Halaman

26 November 2012

MBKT baik pulih tandas

Oleh: Suriati Ali 

 Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kini sedang rancak membaik pulih dan membaiki 30 tandas awam di bandaraya itu, sebagai persediaan menerima jutaan pelancong menjelang Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

 Datuk Bandar, Dato’ Adzlan Mohd Dagang, berkata pada masa sama, pihaknya mengharapkan kerjasama semua pihak termasuk pemilik kedai makan, stesen minyak, pasar serta masjid dan surau meningkatkan tahap kebersihan tandas.

 “Orang ramai juga dingatkan supaya bersama-sama menjaga kebersihan jika mahu tandas awam di Terengganu kekal bersih, jika sebelah pihak saja yang mengambil cakna, ia tidak akan kekal lama,” katanya kepada pemberita pada sidang media khas di perkarangan Tandas Eksklusitf MBKT, Taman Shahbandar, Kuala Terengganu, petang semalam.

Dato’ Adzlan turut memberitahu, Tandas Eksklusi milik MBKT mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai tandas awam terbersih di Malaysia, sekali gus merangkul Anugerah Emas.

 Katanya, satu-satunya tandas eksklusif di bandaraya itu berjaya menewaskan tujuh tandas awam yang lain bagi kategori Tandas Awam PBT (Bandaraya/Perbandaran) pada Pertandingan Anugerah Tandas Bersih 1Malaysia.

 “Kejayaan itu amat bermakna untuk bandaraya baru seperti Kuala Terengganu, apatah lagi dalam usaha mencapai hasrat mempunyai bandaraya bersih yang menjadi pilihan ramai,” katanya.

 Menurutnya, kejayaan itu bagi saya bukan sahaja kejayaan MBKT tetapi warga bandaraya secara keseluruhannya.

 "Walaupun dari segi penggunaannya amat besar iaitu menghampiri 6,000 hingga 10,000 orang sebulan kerana kawasan ini menjadi lokasi karnival dan pasar malam tetapi pada masa sama, kita dapat mengekalkan kebersihan dan keadaan tandas ini setelah hampir lapan tahun beroperasi," katanya.

 Ditanya kemungkinan membina lebih banyak tandas eksklusif seperti itu, Adzlan berkata, Batu Burok dilihat lokasi strategik membina tandas seumpama itu. Bagaimanapun katanya, ia masih peringkat cadangan kerana kos pembinaan tandas itu agak besar iaitu RM500,000.

 

Bangsa Melayu harus optimis untuk maju

Oleh: Noraini Jusoh

Bangsa Melayu harus memandang jauh ke hadapan dan selalu berfikiran optimis untuk maju dalam bidang perniagaan.

Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata setelah lebih 50 tahun negara merdeka, bangsa Melayu harus sedar tidak selalunya akan berada dalam zon selesa.

"Dalam kedudukan politik negara yang meruncing, kita tidak boleh meramal apa yang akan berlaku kepada bangsa Melayu pada masa hadapan sekiranya kuasa politik dipegang oleh orang bukan Melayu.

"Sebagai golongan yang berkecimpung dalam bidang perniagaan dan keusahawanan, orang Melayu yang merupakan bangsa pahlawan harus berjihad untuk memartabatkan bidang perniagaan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam sendiri khususnya,” ujarnya di program Bicara Tokoh anjuran Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, baru-baru ini.

Membincangkan tajuk Khalifah Ganti Superman-Cabaran Pengurusan Masa Depan, beliau berpendapat kuasa politik dan ekonomi saling berkait rapat dan sekiranya orang Melayu berjaya dalam bidang ekonomi secara tidak langsung dapat membantu umat Islam yang lain.

Beliau yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Corporation berkata, orang Melayu harus bersatu dan saling membantu demi merealisasikan hasrat membina satu empayar perniagaan yang kukuh dalam kalangan bangsa Melayu.

Berpengalaman lebih 28 tahun menjadi CEO, beliau turut mengingatkan para peserta program yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu bahawa membina perniagaan bukanlah untuk sehari dua tetapi untuk generasi akan datang.

Tambah beliau, binalah perniagaan berlandaskan nilai Islam yang sebenar agar apa yang diusahakan akan diberkatiNya dan diberikan keuntungan yang setimpal.

