Halaman

05 August 2013

Bomba minta jangan abai keselamatan bangunan

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terenganu meminta mana-mana pemilik premis, di negeri ini terutama sudah dikenakan notis supaya jangan ambil mudah berkaitan keselamatan bangunan dan bahaya kebakaran

 Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran jabatan itu , Wan Ahmad Fadhillah Wan Abdul Rahman berkata, jangan ambil mudah dan pandang remeh berkaitan itu kerana boleh dikenakan tindakan lebih berat.

 “Pihak kami memandang serius mengenai perkara itu, kerana tidak mahu banyak harta benda musnah, lebih membimbangkan nyawa penghuni dan orang awam.

 “Ia berikutan daripada 82 buah premis yang diperiksa jabatan itu, sebanyak 44 pemilik telah diberikan notis,” katanya.

Katanya, operasi yang dijalankan sepanjang tempoh Ops Pemeriksaan Penghapusan Bahaya Kebakaran Raya 2013 peringkat negeri yang bermula 24 Julai sehingga 1 Ogos lalu, sebanyak 10 notis dikeluarkan kepada sekolah dan asrama, pusat membeli-belah (17 notis) manakala pusat pengajian tinggi (17 notis).

 "Daripada jumlah itu, 38 kes melibatkan kesalahan Seksyen 2 (d) di bawah Peruntukkan Akta 341 iaitu melibatkan kesalahan kelengkapan menentang kebakaran tidak berada dalam keadaan baik atau rosak manakala selebihnya menjalankan pengubahan menyalahi undang-undang,” katanya.

 “Pengalihan atai tidak terdapat kelengkapan menentang kebakaran serta laluan keluar yang tidak cukup.

 "Justeru itu, kita berharap pemilik premis yang telah menerima notis berkenaan dapat mengambil perhatian tentang perkara itu agar tidak dikenakan tindakan yang lebih berat kerana ia melibatkan nyawa orang awam," katanya

. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarakan gimik pelancaran Ops Pemeriksaan Penghapusan Bahaya Kebakaran Raya 2013 peringkat negeri di Pasar Raya Besar Mydin, Kuala Terengganun.

 Dalam pada itu Wan Ahmad Fadhillah menambah, sejak awal tahun sehingga Julai lalu, sebanyak 4,182 premis telah disenaraikan dan daripada jumlah itu sebanyak 776 notis telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan.

 Ujarnya, notis kesalahan di bawah Seksyen 2 (d) paling banyak dikesan iaitu berjumlah 651 notis serta Seksyen 2 (c) iaitu pengalihan dari atau tidak terdapat apa-apa kelengkapan menentang kebakaran.

 

04 August 2013

Polis Besut buka jalan alternatif kepada pengguna jalan raya

Oleh: Mohammad Ishak 

Pertambahan kenderaan yang menggunakan laluan utama Kuala Terengganu-Jertih berikutan pulangnya perantau ke negeri ini dan Kelantan menyebabkan Polis terpaksa membuka laluan baru sempena cuti Aidilfitri Khamis ini.

Berikutan itu, Polis Besut akan membuka jalan alternatif untuk pengguna jalan raya dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu dan sebaliknya, tanpa perlu memasuki bandar Jertih.

Ketua Polis Daerah Besut Superentandan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata langkah itu bagi mengelakkan kesesakan di bandar Jertih sepanjang sambutan Aidilfitri tahun ini.

“Jalan alternatif itu akan dibuka dari 6 hingga 12 Ogos ini,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut (IPD) Kampung Raja,hari ini.

Beliau berkata pengguna boleh melalui jalan pantai dari Kuala Terengganu/Seberang Takir melalui Penarik dan Kampung Raja ke Kuala Besut untuk ke Tok Bali, Semerak, sebelum ke Bachok/Kota Baharu.

Bagi pengguna dari Pantai Barat melalui Lebuhraya Timur Barat dari Grik/Jeli dan Kota Baharu untuk ke Kuala Terengganu pula, mereka dinasihat menggunakan Jalan Seberang Jerteh ke Kampung Lampu, Kuala Besut sebelum menuju ke Kampung Raja bagi meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu melalui Penarik, Setiu.

