Halaman

19 March 2012

Jambatan RM80 juta mercu tanda Daerah Marang

Oleh FAUZI MOHD dan AMIRULLAH OTHMAN

Jambatan empat lorong bernilai RM80 juta bakal dibina bagi menggantikan Jambatan Sungai Marang sedia ada.

Pegawai Daerah Marang, A. Rahman Che Ali berkata, jambatan yang dirancang pembinaannya setinggi lapan meter itu menjadi nadi laluan penting daerah berkenaan.

"Pembinaan itu bagi mengatasi masalah trafik di sekitar bandar Marang sekali gus menaikkan imej bandar ini sebagai bandar berkembar kepada Kuala Terengganu," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas taklimat pembangunan Daerah Marang kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang melawat ke pejabat daerah itu hari ini.

Mengiringi baginda, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad.

Turut serta, Tengku Seri Temenggong Raja, Dato’ Seri Tengku Baharudin Sultan Mahmud, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, YB. Alias Abdullah dan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Dato’ Abdul Rahman Bakar.

Tambah A. Rahman, tumpuan diberi terhadap pembinaan jambatan itu sebagai usaha menaiktaraf jambatan lama itu yang sudah ketinggalan berbanding jambatan-jambatan lain.

Katanya, dengan ketinggian sehingga lapan meter itu, ia membolehkan laluan bot besar persiaran dan bot nelayan di sungai berkenaan walaupun dalam keadaan air pasang.


18 March 2012

Murninya perjuangan kerajaan BN

Oleh; Esah Abdullah

Terengganu merupakan negeri pertama di dunia yang mengagihkan e-book secara percuma kepada pelajar sekolah rendah seluruh negeri.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta penduduk negeri ini supaya melayari internet dan mencari negara mana di dunia ini yang memberi e-Book secara percuma kepada pelajar selain dari kerajaan negeri Terengganu.

“Murninya perjuangan kerajaan Umno, walupun dimaki dan dicaci dengan pelbagai tuduhan dan gelaran, kita tetap beri tanpa mengira fahaman politik,” katanya di majlis Penyerahan e-Book Pelajar Tahun Empat Dun Bukit Tunggal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tunggal, petang ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Encik Hashim Mohd Zin dan Pengawai Pembangunan Dun Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik.

Menteri Besar berkata, sehingga akhir tahun lepas 92,326 pelajar tahun Empat hingga Enam sudah menerima alat bantuan pelajar berkenaan daripada kerajaan dengan kos kira-kira RM92 juta.

Katanya, kalau dicampur dengan tiga bulan pertama tahun ini kira-kira 100,000 pelajar sekolah rendah sudah menerima e-Book, bermakna lebih RM100 juta telah dibelanjakan dalam usaha memastikan mereka cemerlang dalam pelajaran sejak program ini diperkenalkan sejak empat tahun lalu.

“Kalau nak fikirkan pasal kritikan parti pembangkang apa pun kita tak boleh buat, semuanya salah dan tidak berfaedah bagi pandangan mereka, tapi BN sebuah kerajaan bertanggung jawab berkorban apa saja demi kecemerlangan generasi akan datang,” katanya.



Seramai 271 pelajar Tahun Empat dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tunggal (152), SK Pulau Duyong (46) dan SK Bukit Tumboh (73) menerima e-Book yang disampaikan Menteri Besar bersaksikan ibu bapa masing-masing petang ini.





BN terus kekal kuasa di Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Barisan Nasional (BN) akan terus kekal berkuasa di Terengganu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

Malah, ahli-ahli politik veteran sependapat bahawa BN bukan saja mampu kekal memerintah negeri ini selepas PRU 13, tetapi parti keramat itu mampu menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Pada PRU 12 BN menang 24 kerusi DUN manakala lapan kerusi lagi iaitu Batu Buruk, Ladang, Wakaf Mempelam (Parlimen Kuala Terengganu), Bukit Payong, Rhu Rendang (Marang), Bukit Tunggal (Kuala Nerus), Sura (Dungun) dan Manir (Hulu Terengganu) dimenangi parti pembangkang.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Dato’ Roslan Awang Chik, ketika ditanya peluang BN di Terengganu pada PRU 13 begitu optimis BN dapat mengekalkan semua kerusi yang dimenangi pada PRU 13 dan menang beberapa kerusi lagi yang sebelum ini terlepas ke tangan Pas.