 

25 November 2012

Ibarat setitik air di lautan yang luas-Prof Emeritus Dr Mohd Azmi

Oleh; Esah Abdullah


Seorang ahli akademik ulung , tenaga pengajar, penyelidik dan pakar rujuk dalam bidang sains perikanan Prof. Dr. Mohd Azmi Ambak, 61, telah menerima Penganugerahan Profesor Emeritus di Majlis Konvokesyen Ke-10 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam.

Penganugerahan tersebut disampaikan oleh Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UMT.

Prof. Dr Azmi berasal dari Lorong Haji Jamil, Kuala Terengganu berpengalaman 38 tahun dan mula aktif menjalani penyelidikan pada 1978 serta aktif menulis artikal dalam jurnal dan buku pertama beliau bertajuk ‘Freshwater Fishes of Peninsular Malaysia (1983) hingga kini buku tersebut masih lagi menjadi rujukan di seluruh dunia.

Sembilan buah buku yang berkait dengan perikanan telah berjaya diterbitkan dan buku terbaru beliau bertajuk ‘Fishes of Malaysia’ telah dilancar oleh Tuanku Canselor UMT Sultanah Nur Zahirah tahun lalu.



Kewibawaan beliau sebagai pemimpin terserlah apabila dilantik ke beberapa jawatan penting dalam universiti termasuklah Ketua Jabatan Biologi Perikanan dan Akuakultur (UPM/1982), Dekan Fakulti Perikanan dan Sains Samudera (1984), Pemangku Ketua Pusat Perikanan dan Sains Samudera (1990).

Timbalan Dekan Fakulti Perikanan dan Sains Samudera (1991), Pengarah (1995) Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Gunaan, UPM Terengganu (1996) dan telah dilantik ke jawatan Profesor pada 1997 dan apabila Kolej Universiti Sains dan Teknoloji Malaysia (Kustem) ditubuh pada 2001 beliau dilantik sebagai Dekan Pertama Fakulti Sains dan Teknologi (FST).

Beliau juga memegang jawatan Pengarah Pertama Institut Akuakultur Tropika (Akuatrop) (2004) dan Dekan Sekolah Siswazah (2006) dan setelah Kustem dinaiktaraf sebagai Universiti Malaysia Terengganu beliau dilantik sebagai Dekan Sekolah Siswazah.

Bapa kepada 10 orang anak terdiri daripada jurutera, pensyarah, peguam dan ahli perniagaan ini kemudiannya meletak jawatan (2009) kerana ingin menumpukan masa untuk membuat kajian dan penulisan.

Beliau yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti (2012-2015) kini memantapkan kepakaran dalam bidang perikanan dengan memfokuskan penyelidikannya serta aktif mengadakan kerjasama dengan institusi dan industri dalam dan luar negara.

Prof Dr Mohd Azmi telah berjaya membimbing lebih daripada 60 pelajar pasca-siswazah peringkat sarjana dan PhD dan juga telah menerima dana penyelidikan lebih RM6 juta.

 “Saya terharu di atas penganugerahan gelaran Prof Emeritus kepada saya dan ia merupakan penghargaan tertinggi setelah 38 tahun berkecimpung dalam bidang akademik , sesungguhnya sumbangan saya hanyalah ibarat setitik air di lautan yang luas,” katanya ketika memberi ucapan balas di majlis konvokesyen semalam.



Harga makanan mahal jejas imej Terengganu

Oleh: Nurul Aziella Saberi 

Golongan peniaga di negeri ini diminta supaya tidak menawarkan harga makanan atau produk jualan masing-masing terlalu mahal kerana dibimbangi menimbulkan rungutan orang ramai terutama pelancong luar.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, berkata seandainya keadaan itu berlaku dan berterusan ia boleh memberi kesan mendalam terhadap sektor pelancongan dan sedikit sebanyak akan menjejaskan promosi Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

“Mereka bukan saja bercakap mengenai apa yang dialami sesame rakan rombongan malah lebih mer\nyedihkan cerita itu turut disampaikan kepada rakan dan saudara lain yang belum lagi datang ke Terengganu.