"Bagi pengguna yang terpaksa melalui bandar Jerteh pula, mereka dikehendaki berhati-hati dengan pengubahsuaian lorong jalan daripada sehala kepada dua hala bermula di hadapan Sekolah Rendah Chung Hwa Jertih hingga Seberang Jertih mulai petang 5 Ogos," katanya.

Mengulas isu berkaitan, beliau berkata polis mengenal pasti lima lokasi maut di sekitar Besut iaitu di antara Km 98 hingga Km 114 Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu; Km1 1-10 Jalan Kampung Raja-Benting Lintang; Km 1-12 Jalan Jertih-Kampung Raja; Km1-12 Jalan Jertih-Bukit Puteri; dan Km 1-32 Jalan Jertih-Keruak, Hulu Besut.

Katanya, sepanjang Op Selamat kali ini juga pihak berkuasa akan mengadakan kiosk pemantauan di Km 98.8 Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu (dekat Kampung Gerai) dan di Km 112 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (dekat Kampung Padang Landak).

2,000 risalah keselamatan jalan raya diedar kepada pemandu


YB Mohd Iskandar Jaafar mengedar risalah kepada pemkandu di Kampung Jabi,petang semalam.

Oleh: Mohammad Ishak 

Kempen Keselamatan Jalan Raya secara bersepadu membabitkan pelbagai jabatant utama berkaitan keselamatan jalan raya dilancarkan semalam dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan selain mengingatkan pemandu supaya berhemah ketika memandu sempena cuti balik kampung menjelang Aidilfitri khamis ini.

Kempen peringkat negeri itu dilancarkan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam Negeri, Yang Berhormat Mohd Iskandar Jaafar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi di Kampung Jabi, semalam.

Hadir sama Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan Ketua Polis Terengganu,SAC Dato’ Jamshah Mustapa dan pemimpin komuniti setempat.

Program sempena balik kampung itu disertai oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR),Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), RTM dan badang bukan kerajaan (NGO).

Sempena pelancaran program itu pemandu kenderaan yang melalui jalan utama Kuala Terengganu-Jertih dan Jertih-Kuala Terengganu, diberikan hamper dan risalah berkaitan keselamatan jalan raya. Pada majlis itu,

Mohd Iskandar dan tetamu jemputan lain turut mengedar kira-kira 2,000 risalah berhubung kempen keselamatan jalan raya yang dikeluarkan oleh agensi terbabit.

Bercakap kepada media pada kempen itu Mohd Iskandar berkata, kempen itu adalah rutin tahunan yang dijalankan oleh pihak terbabit dalam usaha menyedarkan pemandu kenderaan dan pengguna jalan raya mengenai pemanduan berhemah ketika memandu balik kampung sempena cuti hari raya.

Katanya, kerajaan juga mengenalpasti beberapa factor yang menjadi penyebab berlakunya kemalangan di negeri ini termasuk kurangnya papan tanda memaklumkan kawasan kemalangan, tiada lampu jalan, permukaan jalan yang tidak stabil dan binatang ternakan yang berkeliaran di jalan raya.

Maidam agih wang zakat esok

Oleh; Esah Abdullah 

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan mula mengagihkan pemberian wang zakat kepada fakir miskin dan mualaf di seluruh negeri mulai esok.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Dato’ Haji Mohd Rozali Saleh berkata, Maidam memperuntukkan kira-kira RM3 juta membabitkan 6,500 fakir miskin dan mualaf seluruh negeri.

“Pengagihan wang zakat akan dilakukan di setiap daerah secara serentak mulai esok ,” katanya kepada pemberita di Majlis Pengurniaan Sumbangan Hari Raya kepada Anak Yatim dan Anak Fakir Miskin di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Terengganu hari ini.

Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyempurnakan majlis berkenaan.

Menurutnya, setiap fakir miskin atau mualaf akan menerima antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan setiap keluarga.

“Seorang fakir atau mualaf akan menerima RM300 dan setiap tanggungan akan menerima RM50 seorang , jika ramai banyaklah dapat malah ada keluarga menerima hingga lebih RM1,000,” katanya.