“Saya lihat persiapan jentera Umno dan BN bagi menghadapi pilihan raya kali ini begitu mantap dan tidak ada peluang bagi pembangkang untuk mengalahkan BN kali ini,” katanya kepada Teganukita.

Namun begitu beliau tetap memberi peringatan kepada semua pemimpin dan penyokong Umno dan BN supaya akur dengan ketetapan pucuk pimpinan dalam soal pemilihan calon dan menyokong semua calon yang dipilih tanpa sebarang alasan.

“Jika semua pihak memberi sokongan penuh kepada calon yang dipilih untuk bertanding sama ada di peringkat DUN mahu pun Parlimen, BN boleh menang besar pada pilihan raya kali ini,” ujar beliau.

Bekas Adun Bandar, Dato’ Wong Foon Meng, pula berkata sokongan masyarakat Cina terhadap BN semakin meningkat berikutan kesungguhan pemimpin negeri, khususnya Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan pemimpin Pusat, termasuk Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, turun padang untuk meninjau masalah rakyat.

Beliau berkata, pendekatan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ yang diamalkan kerajaan negeri berjaya menyelami masalah peringkat akar umbi dan tindakan segera diambil bagi menyelesaikannya, berjaya meraih sokongan rakyat.

“Sedangkan pihak pembangkang dari dulu sampai sekarang hanya pandai berjanji, tetapi tidak menunaikan janji. Rakyat Terengganu boleh menilai sendiri apa yang berlaku di negeri-negeri lain yang dikuasai oleh pembangkang kerana mereka sendiri pernah merasai peritnya berada di bawah pemerintahan Pas,” katanya.



Pinjaman pelajar sertai perhimpunan haram ditarik balik

Oleh: Aida Abd Rahman

Pinjaman pelajaran enam pelajar tajaan Yayasan Terengganu (YT) yang menyertai perhimpuan di Dataran Hayyu Asyier, Mesir, bagi menyokong perhimpunan haram Bersih di Kuala Lumpur yang diadakan pada 9 Julai tahun lalu, ditarikbalik berkuatkuasa serta-merta.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tindakan itu dilakukan selepas pihaknya tidak puas hati dengan jawapan kepada surat tunjuk sebab yang dikemukakan kepada mereka sebelum ini setelah didapati terlibat dengan kes salah laku tersebut.

“Pelajar terbabit didapati melanggar peraturan dengan menyertai perhimpunan haram Bersih..Selepas kita tidak berpuas hati dengan jawapan yang mereka berikan, kita bertindak menarik balik pinjaman mereka berkuatkuasa serta-merta.

“Pelajar berkenaan menyatakan mereka pergi (Perhimpunan Bersih) dan orang (penganjur) suruh pakai baju (perhimpunan haram Bersih) dan mereka pakai baju berkenaan,” katanya ketika sidang media selepas mengagihkan e-Book kepada murid Tahun Empat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin dan Pegawai Penyelaras DUN Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah.

Menteri Besar menjelaskan seorang daripada pelajar yang dikenakan tindakan berkenaan merupakan pelajar tahun tiga Fakulti Perubatan di Mesir.

Dalam satu laporan sebelum ini, YT akan menarik balik biasiswa enam penuntut tajaannya yang dikesan berhimpun di Dataran Hayyu Asyier, Kaherah, untuk menyatakan sokongan padu terhadap perhimpunan haram Bersih di Kuala Lumpur, pada 9 Julai lalu.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang mengenal pasti mereka yang terlibat dan meminta menunjukkan surat tunjuk sebab terlebih dahulu sebagai memberi peluang membela diri.

Katanya, kerajaan negeri melalui YT menaja mereka supaya belajar dan bukan bertujuan bermain politik dan berdemontrasi. Lima hingga enam orang sudah dikenalpasti melalui gambar, mereka memakai baju kuning tertera Bersih .











Agihan e-Book, manfaat buat 418 murid Tahun Empat DUN Wakaf Mempelam

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Amirullah Othman

Hasrat memastikan setiap murid bermula Tahun Empat hingga Tahun Enam seluruh negeri ini memiliki e-Book diteruskan apabila alat bantuan belajar itu diagihkan pula kepada murid Tahun Empat daripada enam sekolah rendah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam yang disampaikan sendiri Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, pagi ini.

