Halaman

21 January 2013

Guna IT untuk kebaikan semua pihak

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Jangan sesekali menyalahgunakan kemahiran dalam teknologi maklumat(IT) ke arah perkara negatif yang boleh menyebabkan berlaku perkara tidak diingini serta menggugat perpaduan di kalangan masyarakat.

Begitulah antara pesanan yang disampaikan Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) Services Sdn. Bhd, YB Rozi Mamat

Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta setahun bagi pembayaran gaji kepada 550 Pegawai Teknologi Maklumat (EIO) dan Juruteknik Komputer (TSO) di seluruh negeri ini bagi menyambung perkhidmatan mereka tahun ini.

Seramai 495 orang EIO dan 55 petugas TSO ditempatkan di sekolah rendah, sekolah menengah, jabatan-jabatan, pejabat pelajaran daerah dan pusat bestari (Bes.comm).

"Tempoh perkhidmatan seorang EIO dan TSO berdasarkan kontrak tahunan dan mereka ditugaskan menyelenggara e-Book selain tertakluk dasar kerajaan dalam melaksanakan tugasan berkaitan program e-Book..

“Langkah itu bertujuan menyediakan tenaga kerja di bidang teknologi maklumat di setiap sekolah untuk kelancaran pelaksanaan program e-Book di seluruh negeri itu,’ katanya.

Penyambungan kontrak pula diambil kira melalui penilaian prestasi tahunan serta bebas daripada tindakan disiplin dan tatatertib bagi tempoh yang berkaitan,

Pada majlis itu, seramai 62 orang EIO dan enam orang TSO yang ditempatkan di sekolah sekitar daerah tersebut menerima sijil penyambungan kontrak mereka yang disampaikan oleh YB Rozi.

YB Rozi turut mengingatkan golongan tersebut agar menjalankan tugas dengan jujur dan amanah.

Sebelum ini, katanya, terdapat empat orang EIO dan TSO telah dilucutkan jawatan mereka kerana terlibat dengan kesalahan disiplin selain masalah kesihatan.

"Jika kita dapati ada aduan tentang mereka, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan kemungkinan kontrak tidak akan disambung," katanya.

Beliau turut meminta EIO yang dilanjutkan kontrak lebih kreatif dan inovatif dalam menghasilkan pelbagai program bermanfaat untuk pelajar yang menggunakan kemudahan e-Book berkenaan.

Beliau juga menolak anggapan sesetengah pihak yang menyatakan Kerajaan Negeri melakukan pembaziran melalui penagihan e-Book kerana kejayaan demi kejayaan dalam bidang pendidikan menyebabkan Terengganu disegani dan juga ditakuti oleh negeri-negeri lain.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kontrak Perkhidmatan EIO dan TSO di Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu di Kampung Tajin dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tesdec, Che Razali Adis dan Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Terengganu, Shafruddin Ali Hussein dan Pengetua SAHUT,Hajjah Ramlah Endut.

Pembangkang gunakan cara halus rosak akidah umat Islam

Oleh: Noraini Jusoh

Dalam usaha menawan Putrajaya pada Piliharan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kelak, puak pembangkang sanggup melakukan apa sahaja walaupun jelas bertentangan dengan tuntutan agama dan nilai murni umat Islam.

 Ketua Penerangan Umno Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, semakin dekat tarikh PRU-13, semakin banyak isu yang timbul dan pelbagai fitnah dilemparkan puak pembangkang kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno.

"Demi kepentingan peribadi, pembangkang terutamanya yang anti-Islam seperti DAP sanggup menggunakan cara halus untuk merosakkan anak bangsa Melayu yang beragama Islam.

