Halaman

10 October 2012

TSG senarai tujuh anak jati galas cabaran Jelajah Hainan

Antara pelumba muda basikal TSG yang bakal membawa cabaran pada Jelajah Hainan di China.
Pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG) bakal menyenaraikan tujuh anak jati negeri itu bagi menggalas cabaran pada Jelajah Hainan di China dari 20 hingga 28 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Hadi Hassan berkata , TSG mahu beri peluang tujuh pelumba tempatan diketuai pelumba handalan negara Mohd Shahrul Mat Amin menimba pengalaman pada kejohanan Asia berstatus 2.0 HC (kategori Hors) itu. Selain Mohd Shahrul, TSG akan dibarisi Mohd Haris Salleh, Zamri Salleh, Mohd Saufi Mat Senan, Mohd Nor Umardi Rosdi, Saiful Anuar Abdul Aziz dan Nur Amirul Fakhruddin Marzuki.

“Kejohanan itu melibatkan lapan peringkat yang mana jarak setiap perlumbaan adalah sejauh antara 180km dan 210km,” katanya.

 Beliau berkata kejohanan lumba basikal Terbuka Perlis yang berakhir semalam merupakan medan pemanas badan bagi tujuh pelumba berkenaan sebelum menghadapi Jelajah Hainan.

 Kejohanan tersebut menyaksikan Mohd Shahrul menjuarai acara kriterium lelaki elit sejauh 49.5 kilometer manakala Mohd Nor Umardi di tempat kedua acara itu, manakala pelumba ATM, Mohd Adiq Hussaini Othman menduduki tempat ketiga.

 Encik Hadi berkata, pelumba TSG ada 10 hari untuk buat persiapan sebelum ke Hainan, 18 Oktober ini. Mereka akan ditemani jurulatih TSG kelahiran Itali, Sabastian Ducles

 

ADUN Hulu Besut sertai kayuh basikal bersama murid dan guru


ADUN Hulu Besut Nawi Mohamad sertai kayuhan basikal

Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 50 murid dari Sekolah Kebangsaan Alur Keladi menyertai Program Kembara Berbasikal sejauh 20 kilometer dari sekolah berkenaan ke Air Terjun Lata Tembakah, semlam.

Program anjuran Kelab Basikal Sekolah Kebangsaan Alur Keladi dengan kerjasama Pejabat Penyelaras DUN Hulu Besut itu turut disertai enam guru pengiring.

 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut,Nawi Mohamad melakukan upacara pelepasan peserta dan turut menyertai kayuhan sejauh 10 kilometer bersama murid dan guru.

Guru Besar berkenaan,Masitah Hassan berkata, program itu bertujuan mendidik murid mengenali kampung sendiri selain membina ketahanan diri dikalangan peserta.

Katanya, peserta terbabit yang baru menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), juga sebahagian daripada usaha melepaskan rasa bosan mereka dan perlu diberikan dengan pengisian aktiviti riadah.

Menurutnya, semua pelajar menunjukkan minat dan bersemangat ketika menyertai kayuhan itu malah mereka tidak menunjukkan keletihan walaupun terpaksa berkayuh sejauh 20 kimometer.

Sementara itu, Nawi berkata program seumpama itu mampu memberi ketahanan fizikal kepada peserta kerana ia turut menggunakan tenaga dan kesabaran ketika berkayuh.

Katanya, penyertaan beliau dalam kayuhan itu walaupun tidak sampaike destinasi ditetapkan ia sekurang-kurangnya memberi sedikit semangat kepada peserta termasuk guru yang menyertai program berkenaan.

09 October 2012

Perjuangan Pas tidak tepati kehendak Islam – Shahnon Ahmad

Perjuangan politik Pas kini tidak lagi menepati kehendak Islam apabila parti itu bekerjasama dengan DAP, kata Sasterawan Negara Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad.

Beliau berkata apa yang dilakukan oleh Pas sekarang ialah hanya menuruti kehendak politik DAP dan pendekatan seumpama itu bercanggah dengan kehendak Islam kerana Pas sepatutnya memimpin dalam memperjuang Islam.

Shahnon yang juga anggota Pas seumur hidup berkata, adalah sangat menyedihkan kerana kerjasama Pas dengan DAP itu bukan seperti yang diharapkan dan ia bercanggah dengan pendekatan yang diambil Rasulullah S.A.W ketika memerintah dan bekerjasama dengan golongan bukan beragama Islam.