Katanya, hanya fakir miskin yang berdaftar dengan Maidam sahaja akan menerima wang zakat dan mereka yang belum berdaftar masih berpeluang berbuat demikian.

Menurutnya, pendaftaran sentiasa terbuka untuk kategori fakir miskin, JKKK atau orang ramai diminta untuk menghantar nama kepada Maidam dan siasatan akan dijalankan sebelum pengesahan dibuat.

'WALK FOR BN' DIKEMUKAKAN KEPADA PERDANA MENTERI


'Walk For BN' kini telah mendapat tempat di hati Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak, lapor Ruslan Abdul Rahman dari Putrajaya.
  Pada dasarnya, beliau bersetuju untuk menyambut ketibaan pejalan kaki, Mohd Noor Mat yang dijangka akan berjalan kaki dari Kuala Besut ke Kuala Lumpur atau Putrajaya.
 Dalam satu pertemuan rombongan urusetia penganjur dengan Perdana Menteri sewaktu majlis Berbuka Puasa Bersama Media di Seri Perdana, satu kertas konsep dan cadangan telah dikemukakan kepada Dato’ Seri Mohd.Najib sendiri.
 Setelah meneliti, Dato’ Seri Mohd Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) telah bersetuju pada dasarnya dan meminta urusan seterusnya dibuat dengan pihak Pejabat Perdana Menteri bagi penetapan tarikh dan hal-hal yang berkaitan dengannya.
  Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said telah bersetuju untuk membantu menjayakan Walk For BN bagi menjayakan hasrat seorang penyokong BN dari Besut untuk berjalan kaki sejauh 600 kilometer berikutan kemenangan BN dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Kuala Besut.
 Usaha itu juga akan dimasukkan ke dalam Malaysian Book Of Record.
 Sumber Urusetia Penganjur memberitahu, segala urusan pengendalian bagi mejayakan merealisasikan 'Walk For BN' itu sedang berjalan, termasuklah menentukan laluan, penginapan, keselamatan, kesihatan dan acara-acara sampingan.

Imam Timur Tengah kagum kestabilan politik Malaysia

Menteri Besar, Dato Sri Haji Ahmad Said bersama imam dari negara Timur Tengah.
Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra 

Beberapa imam dari Timur Tengah yang memimpin solat terawih sepanjang Ramadan di masjid-masjid seluruh negeri pada tahun ini melahirkan rasa kagum mereka terhadap kestabilan politik dan suasana aman di negara ini, termasuk ketika proses Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) baru-baru ini.

Mereka berpendapat keadaan itu amat sukar dinikmati di sebahagian besar negara Islam, terutama negara-negara yang bergolak sejak sekian lama akibat pelbagai masalah yang dihadapi rakyatnya.


Sehubungan itu, kata mereka, rakyat negara ini amat bertuah kerana berpeluang hidup di sebuah negara yang aman dan mengamalkan proses demokrasi yang sihat, tanpa dikongkong mana-mana pihak.

Imam-imam dari negara Timur Tengah itu ditempatkan di masjid-masjid seluruh negeri sejak awal Ramadan bagi memimpin solat terawih sepanjang Ramadan bagi memberi peluang rakyat tempatan menjadi makmun kepada imam dari Mesir dan Makkah.

Mereka diraikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dalam satu majlis yang diadakan di Seri Iman, malam tadi.

Imam-imam berkenaan memberitahu Menteri Besar setelah beberapa tahun bertugas di negara ini mereka mengiikuti secara dekat apa yang berlaku di Malaysia, termasuk proses PRU-13.

Sehubungan itu, mereka berharap rakyat negara ini bersyukur dengan apa yang telah mereka nikmati dan terus berusaha menjaga keamanan negara.

 

Yang Di-Pertuan Muda mengurniakan sumbangan raya kepada anak yatim

Oleh; Esah Abdullah dan Nurul Suraya Sukur (pelatih)




Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Sumbangan Hari Raya kepada Anak-anak Yatim dan Anak-anak Fakir Miskin di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Terengganu pagi ini.