"Dalam televisyen dan akhbar tempatan banyak melaporkan tentang isu yang ditimbulkan DAP seperti penggunaan kalimah Allah, penulisan kitab Bible dalam Bahasa Melayu dan sebagainya yang jelas melanggar sensitiviti umat Islam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan, di Sekolah Kebangsaan Teluk Ketapang, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, ibu bapa perlu memandang serius perkara ini dan sentiasa memantau anak-anak agar tidak terpengaruh dengan perkara negatif yang disebar mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Kita bimbang dengan pendekatan halus yang digunakan puak pembangkang akan mempengaruhi pemikiran dan menimbulkan kecelaruan di kalangan anak-anak yang masih mentah dan mudah terpengaruh,” katanya.

Katanya, dalam usaha menangani peperangan minda ini, masyarakat perlu selidik dan siasat terlebih dahulu sesuatu perkara yang didengar atau diterima agar kesucian agama, bangsa dan negara terus terpelihara.

 

20 January 2013

Pengundi diminta semak kembali status lokasi mengundi

Oleh: Suriati Ali

Semua pengundi yang sudah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta menyemak kembali status lokasi mengundi masing-masing bagi mengelak kekeliruan dan kekalutan ketika proses pilhan raya berjalan.

 Semakan daftar pemilih boleh dibuat di ibu pejabat SPR di talian 03-8885 6565 atau mana-mana pejabat SPR berdekatan mulai jam 8 pagi hingga 5 petang pada waktu bekerja.

 Pengundi juga boleh melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my bagi membuat semakan dan mendapatkan keterangan mengenai tempat mengundi.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pihaknya mengalu-alukan pengundi menyemak kembali status masing-masing kerana dibimbangi nama terpotong.

 Katanya, jika perkara itu berlaku, ia sangat merumitkan untuk diselesaikan pada akhir kerana ia berkaitan sistem pengkalan data.

 “Kita ada menerima aduan, pengundi tidak menyedari alamat mengundi `berpindah’ ke lokasi lain sedangkan mereka telah mengisi borang pertukaran alamat.

 “SPR tidak mahu lagi mendengar perkara seumpama ini berulang, oleh itu, mereka dinasihatkan segera menyemak status lokasi mengundi masing-masing  sebelum tiba hari pilihan raya,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.

 Berdasarkan statistik yang dikeluarkan SPR sehingga Disember tahun lalu, didapati kira-kira 3.3 juta atau 20.3 peratus orang di seluruh negara, termasuk Terengganu 40,457 (6 peratus) masih belum mendaftar sebagai pemilih.

   

Manfaatkan bantuan awal persekolahan : Dato' Rahman

Oleh: Aida Abd Rahman

Manfaatkan wang bantuan khas awal persekolahan untuk tujuan pelajaran sahaja, jangan pula menyalahgunakannya,’ kata Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Dato’ Abd Rahman Bakar.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan RM100 kepada 6,892 pelajar di Dewan Undangan Negeri Bukit Payong, di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Payong, Marang, hari ini.

Hadir sama Pegawai Penyelaras DUN, Encik Zaidi Muda.

Kesemua pelajar berkenaan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Undang; SK Kedai Buluh; SK Kampung Bukit; SK Atas Tol; SK Tok Dir; SK Bukit Payong; SK Paya Resak; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payong; SMK Tun Telanai dan SMK Sultan Mansor.

Dato’ Abd Rahman berkata, ibu bapa haruslah memastikan bantuan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang disediakan untuk meringankan beban mereka menyediakan keperluan persekolahan anak-anak itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

 “Gunakan wang RM100 itu untuk kegunaan membeli peralatan sekolah seperti buku rujukan dan alat tulis, jangan pula salah guna kepada sesuatu perkara yang tidak betul,” katanya.

Semua pelajar di Parlimen Marang akan menerima bantuan awal persekolahan itu secara berperingkat-peringkat yang melibatkan Dun Pengkalan Berangan (21 Januari), Alor Limbat (22 Januari) dan Rhu Rendang (23 Januari).


