Halaman

05 May 2013

Pengundi dinasihat tunai tanggungjawab keluar mengundi

Orang ramai menunaikan tanggungjawab mengundi sejak awal pagi lagi.
Rakyat negeri ini, khususnya pengundi dinasihatkan supaya menunaikan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Dato’ Haji Ibrahim Abdul Rahman berkata, sebagai warga negara mereka yang telah mendaftar sebagai pemilih sepatutnya mengundi di pusat-pusat yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, amat rugi jika mereka tidak menunaikan tanggungjawab tersebut kerana mereka tidak berpeluang untuk menentukan pemimpin dan kerajaan pada pilihan raya ini.

Pada pilihan raya ini, Barisan Nasional (BN) bertanding di semua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri di seluruh Terengganu.

Kira-kira 45 peratus daripada calon BN merupakan muka baru yang dipilih bagi mengemudi kerajaan jika rakyat terus memberi mandat kepada BN.

Dato’ Haji Ibrahim turut menasihatkan supaya penduduk negeri ini keluar mengundi lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.

 

04 May 2013

Lebih 15,000 hadir perhimpunan Gelombang Biru di Dataran Jertih Souq


Idris Jusoh berucap pada majlis Perhimpunan Gelombang Biru malam tadi

Oleh: Mohammad Ishak 

Semangat Gelombang BIru yang dihadiri lebih 15,000 pengundi di perhimpunan terbesar malam semalam di Parlimen Besut membuktikan Barisan Nasional (BN) tetap menjadi pilihan rakyat di negeri ini.

Program anjuran Umno Bahagian Besut itu, membuktikan Besut sebagai kubu kuat BN Terengganu mampu berhadapan dengan Pas yang turut bertanding di Parlimen Besut.

Calon BN Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ketua Umno Bahagian berkata, perhimpunan terbesar menjelang hari pembuangan undi Ahad ini sebagai usaha membangkitkan semangat ahli parti untuk berjuang menentang fitnah pembangkang.

Idris yang terkenal dengan bapak Gelombang Biru ternyata berjaya menghidupkan suasana mood pilihan raya negeri ini apabila mampu mengumpul ramai penyokong BN menyertai perhimpunan yang diadakan di tengah bandar ini.

Hadir sama ialah semua calon BN membabitkan DUN Kuala Besut (Dr A Rahman Mokhtar, Nawi Mohamad (Hulu Besut), Mohd Mahdi Musa (Kota Putera) dan Muhamad Pehimi Yusof, Jertih.

Sempena perhimpunan berpristej itu, jawatankuasa Minda Pondok Kelantan turut sama hadir dan menyampaikan ceramah mereka. Idris berkata, sambutan luar biasa daripada penduduk Besut itu sudah tentu mencemaskan Pas yang sebelum ini beriya ia hendak menawan Terengganu.

Beliau berharap,orang ramai yang hadir pada majlis itu membuktikan semangat mereka masing-masing menerusi peti undi bagi menentukan BN terus berkuasa di negara ini.

Kolej Matrikulsi dan Sekolah Imtiaz jika Marang milik BN

Oleh; Esah Abdullah

Sebuah Kolej Matrikulasi dan sebuah Sekolah Menengah Imtias akan dibangunkan di daerah Marang jika Barisan Nasional (BN) berjaya menyapu bersih empat kawasan Dewan Negeri (DUN) dan Parlimen Marang.

 Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, peruntukan RM60 juta telah disediakan untuk membina Sekolah Imtiaz manakala peruntukan untuk Kolej Matrikulasi dalam perbincangan.

“Demi masa depan pendidikan anak bangsa kita, demi kesinambungan sebuah perjuangan pastikan esok (5 Mei) undilah calon-calon Barisan Nasional (BN),” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payong, Bukit Payong, Marang.

Perasmian SMK Seri Payong telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia, Dato’ Rosli Mohamad serta calon-calon BN dalam Parlimen Marang iaitu Dato’ Haji Yahya Khatib Mohamad (Parlimen), Haji Alias Abdullah (Alor Limbat), Encik Zaidi Muda (Bukit Payong) Nik Dir Nik Wan Ku (Rhu Rendang) dan Encik Abdul Latif Awang (Rhu Rendang).