Berkenan berangkat kekanda dan adinda Tengku Muhammad Ismail iaitu Tengku Nadhirah Zahrah; Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahra’ .

Hadir sama, Tengku Sri Temenggong Raja, Dato’ Sri Baharuddin Sultan Mahmud; Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB Haji Mohd Zubir Embong dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Mahdi Musa.



Seramai 250 pelajar terdiri daripada anak-anak yatim dan pelajar anak fakir miskin berusia enam tahun (pra sekolah) hingga 17 tahun daripada Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Terengganu (Perkaya), Marang, Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi, Seberang Takir dan Asrama Anak-anak Yatim Darul Falah, Marang menerima sumbangan pakaian hari raya.

Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mua’az berkenan mengurniakan sumbangan kepada pelajar lelaki manakala Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatimatuz Zahra’ mengurniakan sumbangan kepada pelajar perempuan.

Pelajar lelaki menerima sepasang baju Melayu, sampin beserta songkok dan baju T manakala pelajar perempuan dua pasang baju kurung dan tudung serta wang tunai RM200 setiap seorang dan kurma.

Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan mengiringi dua putera dan dua puteri Diraja itu sepanjang majlis pengurniaan berlangsung.


 









Derita Mazlan kian berakhir

Oleh: Aida Abd Rahman

Penderitaan aktivis seni, Encik Mazlan Zakaria, 53, yang kehilangan kaki kanan akibat penyakit kencing manis yang kronik terus mendapat pembelaan kerajaan apabila mendapat pelbagai bantuan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Encik Mazlan yang baru sahaja menerima bantuan jangka pendek RM10,000 daripada kerajaan negeri disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee di rumahnya di Kampung Tasek, Bukit Payong, Rabu lalu, turut menerima kerusi roda dari JKM sejak bulan lalu, selain mendapat peruntukan Tabung Bantuan Kecemasan JKM RM200 lebih seminggu lalu.

Timbalan Pengarah JKM negeri, Encik Shaballah Zainal Abidin, berkata pihaknya meluluskan bantuan itu selepas menjalankan siasatan terperinci terhadap pemohon dan berdasarkan siasatan lanjut itu, pemohon layak menerima bantuan yang disediakan jabatannya.

“Selain kerusi roda untuk kegunaanMazlan yang kini menjadi orang kurang upaya, JKM juga meluluskan bantuan kanak-kanak menerusi nama isteri beliau, Che asmah Sulong, 47, untuk kegunaan dua anak mereka yang masih bersekolah berjumlah RM100 seorang bermula bulan lalu.

“Bantuan itu bagi meringankan perbelanjaan persekolahan dua anak Mazlan yang akan diperuntukkan sehingga mereka berusia 18 tahun,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Pada masa yang sama, Encik Shaballah berkata JKM juga sedang di peringkat keputusan mesyuarat penimbang jabatan bagi memutuskan permohonan bantuan am bulanan RM200 sebulan kepada Encik Mazlan dan akan diketahui dalam masa terdekat.

Katanya, pihaknya juga sedang meneliti dan akan menyiasat kes-kes permohonan bantuan yang melibatkan aktivis seni lain yang uzur serta tidak lagi mampu bekerja di seluruh Terengganu berdasarkan laporan dan juga permohonan pemohon itu sendiri.

Beliau bekata, ada di kalangan aktivis seni yang uzur gagal mendapat bantuan JKM memandangkan memiliki sumber kewangan yang kukuh dan dijaga waris terdekat yang mempunyai pendapatan yang melebihi syarat ditetapkan untuk membolehkan mereka mendapat bantuan berkenaan.

Encik Mazlan aktif di bidang teater sejak di bangku sekolah kemudian menyertai Ruang Teater Tamu dan perkumpulan teater Komputer serta pernah menjadi juara Bakat TV bersama kumpulan Pok Su (Mazlan) dan Pok De (Azmi) pada era 1990-an.

Bapa kepada tujuh anak berusia lapan hingga 27 tahun itu mengidap kencing manis sejak 10 tahun lalu dan kaki kanannya turut dipotong pada Mei lalu untuk mengelak jangkitan kuman selapas penyakitnya semakin kritikal.


