Halaman

11 July 2013

10,000 dijangka sertai perarakan calon BN esok.


Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said diberitaklimat mengenai jentera PRK Kuala Besut oleh ADUN Jertih Muhamad Pehimi Yusof

Oleh: Mohammad Ishak  

Kira-kira 10,000 penyokong Barisan Nasional (BN) dari seluruh negara dijangka menyertai perarakkan mengiringi calon,Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman ke pusat penamaan calon di Kompleks Rakan Muda Besut,Kampung Raja, esok.

Ketua Umno Bahagian Besut, Dato' Seri Idris Jusoh berkata, perarakan itu diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut bersama pemimpin tertinggi BN lain.

Idris yang juga Menteri Pendidikan II berkata,penyokong BN diminta hadir beramai-ramai kerana PRK itu bukan sahaja imej kepada BN Terengganu malah ia bagi meningkatkan maruah BN seluruhnya.

Katanya, semua penyokong BN juga diminta memakai baju berwarna biru sebagai simbolik kepada PRK Kuala Besut yan g bertemakan “Kuala Besut Bertambah Biru”.

Beliau berkata, walaupun penamaan calon dan pilihan raya diadakan pada bulan puasa diharap penyokong parti tetap keluar beramai-ramai untuk memberi sokongan kepada calon dan membangkitkan semangat perjuangan BN.

“Semua pemimpin tertinggi BN termasuk menteri, timbalan menteri, dan pemimpin sayap kanan parti komponen BN dijangkan hadi untuk memberi sokongan kepada calon terbabit,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jentera parti di Damai Beach Resort malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juga bagi membaik pulih jalan di kawasan DUN Kuala Besut.

Katanya,Kuala Besut diberi perhatian bukan kerana diadakan PRK sebaliknya ia sudah dirancang oleh Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar ketika menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Antara projek untuk penduduk DUN itu ialah pembinaan 80 unit rumah mampu milik untuk nelayan di Kampung Kandang Lembu,yang akan dirasmikan majlis pecah tanah oleh Timbalan Perdana Menteri pada 13 Julai.

Selain itu,katanya, sebanyak 150 unit rumah pangsa di Kuala Besut sudah siap pembinaannya dan akan diagihkan kepada pemohon yang berjaya selepas PRK Dun berkenaan..

BUDAYA MAKAN ‘CCOLEK’

Lapor Ruslan Rahman dari Kuala Besut:

 Budaya ‘makan ccolek’ selepas waktu berbuka puasa adalah suatu amalan masyarakat daerah Besut.
 Makanan jenis asam buah yang disediakan selepas menikmati juadah berbuka puasa adalah dipercayai boleh membuka selera makan dan menambah keakraban hubungan di antara satu sama lain kerana biasanya ‘makan cclolek’ itu melibatkan makan secara berkumpulan atau di Besut di sebut sebagai
 ‘ makan ssaing”.
  Biasanya ‘makan ccolek’ itu diadakan selepas menunaikan waktu solat Maghrib sementara menunggu waktu Isya’ ataupun selepas selesai solat terawih.
 Tidak ketinggalan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Menteri Pendidikan II Malaysia, Dato’ Seri Idris Jusoh dan ditemani beberapa pemimpin lain turut ‘makan ccolek” selepas berbuka puasa di Pejabat Penyelaras Dun Kuala Besut malam tadi.
 Sebaik selesai berbuka dan solat Maghrib berjemaah, sementara menunggu waktu Isya’ mereka berdua menikmati ‘makan ccolek’ di samping mengambil peluang untuk berbincang strategi dan pendekatan bagi memasitkan BN memenangi PRK Kuala Besut.
  Sebelum itu mereka telah mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua cawangan Umno dan pimpinan utama masyrakat Kuala Besut, berbuka puasa dan solat Magrib berjemaah di Kampung Nail.
 Turut sama ialah Adun Jertih, YB Pehemi Yusof, Adun Kota Putera YB "Abe Adi" dan bekas Adun Kuala Besut, yang pernah berkhidmat 20 tahun di Dun berkenaan, Dato' Wan Zakaria Abdul Rahman (1979-1999).

