Halaman

09 February 2012

T-Team belum temui awang import

Oleh: Aida Abd Rahman

Misi T-Team untuk mendapatkan khidmat awang import berkualiti dalam masa terdekat ini tidak kesampaian berikutan beberapa pemain yang diuji baru-baru ini gagal memenuhi kriteria dan kehendak pasukan itu.

Pengendali T-Team, Yunus Alif berkata pihaknya baru sahaja selesai menguji empat pemain daripada beberapa negara namun kesemuanya tidak memuaskan dan tidak memenuhi kriteria sebagai pemain profesional.

T-Team memerlukan pemain penyerang bagi menggantikan pemain dari Zambia dan bekas pemain Perlis, Zacharia Simukonda yang disingkirkan kerana prestasi tidak memuaskan.

Yunus berkata menurut ejen, beberapa orang lagi pemain import akan dibawa ke Terengganu Khamis ini untuk diuji.

Yunus berkata sekiranya T-Team tidak menemui pemain import yang diharapkan dalam masa terdekat ini, mereka terpaksa menunggu bulan April apabila pendaftaran pemain import dibuka semua oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

T-Team kini mempunyai seorang pemain import daripada Bosnia, Bojan Petric di bahagian pertahanan dalam menghadapi kempen Liga Super musim ini.




08 February 2012

Terengganu bakal bangunkan pusat latihan selenggara pesawat

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bakal bekerjasama dengan Pusat Penerbangan Taiko di Xiamen, China bagi membuka pusat latihan dalam bidang penyelenggaraan pesawat di negeri ini, tidak lama lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad said, berkata kerajaan negeri akan melabur sejumlah wang bagi tujuan membangunkan pusat latihan serta kemudahan sekitarnya yang berkemungkinan dilaksanakan di kawasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

“Kita sudah melawat pusat latihan itu (Taiko) dan pihak mereka akan melawat tempat kita bagi melihat kesesuaian tapak.

“Kalau boleh yang paling berhampiran dengan lapangan terbang kerana selepas membaiki kapal terbang boleh pandu uji kapal terbang itu, kalau dibangunkan di kawasan lain agak sukar,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Anugerah Apresiasi Kecemerlangan UPSR & PMR 2011 dan Pelancaran Program Pendidikan Anjung Ilmu 2012, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, petang ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Encik Hashim Mohd Zin.

Beliau berkata pelajar yang mengikuti latihan daripada pusat penerbangan yang mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa itu kelak berpeluang mendapat pekerjaan di mana-mana syarikat penerbangan di seluruh dunia.

“Pelatih dari Taiko boleh bekerja di mana-mana syarikat penerbangan seluruh dunia. Sekarang saya dimaklumkan ada 50 pelajar dari Malaysia yang menuntut di pusat latihan itu,” katanya.

Menteri Besar berkata, selain bidang perubatan, bidang kejuruteraan dan penyelenggaraan kapal terbang menjadi satu lagi bidang yang boleh diterokai secara intensif oleh pelajar dari negeri ini.







Terengganu hantar pelajar ikuti kursus automotif di Jerman

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu memilih Jerman sebagai pengkalan untuk melatih sekumpulan pelajar dari negeri ini bagi mengikuti bidang teknologi automatif bermula tahun ini.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri memilih The Technical University of Berlin, Jerman bagi menempatkan sekumpulan pelajar berikutan kemajuan negara itu dalam industri pemasangan tiga jenama kereta terkenal yang mendominasi pasaran dunia, iaitu BMW, Mercedes dan Audi.



“Kita sudah berbincang dengan pihak universiti berkenaan dan mereka bersetuju untuk menempatkan pelajar Terengganu mengikuti kursus kejuruteraan automotif berkenaan.

"Bagaimanapun, pelajar berkenaan terlebih dahulu perlu belajar bahasa Jerman,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Anugerah Apresiasi Kecemerlangan UPSR & PMR 2011 dan Pelancaran Program Pendidikan Anjung Ilmu 2012, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, petang ini.



Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Encik Hashim Mohd Zin.



Katanya, kepakaran itu nanti akan membuka peluang yang lebih luas kepada anak Terengganu untuk bekerja di mana-mana firma permotoran di seluruh dunia.

“Kita akan lihat jumlah pelajar yang dihantar kelak berdasarkan keperluan, kesanggupan dan kelayakan mereka untuk mengikuti kursus berkenaan. Manakala kos keseluruhannya nanti akan ditanggung oleh Yayasan Terengganu,” katanya.




Maidam nafi dakwaan

Haji Wan Harujan menunjukkan SMS dakwaan pihak yang tidak bertanggungjawab menyatakan Umno Terengganu menyekat dan terlibat dalam urusan pengagihan duit zakat kepada pelajar Terengganu di Mesir kepada Menteri Besar Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.


Oleh: Suriati Ali


Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menafikan dakwaan pihak tertentu yang menyatakan Umno Terengganu menyekat dan terlibat dalam urusan pengagihan duit zakat kepada pelajar Terengganu di Mesir.


Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata dia kesal dengan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebar fitnah tanpa mendapatkan kesahihan maklumat.


“Sistem Pesanan Ringkas (SMS) berbunyi `Umno Terengganu sekat duit Zakat pelajar Terengganu di Mesir yang dihantar kepadanya pada 26 Januari lalu adalah tidak benar sama sekali dan ianya berunsur fitnah.


“Sebaliknya, Maidam membelanjakan lebih RM7.9 juta sepanjang tempoh lima tahun iaitu bermula 2008 hingga 2012,” katanya.


Daripada jumlah itu, seramai 1,444 pelajar tanpa mengira fahaman politik menerima bantuan zakat bagi menampung pengajian masing-masing di pelbagai bidang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat di Wisma Darul Iman, hari ini.


Haji Wan Harujan berkata, sebagai contoh, sebelum tahun 2009 kadar bantuan hanya RM2,600 setahun, sebaliknya bermula pada tahun sama, kadar itu dinaikkan melebihi 50 peratus iaitu sebanyak RM5,000 hingga RM8,000 setahun bergantung kepada pencapaian akademik setiap pelajar.


“Pengagihan zakat kepada setiap asnaf adalah berdasarkan syariah dan peraturan yang ditetapkan jawatankuasa berkaitan dan ianya tiada sebarang kaitan dengan Umno,” katanya.


Katanya, pihaknya akan membuat laporan polis dalam tempoh terdekat bagi mengelak SMS sama terus disebarkan kepada orang ramai.


Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said yang juga Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata dia tidak pelik dengan perkara itu kerana sudah lali dengan sikap pembangkang yang gemar menabur fitnah dan membuat tuduhan liar terhadap Umno.


Katanya, dia tidak pernah masuk campur mengenai urusan Maidam dan tidak pernah mengetahui sebarang maklumat mana-mana pelajar yang layak menerima bantuan zakat.


“Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 sudah semakin dekat, pihak pembangkang akan guna pelbagai isu bertujuan menutup segala kebaikan yang dilaksanakan Umno ,” katanya.


Katanya, pihaknya mengetahui terdapat segelintir pelajar yang menerima bantuan ini bertindak melampaui undang-undang dengan melibatkan diri dalam politik.


“Kita kesal dengan sikap mereka ini kerana bertindak di batasan walaupun menyedari setiap kemudahan yang diterima itu diusahakan dan dibantu oleh kerajaan,” katanya.
















Maidam terima bayaran zakat perniagaan


Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menerima bayaran zakat perniagaan daripada Maybank Islamic Berhad Malaysia di Majlis Penyerahan Zakat di Wisma Darul Iman, hari ini.

Wakil Maybank, Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Muzaffar Hashim menyerahkan sejumlah RM600,000 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman sambil disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Zakat perniagaan yang diserahkan Maybank itu merupakan agihan sama rata iaitu sebanyak RM600,000 di setiap negeri.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pihaknya bersyukur kerana jumlah zakat perniagaan yang diterima Maidam pada setiap tahun semakin meningkat.

