Halaman

12 November 2012

Larian Perpaduan erat silaturahim

Oleh :Amirullah Othman 

Program Larian Perpaduan anjuran bersama KRT Kampung Bukit Rhu Rendang, JKKK Kampung Bukit Rhu Rendang, Persatuan Belia MAYC Kampung Bukit Rhu Rendang, di Taman Kalongan Melor, semalam menarik penyertaan 600 orang.

Penyertaan yang menggalakkan itu menggambarkan semangat kekeluargaan yang tinggi di kalangan masyarakat tempatan dan ianya wajar diteruskan supaya anak-anak cucu penduduk di kawasan itu mewarisi generasi prihatin.

Mulai jam 7.30 pagi, semua peserta bersama-sama melakukan senamrobik yang di bimbing oleh jurulatih terlatih.

Program itu diteruskan dengan pertandingan larian perpaduan meliputi pelbagai kategori di mana acara pelepasan dilakukan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar.

Riak wajah gembira dan inginkan kemenangan terpancar di setiap wajah para peserta yang terdiri daripada kanak-kanak, remaja, dewasa dan veteran.

Wan Kamaludin Wan Chik, Pengerusi JKKK Kampung Bukit Rhu Rendang ketika ditemubual wartawan Teganukita melahirkan rasa syukur kehadrat Allah kerana cuaca sangat baik dan membolehkan program itu berjalan lancar.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada JabatanPerpaduan, Pejabat Belia dan Sukan, IPD Marang, Rela Marang dan MAYC Marang kerana dengan sokongan dan bantuan badan-badan ini, program tersebut dijayakan dengan lancar.

Katanya, kawasan itu sememangnya tidak sunyi dengan program-program kerana semua penduduk memberi sokongan yang sangat baik bagi setiap program yang diadakan.

Menurutnya, minggu depan pihaknya akan mengadakan program berkhatan beramai-ramai bagi kanak-kanak berusia 8 hingga 12 tahun.


Jentera Puteri UMNO Hulu Terengganu siap sedia

Oleh: Mastura Jamaluddin

Jentera Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu kini semakin bersiap sedia untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 13(PRU 13) yang akan tiba pada bila-bila masa sahaja.

Ini terbukti dengan kesungguhan ahli Puteri UMNO yang bertugas dalam sistem maklumat sanggup berkorban masa untuk memantapkan diri masing-masing dengan kemahiran tersebut, bagi membantu jentera parti.

Seramai 250 orang petugas sistem maklumat berjaya dikumpulkan untuk mendengar dan memahami segala perisian serta taklimat mengenai tugasan mereka daripada 50 peti undi di Parlimen Hulu Terengganu.

Program sepagi itu turut disertai oleh semua pengerusi dan setiausaha peti undi (PDM) bagi mempelajari serta memahami tugasan ahli puteri.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu ,Puan Zurina Abdul Rahman menegaskan bahawa puteri UMNO memberikan fokus sepenuhnya untuk PRU 13 bagi memastikan kemenangan milik Barisan Nasional. Puteri UMNO juga akan bekerja kuat di samping mendapat kerjasama jitu dari pengerusi Peti Undi hingga mereka lebih bersemangat.

Program tersebut turut dikejutkan dengan kehadiran Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu,YBM Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang bersama isteri.

“Saya merasa kagum dengan semangat petugas puteri UMNO yang hadir pada pagi ini dan juga ribuan terima kasih atas kehadiran pengerusi serta setiausaha PDM membuktikan bahawa kita semua sudah bersedia untuk PRU 13.

“Segala persiapan demi persiapan tersusun rapi membuktikan bahawa Barisan Nasional sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan PRU 13 yang akan di umumkan pada bila-bila masa sahaja.

“Kerja kuat serta semangat yang ada akan memastikan kemenangan adalah hak milik Barisan Nasional,” kata Dato’ Tengku Putera sewaktu memberi kata-kata semangat di hadapan 350 orang peserta program Siap siaga Sistem Maklumat Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu baru-baru ini.


Penjaja digesa berdaftar dengan SSM

Oleh; Esah Abdullah

Penjaja dan peniaga kecil di negeri ini diminta mendaftar segera untuk mendapat manfaat daripada skim perlindungan insurans berkelompok bagi memperkasa ekonomi usahawan.