“Apabila keadaan ini berlaku, secara langsung, memberi kesan mendalam sehingga membantukan mereka untuk berkunjung ke Terengganu,” katanya ketika berucap mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said pada Majlis Berkhatan di Tapak Pasar Tani Chukai, Kemaman, semalam.

Kira-kira 70 kanak-kanak dari kawasan itu termasuk mereka tinggal di Kuantan menyertai majlis anjuran Pasar Tani Daerah Kemaman dengan kerjasama Pejabat Daerah Kemaman dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu.

Hadir sama Pengarah FAMA Terengganu, Encik Hasan Jusoh; Pegawai Daerah Kemaman, Encik Mohamad Kamil Othman dan Pemangku Pengerusi Pasar Tani Chukai Encik Rosli Ahmat.

 Pada majlis sama, Datuk Wan Ahmad Nizam melancarkan Tabung Cakna Pasar Tani Chukai Kemaman yang diwujudkan bagi menjaga kebajikan peniaga terutama yang ditimpa bencana kebakaran, kemalangan dan banjir.

Datuk Wan Ahmad Nizam turut memberitahu dia mengakui harga makanan yang ditawarkan peniaga di Kemaman terlalu tinggi.

“Berdasarkan pengalaman, jika kita atau pelanggan itu ingin makan tengah hari di kawasan ini dengan tidak mempunyai wang tunai RM10, percayalah ia tidak berani untuk masuk mana-mana restoran atau gerai makanan.

“Saya menyatakan demikian kerana rata-rata makanan waktu itu beserta minuman dijual melebihi RM7, “katanya. .

 

UMT wujud tiga pusat kecemerlangan penyelidikan

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menubuhkan tiga pusat kecemerlangan penyelidikan iaitu Institut Oseanografi dan Sekitar (INOS), Institut Akuakultur Tropika (Akuatrop) dan Institut Bioteknologi Marin (IMB), Pusat Pembangunan Sosioekonomi (CSD).


Naib Canselor UMT, Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, kewujudan ketiga-tiga institut ini bertujuan menggalakkan tenaga pengajar di sini melibatkan diri dalam bidang penyelidikan yang memberi tumpuan kepada pembangunan sumber laut dan pesisir pantai.

“Paling membanggakan apabila Kementerian pengajian Tinggi (KPT) telah mengiktiraf INOS sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) yang ke tujuh di negara ini,” katanya di majlis Konvokesyen Ke-10 UMT semalam.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah merangkap Canselor UMT berkenan berangkat mengurniakan ijazah kepada 2, 080 graduan termasuklah 1,866 ijazah sarjana muda , diploma (102 orang), ijazah sarjana (98) dan ijazah doktor falsafah (13).

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis tersebut. Hadir sama Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Pro-Canselor UMT Tan Sri Samsudin Osman dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

 “Dengan pengiktirafan ini membolehkan INOS menerima dana RM3 juta setahun untuk tempoh tiga tahun bagi melonjakkan keupayaan dan pencapaiannya dalam bidang tujahan Kelestarian Ekologi Marin,” katanya.

Katanya, UMT juga menyahut cabaran sebagai peneraju pembangunan ECER dengan menubuhkan Institut Penyelidikan Kenyir yang bukan sahaja memberi tumpuan terhadap kajian aspek akuakultur air tawar tetapi juga penerokaan komponen pembangunan penting seperti kesejahteraan komuniti pinggiran tasek, kepelbagaian warisan tabie dan budaya serta pemajuan pelancongan berasaskan ilmu.

Tambahnya, tanpa mengenepikan peranan universiti sebagai sebahagian entiti masyarakat UMT turut menabur bakti melalui program kemasyarakatan seperti program cakna masyarakat oleh Pusat Jaringan Industri dan Khidmat Komuniti (INCOMS) yang memilih keluarga miskin untuk diberi bantuan.

Dato’ Dr Ibrahim kemudiannya mengingatkan graduan tidak mensia-siakan harapan dan pengorbanan ibu bapa yang banyak berkorban untuk kejayaan semua.