ANAK USTAZ, PROFESIONAL "ORE MUDO"

Oleh: Ruslan Abdul Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

 Timbalan Pengarah BN, PRK Kuala Besut, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh menyifatkan calon BN adalah sebagai calon Anak Ustaz, Professional dan “ore mudo”.
  Bercakap kepada rakan-rakan bloggers malam tadi, beliau berkata, pendekatan itulah yang akan disampaikan kepada para pengundi di Dun Kuala Besut.
  Beliau berkata, BN akan berkempen secara pendekatan yang berhemah dengan membawa calon menemui pengundi dan tidak bersedia untuk mengadakan majlis besar-besaran.
  Beliau melihat Tengku Zaihan adalah seorang yang berpotensi sebagai pemimpin masa hadapan kerana seorang yang kreatif, inovatif dan mempunyai idea yang hebat dalam kerjayanya sebagai jurutera.
  Malah katanya, Zaihan adalah seorang yang banyak membantu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam mencetuskan pelbagai idea-idea baru sehingga beliau sendiri dianugerahkan pelbagai anugerah di peringkat kementerian dan jabatan.
  “Saya yakin bila menceburi politik, beliau akan menjadi seorang yang mampu menyumbangkan idea yang baik dan berkesan,’kata Menteri Pendidikan II itu. Beliau berharap jentera penerangan termasuk bloggers mengupas perkara tersebut.
  Nama: Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman Umur: 37 tahun Tempat lahir: Kampung Nail, Kuala Besut Kelulusan : Ijazah Sarjana Muda (kepujian) Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM). Jawatan terakhir: Ketua Pengarah Bahagian Korporat, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) .
  Pernah berkhidmat kepada masyarakat Besut sebagai Jurutera Daerah JPS Besut. Latar belakang keluarga: Anak seorang guru agama yang disegani, Ustaz Che Ku Abd Rahman. Nama Isteri: Siti Salbiah Othman. Umur: 34 tahun Pekerjaan Isteri: Guru di Sekolah Kebangsaan Kuala Besut 2 Anak: 4 orang : 3 perempuan 1 lelaki
  Pencapaian dalam kerjaya: Menerima Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan (2006) Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan (2011) Anugerah Pencetus Idea (2010) Ahli Umno Cawangan Seri Seratus Seratus, Kuala Besut.
 Akujanji: Mahu khidmat penuh dedikasi
 Ucapan: Mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jentera dan semua penyokong BN kerana memberi sokongan kepadanya dan amat menghargai semua pengundi Kuala Besut yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU 13 yang baru lalu dan juga yang akan mengundi dalam pilihan raya kecil Kuala Besut pada 24 Julai 2013.

10 July 2013

TDM Berhad rekod peningkatan bayaran dividen 1,000 peratus

Oleh: Aida Abd Rahman dan Nurul Suraya Abd Sukor (Pelatih)
Gambar oleh Zulkipli Putra

Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad berjaya merekodkan peningkatan pembayaran dividen sebanyak 1,000 peratus sejak 2006 sehingga tahun lalu.

Pembayaran dividen yang bermula dari dua sen itu, kini mencapai 22 sen sesaham dalam tempoh tujuh tahun.

Dato’ Roslan Awang Chik, berkata terbaru, syarikat itu membayar dividen berjumlah RM35,303,886.86 kepada pelbagai agensi kerajaan negeri yang diwakili  Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said.
Pengerusinya, Dato’ Roslan Awang Chik, berkata terbaru, syarikat itu membayar dividen berjumlah RM35,303,886.86 kepada pelbagai agensi kerajaan negeri bagi pendapatan yang diperoleh dalam tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2012.

“Terdapat peningkatan sebanyak 21.6% daripada jumlah bayaran yang dibayar pada tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM29,029,148.83.

“Pembayaran ini merupakan rekod bayaran dividen tertinggi pernah dibayar kepada kerajaan negeri semenjak tahun 2006,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bayaran dividen itu kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, selepas mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman hari ini.


Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Dato’ Mohd Rozali Saleh.

