Halaman

07 March 2012

Siasat segera punca permainan hambar

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra


Kehebatan skuad Penyu yang berjaya mengalahkan Kelab Vietnam , Song Lam Nghe An menerusi aksi sulung Kumpulan F Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) semalam menarik perhatian peminat nombor satu bola sepak negeri, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

“Saya ucapkan tahniah dan syabas kerana berjaya menundukkan juara liga super Vietnam dan berharap semua pemain dapat bermain cemerlang dalam perlawanan akan datang,” katanya.

Dalam perlawanan yang berkesudahan Terengganu membenam Vietnam 1-0 di Stadium Vinh, Vietnam semalam, Abdul Manaf Mamat muncul wira skuad penyu apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-51.

Perlawanan seterusnya Terengganu akan bertemu dengan pasukan Kitchee FC (Hong Kong) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pada 20 Mac depan.

“Sebagai tuan rumah saya menaruh harapan pemain-pemain kita dapat memberi persembahan terbaik dengan mempamerkan semangat juang yang tinggi.” katanya.

Mengenai masalah stadium yang dikatakan tidak cukup pencahayaan,perkara berkenaan akan diselesaikan sebaik mungkin namun perlawanan terdekat akan diadakan pada sebelah petang.

Dalam perkembangan lain Dato’ Seri Haji Ahmad meminta pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) dapat menyiasat secara terperinci mengenai mutu permainan pasukan Terengganu yang tidak menentu.

Menteri Besar mengambil contoh pada perlawanan dengan Kuala Lumpur yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka Sabtu lalu, terlalu pincang serta gagal menunjukkan permainan yang sebenarnya.

“Walau pun kita menang, tapi saya kecewa dengan corak permainan yang ditunjukkan, seolah ada sesuatu yang tidak kena dan berharap pihak pengurusan PBSNT membuat siasatan segera,” katanya.

Beliau juga mengingatkan supaya persembahan buruk itu tidak membabitkan tindakan pemain terlibat dengan rasuah mahupun sebarang masalah yang berbangkit, selain mahu keserasian dapat dibentuk antara pemain tempatan dan pemain import.





SMK Putera, Besut terbaik STPM di Terengganu



Oleh: Mohammad Ishak


Sekolah Menengah Kebangsaan Putera (SMKP), dekat sini, sekali lagi mencatat sejarah apabila sekolah itu diumumkan sebagai sekolah terbaik dalam pencapaian peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun lalu.

Kejayaan itu meletakkan SMKP yang terletak di kawasan luar bandar mampu bersaing dengan sekolah ternama lain di negeri ini dalam peperiksaan berkenaan.

Pengetuanya,Ruhani Salleh berkata, sebelum ini sekolah itu pernah mencatat sejarah apabila salah seorang pelajarnya menjadi pelajar terbaik dalam peperiksaan STPM 2010.

Katanya, kesungguhana guru,pentadbiran dan sokongan kuat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta keyakinan ibu bapa terhadap sistem pelajaran di sekolah berkenaan menjadi penyebab mereka memperoleh kejayaan itu.

Menurutnya, dalam peperiksaan STPM tahun lalu 45 pelajar sekolah itu menduduki peperiksaan berkenaan dan kesemua mereka menunjukkan prestasi cemerlang.

“Kejayaan muncul sebagai sekolah terbaik mendorong kami untuk mempertahankan kedudukanya dalam peperiksaan yang sama pada tahun ini,” katanya selepas meraikan kejayaan bersama pelajar sekolah itu hari ini.


Piala AFC 2012 : Skuad Penyu jinakkan kelab Vietnam 1-0

Oleh FAUZI MOHD dan CHE MOHD HISHAM CHE JAMALUDDIN

Terengganu memulakan kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2012 dengan memberangsangkan apabila menjinakkan kelab Vietnam, Song Lam Nghe An 1-0 di tempat lawan semalam.

Skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris mempamerkan permainan baik pada penampilan sulung saingan kelab bola sepak Asia dengan memastikan tiga mata penuh menerusi jaringan Abdul Manaf Mamat pada minit ke-51.

Pada perlawanan pembuka tirai Kumpulan F di Stadium Vinh semalam, Manaf bergandingan dengan bintang Liberia, Francis Forkey Doe pada bahagian serangan, bijak menyambar hantaran Ashaari Shamsudin.

Dia memperdayakan pertahanan lawan dan melepaskan rembatan kencang melepasi jangkauan penjaga gol Song Lam.

Jaringan itu meningkatkan moral pemain-pemain skuad Penyu apabila jentera pertahanan yang diketuai Muslim Ahmad berjaya mengekang setiap percubaan pemain lawan.