 Timbalan Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Encik Ab Ghani Harun berkata, sebahagian besar penjaja dan peniaga kecil di negeri ini tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Bilangan mereka memang ramai ramai, tapi tidak pernah berdaftar dengan SSM, jadi mereka terlepas peluang menikmati skim perlindungan insuran berkelompok,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi Bajet Belanjawan 2013 memperuntukkan sebanyak RM16 juta setahun di bawah skim insurans tersebut yang memberi perlindungan maksimum RM5,000 kepada penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar.

 “Saya sarankan mereka yang belum berdaftar terutama penjaja dan peniaga kecil di kampung-kampung berdaftar segera supaya dapat memanfaatkan skim insurans yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Mana-mana penjaja dan perniagaan yang telah mendaftarkan perniagaan mereka, bolehlah daftar untuk skim perlindungan insuran pula pejabat KPNDKK Kuala Terengganu, ataupun di mana-mana cawangan,” katanya yang juga Setiausaha Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri (MPPPKN)
Terengganu.

Beliau berkata demikian pada Majlis Dialog Fungsi-Fungsi dan Peranan KPDNKK kepada Penjaja dan Peniaga di Restoran Terapung, Kuala Terengganu.

Menurutnya, insurans itu bukan sahaja melindungi peniaga tetap yang mempunyai syarikat sebaliknya peniaga sementara termasuk yang berjaja di bazar ramadan atau di kaki lima mahupun di pasar malam.

Katanya usaha kerajaan ini adalah untuk menjaga kebajikan golongan penjaja dan peniaga kecil sekiranya berlaku kemudaratan diri, hilang upaya serta kematian.

 

Jelajah Qatar penentuan 10 pelumba TSG ke LTdL


Perlumbaan Jelajah Qatar 2013 akan menjadi kayu pengukur kepada pasukan Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG) untuk memilih pelumba ke Jelajah Le Tour de Langkawi (LtdL), Februari depan.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Encik Hadi Hassan, berkata mereka akan menghantar sekurang-kurangnya 10 pelumba bagi menghadapi saingan Jelajah Qatar dari 3 hingga 8 Februari depan.

Katanya Jelajah Qatar, yang setaraf dengan LTdL, akan menjadi medan untuk TSG menilai prestasi pelumba sebelum menghadapi LTdL 2013 dari 21 Februari hingga 2 Mac depan.

Selain Jelajah Qatar, beliau berkata sekiranya ada kesempatan dan masa, mereka akan menghantar pelumba ke Jelajah Oman dari 12 hingga 17 Februari depan.

 Sekembali dari Jelajah Qatar, TSG akan mengadakan jelajah Malaysia selama seminggu bermula di Perlis dan berakhir di Terengganu dengan menggunakan laluan LTdL sebagai persiapan akhir menghadapi LTdL.

Katanya Chiang Rai, Thailand, dipilih sebagai lokasi latihan skuad TSG bulan depan bagi menghadapi LTdL kerana wilayah utara negara itu mempunyai kawasan landai dan berbukit dan sesuai untuk menjalankan latihan akhir.


Persatuan bola usah abai aspek pembangunan pemain


Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek mengingatkan setiap persatuan bola sepak negeri agar tidak mengabaikan soal pembangunan pemain dalam kerancakan membeli pemain tersohor bagi mengisi tonggak utama pasukan masing-masing ketika ini.

Beliau berkata, persatuan bola sepak negeri perlu mencontohi kelab-kelab bola sepak luar negara yang turut berfungsi sebagai kilang dalam membangunkan pemain sehingga lahirnya pemain-pemain ternama dunia. 

“Mengambil pemain tersohor dunia (seperti yang dilakukan persatuan bola sepak negeri sekarang) tidaklah asing sebab dalam liga-liga besar di England dan Sepanyol juga mereka lakukan perkara serupa.

“Tetapi pada masa sama saya minta persatuan bola sepak negeri tidak mengabaikan program pembangunan pemain,” katanya mengulas mengenai persatuan bola sepek negeri yang kini rancak membeli pemain bagi menghadapi saingan liga Malaysia musim depan.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Netbook 1 Malaysia Fasa 3 untuk pelajar sekolah menengah Parlimen Kemaman di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, baru-baru ini.

Namun , katanya, situasi sekarang dilihat ada persatuan bola sepak negeri yang lebih mementingkan untuk membeli pemain dari membangunkan pemain. Berikutan itu di negara ini ketika ini kebergantungan dalam membangunkan pemain bola sepak hanyalah di peringkat pusat iaitu menerusi Sekolah Sukan Bukit Jalil.

