Halaman

16 July 2013

Henti fitnah, usah serang peribadi calon – TPM

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan
Gambar: Harish Fadzillah 

Pihak pembangkang dinasihatkan supaya menghentikan kegiatan menabur finah serta menyerang watak peribadi calon seperti yang dilakukan pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut.



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mod Yassin, berkata perbuatan seumpama itu tidak baik sekali dilakukan, terutama pada bulan Ramadhan di mana umat Islam sedang menjalani ibadat puasa.

 “Saya minta semua pihak berkempen dengan cara yang berhemah. Jangan serang watak peribadi calon,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah SMK Alor Peroi, petang ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pihak pembangkang yang kini memasuki fasa kempen lebih agresif, termasuk membuat fitnah dan menyerang peribadi calon Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Tan Sri Muhiddin yakin pengundi di kwasan DUN Kuala Besut tidak akan terpengaruh dengan fitnah dan dakyah yang dilemparkan pihak pembangkang terhadap calon dan pemimpin BN melalui ceramah mereka.

“Saya percaya pengundi tahu dan tidak akan terpengaruh dengan helah parti pembangkang,” tambahnya.

Beliau berkata, BN akan meneruskan kempen pada PRK itu yang kini memberi lebih sokongan kepada BN, termasuk daripada generasi muda.

“Penerimaan pengundi sehingga ini amat baik…sokongan pengundi muda juga meningkat memandangkan calon BN dari golongan professional, orang muda pula,” katanya.



#prk kuala besut

 

Sekolah baru bernilai RM28 juta di Kuala Besut

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan
Gambar: Harish Fadzillah 



Sebuah sekolah menengah baru bernilai RM28 juta akan dibina di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut, bagi menempatkan pelajar di sekitar kawasan berkenaan.

Dengan adanya kemudahan itu, pelajar tidak perlu berulang-alik dengan jarak yang jauh dan meringankan beban ibu bapa mereka.



Timbalan Perdana Menteri yang menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Cadangan Membina & Menyiapkan Projek SMK Alor Peroi, petang ini, mengumumkan pembinaan sekolah itu akan dimulakan Ogos ini.

Katanya, sekolah itu akan menempatkan 30 bilik darjah dan dilengkapi dengan kemudahan makmal komputer dan sains serta pelbagai kelengkapan lain.

“Sekolah baru yang dirancang ini akan dibina dengan kemudahan setanding dengan sekolah lain,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Pelajaran II, Dato’ Seri Idris Jusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Haji Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Zuber Embong dan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Tan Sri Muhyiddin berkata, rakyat Malaysia amat bertuah kerana Kerajaan BN menyediakan kemudahan di bidang pendidikan yang tidak terbatas.

“Kita menyediakan kemudahan pendidkan di peringkat rendah dan menengah di seluruh negara di mana kira-kira 90 peratus rakyat mendapat pendidikan peringkat berkenaan,” ujar beliau.

Beliau berkata, kejayaan menyediakan pendidikan yang tidak terbatas kepada rakyat merupakan pencapaian dan kejayaan terbesar Kerajaan BN dan tradisi tersebut akan diteruskan.


#prk kuala besut

 

DATUK MUSTAFFA ALI DIMINTA TARIK BALIK FITNAH

Oleh: Ruslan Rahman

Tengku Zahrin Che Ku Abdul Rahman meminta pihak yang menfitnah adiknya, Tengku Zaihan Ustaz Che Ku Abdul Rahman (calon BN PRK Kuala Besut) bukan kelahiran Kuala Besut supaya menarik balik kenyataan itu.
  Beliau berkata,  ibunya sendiri semalam telah membuat penjelasan bahawa adiknya itu Tengku Zaihan adalah anak jati Kuala Besut dilahirkan di Kampung Nail, Kuala Besut.
  Tengku Zahrin telah menunjukkan tapak rumah lama ibubapanya di Kampung Nail serta sungai Nail tempat adiknya Tengku Zaihan bermain-main dan mandi-manda semasa kanak-kanak.
  Baru-baru ini, Setiuasaha Agung Pas, Datuk Mustaffa Ali menyatakan bahawa calon BN Tengku Zaihan bukan kelahiran Kuala Besut.
  Kenyataannya itu dibuat dalam satu sidang akhbar berasaskan apa yang dia dengar dari orang ramai bercakap.
  Bagi Tengku Zahrin, kenyataan dari ibunya dan keluarganya sendiri adalah kebenaran, mengapa harus dipercayai pihak lain.
Sehubungan dengan itu beliau berharap pihak tertentu menarik balik kenyataan menfitnah adiknya itu supaya tidak timbul kekeliruan para pengundi di Dun Kuala Besut.
 "Yang benar tepat benar, fakta tidak boleh dipinda lagi," katanya yang menyatakan bahawa seluruh ahli keluarganya telah mengadakan perjumpaan dan perbincangan bagi memberi sokongan kepada adiknya Tengku Zaihan, sebagai calon BN untuk memenangi PRK Kuala Besut.