Terengganu yang turun tanpa ketua pasukan, Marzuki Yusof akibat kecederaan diletakkan dalam Kumpulan E berhadapan saingan Kitchee (Hong Kong) dan Tampines Roves (Singapura).

Juara Piala FA 2011 itu bakal berdepan dengan Kitchee dalam perlawanan seterusnya, 20 Mac ini.


Piala AFC 2012 : Skuad Penyu jinakkan kelab Vietnam 1-0

Oleh FAUZI MOHD dan CHE MOHD HISHAM CHE JAMALUDDIN

Terengganu memulakan kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2012 dengan memberangsangkan apabila menjinakkan kelab Vietnam, Song Lam Nghe An 1-0 di tempat lawan semalam.

Skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris mempamerkan permainan baik pada penampilan sulung saingan kelab bola sepak Asia dengan memastikan tiga mata penuh menerusi jaringan Abdul Manaf Mamat pada minit ke-51.

Pada perlawanan pembuka tirai Kumpulan F di Stadium Vinh semalam, Manaf bergandingan dengan bintang Liberia, Francis Forkey Doe pada bahagian serangan, bijak menyambar hantaran Ashaari Shamsudin.

Dia memperdayakan pertahanan lawan dan melepaskan rembatan kencang melepasi jangkauan penjaga gol Song Lam.

Jaringan itu meningkatkan moral pemain-pemain skuad Penyu apabila jentera pertahanan yang diketuai Muslim Ahmad berjaya mengekang setiap percubaan pemain lawan.

Terengganu yang turun tanpa ketua pasukan, Marzuki Yusof akibat kecederaan diletakkan dalam Kumpulan E berhadapan saingan Kitchee (Hong Kong) dan Tampines Roves (Singapura).

Juara Piala FA 2011 itu bakal berdepan dengan Kitchee dalam perlawanan seterusnya, 20 Mac ini.


Bayar cukai pintu melalui kaunter bergerak MBKT

Oleh FAUZI MOHD

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memperkenalkan perkhidmatan kaunter bergerak bagi memudahkan orang ramai berurusan termasuk pembayaran cukai pintu.

Sejak perkhidmatan itu diperkenalkan bulan lalu, kaunter-kaunter tersebut ditempatkan di kawasan tumpuan ramai seperti pusat membeli belah dan pasar-pasar utama dari pukul 10 pagi hingga 3 petang.

Datuk Bandar, Dato’ Adzlan Mohd Dagang bagaimanapun berkata, dalam tempoh sebulan, hanya enam kali kaunter bergerak ditempatkan iaitu pada setiap Sabtu di pusat membeli belah yang terpilih.

"Pada setiap Isnin pula, dua tarikh dipilih dalam sebulan untuk mengadakan kaunter bergerak di pasar-pasar awam." katanya baru-baru ini.

Kata Dato’ Adzlan, sejak dilaksanakan, lebih 100 orang mengunjungi kaunter bergerak yang disediakan bagi mendapatkan maklumat mengenai MBKT dan urusan pembayaran cukai pintu.

Menurut beliau, melalui kaunter bergerak itu, orang ramai yang menerima denda cukai pintu akan dihapus jika mereka membuat pembayaran di kaunter yang disediakan.

Menurutnya, orang ramai juga boleh membuat bayaran saman kesalahan meletak kereta dan penyewaan kedai di kaunter yang disediakan.

"Khidmat kaunter bergerak ini akan diteruskan sehingga akhir tahun ini bagi memudahkan orang ramai berurusan," ujarnya.


Terengganu atasi pencapaian STPM nasional

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu terus mencipta rekod tersendiri apabila berjaya mengatasi pencapaian kebangsaan sebanyak 1.38 peratus dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011, yang diumumkan serentak seluruh negara hari ini.

Daripada keseluruhan 2,810 calon yang menduduki peperiksaan itu seluruh Terengganu pada tahun lalu, seramai 2,679 orang atau 95.34 peratus mendapat lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dan layak mendapat sijil berbanding peratusan kebangsaan 93.96 peratus.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin, berkata Terengganu turut mengatasi peratusan kebangsaan sebanyak 0.38 peratus apabila peratusan calon yang layak mendapat sijil STPM ialah 99.4 peratus berbanding peratusan kebangsaan (99.05 peratus).

“Daripada 2,679 calon yang mendapat lulus penuh, 205 (7.3 peratus) lulus penuh lima mata pelajaran, 40.36 peratus (1,134 orang) lagi lulus penuh empat mata pelajaran, diikuti 23.42 peratus (658 orang) lulus penuh tiga mata pelajaran dan 15.02 peratus atau 422 orang lulus penuh dua mata pelajaran.

