap, Chalok, Setiu, Terengganu pada setiap kali musim tengkujuh akan tiba, dengan mengeluarkan bunyi yang kuat sehingga boleh didengar oleh penduduk kampung suatu ketika dahulu.

Untuk mendapat kepastian mengenai apa yang berlaku itu, Tidak lama dulu, Teganukita berkesempatan ke atas bukit yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Kampung Gong Terap itu bersama seorang penduduk asal kampung itu untuk mengetahui apa yang terdapat di atas bukit itu.

Walaupun jaraknya tidaklah jauh dari jalan utama iaitu kira-kira setengah jam perjalanan tetapi, agak sukar untuk ke bukit itu kerana kami terpaksa berjalan kaki kira-kira lebih satu kilometer kerana kereta tidak boleh memasuki kawasan itu yang berbukit dan melalui satu ladang getah.

Kami di pandu arah oleh seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Pak Long untuk ke tempat itu kerana Pak Long agak mahir di kawasan itu kerana ia pernah beberapa kali ke tempat yang agak misteri itu kerana membawa beberapa orang yang mahu melihat sebuah batu berbentuk buaya di tempat itu.

Akhirnya selepas meredah sebuah bukit kami sembilan orang termasuk empat kanak-kanak tiba di tempat yang menjadi bualan ramai penduduk Chalok itu.

“Inilah batu yang mahu awak ihat tu, ia memang nampak seperti seekor buaya tetapi ekornya sudah terputus manakala badanya seperti terlekat di atas sebuah batu yang lain,” kata Pak Long sambil mengusap batu berbentuk buaya itu.

Pada mulanya penulis tertanya-tanya juga di mana batu berbentuk buaya yang saya mahu lihat itu tetapi selepas diamati betul-betul barulah saya perasaan bahawa batu itu sudah berada di hadapan mata dan ternyata sememangnya batu itu seakan seperti seekor buaya yang besar tersadai di atas sebuah bukit.

Batu sepanjang kira-kira 10 meter dan lebar ditengahnya sekitar dua meter itu mengambarkan seekor buaya yang sedang berehat dalam keadaan mengiring kira-kira 10 darjah menakala bahagian ekornya tertanam ke dalam tanah yang yang kelihatan ialah bahagian atas ekor manakala yang lain terbenam di dalam tanah.

“Pak Long tahu tak kisah batu ini,” Tanya penulis kepada Pak Long kerana mungkin ada cerita mengenai batu itu. Walaupun ceritanya mungkin dongeng rakyat tetapi saya mengharapkan akan mendapatkan cerita itu bagaimana batu itu boleh terbentuk seperti buaya, adakah kerana sumpahan atau sebagainya.

"Pak Long tahu ialah bukit ini ialah kawasan perkampungan Cina pada zaman dahulu manakala orang Melayu tinggal di bawah bukit iaitu di kampung Calok Terap sekarang. Orang Cina dan orang Melayu sering bergaduh kerana orang Melayu menyatakan orang Cina tidak boleh tinggal di atas daripada sungai itu. Akhirnya mereka berperang.

“Meraka yang meninggal dunia di tanam di kawasan batu ini, tetapi kawasan perkuburan ini tidak dipastikan samada wujud atau tidak di kawasan ini, Terdapat sebuah sungai di atas bukit ini dan di dalam sungai itulah terdapat seekor buaya peliharaan seorang pahlawan tersohor di daerah ini bernama Tok Bujuk, “ kata Pak Long sambil menunjukan sebuah sungai kecil berhampiran batu buaya itu.

Menurut Pak Long ada juga pendapat menyatakan batu buaya itu adalah sumpahan kepada seseorang yang melanggar perjanjian tetapi tidak diketahuinya siapakah yang disumpah menjadi buaya itu.

Pak long berkata, selain itu, di hadapan batu buaya itu terdapat satu lubang kecil dipercayai menjadi pintu masuk ke dalam sebuah gua dan di dalam gua itulah kononnya terdapat harta peninggalan beberapa orang kaya dari keturunan Cina yang menghuni kawasan itu.

Apapun cerita mengenai batu berbentuk buaya itu namun yang pasti batu itu kelihatan seakan-akan seekor buaya yang besar tersadai di atas bukit di kampung itu.