Tadarus al-Quran antara pengisian Festival Ramadan UMT

Oleh; Esah Abdullah

Festival Ramadan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dipenuhi pengisian beberapa majlis ilmu dalam usaha mengimbangi antara tuntutan ukhrawi dan duniawi serta mendekatkan orang muda terhadap Islam agar mereka membentuk sahsiah dengan baik.

Pendaftar UMT, Mohd Nor Shukri Abdul Rahman berkata, antara aktiviti dijalankan ialah tadarus al-Quran disertai 30 orang peserta wanita yang mengambil masa sejam setiap hari bermula satu Ramadan lalu diikuti kaunter zakat di kawasan kampus (10 Julai – 7 Ogos) serta empat siri program Bicara Keluarga Sakinah dengan pengisian penceramah jemputan.

“Dalam siri pertama kita menjemput seorang tenaga pengajar di Universiti Madinah iaitu Prof Dr Mohd Kamil Ibrahim anak jati Besut, Terengganu dan penceramah seterusnya ialah Mufti Terengganu serta Pegawai Agama kepada Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Bicara Keluarga Sakinah (BKS) di Dewan Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah UMT hari ini.

Katanya, pihaknya juga merancang turun ke komuniti (28 Julai) untuk menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada 20 keluarga fakir miskin di Kampung Mengabang Telipot.

“Kita kumpul dana ini hasil sumbangan warga UMT sepanjang Ramadan dan ia akan diedarkan oleh sukarelawan belia Islam terdiri daripada pelajar kita,” katanya.

Beliau melahirkan rasa gembira kerana program BKS mendapat sambutan diluar dugaan dan tidak pernah terjadi sebelum ini dewan penuh sesak dengan orang ramai dan ini merupakan keberkatan bulan Ramadan serta personaliti jemputan yang menepati suasana semasa.
 

Mohd Noor bernazar berjalan kaki dari Kuala Besut ke Kuala Lumpur jika BN menang.


Mohd Noor Mat ingin buat kejutan..

Oleh: Mohammad Ishak 

Seorang penyokong Barisan Nasional (BN) Mohd Noor Mat,64, berhasrat meneruskan niat untuk berjalan kaki dari Kuala Besut ke Kuala Lumpur jika calon BN menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut, 24 Julai ini.

Mohd Noor yang juga seorang kakitangan kerajaan negeri berkata beliau bernazar untuk berjalan kaki sejauh 600 kilometer sebagai tanda kesyukuran jika calon BN berjaya mengekalkan kerusi berkenaan.

Impian beliau  tidak boleh dipandang ringan kerana pada tahun 2000 beliau sudah mencipta sejarah selepas berjaya menamatkan misi berjalan kaki dari Jertih-Kemaman sejauh 260 kilometer.

Hasrat itu disampaikan sendiri oleh Mohd Noor kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri,Datuk Muhammad Khairun Aseh ketika bertemu di sini kelmarin.

Mohd Noor berkata, beliau juga berhasrat untuk bertemu Perdana Menteri selepas berjaya menamatkan misi berjalan kaki berkenaan di Kuala Lumpur.

Muhammad Khairun, ketika ditemui berkata beliau menyambut baik usaha yang akan dilakukan oleh penyokong BN itu dan berjanji untuk mengatur sesi pertemuan dengan Perdana Menteri.

 “Insyaalah saya akan atur program khas dan menyambut Mohd Noor jika beliau berjaya sampai di Kuala Lumpur,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, beliau menghargai hasrat penyokong BN dari Besut itu dan akan memberi bantuan yang diperlukan dalam misi berjalan kaki berkenaan.

Idris berkata, Mohd Noor pernah melakukan aktiviti sama ketika beliau menjadi Menteri Besar Terengganu, dan mengiktiraf beliau sebagai rakyat Terengganu pertama berjaya berjalan kaki dari Besut ke Kemaman.





80 peratus pelajar ILP dapat kerja

Oleh; Esah Abdullah 

Kira-kira 80 peratus pelajar lepasan Institusi latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu terus mendapat peluang pekerjaan selepas sahaja tamat majlis konvokesyen mereka.

Pengarahnya, Encik Abdul Wahid Embong berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan graduan ILP laris dalam sektor perindustrian, terutama bagi kursus yang melibatkan teknologi elektrik, pemasangan paip dan gas, penyejukbekuan dan penghawa dingin.