“Peningkatan ini membuktikan ekonomi penduduk dan syarikat perniagaan di negara ini khususnya Terengganu bertambah baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu..



Puteri UMNO kesal Pas guna nama puteri kelirukan rakyat

Oleh; Esah Abdullah

Pergerakan Puteri UMNO Perhubungan Terengganu melahirkan rasa kesal terhadap parti pembangkang (Pas) yang terus menggunakan pelbagai penipuan bagi tujuan meraih undi rakyat.

Ketuanya, Puan Nordiana Dato’ Shafie berkata, terbaru Pas menggunakan individu Puan Rusni Hasan ,38, dari Kampung Banggol Donas sebagai mantan Ketua Puteri Kuala Nerus berceramah di pentas pembangkang di Besut, semalam.

“Ini satu pembohongan, status Puan Rosni hanya ahli biasa bukannya Ketua Puteri Kuala Nerus seperti dakwaan parti pembangkang, usianya juga telah melepasi syarat sebagai ahli pergerakan itu,” katanya kepada Teganukita.

Sambil menyuara rasa kesal, beliau menjelaskan jawatan Ketua Puteri Kuala Nerus yang dipegang oleh Puan Aida Azam tidak pernah bertukar tangan sejak ianya ditubuhkan pada 2000 hingga sekarang.

“Ternyata pihak pembangkang telah memutarbelitkan isu dan isu Puan Rusni masuk Pas seperti diumumkan Disember tahun lalu juga diragukan kerana beliau memang penyokong Pas sejak belum kewujudan puteri lagi,” katanya.

Katanya setakat ini, semua ketua Puteri lapan bahagian seluruh negeri masih kekal kecuali Kemaman Puan Hidayati Baharuddin yang habis tempoh usia diganti Puan Asfalinda Anuar.

“Semakin dekat pilihanraya umum, semakin banyak pembohongan dan penipuan yang dibuat parti Pas dan berharap masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan taktik kotor yang dibawa pemimpin parti itu,” katanya.




Penuntut UMT terima BB1M

Oleh: Aida Abd Rahman

Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta penuntut seluruh Malaysia turut dinikmati 7,431 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Baucar berkenaan melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.49 juta disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, semalam (7 Februari).

BB1M yang bernilai RM200 mula diagihkan sejak 1 Januari dan sah digunakan sehingga 31 Mac ini yang diumumkan Perdana Menteri , Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak ketika pembentangan Bajet 2012 bertujuan membantu pelajar membeli pelbagai bahan bacaan yang berfaedah untuk kegunaan pembelajaran kumpulan itu.

Haji Ahmad Razif mengingatkan para pelajar berkenaan memanfaatkan pemberian baucar tersebut dengan sebaik-baiknya.

Turut pada majlis penyampaian baucar itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof Dr Yahaya Ibrahim.

Selain pelajar universiti, pelajar Tingkatan Enam, Matrikulasi, Asasi, Politeknik dan institusi pengajian tinggi swasta juga mendapat manfaat BB1M yang melibatkan peruntukan kira-kira RM260 juta seluruh negara.



Penduduk Kampung Baru Kertih serbu MB ‘jual’ duku

Oleh FAUZI MOHD



Beli duku tidak payah bayar – Wajah kegembiraan itu dirakam lensa Teganukita di Kampung Baru Kertih, Kemaman apabila Dato’ Seri Ahmad Said mengambil peluang untuk ‘menjual’ buah duku di sebuah gerai penjaja di kampung berkenaan.

Orang ramai yang kebetulan berada di sekitar itu tidak melepaskan peluang untuk ‘membeli’ buah duku daripada Menteri Besar.



Dato’ Seri Ahmad singgah di gerai milik Osman Abdullah, 48, ketika beliau turun padang meninjau projek pembangunan dan infrastruktur di sekitar Kemaman, semalam.