Kampus Antarabangsa UniSZA di Kuala Lumpur bakal beroperasi 1 September

Oleh: Noraini Jusoh dan Nurul Suraya Abd Sukur (pelatih)
Gambar: Farah Farina Mohmad Zali (pelatih)

Kampus Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Lumpur akan beroperasi pada 1 September ini di Bangunan Takaful, Jalan Kampus Attap.

Prof Dr. Yahaya Ibrahim
Naib Canselor UniSZA, Profesor Dr. Yahaya Ibrahim berkata, kampus berkenaan bakal menawarkan program peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Phd dengan menawarkan bidang Pengurusan, Undang-Undang, Teknologi Maklumat, Bahasa dan Komunikasi.

"Penubuhan Kampus Antarabangsa ini bermatlamat untuk mengembangkan sayap UniSZA ke peringkat antarabangsa.

"Ia terbuka kepada pelajar luar negara yang berminat menyambung pengajian di UniSZA dengan kemudahan kampus di Kuala Lumpur berbanding kampus utama di Terengganu,” ujarnya pada sidang media Sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Media di Hotel Tabung Haji, baru-baru ini.

Katanya, kampus ini juga menyediakan Program Eksekutif kepada pelajar tempatan yang dibuat selepas waktu bekerja, sekali gus memudahkan kakitangan kerajaan untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Jelas beliau, kampus tersebut akan beroperasi dengan pengambilan pelajar sulung seramai 500 orang pelajar yang terdiri daripada 200 orang pelajar dari negara China dan selebihnya dari negara lain termasuk Indonesia dan Timur Tengah (termasuk Afrika).

Tambah beliau, selain pensyarah daripada kampus UniSZA di Terengganu, pensyarah terpilih daripada Universiti awam dan swasta sekitar Kuala Lumpur akan dilantik menjadi tenaga pengajar di kampus berkenaan.

 

Terengganu harap anak didik kembali berbakti

Oleh: Suriati Ali

 Kerajaan negeri mengharapkan pelajar yang mengikuti pengajian perubatan di luar negara menerusi tajaan Yayasan Terengganu, kembali berkhidmat di Terengganu bagi menangani masalah kekurangan doktor.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib berkata masalah kekurangan doktor di Terengganu agak kritikal dengan nisbah seorang doktor untuk 1,400 pesakit.

 "Angka ini jauh lebih tinggi berbanding negeri lain termasuk Sabah dan Kelantan," katanya pada majlis penutup kuliah khas pembelajaran klinikal yang disertai 160 pelajar perubatan tajaan Yayasan Terengganu (YT) yang mengikuti pengajian di Mesir, Jordan dan Rusia.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr. Mohammad Omar. Kursus empat hari bermula 29 Julai itu diselia oleh doktor pakar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah dan membabitkan pelajar tahun empat dan lima Menurut Ghazali sejak 2007 hingga sekarang, kerajaan negeri menerusi YT membelanjakan lebih RM25 juta menaja 450 pelajar perubatan di luar negara.

 YB Ghazali berkata, mengenai kursus klinikal itu, kerajaan Terengganu merupakan satu-satunya kerajaan negeri yang menganjurkan program tersebut yang memberi pendedahan langsung kepada pelajar berkenaan prosedur klinikal ke atas pesakit.

 "Kita dapati sistem pengajian perubatan di luar negara agak berbeza dengan universiti di sini kerana mereka tidak didedahkan dengan prosedur klinikal kepada pelajar ,” katanya.

 YB Ghazali turut berpesan supaya anak didik itu tidak lupa jasa kerajaan Terengganu yang sanggup mengeluarkan belanja besar semata-mata mahu mereka berbakti balik kepada keluarga dan negara bukannya bertindak melulu menghentam apabila sudah berjaya.

“Jika perkara itu berlaku, ia cukup dikesali kerana bukan saja memburukkan imej Terengganu serta negara, malah boleh berdepan dengan sebarang kemungkinan dan tindakan,” katanya.