"Sepatutnya DAP tertakluk kepada peraturan Islam kalau mereka hendak bekerjasama dengan Pas," katanya semalam.

Beliau yang juga bekas anggota Parlimen Pas Kawasan Sik berkata dasar Pas sekarang tersasar daripada perjuangan asalnya apabila terpaksa menuruti kehendak DAP. DAP sebelum ini telah menyatakan tidak akan menyokong penubuhan negara Islam di negara ini seperti yang dimahukan Pas.

Shahnon yang pernah bertugas sebagai Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) berkata pendekatan Rasulullah SAW bekerjasama dengan kaum Yahudi, Kristian dan munafik bukanlah seperti kerjasama Pas dan DAP sekarang kerana ketika itu Islam yang memerintah dan memimpin kaum-kaum berkenaan.

 

Zoo Bukit Takal taman mainan MB?

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Sejak kebelakangan ini hebat diperkatakan Zoo Bukit Takal di Kemaman hanyalah satu pembaziran duit rakyat semata.

Kehadiran pengunjung ke Zoo Bukit Takal Kemaman semakin bertambah dari hari ke hari.

Dimana-mana heboh mengatakan kerajaan negeri Terengganu banyak mengeluarkan belanja untuk binatang sampai menelan jutaan ringgit.

Baru-baru ini pihak pembangkang telah membuat edaran risalah mengenai hal tersebut secara meluas di sekitar Bandar Kemaman. Peruntukkan sebanyak RM100 juta yang dikatakan duit rakyat telah dibelanjakan untuk pembangunan Zoo Bukit Takal menjadi topik utama mereka.

Antara isu lain yang dimainkan oleh mereka adalah seperti RM10 juta untuk membeli pelbagai jenis beruk dan binatang, RM1juta untuk membeli 3 ekor Badak Sumbu, RM1.6 juta untuk membeli 6 ekor Zirafah, RM153,600 untuk membeli 6 ekor Baboon, RM384,000 untuk membeli 20 ekor burung Merpati, RM230,400 diperuntukkan untuk 24 ekor Flamingo dan banyak lagi fitnah liar yang ditabur pihak pembangkang.

Mustafar Khalid
Yang di Pertua Majlis Perbandaran (YDP) Kemaman, Mustafar Khalid telah membuat laporan polis bagi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dan fitnah yang terkandung dalam risalah tersebut.

Keadaan ini secara tidak langsung dapat membersihkan semula nama Menteri Besar Terengganu di samping menjelaskan perkara yang sebenarnya.

Beliau menjelaskan tiada perbelanjaan sebanyak ratusan juta dikeluarkan oleh kerajaan negeri untuk membeli beruk dan binatang sepertimana yang terkandung dalam risalah malah kebanyakan binatang seperti Zirafah, Badak Sumbu dan Bamboo langsung tidak ada di Zoo Bukit Takal Kemaman.

Tambah YDP Mustafar Khalid lagi, pihak pembangkang sudah ketandusan isu untuk menjatuhkan kerajaan sekarang, oleh sebab itu mereka tidak segan silu lagi menabur fitnah yang bukan-bukan bagi menghasut rakyat.

“Kebanyakan binatang yang ada di Zoo Bukit Takal Kemaman disumbangkan oleh Perhilitan Melaka seperti Buaya Tembaga, Ungka Tangan Putih dan kebanyakannya disumbangkan oleh orang awam,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.

 

Teganukita 66


23, 025 calon duduki PMR seluruh Terengganu bermula hari ini

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Seramai 23,025 pelajar Tingkatan Tiga termasuk 124 daripada mereka adalah calon berkeperluan khas (CBK) seperti buta, pekak, bisu, rabun, spastik dan lembam mula menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bermula hari ini.

Kesemua calon berkenaan menduduki peperiksaan di 192 pusat peperiksaan melibatkan 135 sekolah bantuan penuh kerajaan; tiga di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM); masing-masing dua dan empat swasta dan persendirian.

Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong, berkata seramai 22,229 adalah calon sekolah bantuan penuh kerajaan; 495 calon MRSM; 73 calon swasta dan 228 calon persendirian.

"Alhamdulillah, permulaan peperiksaan PMR kali ini berjalan dengan baik dan kita harap ia berterusan sehingga tempoh peperiksaan tamat pada Selasa ini," katanya.

Katanya, cuaca baik pada peperiksaan kali ini juga memberi kelebihan dan keselesaan kepada pelajar untuk menduduki peperiksaan dengan lancar.