Di majlis itu, TDM turut menyerahkan cek zakat TDM Perniagaan KFC Peninsular Malaysia Sdn Bhd dan Pizza Hut Restaurant Sdn Bhd berjumlah RM2,337,107 kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAW) dan Maidam (RM669,092).

Sementara bayaran dividen diserahkan kepada agensi-agensi lain seperti Terengganu Incorporated Sdn Bhd (RM25.7 juta); Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (RM7,216,000), Permodalan Terengganu Berhad (RM823,240); LTAW (RM782,736.90); Yayasan Terengganu (RM440,000); Pesama Timber Corporatin Sdn Bhd (RM191,605.48) dan Kumpulan pengurusan Kayu-Kayan Trengganu Sdn Bhd (RM104,667.20).

Ketua Pegawai Eksekutif TDM Berhad, Encik Badrul Hisham Mahari menyampaikan cek bayaran berkenaan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, yang juga merupakan ahli lembaga pengarah LTAW dan Dato’ Haji Mohd Rozali.

 

Tindakan peniaga jejas reputasi songket Terengganu : MB

Wartawan mengajukan soalan kepada Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said pada sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco, hari ini.
Oleh: Aida Abd Rahman dan Nurul Suraya Abd Sukor (Pelatih)
Gambar oleh Zulkipli Putra

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kesal dengan tindakan segelintir peniaga songket di negeri
ini yang tidak memikir kesan jangka panjang tindakan mereka menipu pelanggan apabila menawarkan songket India yang didakwa mereka sebagai songket asli buatan Terengganu.

 Tindakan peniaga terbabit bukan sahaja boleh menjatuhkan reputasi songket Terengganu yang sudah terkenal di serata dunia, malah mengakibatkan warisan nenek-moyang itu gagal dipertahankan.

“Sejak dulu lagi songket Terengganu merupakan hasil tenunan Terengganu yang cukup mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan kehalusan seni tenunannya.

 “Tetapi sikap tamak peniaga songket itu sendiri yang ingin menjual benda murah dengan harga yang mahal dengan laba yang lebih, merek asanggup membawa masuk songket India,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Dato’ Mohd Rozali Saleh dan Pengerusi TDM Berhad, Dato’ Roslan Awang Chik.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata demikian sebagai mengulas laporan Harian Metro, hari ini mengenai 1,500 peniaga dan penenun songket Terengganu berkemungkinan terpaksa gulung tikar berikutan masalah lambakan songket dari India yang dijual di negeri ini tanpa sebarang sekatan pihak berkuasa menyebabkan pendapatan mereka merosot.

Menteri Besar turut mendedahkan kes penipuan yang dihadapi seorang individu ternama dari Terengganu namun tidak pengalaman mengenai songket Terengganu apabila terpedaya dengan taktik seorang peniaga di Pasar Kedai Payang selepas terbeli `songket tiruan’ berharga RM800 sehelai.

 “Bagi beliau bukan harga RM800 sebagai masalah, tetapi sikap menipu peniaga Pasar Kedai Payang yang menjual songket India tanpa memaklumkan perkara sebenar sesuatu yang amat dikesali.

“Jika Terengganu mahu kekal sebagai negeri pengeluar utama songket negara yang dikagumi dengan harga yang berpatutan, sepatutnya peniaga songket tidak membeli dan menawarkan kepada pelanggan songket dari India,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri tiada hak dan boleh menguatkuasakan sebarang akta bagi tujuan menghalang kemasukan songket import berkenaan, bagaimanapun sebagai peniaga yang mempunyai hati dan perasaan mereka harus berusaha memartabatkan songket Terengganu sebagai satu perniagaan yang eksklusif di Terengganu.

Menurutnya, bukan hanya Terengganu menjadi pengeluar songket, tetapi songket negeri ini sudah sinonim di kalangan peminat tekstil itu, selain memiliki kelas tersendiri dalam industri kraftangan dunia yang perlu dipertahankan oleh semua pihak.