“Manakala, 20 peratus lagi terus menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Perasmian Penutup Minggu Suaikenal Sesi 2/2013 di ILP Kuala Terengganu di Kawasan Perindustrian Gong Badak, semalam.

Katanya, kajian juga mendapati 11 kursus yang ditawarkan adalah mengikut keperluan industri pada masa depan. Antaranya, teknologi elektrik, penjaga jentera elektrik, penyejukbekuan dan penyaman udara, komputer sistem, mekanik industri, pemesinan am, pemasangan paip dan gas, kursus binaan bangunan, binaan kayu, binaan paip dan sanitari dan diploma teknologi binaan

Menurutnya, bidang teknologi elektrik, pemasangan paip dan gas dan juga penyejukbekuan dan penyaman udara merupakan kursus paling diminati dengan tempoh belajar yang ditetapkan selama dua tahun tiga bulan adalah satu jangka masa yang lengkap untuk mereka mahir dalam bidang masing-masing.

Katanya, ILP Kuala Terengganu turut menjadi pilihan pelajar perempuan untuk melanjutkan pelajaran mereka dalam bidang kemahiran dan tahun ini pertambahan bilangan pelajar perempuan sebanyak 20 peratus berbanding tahun lepas,

“Tetapi biasanya mereka lebih berminat dalam kursus komputer dan teknologi binaan yang mungkin lebih bersesuaian. Pada pandangan saya, pelajar perempuan juga boleh menceburi bidang kemahiran walaupun ia lebih dikuasai lelaki. ILP juga menetapkan peraturan sama dengan pelajar lelaki, lulus syarat akademik dan sihat fizikal.

Katanya, setiap tahun, ILP sasar kemasukan 120 hingga 200 pelajar pada setiap semester, sehingga kini, jumlah pelajar yang ada adalah lebih 600 orang, iaitu termasuk 120 pelajar bagi kemasukan Julai.

Sampai bila-bila kami akan sokong BN – Abdul Rahman

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Harish Fadzillah 

“Sampai bila-bila kami akan sokong BN (Barisan Nasonal). Pemimpin BN banyak berjasa kepada kami semua,” kata Abdul Rahman Mohmad, 73, penduduk Kampung Pengkalan Atap, yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Beliau berkata, pemimpin BN silih berganti, setiap yang hilang boleh diganti dan penduduk kampung itu yakin pemimpin BN yang bakal datang, tetap dengan visi yang sama – membantu menyelesaikan masalah penduduk.



Katanya, penduduk kampung itu mendapat bantuan yang mencurah-curah dari kerajaan BN dan terakhir mereka bakal dipindahkan ke penempatan baru iaitu pangsapuri mampu milik di Kampung Tok Saboh, yang majlis pecah tanahnya baru saja disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Abdul Rahman berkata, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut kali ini penduduk kampung berkenaan telah sepakat untuk memilih calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, sebagai wakil rakyat.

“Tengku Zaihan bukan baru bagi kami kerana kami telah lama mengenali beliau sewaktu berkhidmat di daerah Besut.

“Malah, beliau terlibat secara langsung dalam projek membenteng pantai yang dilaksanakan Kerajaan BN di kampung ini bagi mengelakkan masalah hakisan pantai,” katanya.

Seorang lagi penduduk kampung, Puan Fatimah Abdullah, 50, berkata beliau tidak bercadang untuk beralih angin pada PRK kali ini kerana pilihannya tetap calon BN.

“Sejak dulu kami sokong BN dan pilihan raya ini pun sokongan kepada BN tidak berubah,” ujarnya.

#prk kuala besut

 







Kekalkan kerusi BN di Kuala Besut – Tengku Zaihan

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Harish Fadzillah 



“Kekalkan kerusi BN (Barisan Nasional) di Kuala Besut. Berilah peluang kepada saya untuk berkhidmat kepada adik kakak di kawasan ini,” begitu tertib tutur kata anak muda, bekas jurutera, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman yang juga merupakan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Kuala Besut.



Sewaktu bertemu dengan guru-guru Kelas Fardu Ain (Kafa) di Dewan Sivik Kampung Baru tengahari ini, beliau meminta mereka supaya memberi peluang kepadanya berkhidmat sebagai wakil rakyat di Kuala Besut.

Sesuai dengan ‘tag-line’ dalam kempen beliau, ‘Anak Ustaz, Profesional, Ore Muda’ Tengku Zaihan sangat tertib dan bersopan ketika bercakap atau menyampaikan ucapan, tetapi kata-katanya penuh berisi dan mempunyai visi yang jelas.

