Halaman

24 January 2013

LKIM belanja RM9.5 juta bina rumah nelayan

Oleh; Esah Abdullah

Sejumlah RM9.5 juta telah dibelanjakan untuk projek khas perumahan nelayan di negeri ini bagi baikpulih dan bina baru 1,068 buah rumah nelayan sepanjang tahun lalu.

 Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)cawangan Terengganu, Encik Mohd Saffe Mohd berkata, peruntukan yang besar ini dibelanjakan tujuan memberi keselesaan kepada golongan itu yang sebahagian besar dalam kategori miskin.

“Peruntukan maksimun baiki rumah adalah RM10,000 manakala rumah bina baru sebanyak RM40,000,” katanya dalam sidang media di majlis Penyerahan Bantuan Sara Hidup Nelayan di Perpustakaan Awam Terengganu baru-baru ini.

Katanya, nasib golongan nelayan sentiasa di bawah pemerhatian pihak LKIM serta berusaha untuk meningkatkan pendapatan keluarga nelayan termasuk memiliki kediaman yang selesa.

Menurutnya, peruntukan projek baiki dan bina rumah untuk tahun ini masih dalam perbincangan dan akan diputuskan dalam sedikit masa lagi.

“Kalau boleh semua nelayan boleh duduk di rumah sendiri yang selesa dan melalui projek penempatan semula nelayan yang dirancang mampu menangani masalah berkenaan,” katanya.

 

Usia belasan tahun sudah jadi nelayan

Oleh: Nurul Aziela Saberi 

Sejak berusia 12 tahun Wan Mohd Napi Wan Mohamad telah bergelumang dengan laut dan sehingga kini beliau tegar mencari rezeki untuk menyara keluarganya dengan bergantung kepada hasil laut.

Beliau yang amat berterima kasih kepada pihak kerajaan yang selama ini tidak pernah bosan memberi bantuan kepada warga nelayan sepertinya.

Bagaimanapun, Wan Mohd Napi tekad tidak mahu anak-anaknya nanti menjadi nelayan sepertinya dan dia bertekad mahu mengubah nasib keluarganya dengan memberikan mereka pendidikan tinggi.

Sungguhpun begitu, dia tidak pernah menyesal menjadi seorang warga nelayan, sebaliknya berbangga kerana mampu menyara keluarganya sehingga kini walaupun dalam keadaan sederhana.

“Kami warga nelayan yang hanya bergantung kepada hasil laut kebanyakannya menghadapi kesusahan menjelang musim tengkujuh kerana tidak dapat memungut sebarang hasil, namun dengan keprihatinan pihak kerajaan sedikit sebanyak dapat meringankan kami semua,” katanya yang mempunyai lima tanggungan.

Setiap bulan warga nelayan akan menerima bantuan RM200 yang diperuntukkan dari Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan bagi sesiapa yang mempunyai E-Nelayan akan menerima subsidi minyak.



Sekitar 240 warga nelayan Kijal menerima bantuan sebanyak RM100 dan keperluan dapur yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Dewan Nelayan, Kijal petang kelmarin.





23 January 2013

MB lawat pesakit barah tulang di HSNZ

Oleh: Noraini Jusoh



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, meluangkan masa melawat adik Muhammad Danial Iskandar Mohd Nazrul,11, yang menderita penyakit barah tulang di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, hari ini.
Menteri Besar menghulurkan sumbangan peribadi kepada adik Muhammad Danial Iskandar
Beliau begitu bersimpati dengan nasib anak sulung daripada lima orang adik beradik yang menyedari menghidapi penyakit tersebut apabila menerima rawatan di HSNZ, selepas terjatuh ketika menunggang basikal semasa pulang dari sekolah, tujuh bulan yang lalu.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas bagi membiayai penyakit kronik seperti yang dihidap Muhammad Danial Iskandar.

"Masalah yang dihadapi mangsa akan dirujuk kepada pihak berkenaan untuk mendapatkan sumber kewangan bagi meringankan beban yang ditanggung keluarganya.

"Kepada rakyat negeri ini yang menghadapi masalah penyakit kronik, saya nasihatkan agar segera memberitahu pihak tertentu seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar kerajaan negeri dapat menghulurkan bantuan secepat mungkin, ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas melawat Muhammad Danial Iskandar di HSNZ, di sini.

Beliau turut menasihatkan rakyat negeri ini agar segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan dengan doktor yang bertauliah daripada berjumpa bomoh bagi memastikan penyakit yang dialami dapat dirawat dengan cara yang betul.