 “Penilaian masyarakat bukanlah terhadap nama universiti tempat anda bergraduat, tetapi ketrampilan diri serta penguasaan ilmu yang dipamer semasa berhadapan dengan masyarakat dan pastikan jiwa anda sentiasa besar dan berkeyakinan,” tegasnya

.





RISDA komited lahirkan usahawan di kalangan pekebun kecil

Oleh: Noraini Jusoh

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) komited dalam melahirkan lebih ramai usahawan di kalangan pekebun kecil.

Pengerusi RISDA, Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik berkata, beberapa pendekatan telah dikenalpasti oleh pihaknya dalam usaha menambah pendapatan isi rumah pekebun kecil terutamanya melibatkan program keusahawanan.

"Bagi merealisasikan hasrat melahirkan 10,000 pekebun kecil yang bergelar usahawan menjelang 2015, RISDA mempunyai strategi tersendiri yang cukup tersusun.

"Antara usahanya ialah dengan menyediakan lebih banyak kursus, latihan dan bimbingan bagi membantu pekebun kecil yang berminat dalam bidang keusahawanan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Usahawan RISDA dan Pelancaran Kelab Usahawan RISDA (RISEC) 2012 Peringkat Kebangsaan, di Pusat Dagangan Terengganu, semalam.

Katanya, pelancaran RISEC juga merupakan salah satu usaha pihaknya dalam membantu meningkatkan produktiviti usahawan di bawah naungan RISDA terutamanya di kalangan pekebun kecil.

"Dengan adanya kelab tersebut, secara tidak langsung dapat membina rangkaian kerjasama perniagaan antara semua usahawan RISDA di seluruh negeri.

"Selain itu, satu pelan pelaksanaan pembangunan usahawan pekebun kecil yang lebih tersusun dan lebih bersistematik dapat diwujudkan,” ujarnya.

 

DOA KEHANCURAN: IKUT NABI ATAU ABU JAHAL?


Rakyat berhak memilih

Oleh: Noraini Jusoh

Biar rakyat yang nilai dan pilih pemimpin yang mereka yakin boleh memerintah negara dengan aman dan harmoni.

Demikian ditegaskan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Badrul Hisham Zaki ketika diminta mengulas isu doa ‘KO-BN’ dan perebutan kuasa pemimpin pakatan pembangkang antara PAS, PKR dan DAP.

Badrul Hisham berkata, tidak ada gunanya pihak pembangkang menggunakan agama untuk meraih undi kerana masyarakat pada hari ini sedar siapa yang layak dipilih sebagai pemimpin.

"Biar rakyat sendiri yang nilai tindakan PAS mendoakan kehancuran Umno kerana jika mereka parti yang memperjuangkan agama Islam yang sebenar perbuatan sedemikian adalah tidak sesuai dengan perjuangan mereka.

"Rakyat pada hari ini bijak memilih dan biarkan mereka membuat keputusan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak khususnya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti,” ujarnya kepada Teganukita baru-baru ini.

Katanya, di Terengganu khususnya di bawah pemerintahan Umno dan Barisan Nasional (BN) telah terbukti bahawa nasib rakyatnya sentiasa terbela dengan kepimpinan Umno yang sentiasa bersatu dalam membela nasib rakyat di negeri ini.

"Ini tidak berlaku dalam pakatan pembangkang kerana belum apa-apa mereka telah bercanggah pendapat mengenai siapa yang akan menjadi Perdana Menteri sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya selepas PRU-13 nanti,” ujarnya.

 

UMT sasar pertambahan pelajar

Oleh: Suriati Ali

 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mensasarkan pertambahan pelajar kepada 8,500 pelajar menjelang 2015 berbanding jumlah sekarang iaitu 7,800 pelajar.


 Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr. Ibrahim Komoo , berkata untuk mencapai sasaran ini, UMT berusaha memantap dan meningkatkan kualiti program sedia ada supaya dapat melahirkan graduan pelbagai kebolehan.

 Katanya, sebagai sebuah universiti yang berkembang pesat dari segi infrasturuktur mahupun akademiknya, UMT sentisa berusaha untuk meningkatkan kualiti dan budaya penyelidikan kepada setiap warga akademik dan pelajar.