Katanya, menjadi cita-cita kerajaan negeri dengan adanya sekolah Imtiaz disetiap daerah, dan Institut Al-Quran Terengganu (IQT) yang akan dinaik taraf kepada Kolej Universiti juga Institut Pendidikan Islam akan mampu melahirkan 1,000 orang hafiz dan hafizah setiap tahun.

“Alhamdulillah, tahun ini 37 orang pelajar dari sekolah Imtiaz telah hafiz 30 juzu’ al-Quran dan mereka ini juga mendapat semua A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM baru-baru ini,” katanya.

Katanya, kerajaan mempunyai matlamat bahawa anak Terengganu yang cemerlang dalam pendidikan akan menjadi seorang doktor dan saintis yang serba boleh suatu hari nanti.

Justeru itu katanya, rakyat perlu memilih BN untuk terus menerajui negeri dan negara ini demi kesinambungan memertabatkan bidang pendidikan serta masa hadapan generasi yang lebih gemilang.

“Dengan perasaan rendah diri saya merayu kepada rakyat yang banyak mendapat nikmat kerajaan kini sudah sampai masa buktikan sebagai seorang yang mengenang budi, setia kepada kepada kerajaan sedia ada dan undi BN,” katanya.

 

MB cabar Pas buktikan janji sedia 17,000 pekerjaan

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mencabar pembangkang, khususnya Pas membuktikan bagaimana mereka boleh menunaikan janji untuk menyediakan 17,000 peluang pekerjaan dalam tempoh tiga tahun jika diberi peluang memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

Beliau mengajukan soalan pelabur dari mana yang mahu melabur di negeri ini dan menyediakan peluang pekerjaan sebegitu banyak dalam tempoh yang singkat itu.

“Kilang apa yang orang Pas nak bina bagi menyediakan pekerjaan tersebut? Setahu saya untuk bina sebuah kilang sekurang-kurangnya ia akan mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk siap.

“Jika peluang pekerjaan itu mahu disediakan, sudah tentu banyak kilang yang perlu dibina dan ia amat mustahil untuk dilaksanakan dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Pas sebelum ini dalam manifestonya berjanji akan menyediakan 17,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu jika diberi mandat memerintah negeri ini selepas pilihan raya 5 Mei depan.

 Menteri Besar turut mempersoalkan negara mana yang sudah dikunjungi oleh pemimpin Pas untuk meminta pelabur datang melabur di Terengganu setakat ini.

Katanya, jika Pas tidak melakukan sebarang langkah bagi menarik pelabur, ia bermakna mereka tidak akan mampu melaksanakannya.

 

PRU13: BN realisasi impian Kuala Nerus daerah baru

Oleh: Aida Abd Rahman

Barisan Nasional (BN) akan memastikan matlamat untuk menjadikan Kuala Nerus sebagai daerah baharu di Terengganu menjadi realiti, jika mandat diberikan kepada Parlimen itu pada pilihan raya umum, esok.

Calon BN Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata sekiranya BN diberikan mandat, pihaknya berjanji untuk menjadikan harapan dan impian seluruh penduduk kawasan itu untuk melihat Parlimen berkenaan muncul sebagai daerah menjadi kenyataan selepas menunggu sekian lama.

"BN tidak pernah berjanji kosong, malah kita bertanggungjawab meneruskan agenda pembangunan negeri dan negara selaras dengan kemampuan yang ada bagi memenuhi keperluaan dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Antara pembangunan dan transformasi telah dilakukan di situ contohnya kawasan Perindustrian Gong Badak, ia menampakkan usaha serta janji Kerajaan BN bagi memajukan lagi kawasan setempat,” katanya.

Dato’ Mohd Nasir selaku penyandang parlimen itu berkata, rakyat harus untuk merealisasikan impian tersebut, rakyat perlu menyokong BN dengan menterjemahkan sokongan itu dalam undian pada PRU13. 