KKM pendekkan waktu menunggu di klinik pesakit luar

Oleh; Esah Abdullah


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berusaha untuk memendekkan waktu menunggu di klinik pesakit luar kepada kurang 30 minit serta memastikan pesakit dapat menerima rawatan dengan segera.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr Mohd Azhar Yahaya berkata, rakyat boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan selepas waktu pejabat di Kilinik 1Malaysia yang beroperasi mulai jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

“Malah terdapat juga beberapa Unit Pesakit Luar di hospital dan klinik kesihatan telah beroperasi pada waktu rehat bagi memenuhi kehendak pelanggan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis Pelancaran Kempen Amalan 3S (senyum,salam,sapa) Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) di Perpustakaan Awam Terengganu hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Anwa Sulaiman dan Timbalannya Dr. Mohamad Omar serta lebih 300 jururawat dan kakitangan hospital dan klinik kesihatan di negeri ini.

Katanya, semua penambahabaikan ini bertujuan untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

“Keupayaan untuk menyambut cabaran ini pasti dapat meningkatkan mutu perkhidmatan yang disediakan dan meletakkan perkhidmatan penjagaan kesihatan negara ini sebagai antara yang terbaik di dunia,” katanya.

Menurutnya, pegawai kanan setiap peringkat hendaklah main peranan untuk mencetus perubahan nilai dan minda di kalangan pegawai dan anggota di bawah seliaan masing-masing kerana nilai murni dapat memupuk perasaan penyayang dan empati terhadap pesakit yang memerlukan perhatian.

“Pegawai penyelia bertanggungjawab untuk mengenalpasti pegawai dan anggota untuk mendapatkan latihan yang selayaknya bagi meningkatkan kemahiran dan profesionalisme mereka dalam usaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.

Mengenai kempen 3S ini katanya ia perlu diadakan berterusan dalam usaha membudayakan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

 “Mungkin mudah bagi kita mengamalkan senyum, salam dan sapa tapi bagi sesetengah warga kita yang terpaksa berdepan dengan pelbagai karenah pelanggan pesakit atau waris pesakit, tetapi saya berharap itu bukan alasan untuk tidak amal 3S,” katanya.

Namun begitu katanya, khidmat mesra sepanjang masa merupakan ikrar warga jabatan kesihatan dan ia mampu memberi impak positif menyampaikan perkhidmatan dengan penuh sifat penyayang, perihatin dan timbang rasa.

 

Peruntukan RM88,800 untuk 888 murid

Oleh: Noraini Jusoh

Sebanyak RM88,800 diperuntukkan kerajaan bagi mengagihkan Bantuan Khas Awal Persekolahan kepada 888 murid Sekolah Kebangsaan Teluk Ketapang, Kuala Terengganu.

Melalui peruntukan yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2013 itu, setiap murid yang memenuhi syarat layak menerima wang tunai sebanyak RM100 seorang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata ibu bapa perlu bersyukur dengan pemberian tersebut yang sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka yang dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

"Kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan kepada ibu bapa bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna.

"Justeru, sebagai tanda sokongan, ibu bapa perlulah memberi kerjasama dengan hadir ke sekolah apabila dijemput menghadiri program yang dianjurkan pihak sekolah mahupun pemimpin setempat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menyempurnakan majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan, di sekolah tersebut, hari ini.

Dato’ Haji Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, berharap, ibu bapa dapat menggunakan wang tersebut sebaik mungkin untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak dan tidak digunakan untuk tujuan lain.

 

Umum manifesto, apabila tiba masanya-MB

Oleh: Suriati Ali

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said belum bersedia mengumumkan manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 biarpun menyedari pemimpin pembangkang sudah lama berbuat demikian.

 “Kita tidak akan mengumumkan perkara itu dalam tempoh terdekat walaupun menyedari ramai yang ingin mengetahui apa isi kandungan manifesto.