 



Epic labur RM3.2j lengkapi HSSB di KSB, Kemaman

Menteri Besar bersama SUK Terengganu menyaksikan pertukaran MoU antara Epic dan TM.
Oleh: Aida Abd Rahman 

Syarikat  Eastern Pacific Properties Sdn Bhd (Epic) melabur RM3.2 juta bagi menyediakan perkhidmatan Kemudahan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSSB) di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) di Teluk Kalong, Kemaman, yang dijangka beroperasi Februari ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata perkhidmatan secara bersepadu dan pertama seumpamanya di negara ini dibangunkan dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM) bakal memberi kemudahan kepada 250 syarikat yang berpangkalan di kawasan perindustrian itu.

“Tahniah kepada Epic dengan TM yang telah menjalinkan perkongsian pintar bagi menyediakan Kemudahan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi di kawasan pelabuhan Kemaman itu.

 “Ini merupakan pelabuhan pertama di negara kita yang dilengkapi kemudahan UniFi TM ini sebagai usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan yang berada dalam KSB di mana banyak syarikat minyak beroperasi selain pembekal yang berkaitan dengannya,” katanya di sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian antara Eastern Pacific Properties Sdn Bhd (Epic) dengan Telekom Malaysia (TM ) Berhad.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ketua Pegawai Eksekutif Epic, Encik Ramli Shahul Hameed dan Pengurus Besar TM Terengganu, Encik Hamidun Ismail.

Menteri Besar berharap TM dapat menyediakan perkhidmatan terbaik kepada kesemua syarikat yang terlibat dalam usaha memenuhi keperluan komunikasi yang semakin maju dan bertahap tinggi khususnya melibatkan syarikat luar negara.

 “Semua pengguna perkhidmatan itu dikenakan bayaran (kepada TM) dan segala keuntungan adalah secara perkongsian melibatkan tiga pihak, iaitu kerajaan negeri dan Epic sebagai pelabur dan juga TM, selaku pembekal perkhidmatan itu.

 “Adanya UniFi ini akan membolehkan pelbagai syarikat yang terlibat dengan perniagaan antarabangsa di kawasan itu beroperasi dengan lancar, selain meningkatkan operasi dan produktiviti mereka khususnya dalam menghantar maklumat, barangan dan sebagainya,” katanya.

 Menurutnya, bukan sahaja melancarkan operasi antara syarikat di KSB dengan luar negara, kemudahan itu juga memberi imej yang baik sejajar dengan tahap kemajuan dan penggunaan kemudahan komunikasi berteknologi tinggi yang dimiliki syarikat berkaitan di luar negara.


Guru silat terima ganjaran RM1,200 seorang

Oleh: Aida Abd Rahman

Semua guru silat di negeri ini bakal menerima ganjaran wang tunai daripada kerajaan negeri berjumlah RM1,200 seorang bermula tahun ini.

Bantuan one-off itu bakal diagihkan kepada 134 guru silat yang berdaftar di bawah Persatuan Seni Silat Negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata bantuan itu sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan mereka mewarisi seni mempertahankan diri serta sudah banyak mengharumkan nama negeri dan juga negara di bidang itu selama ini.

“Mesyuarat exco membuat keputusan untuk memberikan sedikit sumbangan kepada guru silat di negeri kita secara one-off sebanyak RM1,200 seorang kepada 134 orang.

“Sumbangan kepada guru silat yang berdaftar di bawah Persatuan Seni Silat Terengganu itu sebagai tanda penghargaan dan memberi suntikan semangat kepada mereka.

 “Kerajaan negeri pernah menyediakan bantuan seumpama itu sebelum ini dan ia diteruskan semula di mana kita bersetuju untuk memberikannya sekali setahun bermula tahun ini,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian antara Eastern Pacific Properties Sdn Bhd (Epic) dengan Telekom Malaysia (TM ) Berhad.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ketua Pegawai Eksekutif Epic, Encik Ramli Shahul Hameed dan Pengurus Besar TM Terengganu, Encik Hamidun Ismail.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri bertanggungjawab dan prihatin dalam memenuhi tuntutan kumpulan itu sebagaimana permohonan yang pernah dikemukakan mereka menerusi persatuan sebelum ini.
 
 

KESAN AMANAT HADI: KERANA DITUDUH KAFIR, IMAM UMNO DIUSUNG KETIKA MENGIMAMKAN SOLAT

Sama ada mahu percaya atau tidak, tetapi inilah kenyataan dan peristiwa yang benar-benar berlaku.

Ingat Dok Lagi?