Kuala Nerus merupakan satu daripada lapan kawasan Parlimen di Terengganu, ia di bawah pentadbiran daerah Kuala Terengganu terletak kira-kira sembilan kilometer dari pusat bandar.

Terengganu mempunyai tujuh daerah iaitu Hulu Terengganu, Besut, Setiu, Marang, Dungun, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Sementara itu, beliau juga optimis Dewan Undangan negeri (DUN) Bukit Tunggal mampu dikemablikan kepada BN pada PRU13 nanti berdasarkan prestasi semasa yang banyak memihak kepada parti itu.

Katanya, pada pilihan raya lalu, DUN berkenaan hanya tewas dengan majoriti 336 undi dan berdasarkan pembangunan serta kebajikan yang dilaksanakan tanpa henti oleh Kerajaan BN walaupun berada di bawah Pas, pastinya rakyat akan tahu menilai kebaikan dan lebih cenderung untuk memihak kepada BN pada pilihan raya kali ini.

 

Calon BN ikrar terus kesinambungan majukan Dungun

CALON Barisan Nasional (BN) Parlimen Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan berkata, beliau akan meneruskan kesinambungan perjuangan yang dibawakan bekas Ahli Parlimen terdahulu, Datuk Matulidi Jusoh sekiranya BN diberi mandat dalam pilihanraya nanti.

 Datuk Rosli berkata, kesinambungan itu adalah memperjuangkan hospital baru yang telah diluluskan dalam bajet lalu yang dianggarkan bernilai RM150 juta.

 “Tapak hospital baru itu telah diluluskan di kawasan pesimpangan Kampung Che Lijah dan saya berharap agar disegerakan kelulusan kerana ia membabitkan kepentingan semua penduduk,”katanya.

 Katanya, selain daripada Hospital baru itu, ideal mewujudkan sebuah mini pelabuhan di Kuala Dungun yang dibawakan Datuk Matulidi akan diteruskan termasuk memajukan sungai Dungun.

 “Kita berharap agar BN terus diberi mandat oleh rakyat di parlimen Dungun bagi kita meneruskan pembangunan Dungun yang hasil limpahannya dapat dinikmati oleh semua penduduk,”katanya.

Datuk Rosli berkata, sekiranya BN diberi kemenangan, beliau juga akan meneruskan perjuangannya yang terdahulu untuk mendapatkan sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kampung Batu Tiong.

“Tanah untuk MRSM itu telah dibayar premium dan kita juga berharap agar ianya dapat direalisasikan dan menambahkan lagi sebuah pusat penddikan selepas Politeknik dan Universiti Teknologi Mara (UiTM),”katanya.

Datuk Rosli menambah, bagi masyarakat berbangsa Tionghua, mereka juga tidak akan dipinggirkan dan kerajaan negeri telah bersetuju untuk mebina blok tambahan atau bangunan baru untuk Sekolah Kebangsaan (C) Kwang Hwa.

 “Saya meminta masyarakat Tionghua sekiranya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura memihak kepada BN, maka janji itu akan dapat direalisasikan,” katanya.

Katanya, selain itu, sebuah bangunan baru Majlis Perbandaran Dungun dijangkakan setinggi lapan tingkat telah dipersetujui Menteri Besar Datuk Seri Haji Ahmad Said akan dibina di kawasan itu.

 “Antara lain cadangan ialah membina sebuah pusat pejabat persekutuan yang mengumpulkan kesemua agensi kerajaan di situ bagi memberi kemudahan kepada penduduk untuk mendapatkan perkhidmatan,”katanya.

Calon BN Paka gotong royong bersama penduduk

Calon Barisan Nasional BN Dewan Undangan Negeri Paka, Datuk Matulidi Jusoh Bergotong Royong Bersama 50 Peserta membersih kebun Tanaman Kelapa Pandan di Kampung Tebing Tembah, semalam.

Projek tanaman kelapa pandan yang dimulakan sejak tahun 2010 membabitkan seramai 62 peserta yang diberikan kerajaan khusus kepada penduduk miskin dikawasan terbabit.