 “Bila keadaan ini berlaku akhirnya kita berputar pemain yang sama, hari ini main untuk negeri ini, esok untuk negeri itu, lusa untuk negeri ini lagi.

“Kalau saya tidak silap dalam Piala Suzuki AFF 2010, seramai 15 pemain adalah dilahirkan menerusi Sekolah Sukan Bukit Jalil,” katanya.


MB lawat projek-projek di Kemaman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said melakukan lawatan kerja sehari di daerah Kemaman bagi meninjau beberapa projek besar di sekitar Bandar Cukai.



Dalam lawatan tersebut yang bermula kira-kira jam 9 pagi ini, beliau turut melawat tapak projek pembinaan Jambatan Bukit Kuang, Projek Membenteng Tebing Sungai Kemaman di Bandar Chukai dan projek menaiktaraf Sungai Chukai Di Bawah Tebatan Banjir Bandar Chukai.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Setiausaha Kejaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohamad Kamil Othman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Haji Mustafar Khalid dan ketua-ketua jabatan berkaitan.

Menteri Besar dan rombongan turut menaiki bot menyusuri Sungai Chukai hingga ke Sungai Yakyah bagi melihat ekologi kawasan tersebut.



11 November 2012

MB: Parti PAS tidak kuat di Terengganu.


Dato' Seri Ahmad Said melayani tetamu Veteran UMNO Malaysia

Oleh: Mohammad Ishak 

Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) bakal menyaksikan pilihan raya yang sengit kerana Kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan sahaja berhadapan dengan pembangkang malah dengan pihak luar.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’Seri Ahmad Said,berkta, Terengganu yang pernah berdepan dengan PAS dan dua kali kalah pada pilihan raya mempunyai pengalaman luas untuk berhadapan dengan pembangkang.

Menurutnya, kekalahan pertama pada 1959 dan kedua 1999 bukan disebabkan PAS mempunyai kekuatan di Terengganu sebaliknya semangat jati diri ahli Umno tidak tebal dan mudah menerima pujukkan.

Dato' Ahmad yang juga Menteri Besar Terengganu berkata,kemenangan Pas pada 1999 menjadi kenangan pahit apabila ahli parti itu melakukan pelbagai tindakan sehingga sanggup menghalau kanak –kanak Tadika, menutup balai raya dan menahan kereta Ahli Exco.

“Apa yang menyedihkan  pemimpin Pas tidak berbuat sesuatu terhadap tindakan ahli parti dan begitu angkuh apabila mereka dapat memerintah Terengganu bagi kali kedua,” katanya ketika berucap pada majlis meraikan ahli Veteran UMNO Malaysia di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu malam tadi.

Bagaimanapun, katanya, ahli Umno negeri ini bangkit dengan sepenuh semangat untuk menentang kezaliman Pas dan akhirnya berjaya merampas kembali negeri ini ke pangkuan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, Pas sebenarnya tidak kuat di Terengganu sebaliknya ramai ahli Umno ketika itu berpaling tadah kerana tidak puas hati terhadap sesuatu menyebabkan mereka mengundi Pas.

Menteri Besar berkata, ketika ini kerajaan negeri mempunyai kekuatan lebih untuk berhadapan pembankang kerana mempunyai beberapa agensi yang ditubuh khas untuk membantu rakyat dan sentiasa turun padang bersama masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua Vetran UMNO untuk sama-sama menyingsing lengan, menyusun langkag dan mara sederap kepemimpinan UMNO untuk mempastikan kejayaan dan kemenangan BN dalam PRU13 nanti.

Kerajaan Terengganu sumbang RM50,000 kepada Yayasan Veteran Umno Malaysia

Oleh: Mohammad Ishak 

Perhimpunan Agung Tahunan Veteran UMNO Malaysia Kali Ke 5 yang berlangsung di Kuala Terengganu membuka lembaran baru kepada organisasi itu apabila mesyuarat berkenaan meluluskan usul penubuhan Yayasan Veteran Umno Malaysia (YVUM).

Penubuhan yayasan itu juga memalui detik bersejarah apabila ahli perwakilan apabila secara sukarela merka mengutip derma kilat untuk tujuan menubuhkan yayasan yang dianggap nadi penting kepada perjuangan veteran untuk mempertahankan maruah bangsa melalui UMNO.