Beliau juga berharap kesemua calon dapat menempuhi peperiksaan tanpa sebarang masalah, selain memberi tumpuan sepenuhnya kepada semua subjek diambil agar mendapat keputusan cemerlang sekali gus memastikan Terengganu mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan awam itu nanti.

Sehubungan itu juga, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said turut memberi kata-kata semangat kepada calon PMR menerusi laman sosial facebook beliau.

 “Selamat berjaya saya ucapkan kepada pelajar Tingkatan Tiga yang akan menduduki PMR yang bermula hari ini.

 “Marilah kita sama-sama mendoakan agar mereka dipermudahkan untuk menghadapi peperiksaan ini dengan lancar.”katanya.

Beliau turut mengharapkan generasi pewaris itu dapat meneruskan prestasi cemerlang negeri Terengganu dalam bidang pendidikan.

 Dalam pada itu, sejumlah 481,424 pelajar Tingkatan Tiga akan menduduki PMR berrmula hari ini sehingga 16 Oktober ini di seluruh negara.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), daripada jumlah itu, 448,436 calon dari sekolah bantuan penuh kerajaan dan 5,846 calon sekolah kerajaan seperti MRSM.

Sebanyak 10,051 calon dari sekolah agama tadbiran negeri, 13,728 calon sekolah swasta, 1,151 calon persendirian perseorangan dan 2,212 calon dari Sekolah Agama Rakyat.

 Manakala 3,560 pusat peperiksaan akan dibuka di seluruh negara dengan 33,898 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.

 

Mini Karnival Perubatan 1 Malaysia Hospital Hulu Terengganu

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Bertemakan “Rakyat Sihat,Masyarakat Sejahtera:1MALAYSIA”, Hospital Hulu Terengganu(HHT) akan mengadakan Mini Karnival Perubatan 1Malaysia pada 30hb Oktober di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, sebagai satu program yang diadakan bagi memberi peluang kepada masyarakat dan warga hospital berinteraksi secara lebih terbuka dan berkomunikasi dengam lebih dekat lagi.

Program yang julung kali diadakan itu merupakan program bersama Lembaga Pelawat Hospital Hulu Terengganu serta Lembaga Pelawat Psikiatrik HHT dengan kerjasama Majlis Daerah Hulu Terengganu dan Pejabat Daerah Hulu Terengganu.Program bermula seawal 8.30 pagi sehingga 6 petang.

“Pihak kami mempunyai objektif yang spesifik iaitu meningkatkan kolaborasi dan hubungan kerjasama antara pemimpin,jabatan-jabatan, unit-unit, para anggota dan masyarakat setempat khususnya.

“Selain itu,kami ingin memberi peluang kepada masyarakat bagi mengenali lebih dekat lagi perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan di Hospital Hulu Terengganu serta beramah mesra dengan pemimpin, warga hospital, kesihatan dan pergigian,” kata Dr Muhaida Suzana Mohd Mokhtar selaku Pengarah Hospital Hulu Terengganu ketika di temui Teganukita.

Menurutnya, pelbagai aktiviti akan diadakan seperti pameran,pemeriksaan kesihatan, kuiz, derma darah, pertandingan masakan dan menu sihat yang dianggarkan hampir 20 kesemuanya dan berharap ianya akan berjaya menarik minat orang ramai.

“Saya sebagai Pengarah HHT begitu berharap karnival ini akan berjaya dan dapat dijadikan sebagai aktiviti tetap tahunan bagi hospital,” katanya.

 

Dun Bukit Payong capai Transformasi Pendidikan hebat

Oleh : Amirullah Othman

Dalam menghadapi era perubahan yang semakin pesat dan tidak menentu sedikit sebanyak telah membuka minda supaya setiap pemimpin memiliki ciri-ciri kepimpinan yang luar biasa.

Sedang pelajar bergelut untuk menduduki peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM, Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Encik Zaidi Muda mendapat ilham baru yang sangat kreatif untuk memberI sumbangan alat tulis kepada 2,000 pelajar dalam Dun berkenaan bagi menghadapi peperiksaan.

Pemberian ini sedikit sebanyak dapat membantu calon-calon ini menghadapi peperiksaan dengan tenang dan selesa tanpa memikirkan tentang persiapan alat tulis yang merupakan sesuatu yang penting untuk menjawab peperiksaan nanti.