Datuk Matulidi berkata, melalui fasa pertama dan kedua itu setiap peserta diberikan tanah seluas kira-kira satu hektar untuk mengusahakan tanaman kelapa terbabit dan setiap peserta mampu menanam kira-kira 70 hingga 80 pokok kelapa.

 "Kelapa pandang itu dijangka akan mengeluarkan hasil awal tahun depan. Apabila mengeluaran hasil nanti setiap peserta akan memperolehi pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan dan seterusnya dapat menambah hasil pendapatan peserta,"katanya.

Katanya, peserta projek tanaman kelapa Itu mendapat bimbingan Pejabat Pertanian Dungun yang bertindak memberi tunjuk ajar termasuk bantuan benih anak pokok, baja serta mereka terlibat diberi kursus berhubung dengan cara penjagaan pokok.

Matulidi berkata, seramai 25 peserta lagi telah dipilih untuk projek tanaman melalui fasa ketiga nanti membabitkan keluasan kira-kira 12.5 hektar dan fasa ketiga itu nanti dijangka akan dimulakan kerja penanaman menjelang akhir tahun Ini.

 "Setakat Ini kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM20,000 untuk kerja membina pagar manakala RM15,000 lagi diperuntukkan untuk kerja membuat peparitan.

Apabila selesai kerja memagar kawasan dan peparitan barulah peserta boleh mulakan kerja menanam pokok terbabit,”katanya. Katanya, projek terbabit dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk miskin dan ibu tunggal memperolehi pendapatan melalui hasil tanaman kelapa ini," katanya.


Kerajaan BN prihatin terhadap rakyat

Oleh: Noraini Jusoh

Selepas sekian lama mendapat mandat dari rakyat untuk memerintah negara yang mengamalkan sistem demokrasi ini, Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno telah melaksanakan tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan sentiasa berusaha memenuhi kehendak dan keperluan rakyatnya.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang terkecuali menerima kebaikan dari Kerajaan BN dan Umno.

“Pelbagai bantuan dan sumbangan yang disalurkan Kerajaan BN dan Umno samada dari kerajaan pusat atau negeri untuk meringankan beban rakyat.

“Kerajaan bagi macam-macam termasuk bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan,bantuan mangsa banjir, e-book dan sebagainya untuk rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan Menteri Besar bersama jentera pilihan raya Kuala Nerus sempena lawatan sehari beliau ke Parlimen Kuala Nerus bertempat di Pejabat Umno Bahagian, baru-baru ini.

Katanya, sebagai tanda terima kasih kepada Kerajaan BN dan Umno yang telah memberikan khidmat terbaik kepada mereka, rakyat negeri ini khususnya dan negara amnya hendaklah memilih calon BN pada hari pembuangan undi.

Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada jentera pilihan raya BN agar mengingatkan mereka yang layak mengundi bertapa besarnya jasa, khidmat dan bakti yang telah diberikan BN terhadap rakyat selama ini.




Aku Janji BN Terengganu pikat pengundi

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Aku Janji Barisan Nasional (BN) Terengganu yang mengandungi 18 perkara yang bakal dilaksanakan di negeri ini jika BN terus mendapat mandat rakyat untuk memerintah Terengganu selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), memikat sebahagian besar pengundi.

Manifesto Tambahan BN Terengganu yang diumumkan Pengerusi BN Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, baru-baru ini dianggap lebih realistik berbanding manifesto pembangkang.

Antara janji BN yang terkandung dalam manifesto berkenaan ialah membina 10,000 unit rumah mampu milik, peluang rakyat memiliki 1 tapak rumah atau 1 tapak pertanian dan pajakan tanah individu dinaikkan dari 30 tahun kepada 60 tahun.

BN juga berjanji akan menyediakan insentif khas untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kritikal dan memperkasakan program e-Book.

BN juga akan membina tiga lagi Sekolah Imtiaz iaitu di Setiu, Marang dan Kuala Nerus bagi menjadikan satu daerah satu Imtiaz.