Hasil kutipan kilat dari perwakilan perhimpunan itu berjaya mengumpul RM3,000 daripada 600 perwakilan yang menghadiri persidangan dua hari di sebuah hotel terkemuka di negeri ini.

Bertambah mengembirakan ahli veteran berkenaan apabila Yang Amat Menteri Besar, Dato’Seri Ahmad Said mengumumkan sumbangan RM50,000 kepada yayasan itu sebagai geran pelancarannya.

Ahmad membuat pengumuman itu ketika meraikan kunjungan veteran UMNO pada majlis makan malam di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, malam tadi  yang turut dihadiri Ahli-Ahli Yang Berhormat negeri ini serta bekas Yang Berhormat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Perhimpunan itu, Dato’ Yahya Hashim (gambar) berkata, beliau tidak menyangka sikap perihatin Menteri Besar yang meluluskan peruntukan begitu besar untuk pertubuhan itu menjalankan pelbagai aktiviti untuk ahli dan masyarakat.

Yahya berkata, walaupun ia baru dicetuskan oleh perwakilan tetapi yayan itu diharap dapat memberi peluang ahli mempelbagai aktiviti sosiol dan ekonomi.

Beliau berharap, pimpinan kerajaan negeri di bawah UMNO dapat mencontohi Kerajaan Terengganu yang memberi sumbangan kepada yayasan berkenaan.

Hayati konsep merakyatkan pentadbiran

Oleh: Noraini Jusoh

Kakitangan awam di negeri ini perlu menghayati konsep Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.

Demikian ditegaskan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dalam ucapannya sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Meraikan Persaraan Kakitangan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri (PPAT) 2012 baru-baru ini.

Menurutnya, seseorang yang dilantik sebagai penjawat awam perlulah sentiasa mengutamakan kehendak dan kepuasan pelanggan yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia.

 “Sebagai contoh, kakitangan yang berkhidmat di PPAT khususnya di bahagian kaunter perkhidmatan yang selalu berhubung dengan orang ramai yang kebiasaannya terdiri daripada pelajar hendaklah sentiasa mempamerkan senyuman supaya mudah didekati golongan sasaran.

“Kebiasaan anak-anak remaja akan lebih selesa sekiranya kakitangan awam menunjukkan sikap ingin membantu dan ini sekaligus dapat menarik mereka datang ke perpustakaan seterusnya memenuhi hasrat kerajaan negeri dalam meningkatkan kecemerlangan anak Terengganu,” ujarnya.

Katanya, kakitangan awam juga hendaklah mengamalkan nilai-nilai murni serta jauhkan sikap pentingkan diri apatah lagi untuk kepentingan peribadi.

 “Jujur, amanah dan integriti antara sifat yang perlu diamalkan oleh seseorang kakitangan awam supaya produktivi kerja yang mereka tunjukkan akan dihargai serta diberi ganjaran oleh pihak atasan.

 Katanya, dalam usaha membantu kerajaan memodenkan perkhidmatan awam, mereka juga perlu berpengetahuan tinggi terutama dalam bidang teknologi maklumat (IT).

“Justeru, segala kemudahan infrastruktur yang disediakan oleh pihak kerajaan boleh digunakan sebaik mungkin oleh penjawat awam untuk memajukan diri,” ujarnya.

 

Medan uji pelumba wanita

Oleh: Aida Abd Rahman

Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) akan menguji 10 pelumba berbasikal wanitanya dalam berbaki dua kejohanan yang diatur persatuan itu hujung tahun ini.

Ketua jurulatih PLBT, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata ia sebagai pendedahan awal untuk memilih pelumba mewakili Sukan Malaysia (Sukma) 2014 di Perlis.

Semua pelumba wanita itu yang diletakkan di bawah projek Sukma, akan diuji pada Kejohanan Berbasikal Trek Sportexcel di Kuala Lumpur bulan ini dan Kejohanan Grand Prix (GP) Series Sirkit ke-5 di Melaka pada hujung Disember.

“Setakat ini kami ada lapan muka baharu pelumba wanita yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Lima daripada mereka berada di Kemaman dan dilatih Ahmad Musa, bekas pelumba berbasikal Terengganu manakala tiga lagi di Kuala Terengganu yang dilatih saya sendiri,” katanya.

Beliau berkata, dua lagi pelumba sedia ada yang akan bersama lapan pelapis itu ialah Nurul Shuhada Zainal dan Umi Hamimah Ahmad, masing-masing pemenang pingat emas acara lebuh raya dan trek.