Akibat percaya dan berpegang teguh kepada Amanat Haji Hadi bahawa orang Umno itu terbatal Keislamannya atau jelasnya kafir maka Imam yang disyakki berfahaman Umno yang sedang mengimamkan solat pun diusung keluar dari mengimamkan solat.

Kejadian ini berlaku ketika solat Maghrib di Kampung Laut Kuala Terengganu pada bulan Mei 1991. (lihat laporan Berita Harian 29 Mei 1991).

Imam Umno yang sedang mengimamkan solat Magrib berjemaah diangkat/usung oleh sekumpulan pengikut taksub Pas untuk memberi laluan kepada Imam Pas menggantikannya. Siapakah Imam Pas yang diberi laluan menggantikan Imam masjid itu yang dikatakan Umno...

sila tunggu pendedahan seterusnya.

 

Bantuan bulanan OKU perlu dikaji - Dato' Mohd Nasir

Oleh; Esah Abdullah

Sudah tiba masanya kerajaan perlu menilai semula pemberian bantuan bulanan kepada orang kurang upaya (OKU) kepada kadar yang lebih munasabah.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, dalam arus pembangunan yang pesat masa kini sudah tentu perbelanjaan sara hidup urut meningkat.

“Mereka juga memerlukan kehidupan yang selesa seperti insan lain,” katanya kepada pemberita di majlis Perjumpaan dan Ramah Mesra bersama keluarga dan pelajar Pusat Dalam Komuniti (PDK) Seberang Takir di Restoran Makanan Segera, Batu Buruk hari ini.

Hadir sama Penyelias PDK Seberang Takir, Puan Nor Hashima Ariffin 80 pelajar beserta ibu bapa dan penjaga masing-masing.

Katanya, setakat ini pelajar yang tinggal di PDK menerima bantuan bulanan RM150 seorang manakala yang tinggal di rumah menerima RM50.

Menurutnya, terdapat tiga buah PDK dalam Parlimen Kuala Nerus iaitu PDK Manir dan Mengabang Telong dan Seberang takir dengan jumlah pelajar 180 orang dan bakal bertambah sebuah lagi di Wakaf Tembesu bagi menampung keperluan masyarakat setempat.

 “Saya berharap projek PDK di Wakaf Tembesu dapat disegerakan kerana ramai ibu bapa yang mempunyai anak OKU merungut PDK sedia ada terlalu jauh dari tempat mereka.

Belaiu seterusnya menyeru ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa tidak merasa malu dengan anugerah ini sebaliknya berilah mereka pendidikan dengan menghantar ke pusat-pusat yang disediakan.
 Di situ mereka diajar mengurus diri dan tentu dapat meringankan beban keluarga bila mereka meningkat dewasa.

Setakat ini katanya pelajar di PDK berusia antara empat hingga 31 tahun dan tinggal di pusat serta ada yang datang dihantar keluarga pada waktu belajar sahaja.

Katanya, kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan ini dan setiap PDK menerima geran pengurusan dan pentadbiran daripada kerajaan sebanyak RM100,000 setahun.
 

Kementerian Pertanian memilih Daerah Besut untuk program My Village My Future



Oleh: Mohammad Ishak 

Daerah Besut dipilih Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk perluasan Progrm My Kampung My Future (MKMF) sebagai usaha menghidupkan ekonomi penduduk kampung melalui aktiviti pertanian. 

Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Jertih, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, makluman untuk permulaan program berkenaan telah dibuat Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Mohamad Hashim Abdullah ketika mewakili Datuk Seri Noh Omar di majlis penyampaian wang ehsan kepada petani di Jertih kelmarin..

Katanya, untuk itu Pejabat Daerah Besut telah mengenalpasti beberapa buah kampung untuk di majukan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk memulakan program tersebut secepat mungkin.

Setakat ini kementerian berkenaan telah pun memulakan program MKMF di tiga buah negeri iaitu di Kampung Gedong Sarawak, Kampung Marutai Sabah dan Batu Gajah Perak , kata Idris kepada media selepas merasmikan Proram Kenduri Warga Pendidikan Besut di Sekolah Pusat Jerteh disini hari ini. 

Menurutnya, setakat ini pihaknya telah mengenalpasti untuk memperkenalkan projek ternakan ayam dan itik organik, sayur-sayuran organik , ternakan air organik termasuk pelancongan di kampung yang bakal dipilih untuk Program MKMF di Besut itu.

Katanya, mana-mana kampung yang dipilih untuk program itu akan melibatkan penduduk sepenuhnya termasuk kalangan belia dan remaja bagi menjayakan MKMF nanti.