Tengku Zaihan damping remaja


Calon BN Tengku Zaihan bersalaman dengan remaja

Oleh: Mohammad Ishak 

sehari dumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman,37, memulakan tugas mendekati golongan remaja apabila beliau menghadiri majlis penyampaian bantuan dana bakti remaja

Majlis yang diadakan di Dewan Taman Seri Seratus itu adalah program pertama bersama remaja di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Tengku Zaihan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, yang hadir pada majlis sulung itu sempat beramah mesra dengan peserta penerima dana terbabit.

Pada majlis itu seramai 1,200 remaja berusia 21 hingga 40 tahun menerima bantuan dana Kerajaan Negeri yang diadakan setiap kali menjelang Aidilfitri.

Peserta di DUN Kuala Besut adalah yang perama menerima bantuan berkenaan tahun ini manakala di kawasan lain akan menerimanya secara berperingkat-peringkat sebelum hari raya.

Penerima yang mendapat bantuan itu gembira dengan usaha kerajaan negeri menyediakan dana seperti itu pada setiap tahun kepada golongan berkenaan.

Tengku Zaihan ketika berucap pada majlis itu mahu golongan belia tahu menghargai usaha kerajaan membantu mereka dalam pelbagai bentuk bantuan.

Tengku Raihan mampu penuhi aspirasi pengundi Kuala Besut

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra 

Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman (bertopi kiri).
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37, merupakan calon terbaik dan mampu memenuhi aspirasi pengundi Kuala Besut.

Sehubungan itu, pengundi di kawasan itu perlu memberi peluang kepada anak jati Kuala Besut itu untuk berkhidmat kepada mereka dan meneruskan legasi Alahyarham Dr A Rahman Mokhtar.

Ketua Umno Bahagian Besut, Dato’ Seri Idris Jusoh, berkata pemilihan Tengku Zaihan sebagai calon amat tepat dan memenuhi segala kriteria yang diingini pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

“Penduduk tempatan mahukan seorang calon yang peramah dan mudah didekati oleh semua golongan. Tengku Zaihan merupakan orang muda dari golongan profesional dan memiliki latar belakang agama.

 “Beliau mempunyai pakej yang baik dan mampu memenuhi keinginan banyak pihak, khususnya pengundi di Kuala Besut,” katanya.

Dato’ Seri Idris berharap semua pihak menghormati keputusan pucuk pimpinan BN yang memilih Tengku Zaihan sebagai calon dan tidak melakukan sebarang kegiatan yang boleh merosakkan perpaduan Umno dan BN.

 “Saya juga mahu melihat beberapa nama yang turut disebut-sebut sebagai calon supaya sama-sama membantu jentera parti bagi memenangkan calon BN kali ini,” katanya.

 

100 penguatkuasa JHEAT pantau umat Islam tidak puasa

Oleh; Esah Abdullah 

Umat Islam di negeri ini bakal dikenakan denda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan makan di khalayak ramai sepanjang bulan Ramadan.

Pesuruhjaya JHEAT, Dato’ Haji Rozali Saleh berkata, tahun ini seramai 100 orang penguatkuasa dilantik untuk menjalankan tugas memantau pergerakan orang ramai bagi mengesan mereka yang tidak berpuasa serta makan dikhalayak ramai.

“Kita sudah kenalpasti kawasan dan tempat yang pada kebiasaan menjadi tempat mereka berkumpul dan makan dan tindakan akan diambil jika makan di khalayak ramai,” katanya.

Katanya, di samping rondaan yang dilakukan oleh penguatkuasa JHEAT, orang ramai diminta memberi kerjasama dengan melaporkan jika terdapat umat islam makan ditempat terbuka.

“Kerjasama semua pihak perlu bagi mengekang perkara yang memalukan umat Islam itu berleluasa serta mencemari bulan yang mulia ini,” katanya.

Menurutya, tahun lepas tidak ada sebarang kes yang di bawa ke mahkamah walaupun terdapat banyak aduan yang diterima daripada orang awam.

Katanya, aduan membeli makanan tidak boleh disabitkan dengan kesalahan tidak berpuasa kecuali jika mereka makan di restoran atau ditempat terbuka seperti di pantai dan sebagainya.