Pada masa yang sama, BN akan memperkenalkan Khairat dan Insurans Takaful Rakyat serta memperluaskan perkhidmatan pusat hemodialisis.

Melalui manifesto itu juga, BN berjanji untuk menyediakan dana pengurusan kepada pertubuhan belia dan NGO serta menjadikan sukan sebagai satu kerjaya.

BN akan mewujudkan gelanggang futsal di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan membina kompleks litar perlumbaan motosikal bertaraf antarabangsa.

Selain itu, BN akan memperhebatkan dana usahawan dan memperluaskan skala perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta menarik pelaburan lebih RM25 bilion dalam industri petrokimia, bioteknlogi dan kelului dengan lebih 10,000 peluang pekerjaan.

BN Terenganu akan menjadikan Tasik Kenyir sebagai Hub Eko-Pelancongan dan Pulau Bebas Cukai. BN membuat janji yang mampu dilaksanakan, bukannya berjanji bulan dan bintang seperti yang dilakukan pembangkang.

Justeru itu tidak hairanlah jika pengundi lebih tertarik dengan manifesto BN berbanding parti pembangkang.


SPR sedia 367 pusat mengundi

Oleh: Suriati Ali

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu menyediakan 367 pusat mengundi membabitkan 1,209 saluran tempat mengundi di seluruh negeri ini bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei ini. Berdasarkan jumlah itu, Parlimen Kemaman mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 53 pusat, diikuti Dungun (51), Hulu Terengganu (50), Marang (47), Kuala Terengganu (46), Setiu (44), Besut 43 dan Kuala Nerus (33) .

 Manakala sebanyak 24 pusat mengundi awal melibatkan 31 saluran pula disediakan bagi anggota pasukan polis dan tentera serta pasangan masing-masing. Mereka akan keluar mengundi tiga hari lebih awal berbanding hari pengundian biasa.

Pengarah SPR Terengganu, Encik Fakhrul Razi Ab Wahab, berkata prosedur pengundian awal sama seperti pengundian biasa iaitu dibuka jam 8 pagi dan ditutup pada jam 2 petang atau 7 malam.

 Selepas pusat mengundi ditutup, peti-peti undi akan dimenterikan dan disimpan di bawah tanggungjawab Pegawai Pengurus Pilihan Raya dalam kawalan selamat sama ada di Pejabat Pegawai Pengurus, lokap polis atau dewan-dewan dengan kawalan ketat.

 “Pengiraan undi akan dijalankan secara berkelompok mulai jam 4 petang pada hari pengundian biasa di lokasi yang ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi sambil disaksikan ejen-ejen calon masing-masing,” katanya.

 Menurutnya, pada PRU13 kali ini, seramai 10,821 petugas SPR terdiri pegawai pengurus, pembantu pilihan raya, penyelia pusat mengundi, pemandu arah pusat pengundi, kerani undi pos dan jurutaip bersedia menjalankan tugas masing-masing di setiap pusat mengundi itu.

 Katanya, kira-kira 636,000 penduduk Terenganu dijangka keluar mengundi dan mereka akan dilayan sama rata oleh petugas yang dilantik itu tanpa mengira fahaman politik.

 “Mereka tidak perlu bimbang dengan status petugas kerana mereka sudah dilatih mengikut prosedur tertentu, termasuk menghadiri kursus dan seminar selain disertakan pas ketika bertugas,” katanya.

 SPR Terengganu menetapkan Pusat Perjumlahan Rasmi Undi (PPRU) adalah seperti berikut iaitu Dewan Majlis Daerah Besut dikhaskan bagi Parlimen Besut; Dewan Serbaguna, Sungai Tarom, Setiu (Setiu); Majlis Sukan Negeri Kuala Terengganu (Kuala Nerus) dan Stadium Negeri Kuala Terengganu (Kuala Terengganu).

 PPRU lain, Dewan Majlis Daerah Marang (Marang); Majlis Daerah Hulu Terengganu (Hulu Terengganu); Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Dungun (Dungun) dan Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman pula bagi Parlimen Kemaman

.