Pengagihan terbaru kepada 418 murid melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Rusa (36), SK Paloh (37), SK Bukit Losong (60), SK Durian Burung (77), SK Rengas Bekah (94) dan SK Wakaf Mempelam 114 murid, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, Kuala Terengganu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi; Sains, teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin dan Pengawai Penyelaras DUN Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah.


Seorang penerima, Nur Hafizah Izati Shukri, 10 dari SK Durian Burung, gembira apabila e-Book yang diimpikan sejak beberapa tahun lalu akhirnya dapat dimiliki sendiri hasil pemberian Kerajaan Terengganu.

“Saya akan gunakan pemberian kerajaan ini dengan sebaik-baiknya. Saya mahu belajar sebaik mungkin dan guna e-Book ke jalan yang betul supaya nanti saya dapat keputusan yang baik dalam pelajaran,” katanya.

Pasangan kembar, Ahmad Shafiuddin dan Ahmad Shofiuddin Zahid, dari SK Rengas Bekah, turut berkongsi keceriaan mendapat kemudahan itu dan berjanji untuk memanfaatkan alat bantuan belajar itu dengan sebaik mungkin.

“Saya dan kembar saya akan belajar bersama-sama cara menggunakan e-Book ini. Kami juga akan memastikan pemberian Menteri Besar kepada pelajar seperti kami ini akan memberi faedah dan hasil yang baik.

“Kami mempunyai adik beradik yang ramai..10 orang semuanya. Jadi mungkin jika hendak membeli sendiri tidak mampu. Mujurlah dapat kemudahan ini..Terima kasih Menteri Besar,” katanya Ahmad Shafiuddin.

Seorang lagi murid, Mohd Ikhwan Mohd Azir, dari SK Rengas Bekah turut teruja dan tidak sabar untuk belajar di sekolah serta di rumah menggunakan e-Book dan mengaplikasikan papan elektronik itu dengan semaksimum mungkin supaya dapat menambah ilmu serta penguasaan dalam setiap mata pelajaran.





Teganukita 56







BN mampu tawan lima Dun dikuasai pembangkang

Oleh; Esah Abdullah



Barisan Nasional (BN) yakin mampu menawan lima kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dikuasai parti pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Menteri Besar, merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, berdasarkan analisis yang dibuat, lima Dun iaitu Ladang, Batu Buruk, Bukit Payong, Bukit Tunggal dan Manir mempunyai harapan untuk dirampas kembali,” katanya.



“Dalam PRU-12, parti pembangkang hanya menang tipis pada kelima-lima Dun ini dan kita yakin mampu ambil balik dengan dibantu jentera Wanita,” katanya di majlis Mesra Menteri Besar bersama Jalinan Rakyat (JR) Wanita Umno Bahagian Setiu di Sekolah Menengah Tengku Ibrahim, petang semalam.

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud turut serta dalam program berkenaan. Hadir sama, Ahli Parlimen merangkap Ketua Umno Bahagian Setiu, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee; Timbalan Ketua Umno merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, YB Haji Ashaari Idris; Adun Permaisuri, YB Haji Abd.Halim Jusoh; Adun Jabi, YB Haji Ramlan Ali.

Turut serta, Ketua Pergerakan Wanita Umno Perhubungan Terengganu, Datuk Hajah Fatimah Hamat dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Setiu, Hajah Wan Maznah Wan Nong serta lebih 4,000 jentera JR dari empat Dun iaitu Batu Rakit, Langkap, Permaisuri dan Jabi.

Katanya, BN menaruh harapan kepada jentera wanita membantu parti menang dalam pilihan raya nanti dan keyakinan ini berdasar gerak kerja yang dilakukan tanpa jemu sejak dulu.

“ Jentera wanita sejak dulu memang tidak pernah menghampakan parti, sedia dikerah dalam apa juga situasi dan keadaan, “ katanya.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini ramai pengundi di kawasan yang dikuasai pembangkang sudah mula sedar bahawa pemimpin pembangkang tidak mampu membantu mereka dalam segala segi.

Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya mengingatkan semua jentera terus mengerah tenaga untuk memenangkan parti serta jangan jadikan calon sebagai isu malah terimalah sesiapa saja yang dipilih pucuk pimpinan tertinggi parti kerana yang penting BN perlu menjadi pentadbir negeri dan negara.