 Pernah terjadi katanya, bila mendapat aduan daripada orang ramai, mangsa sempat melarikan diri sebelum pihak penguatkuasa tiba dan itu perkara biasa berlaku.
 

Latar belakang akademik bagus mampu tarik sokongan padu pengundi

Oleh: Noraini Jusoh

Umno Terengganu yakin calon Barisan Nasional (BN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, yang mempunyai latar belakang akademik tinggi akan mendapat sokongan padu daripada pengundi di kawasan berkenaan.

Pengerusi Biro Penerangan Umno Negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman (gambar), berkata pucuk pimpinan BN membuat pilihan yang tepat apabila memilih Tengku Zaihan untuk bertanding di kawasan itu menentang calon Pas, Azlan @Endut Yusof.

"Beliau (Tengku Zaihan) amat sesuai menjadi calon BN menggantikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut iaitu allahyarham Dr A.Rahman Mokhtar yang juga merupakan seorang yang berpendidikan tinggi.

"Ini adalah satu tindakan drastik yang dilakukan YAB Perdana Menteri kerana memperkenalkan seorang calon muda yang mempunyai pendidikan bagus dan berlatar belakangkan keluarga yang berpengaruh,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Teganukita di Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Masjid dan Surau Sempena Bulan Ramadhan 1434H di Bangunan Penyelaras UMNO, DUN Seberang Takir, semalam.

Katanya, beliau yakin soal pendidikan dan latar belakang keluarga calon BN tersebut tidak akan dipertikaikan oleh pengundi.

"Tengku Zaihan merupakan seorang Ketua Penolong Pengarah di Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia dan beliau juga merupakan individu yang memegang jawatan dalam parti iaitu Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Cawangan Pekan Baru, Kuala Besut.

"Sementara, bapanya seorang ustaz dan guru agama yang memang berpengaruh di kawasan berkenaan,”ujarnya.

Katanya, berasaskan kriteria yang ada pada Tengku Zaihan, BN bukan sahaja menawarkan ‘winnable candidate’ kepada pengundi malah memenuhi aspirasi orang muda.

Tambah Dato’ Haji Ahmad Razif, beliau yakin dan percaya pengundi muda akan menerima calon yang ditonjolkan BN untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 24 Julai itu nanti.

"Penerimaan anak-anak muda terhadap beliau rasanya tidak ada masalah kerana saya difahamkan beliau sering bergaul dengan anak muda dan penduduk di kawasan berkenaan dan yakin pengundi dapat menerimanya.

"Ditambah dengan majoriti yang agak besar kita perolehi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) baru-baru ini, saya yakin BN akan terus kekal di Kuala Besut,” ujarnya.

Jelas beliau, semua jentera BN juga telah bersiap sedia untuk menghadapi PRK tidak lama lagi.

"Saya harap semua jentera BN dan pengundi dapat menerima calon BN ini dengan hati yang terbuka.

"Walaupun kita mempunyai majoriti yang besar dalam PRU13 di kawasan berkenaan, saya berharap agar semua jentera BN bekerja lebih kuat dan jangan memandang mudah terhadap pihak pembangkang dan semoga tidak ada sebarang isu atau masalah dalaman yang timbul dalam jentera kita,” katanya.

 

CALON BN ZIARAH PUSARA ALLAHYARHAM DR A. RAHMAN

Ruslan A Rahman melaporkan:
 Calon Barisan Nasional (BN) PRK Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman menziarahi pusara Allahyarham Dr Abdul Rahman Mokhtar pada tengahari tadi sempena 1 Ramadhan hari ini.
  Pusara berkenaan terletak di Kampung Telok Bayu, Kuala Besut.
 Beliau berada di pusara berkenaan kira-kira 20 minit berdoa dan menghadiahkan surah Al Fatihah dan membaca Surah Yassin untuk disedekahkan kepada Allahyarham .
 Tengku Zaihan seorang anak yang baik dan terdidik dengan agama sejak kecil lagi oleh ayahnya seorang veteran umno yang hidup berkeluarga penuh dengan nilai-nilai keagamaan.
  Amalan menziarahi kubur adalah sunnah Rasulullah s.aw