“Baki 9.25 peratus atau 260 orang calon lagi lulus penuh satu mata pelajaran. Manakala 1,062 calon (37.8 peratus) memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) melebihi 2.66,” katanya ketika sidang media pengumuman keputusan STPM di Jabatan
Pelajaran Negeri Terengganu, Bukit Kecil, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, Gred Purata Sekolah (GPS) bagi negeri ialah 2.33, manakala sekolah cemerlang berdasarkan pencapaian GPS melebihi 2.60 adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, Jerteh (2.91); SMK Agama Durian Guling, Marang (2.85); SMK Bukit Besar, Kuala Terengganu (2.81); SMK Tengku Mahmud, Besut (2.76); SMK ketengah Jaya, Dungun (2.75) dan SMK Nasiruddin Shah, Besut (2.73).

Lain-lain sekolah yang cemerlang adalah Sekolah Menengah Agama Maarif, Besut (2.64), SMK Seri Berang, Hulu Terengganu (2.62) dan SMKA Nurul Ittifaq, Besut (2.61).

Beliau berkata, sebanyak 12 sekolah mencapai kelulusan penuh 100 peratus iaitu SMK Bukit Besar; SMK Sultan Ahmad, SMK Chung Hwa Wei Sin, SMA (A) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu; SMA Tengku Mahmud Besut, SMA Maarif, SMK Nasiruddin Shah, SMK Putra, Besut; SMK Bukit Nenas, Setiu; SMK Merchang, Marang; SMK Ketengah Jaya, Dungun dan SMK Landas, Hulu Terengganu.













Peneroka dan Felda berpisah tiada

Oleh; Esah Abdullah

Warga Felda disaran berganding bahu mengadakan aktiviti bagi mengeratkan ikatan silatulrahim antara satu sama lain di samping berusaha memajukan tanah rancangan masing-masing.

Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Encik Abd Malib Abd Rani berkata, program Mesra Felda 1Terengganu diadakan setiap minggu untuk mendekatkan golongan peneroka dengan pihak pentadbiran tanah rancangan.

“Peneroka dan Felda berpisah tiada dan program ini membuka peluang mereka bersemuka dengan pegawai kita untuk mengajukan sebarang pemasalahan,” katanya.

Menurutnya, peneroka juga akan diberi penerangan dan maklumat terkini berkaitan Felda di samping membuka peluang untuk mereka bertanya apa saja berkaitan masa depan mereka selaku peneroka di tanah rangcangan.

“Pegawai kami juga akan membuat kunjungan rumah ke rumah peneroka untuk beramah mesra sambil bertanya khabar serta mendengar masalah yang berbangkit,” katanya.

Tambahnya, program ini memberi banyak manfaat dalam usaha pihak Felda mengeratkan hubungan antara peneroka dan agensi serta mampu melancarkan pelaksanaan yang bakal diadakan pada masa akan datang.




Wali Band gegar Kuala Terengganu, pukau 15,000 penonton

Oleh FAUZI MOHD dan SURIATI ALI
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Kumpulan muzik tersohor dari Indonesia, Wali Band membuktikan pengaruhnya di Terengganu apabila berjaya menambat hati kira-kira 15,000 penonton yang hadir menyaksikan konsert mereka di Kompleks Sukan Gong Badak, malam tadi.

Berkongsi pentas bersama kumpulan rock remaja, Azlan & The Typewriter dan penyanyi Hattan, konsert percuma itu diadakan sempena Karnival Generasi Belia Gemilang anjuran bersama Kelab Remaja Terengganu (KRT) dan Jabatan Belia dan Sukan negeri.

Kumpulan yang popular dengan album Cari Jodoh itu begitu melekat di hati peminat tempatan menerusi alunan vokalis kumpulan itu, Fa’ank serta dianggotai Apoy (gitar), Ovie (keyboard), Tomi (drum) dan Nunu (bass).

Pengunjung yang nyata tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan persembahan sepuluh lagu-lagu hebat Wali Band termasuklah Baik-Baik Sayang, Ingat Sholawat, Tobat Maksiat, Orang Bilang, Puaskah dan berakhir dengan lagu popular mereka, Yank.

Tidak melepaskan peluang turun bersama golongan belia meraikan kemeriahan karnival dan konsert itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB. Rozi Mamat.

Pengerusi KRT, Saiful Bahri Bahruddin berkata, pemilihan kumpulan itu sebagai penampilan utama kerana elemen seni dan muzik yang dipersembahkan mampu mendidik masyarakat dengan lagu berkonsepkan ketuhanan serta berunsur irama tradisional.

“Pendekatan ini dilihat boleh menjadi wadah untuk menarik minat golongan belia berkumpul dan bergaul secara positif serta mahu mengekalkan hubungan stategik bersama pertubuhan-pertubuhan belia di daerah dan negeri ini,” katanya semasa ditemui pemberita pada program berkenaan.