Menteri Besar kemudiannya telah menyampaikan Anugerah Sekalung Budi kepada empat tokoh wanita berjasa iaitu Hajah Kalsom Saamah (Permaisuri), Hajah Hasnah Ismail (Langkap), Hajah Wan Aminah Wan Deraman (Batu Rakit) dan Puan Wan Zainab Wan Yaakub (Jabi)




K1M jadi agen perubahan

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) percaya dengan penubuhan Komuniti 1Malaysia (K1M) di setiap mukim di Terengganu bukan saja mampu memperkasakan semangat perpaduan antara pelbagai kaum malah berupaya memupuk semangat tolenrasi.

Pengarah JPNT, Puan Azizah Awang, berkata pihaknya berusaha mewujudkan pelbagai program semata-mata mahu melihat masyarakat pelbagai kaum hidup harmoni dan semangat kerjasama.

“Penubuhan K1M antara matlamat yang diusahakan bertujuan membentuk rakyat bermaklumat selain menjadi agen perubahan dalam komuniti,” katanya ketika berucap di Seminar Pemantapan Pengurusan Komuniti 1 Malaysia (K1M) di Dewan Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu, malam semalam, (16 Mac).

Seminar yang dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said itu dihadiri kira-kira lebih 200 peserta.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut menyampaikan komputer riba 1 Malaysia kepada setiap wakil atau pengerusi K1M yang hadir pada seminar itu.

Puan Azizah turut memberitahu, JPNT memperuntukkan lebih RM300,000 bagi mengerakkan 85 K1M di Terengganu supaya aktif mewujudkan aktiviti dan menyalurkan maklumat kepada mereka yang berkenaan.

“Daripada jumlah itu, setiap K1M yang mempunyai bilangan seramai 35 hingga 40 ahli layak memperoleh perutukan sebanyak RM3,650.

K1M adalah pertubuhan sukarela rakyat di peringkat akar umbi di mana ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang berada di setiap mukim.

Ia memainkan peranan penting bagi menyampaikan berita dan maklumat berkaitan dasar kerajaan secara berkesan kepada masyarakat setempat.



Berita dan maklumat wajar diperluaskan secara tepat

Oleh: Suriati Ali

Pemimpin masyarakat di negeri ini diminta menyampaikan maklumat secara berkesan dan lebih menarik supaya mudah bagi orang ramai memahaminya.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kaedah penyampaian berita juga perlu diteliti supaya tidak disalah erti serta mengelak berlakunya jurang antara penyampai dan pendengar berita.



Katanya, oleh itu, kita perlu memahami teknik komunikasi dengan baik dan menyampaikan berita itu sebaik mungkin. Jika masih menggunakan idea dan kaedah lama, mungkin tidak lagi berkesan terutama kepada golongan belia.

“Cabaran untuk menyampaikan berita kini semakin sukar kerana terdapat pihak tertentu gemar menggunakan media baru seperti blog, twitter dan sebagainya untuk menyampaikan maklumat palsu.

“Oleh itu, kita perlu bijak menilai setiap maklumat yang disampaikan kerana dibimbangi apa yang dibaca itu fitnah atau berita mengaibkan maruah seseorang iindividu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Seminar Pemantapan Pengurusan Komuniti 1 Malaysia (K1M) di Dewan Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu, malam semalam, (16 Mac).

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Puan Azizah Awang.
K1M adalah sebuah pertubuhan sukarelawan pelbagai kaum yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 6 Januari lalu, bertujuan meluaskan maklumat berkaitan dasar kerajaan kepada masyarakat setempat.




150 usahawan sertai ‘Terengganu Showcase’ di Sarawak

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 150 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Terengganu terpilih mengikuti program "Terengganu Showcase" di Miri, Sarawak selama tiga hari mulai 27 April ini.

Program anjuran Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dengan kerjasama Suruhanjaya
Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu dan SKM Sarawak itu diharapkan dapat memberi pendedahan positif kepada peserta.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik berkata pihaknya terpaksa membuat pilihan kerana ramai usahawan IKS cemerlang berminat mengikuti program itu sedangkan ruang pameran yang disediakan adalah terhad.

“Mereka yang terpilih sewajarnya merebut peluang keemasan ini dengan mempromosi secara bijak produk masing-masing kepada pelancong,” katanya baru-baru ini.