Rakyat muak, tidak tertarik tohmahan pembangkang

Oleh FAUZI MOHD

Rakyat sudah semakin muak dan dilihat tidak lagi tertarik dengan pelbagai tohmahan dan kritikan yang dilemparkan oleh pembangkang terhadap kerajaan mengenai pelbagai program bantuan untuk rakyat.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, rakyat kini yang semakin bijak, menuntut bukti atas tohmahan dan kritikan tersebut yang dilihat gagal diberikan pembangkang sekaligus menyebabkan rakyat semakin menyokong kerajaan.



"Jadi bukti tidak ada, maka Barisan Nasional (BN) yang dapat menampilkan kasih sayang ini dan kasih sayang itu sudah bertempat di hati rakyat dan sukar bagi pembangkang untuk menangkis selepas ini," katanya.

Beliau berkata semikian pada majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada kira-kira 500 penerima peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di Dewan Sivik Kijal, Kemamam petang semalam.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) Roshali Taha.

Dato’ Seri Ahmad berkata, kejayaan kerajaan melaksanakan pelbagai bentuk bantuan seperti BR1M dan bantuan RM100 untuk kanak-kanak bersekolah dicemburui pembangkang dan menyebabkan mereka melemparkan tohmahan dan fitnah terhadap kerajaan.

Katanya, jika dilihat dari segi rekod pembangkang di seluruh negara, mereka gagal memberi bantuan atau sumbangan seperti dilaksanakan kerajaan.

"Oleh itu, jika hanya retorik yang dibawa pihak pembangkang kami berasa duka cita oleh kerana rakyat seharusnya tidak lagi dipesongkan dengan kata-kata kosong.

"Jadi, kami mencabar sekiranya mereka benar-benar berkeupayaan wujudkanlah kebajikan lain," katanya.


RM100 juta untuk baiki, naik taraf jalan di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Lebih RM100 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri tahun ini untuk kerja-kerja pembinaan jalan baru dan menaik taraf jalan lama agar mencapai tahap di tetapkan di seluruh Terengganu.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, daripada jumlah itu RM58 juta disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan RM39 juta diperuntukkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).



Di Kemaman kata beliau, sejumlah RM3.25 juta diagihkan untuk tujuan berkenaan membabitkan peruntukkan sebanyak RM1 juta untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik dan masing-masing RM750,000 untuk tiga DUN lagi iaitu Kijal, Chukai dan Air Putih.

“Sesi lawatatan kerja saya bersama PBT di setiap daerah ini untuk melihat dan meluluskan peruntukkan pembinaan jalan baru, melapis jalan sedia ada dan menaik taraf jalan agar mencapai tahap yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita ketika turun padang meninjau projek pembangunan di sekitar Kemaman, semalam.

Turut serta, ADUN Kemasik, YB. Ir. Rosli Othman; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato' Mat Razali Kassim; Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Kamil Othman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Mustafar Khalid.



Sementara itu, Dato’ Seri Ahmad turut meminta JKR agar segera menyelenggara Jalan Jerangau-Jabor dan Jalan Ibok-Seri Bandi yang mengalami kerosakan teruk selepas musim tenkujuh baru-baru ini.

“Kita banyak menerima aduan menerusi SMS (khidmat pesanan ringkas) dan sebagainya daripada orang ramai mengenai kerosakan jalan-jalan berkenaan kerana biasalah selepas banjir, hujan lebat banyak jalan rosak,” ujarnya.



Dalam lawatan itu, Menteri Besar turut melawati tapak perumahan untuk 500 unit rumah kos rendah di Teluk Kalong, sistem longkang dan perparitan di sekitar Kemaman dan projek pembangunan Bandar Baru Kijal.

Turut dilawati, bangunan kedai di Kemasik, jalan di Meraga Beris, projek naik taraf Masjid Ar Rahman Bukit Kuang serta Hospital Kemaman.