Tambah Saiful Bahri, karnival yang dilaksanakan secara santai itu memfokuskan kepada kecenderungan dan pilihan belia, sekaligus menyediakan ruang kepada mereka menonjolkan diri secara sihat dan positif.

Katanya, ia turut melibatkan aktiviti berbentuk pertandingan sukan seperti futsal, Street Soccer 3On 3, sepak raga, badminton, bola tampar, ping pong, acara basikal fixie, pertunjukkan permotoran dan pertandingan lasak, Muay Thai.

“Selain menwarkan hadiah pertandingan lebih RM50,000, pameran peluang kerjaya dan pendidikan turut mendapat tempat pada karnival empat hari itu,” katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO negeri.

Katanya, karnival itu diteruskan ke setiap daerah iaitu Padang Astaka, Kemaman pada 7 hingga 9 Mac, Padang Astaka Kuala Berang, Hulu Terengganu (10 hingga 13 Mac), Stadium Mini Besut (11 hingga 14 Mac).

“Karnival sama dengan penampilan utama kumpulan Wali Band ke daerah Dungun, Setiu dan Marang akan ditentukan kemudian pada April depan,” ujarnya.










06 March 2012

MB dijangka rasmi Karnival Belia Generasi Gemilang malam ini

Oleh: Aida Abd Rahman dan Che Mohd Hisham Che Jamaluddin



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka merasmikan Karnival Belia Generasi Gemilang (KBGG) 2012, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, malam ini.

Program pembuka tirai KBGG itu dijangka turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat itu dianjurkan Kelab Remaja Negeri Terengganu (KRT) dengan kerjasama Kerajaan Terengganu menerusi beberapa siri penjelajahan mengikut daerah.

Pengerusi KRT merangkap Ketua Pergerakan Pemuda Umno Perhubungan Negeri, Encik Saiful Bahri Dato’ Baharuddin, berkata program pertama bermula sejak 3 Mac lalu, diikuti 7 hingga 9 Mac di Padang Astaka Kemaman, manakala 10 hingga 13 Mac di depan Padang Astaka Kuala Berang.

“Lokasi terakhir adalah di Stadium Mini Besut, pada 8 hingga 14 Mac ini. Pelbagai acara sukan seperti 3 on 3, bola jaring, sepak raga dan badminton dipertandingkan sepanjang karnival ini, selain pameran kerjaya dan usahawan yang disertai 50 syarikat gergasi negara ini.

“Manakala bagi peminat sukan lasak acara drift juga turut dipertandingkan. Malah, wang tunai RM50,000 keseluruhan bakal emnjadi rebutan pemenang bagi acara sukan yang dipertandingkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Teganukita, hari ini.

KBGG bertujuan melahirkan belia yang memiliki peribadi bersepadu dari segi akidah, rohaniah dan jasmaniah. Malah, sebagai penggerak kemajuan dan kemakmuran, belia juga akan lebih bertanggungjawab, berdikari, bersemangat sukarela dan patriotik demi bangsa, agama dan negara.




LPP latih 40 penternak untuk ladang komersial

Oleh; Esah Abdullah

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri sedang melatih 40 penternak kambing tradisional di negeri ini mengenai kaedah ternakan berteknologi dalam usaha melahirkan penternak berdaya saing.

Pengarahnya, Haji Shamsuddin Mat Rani berkata, usaha ini diharap dapat mewujudkan ladang-ladang komersial melalui ladang penganda kendalian Mardi.

“Sehingga ini terdapat 3,500 ekor kambing melibatkan 144 penternak kecil di kampug-kampung yang menjalankan ternakan kambing secara tradisional,” katanya ketika ditemui di program Latihan Terus Penternak Kambing di Wisma Peladang, Kuala Terengganu.

Katanya, usaha mengenal pasti mereka yang benar-benar berminat serta mempunyai modal mampu merialisasikan hasrat kerajaan untuk mempunyai 10,000 kambing menjelang 2015 bagi memenuhi keperluan masyarakat tempatan.

Tambahnya dengan kerjasama Mardi, penternak menerima bimbingan dan latihan amali termasuk penjagaan dan rawatan, penggunaan makanan yang sesuai, tagging, sistem rekod dan ultra sound scanning.

“Mereka perlu mengamalkan cara teknologi untuk mendapatkan hasil yang baik di mana kambing peliharaan trasidional hanya capai berat badan sekitar 20 kilogram manakala melalui teknologi yang diperkenalkan Mardi mampu capai antara 40 hingga 70 kg,” katanya.

Menurutnya, setiap kambing betina mencapai tempoh matang ketika berusia lima bulan dan dapat melahirkan setiap lapan bulan serta 30 peratus kelahiran kembar.

“Penternak yang berminat boleh membuat pinjaman melalui Tabung Pembangunan Usahawan sehingga RM50,000 untuk besarkan ternakan masing-masing,” katanya.