Pemberian ini merupakan sumbangan yang ikhlas daripada Pegawai Pembangunan DUN untuk calon-calon yang akan menduduki peperiksaan tahun ini.

“ Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, saya harap ia dapat membantu anak-anak semua,” kata Encik Zaidi Muda ketika berucap di majlis penyerahan alat tulis di SMK Seri Payong, semalam.

Walaupun Dun Bukit Payong dimenangi oleh Pembangkang, namun berkat sokongan daripada kerajaan Negeri Terenggganu yang dipimpin oleh BarisanNasional dengan melantik Encik Zaidi sebagai Pegawai Pembangunan DUN telah merubah corak pembangunan dan sahsiah masyarakat tempatan ke arah yang lebih baik.

Pemimpin yang ditampilkan oleh Barisan Nasional ini mampu menangani segala perubahan dan pelbagai kesan sama ada terhadap persekitaran, budaya mahupun jangkaan subordinat.

Untuk itu dalam melakukan perubahan, pemimpin perlu mempunyai kekuatan intelektual dan ketajaman daya analisis bagi membina wawasan dan mampu menggariskan matlamat dan visi dengan lebih jelas.

Ini jelas menunjukkan kepimpinan yang ditonjolkan Encik Zaidi menetapkan visi yang jelas bagi pembangunan negeri.

 

Ukom atur pertemuan dengan wartawan

Unit Komunikasi Negeri (Ukom) mengatur pertemuan dengan wakil media massa tempatan di Motel Desa, petang semalam, bagi membincangkan isu-isu semasa.

Pengarah Ukom meraikan wakil media di Motel Desa
Pada pertemuan yang berlangsung dalam suasana ceria itu, Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong, meminta wartawan supaya turut membantu menyalurkan maklumat terkini mengenai dasar dan program kerajaan negeri bagi disalurkan kepada penduduk tempatan.

Beliau berkata, pihaknya menghargai sumbangan wartawan selama ini dan merakamkan penghargaan kepada seluruh warga media kerana memberi sumbangan yang bermakna dalam menyebarkan maklumat semasa, khususnya berkaitan pihak kerajaan.

“Pada masa yang sama kita mengharapkan agar warga media merujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa jika timbul isu-isu semasa bagi memastikan mereka mendapat gambaran yang tepat dan fakta yang sahih sebelum berita tersebut disiarkan,” katanya.

Beliau turut berharap agar hubungan baik antara warga media dengan kerajaan negeri, khususnya Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dikekalkan kerana pemimpin kerajaan dan media saling memerlukan.

 “Saya percaya hubungan baik antara kedua pihak ini akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat negeri ini, terutama berhubung aspek pembangunan sosial dan rohani,” ujar beliau.

 

Sultan Mizan titah jemaah amal nilai-nilai murni

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah agar agar semua bakal jemaah haji sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni, terutama di kalangan rakan-rakan mereka sewaktu mengerjakan haji di Tanah Suci.
 Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah pada majlis meraikan bakal haji di dewan  berlepas di  Lapangan Terbang Sultan Mahmud
Baginda turut bertitah agar para jemaah sentiasa menjaga kebersihan di sekeliling yang boleh menjadi punca penyakit dan seterusnya menjejaskan kesihatan mereka.


“Semua jemaah haji dinasihatkan sentiasa mengikut arahan daripada pihak berkuasa tempatan serta peraturan-peraturan yang telah digariskan pihak Tabung Haji kerana semua ini dilaksanakan untuk menjamin keselamatan para jemaah serta melicinkan lagi proses mengerjakan haji,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah ucapan pada majlis Penyempurnaan Pelepasan Jemaah Haji Ke Tanah Suci Musim Haji 1433H/2012 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, pagi ini.


Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah turut berkenan berangkat pada majlis itu.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan ketua-ketua jabatan.

Pada penerbangan kali ini seramai 446 jemaah haji menggunakan penerbangan terus di mana pesawat yang membawa mereka akan mendarat di Jeddah dan jemaah akan dibawa ke Mekah untuk mengerjakan haji.

Sultan Mizan turut mengucapkan syabas kepada Tabung Haji di atas komitmen yang diberikan kepada jemaah haji dalam usaha mengekalkan dan menambah baik kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji.

“Akhir sekali Beta dan Sultanah mendoakan semua jemaah haji dapat mengerjakan haji dengan sempurna dan kembali ke tanah air dengan haji yang mabrur, Insya Allah,” titah baginda.