“Apabila tiba masa sesuai, kita akan umumkannya, apa yang penting, rakyat perlu bersabar menanti pengumuman manifesto yang pasti menjanjikan banyak kebaikan untuk rakyat ,” kata kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga Wisma Darul Iman (WDI) di Dewan Besar WDI, Kuala Terengganu, semalam.

 Hadir sama memeriahkan majlis, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Haji Mat Razali Kassim dan Pengarah Tanah dan Galian (PTG), Dato’ Tuan Mamat Tuan Ngah.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, BN Terengganu sudah lama bersedia untuk menghadapi PRU-13 dan yakin mampu menawan beberapa kerusi yang kini dimiliki pembangkang.

 “Pihak kami akan membuka bilik gerakan mulai 1 Februari depan, bagi memudahkan orang ramai mendapat maklumat lebih terperinci.

“Dengan gerak kerja yang kita atur dan sambutan dari akar umbi lebih-lebih lagi dari jentera parti secara keseluruhannya kekuatan UMNO tetap terselah,” katanya.

 

Pas tersepit lagi hubungan dengan DAP



Analisis oleh: Kamarudin Mat Akib 

Pas kini tersepit lagi dalam menjaga hubungan dengan parti DAP yang sejak dulu, kini dan selama-lamnya anti-Islam.

Sejak seminggu lalu, ramai kalangan pemimpin Pas dan ahli-ahli parti itu lega apabila Majlis Syura Ulama Pas memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan untuk bukan Islam.

Ini kerana pandangan tersebut yang selari dengan pendapat ramai ulama dan tokoh agama di negara ini dan keputusan tersebut menyenangkan pemimpin Pas untuk menjelaskan isu berkenaan kepada penyokong dan ahli-ahli parti itu.

Buat beberapa waktu pemimpin Pas agak tenang dan boleh tidur lena kerana tidak ada pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang ‘menjolok’ mereka berhubung pendirian terbaru Majlis Syura Ulama Pas itu.

Bagaimanapun, ‘tidur’ pemimpin Pas kini, terutamanya Presiden mereka, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, terganggu apabila Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh, mengeluarkan kenyataan mahu memujuk Abdul Hadi supaya mengkaji semula pendirian itu kerana ia bercanggah dengan keputusan bersama PR sebelum ini.

Pada 8 Januari lalu, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang turut dianggotai Pas dan DAP memutuskan kalimah Allah boleh digunakan orang bukan Islam, termasuk Bible versi Bahasa Melayu.

Sejak itu, pemimpin Pas dikecam kerana mereka dikatakan tunduk kepada rakan-rakan bukan Islam yang sengaja mahu mencemarkan kesucian agama islam.

Umum mengetahui sekutu-kutu Pas ini bukan saja sentiasa mencari jalan untuk mencemarkan kesucian Islam, tetapi mereka juga menentang hasrat parti itu untuk melaksanakan hukum hudud.

Dengan desakan Karpal Singh yang juga merupakan orang bukan Islam yang paling kuat menentang pelaksanaan hukum hudud, sudah tentu memeningkan Abdul Hadi dan barisan pimpinannya.

Adakah Abdul Hadi akan terus mempertahankan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Syura Ulama Pas atau ‘tunduk’ kepada desakan DAP ?

Atau Abdul Hadi akan membuat pusingan U (U-turn) sekali lagi bagi memuaskan hati DAP dan Karpal sepertimana beliau mengugurkan cadangan Pas melaksanakan hukum hudud.

Ramai berpendapat Jika Abdul Hadi tunduk kepada DAP sudah tentu Pas akan kehilangan lebih ramai pemimpin kanannya yang dilaporkan membantah keputusan Pas sebelum ini yang turut bersetuju penggunaan kalimah Allah bagi bukan Islam.

Pada masa yang sama, kemungkinan besar beliau akan diugut oleh Karpal Singh dan sekutu-kutunya sama ada mengikut suara majoriti PR atau keluar pakatan.

Sudah tentu ini akan menimbulkan dlilema yang besar kepada Pas, terutama menjelang saat-saat akhir ‘loceng’ PRU 13 akan dibunyikan.