“Pendekatan ini sejajar dengan hasrat UMT untuk menjadi universiti komprehensif berfokus yang terunggul di Malaysia. “Selain itu, penekanan khusus turut diberikan bagi memantapkan prestasi sumber manusia yang merupakan aset utama dalam proses untuk menjadikan impian ini satu kenyataan,” katanya.



 Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santapan Malam sempena Majlis Konvokesyen ke 10 UMT di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

 Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Pro Cancelor UMT Tan Sri Samsudin Osman dan beberapa exco kerajaan negeri.

 Prof Datuk Dr. Ibrahim turut memberitahu, langkah-langkah berkaitan dengan penambahan pensyarah baru serta penghantaran tutor dan pensyarah melanjutkan pelajaran dipergiatkan bagi mencapai sasaran 70 peratus tenaga pengajar UMT berkelayakan Ph.D menjelang 2015.

 “Ketika ini, daripada 393 pensyarah yang aktif, 209 pensyarah mempunyai kelayakan Ph.D,” katanya. Katanya, sehinga Jun, 2012, UMT telah menerima kelulsuan untuk 44 projek penyelidikan bernilai RM6.1 juta daripada pelbagai penyumbang dana.

 “Apa yang membanggakan penyelidik kita juga telah memperoleh pengiktirafan dengan menerima banyak anugerah dan pingat dalam pertandingan serta pemeran penyelidikan dan inovasi berprejtij, sama ada peringkat kebangsaan mahupun luar negara,” katanya.

 




Sekolah luar bandar cemerlang hasil bantuan kerajaan

Analisis berita oleh: Kamarudin Mat Akib

Kemampuan sekolah-sekolah luar bandar mencatat kejayaan luar biasa dengan memonopoli 10 sekolah terbaik Terengganu dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang lalu, membuktikan kesungguhan kerajaan negeri menyediakan pelbagai kemudahan di sekolah rendah di luar bandar.

Kini tidak ada perbezaan antara sekolah rendah di bandar dengan luar bandar kerana murid-murid yang berada di sekolah bandar dan luar bandar mempunyai kemudahan yang setaraf.

Malah, dengan adanya pelbagai kemudahan itu, termasuk e-Book untuk semua murid Tahun 4 hingga Tahun 6 di luar bandar, mereka mampu mencatatkan kejayaan luar biasa melebihi daripada rakan-rakan mereka yang berada di bandar.

Keputusan peperiksaan UPSR terbaru menunjukkan empat sekolah rendah di Hulu Terengganu tersenarai sebagai 10 sekolah yang merekodkan pencapaian terbaik berdasarkan nilai Gred Purata Sekolah (GPS) dalam UPSR 2012.

Lebih membanggakan Sekolah Kebangsaan (SK) Tapu (1.12) di Hulu Terengganu muncul sekolah terbaik di Terengganu dalam keputusan UPSR tahun ini.

Manakala lapan sekolah luar bandar lain iaitu SK Kemat (1.23), SK Teris (1.34), SK Kuala Berang (1.37), SMK Chalok (1.23), SK Kampung Bari Sungai Tong (1.50), SK Kampung Jaya, Setiu (1.51), SK Tepus, Dungun (1.51) dan SK Tok Dor, Besut (1.52) muncul antara 10 terbaik di Terengganu.

Dalam memastikan semua murid sekolah rendah, termasuk di luar bandar yang berada di Tahun 4 hingga Tahun 5 memiliki komputer riba, kerajaan negeri memberikan e-Book secara percuma kepada mereka.

Tidak ketinggalan, guru-guru yang mengajar murid-murid tersebut turut dibekalkan komputer riba yang juga diberi secara percuma.

Mereka juga dibekalkan dengan soalan-soalan latih tubi bagi mengekalkan kecergasan minda menjelang peperiksaan, sejak awal tahun lagi.

Begitu bersungguh pemimpin kerajaan negeri menyediakan segala kemudahan kepada murid-murid berkenaan bagi memastikan kecemerlangan pelajaran mereka, sejak bertahun-tahun lalu.

Dan hasilnya, dapat kita sama-sama saksikan bila keputusan peperiksaan diumumkan di mana murid-murid di negeri ini lulus dengan cemerlang, terutama di kalangan mereka yang berada di sekolah-sekolah luar bandar.