Sebagai seorang professional, beliau tidak melontarkan kata-kata tidak berisi, tanpa fakta dan kosong seperti yang dilakukan kebanyakan pemimpin muda dari parti pembangkang.

“Saya mahu menunaikan hajat pemimpin BN supaya membantu menyelesaikan masalah penduduk tempatan dan membangunkan kawasan ini jika dipilih sebagai wakil rakyat.

“Usah biarkan kawasan ini terlepas ke tangan pembangkang kerana jika ia berlaku sukar untuk kita mencorakkan sosio-ekonomi di kawasan ini,” katanya.

Justeru beliau meminta guru-guru Kafa supaya memberi sokongan penuh kepadanya dan turut menyamapaikan hasrat itu kepada keluarga, saudara-mara dan sahabat handai mereka.

Selepas majlis itu, Tengku Zaihan meneruskan kempen dari rumah ke rumah di sekitar kawasan DUN Kuala Besut bagi menyatakan hasratnya untuk berkhdimat kepada penduduk.

#prk kuala besut

 



Pertandingan Bot Berhias 2013 tawar hadiah keseluruhan RM50,000

Oleh: Suriati Ali dan Nurul Suraya Abd Sukor

Kerajaan negeri akan menganjurkan Pertandingan Bot berhias sempena Sambutan Ulang Tahun ke-51 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, pada 28 September ini

 Pertandingan bertemakan ‘Dirgahayu Tuanku, Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013’ itu bakal disertai 16 jabatan termasuk tujuh pejabat daerahdan selebihnya jabatan kerajaan yang lain.

 "Tujuh pejabat daerah itu, termasuk Pejabat Daerah (PD) Kuala Terengganu, PD Hulu Terengganu, PD Marang, PD Besut, PD Dungun, PD Kemaman dan PD Setiu.

"Manakala Majlis Kebudayaan Kuala Nerus, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), TATI University College (TATIUC), TESDEC Sdn Bhd dan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) juga akan menyertai pertandingan itu,”katanya.

 Ketua Pegawai Eksekutif TMT 2013, Encik Ahmad Fathil Abdul Ghani,berkata, pada pertandingan tersebut, setiap daerah disyaratkan untuk menonjolkan produk masing-masing dan mereka bebas untuk memilih produk pelancongan yang ingin diketengahkan berdasarkan kreativiti tersendiri.

 Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM420,000 untuk diagihkan kepada semua pasukan yang terlibat sebagai bantuan menghias bot.

 “Tambah beliau, pemenang tempat pertama akan menerima wang tunai RM25,000, kedua RM15,000, ketiga RM10,000 dan dua saguhati RM7,000 setiap satu.

 “Manakala sistem pemarkahan akan dikira berdasarkan kreativiti sebanyak 30 peratus, kesesuaian hiasan dengan tema 30 peratus, kekemasan 30 peratus dan bonus sepuluh peratus,” katanya.

 

300 tetamu hadir majlis berbuka anjuran UKOM

















Laporan: Kamaruddin Mat dan Mohammad Ishak

Sambutan pengundi terhadap calon Barisan Nasional (BN),Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman,37. terus meningkat apabila setiap majlis yang diadakan disertai ramai penyokong.

Majlis berbuka puasa anjuran Unit Komuniasi Negeri Terengganu (UKOM) di Balai Raya Kampung Beris Lampu, petang tadi sekali lagi membuktikan pengundi di DUN Kuala Besut memberi sokongan kepada calon berkenaan.

Pada majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Dato' Seri Zamri Abd Kadir, Ahli Exco Negeri Terengganu, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman, Pengarah UKOM, Haji Shamsuddin Sulong serta pemimpin setempat dan Tengku Zaihan

Menerusi program itu ia mencerminkan keadaan sebenar penghargaan penduduk terhadap setiap program yang diadakan di kawasan berkenaan.

Kira-kira 300 penduduk kampung berkenaan hadir beramah mesra dan berpeluang berbuka puasa bersama calon dan pemimpin terbabit. Tengku Zaihan tidak putus-putus menghulurkan tangan berjabat salam tanda persaudaraan dan perkenalan terutama pengundi baru.

Walaupun penat menyertai kempen namun Tangku Zaihan masih mampu melemparkan senyum dan bertegur sapa semua tetamu yang hadir.

 Malah, beliau turut membuktikan sikap rendah diri dengan membantu membubuh nasi dan lauk kepada orang ramai yang hadir.

Selesai majlis berbuka mereka kemudian menunaikan solat maghrib di Masjid Kampung Beris Lampu bersama ahli jemaah masjid berkenaan.