TNB sasar 500,000 pengguna e-servicies

Oleh; Esah Abdullah

Tenaga Nasional Berhad (TNB) mensasarkan dapat menarik sehingga 500,000 pengguna mendaftar dengan perkhidmatan e-servicies sehingga akhir tahun ini.

Penolong Pengurus Besar (Pembangunan Perkhidmatan dan Pemasaran), Jabatan Perkhidmatan Pengguna & Pemasaran Bahagian Pembahagian TNB. Puan Noraini Shaarani berkata, setakat ini 380,000 pengguna telah mendaftar dengan e–servicies di seluruh negara.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Program TNB Bersama Pelanggan TNB 2013 Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) TNB Kuala Terengganu.

Katanya, melalui perkhidmatan itu pengguna boleh mendapatkan pelbagai maklumat TNB terutama mengenai bil pembayaran elektrik serta pembayaran terus dalam talian.

``Sebagai contoh jika pengguna mempunyai banyak premis yang disewakan, mereka boleh menyemak sama ada penyewa berkenaan telah menjelaskan bil atau sebaliknya,’’ katanya

Sehubungan itu, pihaknya kini dalam usaha meningkatkan promosi perkhidmatan yang menawarkan pelbagai kemudahan dalam talian kepada pengguna.

 

Panorama Tasik Kenyir diterjemahkan dalam lukisan batik

Oleh: Aida Abd Rahman

Keindahan flora dan fauna di 10 pulau Kenyir Island Hoping (KIH), Tasik Kenyir berjaya diterjemahkan oleh 54 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke dalam lukisan batik menerusi `Program Aspirasi Darul Iman Cetusan Sejuta Ilham’ .

Kesemua lukisan yang dihasilkan dalam program kerjasama antara kerajaan negeri dengan UiTM sejak tahun lalu itu, sudah dipamerkan buat pertama kali di Hotel Permai, Kuala Terengganu pada 12 Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perlancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata kerajaan negeri yang memperuntukkan RM100,000 bagi menjayakan program itu berpuas hati dengan daya kreativiti dan inovasi ciptaan pelajar berkenaan.

“Pelajar berkenaan berjaya menterjemahkan ciptaan dan ilham mereka berdasarkan keindahan alam semula jadi, flora dan fauna di Tasik Kenyir dengan begitu cemerlang serta munasabah dengan mengangkat tema `Aspirasi Darul Iman Cetusan Sejuta Ilham’.

 “Selepas ini semua produk yang dihasilkan itu akan dilelong bergantung kepada kualiti. Produk yang baik, pasti harga yang ditawarkan lebih mahal,” katanya katanya di sidang akhbar sempana Majlis Pelancaran Kalendar Aktiviti Pelancongan 2013, sempena Tahun Melawat terengganu (TMT) 2013, di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Datuk Abdul Rahin berkata, pihaknya bercadang untuk mengadakan pameran dan jualan lukisan secara besar-besaran di Tasik Kenyir sempena Festival Kenyir 2013 yang dijadualkan berlangsung pada Mei ini.

Menurutnya, berdasarkan perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan UiTM, hasil jualan produk itu akan digunakan bagi membangunkan bakat-bakat dalam seni reka cipta di kalangan penuntut berkenaan.

Beliau berkata, pengunjung boleh mendapatkan lukisan kegemaran mereka apabila mula dijual nanti berdasarkan tema di setiap pulau KIH yang dibangunkan di Tasik Kenyir.

“Jika ke Pulau Burung, pengunjung boleh mendapatkan lukisan yang memaparkan reka corak buruk merak, kalau ke pulau herba boleh mendapatkan reka corak kulit kayu manis dan cengkis. Sementara jika di Pulau Ceri pula boleh mendapatkan reka corak batik buah yang menjadi buah rasmi Terengganu itu,” katanya.