Sementara itu ketika berucap merasmikan Program Kenduri Warga pendidikan Besut itu, Idris mengingatkan para pendidik supaya tidak mengukur kejayaan pendidikan melalui penilaian kepada prestasi akademik semata-mata dengan meninggalkan perkara-perkara lain seperti kecemerlangan bakat pelajar dalam pelbagai bidang lain.

Katanya, kejayaan dalam pendidikan itu sepatutnya dinilai dalam semua bidang terutamanya bakat kerana melalui bakat juga seseorang boleh berjaya di masa depannya.

 “ Telah terbukti terdapat ramai mereka yang berjaya dalam hidup melalui bakat mereka walaupun pada peringkat awalnya mereka lemah dalam akademik”, katanya .

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan hal Ehwal pengguna, Dr A Rahman Mokhtar, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Jabi, Ramlan Ali, Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan Ketua Sektor Akademik, Jabatan Pelajaran Terengganu, Mohd Zuber Embong.

Kestabilan politik jamin kesejahteraan rakyat

Oleh: Noraini Jusoh

Sejak negara mencapai kemerdekaan pelbagai nikmat yang diperoleh rakyat dibawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Dato’ Che Mat Jusoh berkata, rakyat perlu bersyukur kerana keadaan politik yang stabil di negara kita telah menjamin kesejahteraan hidup rakyatnya.

"Jika dibandingkan dengan negara lain, keadaan politik negara kita masih berada dalam keadaan baik dan dibawah pemerintahan kerajaan sedia ada juga, pelbagai keistimewaan diperolehi rakyat.

"Kerajan pada hari ini masih mampu menghulurkan pelbagai bantuan untuk membantu meringankan beban rakyat tetapi jika dibandingkan dengan negara bergolak yang lain, mustahil mereka dapat menikmati keistimewaan seperti rakyat Malaysia,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Bantuan Awal Khas Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sri Budiman, hari ini.

Seramai 1156 murid sekolah itu menerima wang tunai RM100 dalam majlis penyerahan bantuan tersebut.

Menurut beliau, pemberian wang tunai tersebut merupakan salah satu bentuk bantuan yang disalurkan kerajaan bagi menampung kos perbelanjaan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

Katanya, ketika Pilihan Raya Umum ke-13 kelak, orang Melayu khususnya perlu bersatu dan menyokong penuh kerajaan BN dan Umno agar terus menikmati kesejahteraan hidup seperti sekarang.

 

Pelancong Vietnam `pulang' ke Pulau Bidong

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 300 pelancong dari Vietnam dijangka pulang ke bekas penempatan mereka suatu masa dulu - Pulau Bidong, sebaik sahaja pulau itu mula dibuka kepada pelawat, pada Mac ini.

Antara kesan sejarah peninggalan pelarian Vietnam di Pulau Bidong
Pelancong berkenaan bakal mengunjungi pulau yang terletak 40 kilometer dari bandar Kuala Terengganu menerusi usaha dan kerjasama Dewan Perniagaan Cina Terengganu (DPCT) sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata pelancong dari Vietnam berkenaan berhasrat untuk melawat lokasi yang pernah menjadi kem pelarian mereka sebelum kawasan itu ditutup dan diserahkan kepada Kerajaan Terengganu pada 1991.

“Kehidupan mereka kini sudah berubah dan senang. Mereka datang semula untuk melihat monumen seperti kubur dan sebagainya yang terdapat di situ.

“Kerajaan negeri membenarkan mereka yang kebanyakannya dari Amerika Syarikat membuat lawatan ke pulau itu sebaik sahaja pulau itu dibuka kepada pelawat bermula Mac nanti,” katanya, baru-baru ini.

Datuk Abdul Rahin berkata, kerajaan negeri akan memastikan pelancong dapat mematuhi peraturan dan mekanisme yang ditetapkan bagi mengelakkan pencemaran alam, memulihara serta mengekalkan keindahan khazanah berharga di pulau itu.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM200,000 bagi membersih dan mengekalkan keindahan alam semula jadi, flora dan monumen bersejarah di situ tanpa melakukan nilai tambah kepada bahan peninggalan lama itu.

“Untuk membangunkan monumen yang menjadi mercu tanda yang mengambil kira etnik serta asal usul pelarian Vietnam di Pulau Bidong sebagaimana cadangan, kita menerima bantahan daripada G to G (antara kerajaan dengan kerajaan).

“Dalam hal ini, kita bercermat dalam aspek itu supaya tidak mengeruhkan keadaan. Setakat ini, kita benarkan mereka datang untuk menziarahi kubur dan monumen yang terdapat di situ sahaja,” katanya.