Halaman

18 January 2012

JKR perlu RM20 juta baiki jalan rosak

Oleh; Esah Abdullah



Sebanyak RM 20 juta diperlukan untuk membaiki kerosakan jalan bagi seluruh negeri ini selepas kejadian hujan dan banjir pada musim tengkujuh lalu.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, Ir Shafii Muhamad berkata, peruntukan ini berdasarkan kajian awal yang dibuat oleh pihak JKR dan konsesi berdasarkan laporan oleh jurutera di setiap daerah.

“Hasil laporan yang diterima, kita dapati banyak jalan persekutuan yang rosak teruk berbanding jalan negeri kerana jalan itu menjadi laluan utama untuk semua jenis kenderaan.

“Walaupun peruntukan dari Kerajaan Persekutuan belum diperoleh tetapi JKR telah mengambil tindakan awal dengan melakukannya secara berperingkat mengikut keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Ismail Mohd, 75, mangsa kemalangan akibat mendapan jalan yang menerima rawatan di Hospital Setiu serta meninjau proses membaiki jalan tersebut.

Sempena lawatan itu, Setiausaha Politik, Menteri Kerja Raya, Dato’ As’ari Ibrahim mewakili menteri dan Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee turut bersama-sama meluangkan masa melawat Ismail serta melihat perkembangan terkini kerja baik pulih jalan.

Ketika diminta mengulas mengenai penubuhan jawatankuasa khas bagi memantau jalan yang rosak, Ir Shafii berkata, jawatankuasa itu sememangnya sudah diwujudkan dan jurutera di setiap daerah sentiasa peka mengenai masalah itu.

“Setakat ini kita tidak berdepan sebarang masalah kerana pihak JKR telah bekerjasama dengan syarikat konsesi bagi setiap tindakan yang dilakukan di samping laporan terus kepada ibu pejabat atau pihak kementerian.

“Jadi kita mengharapkan kejadian malang tidak akan berlaku lagi di kawasan ini atau di tempat lain kerana ia adalah bencana alam yang tidak dijangka” katanya.

Sementara itu, Dato’ As’ari berkata, JKR telah pun mengambil tindakan segera dengan menutup sistem pembentung air yang bocor di kawasan yang berlaku mendapan sehingga mengakibatkan kemalangan dua hari lepas.

“Saya mengharapkan tindakan susulan dapat dilakukan segera jika mendapati masih ada jalan yang berisiko kepada pengguna jalan raya,” katanya.




Pertandingan hias rumah Kampung Cina papar keunikan senibina

Dato' Toh Chin Yaw berkesempatan memasang beberapa tanglung di sekitar Kampunf Cina bagi menyemarakkan lagi perayaan Tahun Baru Cina. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Aida Abd Rahman

Kreativiti komuniti menghias rumah serta kedai sempena pertandingan menghias rumah dapat mempromosikan keunikan arkitek bangunan di Kampung Cina, sekaligus menyemarakkan lagi sambutan perayaan kaum Tionghua itu minggu depan.

Inisiatif MCA Bahagian Kuala Terengganu itu juga dapat menarik lebih ramai pelawat ke penempatan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Dato’ Toh Chin Yaw, berkata program yang bertemakan 'Naga Bertuah Menyambut Musim Bunga' mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan Malaysia Terengganu, Koperasi dan juga Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Cina.


"Sebanyak 50 penyertaan yang sudah diterima pada tahun ini dan kali ini sambutan lebih baik daripada penduduk setempat berbanding tahun sebelumnya,” katanya ketika sidang media, di Kampung Cina, semalam (17 Januari).

Katanya, pertandingan yang bermula pada 13 Januari sehingga 21 Januari ini bertempat di Kampung Cina, Kuala Terengganu menawarkan hadiah utama berjumlah RM3,888, naib johan RM2,888 dan tempat ketiga RM1,888.

Sementara 10 hadiah sagu hati bernilai RM388 setiap satu, selain imbuhan kepada tujuh penyertaan terbaik.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang dijadualkan pada malam 21 Januari ini.Turut diadakan acara selingan termasuk persembahan pentas.

Sebelum itu, menurut Dato’ Toh, pihaknya turut menjalankan aktiviti gotong-royong dan pemeriksaan kesihatan kepada warga emas, selain pertandingan fotografi yang bertujuan memaparkan keindahan budaya dan warisan penduduk sekitar Kampung Cina.



Pelajar PKT terharu terima BB1M

Oleh: Suriati Ali

“Kerajaan memang prihatin dan faham mengenai masalah pelajar yang sememangnya memerlukan perbelanjaan tinggi untuk membeli pelbagai kelengkapan belajar.

“Buku kajian dan pelbagai bahan rujukan lain semakin mahal sehingga mencecah RM150 sebuah, apa yang dilaksanakan ini adalah bertepatan dan mampu membantu mengurangkan beban ibu bapa,” kata pelajar Politeknik Kuala Terengganu (PKT), Mimi Farahin Nazri, 19 selepas Majlis Penyampaian Baucar Buku 1 Malaysia di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (17 Januari).

Beliau antara 479 pelajar PKT yang menerima Baucar Buku 1 Malaysia (BB1M) daripada Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia, YB Ahmad Razif Abd Rahman.

Mimi Farahin yang juga pelajar Kejuruteraan Teknologi Maklumat itu mengakui terharu dengan pemberian yang sangat berharga itu dan berjanji akan menggunakannya sebaik mungkin dengan membeli barang kelengkapan belajar.

Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrikal Muhammad Khairul Aiman Othman, 19,
berkata,pemberian BB1M itu membuatkan dia lebih bersemangat untuk belajar dan mencapai cita-cita yang diinginkan.

Katanya, dia dan rakan sekelas terpaksa meminjam buku rujukan perpustakaan, mencari maklumat melalui internet dan membuat salinan buku rujukan rakan semata-mata mahu berjimat.

“Pemberian baucer RM200 ini cukup bermakna kerana dapat membeli dan memiliki buku rujukan sendiri,” katanya yang berasal dari Pulau Pinang.

Seorang lagi pelajar dari Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu, Heng Zi Wei, 20, berkata bapa hanya bekerja di kampung dan tidak mampu untuk membeli buku rujukan yang mahal.

Katanya, pemberian baucar itu mampu melegakannya kerana tidak perlu lagi bersusah payah membuat salinan buku daripada rakan sekelas.

“Terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan kerana sudi membantu dan memahami masalah pelajar,” katanya.

YB Abd Razif berkata, baucar yang diperoleh itu cukup penting bagi setiap pelajar untuk membeli buku rujukan ilimiah berkaitan bidang masing-masing.

“Sekiranya bijak memanfaat apa yang diperoleh ini, sudah tentu mampu merangsang minda setiap penuntut untuk merekacipta projek inovasi yang hebat,” katanya.


Penyu melonjak, Penyu Muda kekal teratas

Oleh: Aida Abd Rahman

Pasukan Penyu membaiki kedudukan daripada tangga kelima ke tempat ketiga selepas menewaskan Sarawak 1-0 hasil jaringan awang import, Francis Forkey Doe, di Stadium Negeri, Sarawak, malam tadi.

Penyerang import yang baru pertama kali diturunkan bagi membantu skuad Terengganu itu, meledak gol tunggal pada minit ke-36 untuk memberi tiga mata penuh buat pasukan kendalian Md Zan Mat Aris itu.

Dengan pungutan enam mata selepas mengharungi tiga perlawanan, Terengganu saling menyaingi skuad T -Team dengan masing-masing hanya dipisahkan oleh pasukan Kelantan.

Biarpun aksi di Stadium Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu gagal mencatatkan sebarang jaringan, namun T-Team tetap mengekalkan kedudukan di tangga teratas liga.

Penyu Muda beraksi garang namun buntu menemui gol bagi menambah koleksi tujuh mata pasukan yang berstatus kelab itu selepas mengharungi tiga perlawanan dengan menang pada dua perlawanan awal.




Perbandingan Harga Produk di Negara Asean



Untuk maklumat lanjut berhubung subsidi kerajaan, sila KLIK

500 penduduk Besut terima BRM1M dimajlis pelancaran fasa pertama

Oleh: Mohammad Ishak


Dr Abdullah menyampaikan boucer RM500 kepada seorang penerima


Penantian rakyat Melayisa untuk menerima wang menerusi program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRM1M) seperti yang dijanjikan Kerajaan Barisan Nasional (BN) akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka mula menerima pemberian itu mulai 15 anuari lalu.

Di Besut 500 penduduk daerah itu dipilih sebagai penerima kumpulan pertama menerima RM500 sempena majlis pelancaran yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, Jertih.

Majlis dirasmikan bersama oleh Ketua Umno Bahagian Besut,Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih dan Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Bendahari UMNO Besut.

Pembayaran wang secara tunai itu memudahkan orang ramai mendapatkan bantuan berkenaan sekali gus mempercepatkan proses bayaran apabila pihak terbabit menyediakan lebih banyak kaunter.

Pejabat Daerah Besut (PDB) yang menyelaraskan pembayaran itu sudah menetapkan jadual pengagihan meliputi semua empat kawasan DUN iaitu Jertih,Hulu Besut, Kuala Besut dan Kota Putera yang akan menerimanya secara berperingkat-peringkat.

Abdullah ketika merasmikan pelancaran itu berkata, kerajaan BN tidak pernah menipu rakyat dan semua perkara yang dijanjikan sentiasa dilaksanakan.

Katanya, pelbagai bantuan yang disediakan oleh kerajaan pusat dan negeri membuktikan bahawa BN mengutamakan kepentingan rakyat dan ia sebahagian daripada usaha memberi kebajikan kepada rakyat sejak berpuluh tahun lalu.

“Berbeza dengan pembangkang yang hanya melaungkan slogan "Negara Berkebajikan",tetapi BN sudah melaksanakan sejak sekian lama,” katanya.




17 January 2012

Tawar kawasan untuk bina dua institut latihan

Sebahagian daripada pelajar Politeknik Kuala Terengganu gembira menerima baucer RM200 seorang yang disampaikan YB Ahmad razif di Dewan Besar Wisma Darul Iman. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri menawarkan lokasi seluas 4.8 hektar, di Kampung Banggol Air Lilih, Kuala Nerus kepada Politeknik Kuala Terengganu (PKT) dan Kolej Komuniti Kuala Terengganu(KKKT) untuk dijadikan kawasan pembelajaran yang lebih kondusif.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia, YB Ahmad Razif Adb Rahman, berkata pihaknya bersedia dan mengalu-alukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya membina dua institut latihan itu di kawasan yang bakal dijadikan `Hub Pendidikan’.

Katanya, kawasan itu amat sesuai kerana berdekatan dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Pusat Latihan Giat Mara.

“Buat masa sekarang, KPT sudah bersedia membina KKKT di kawasan sama membabitkan lokasi seluas 2.4 hektar. Jika pihak sama bersetuju membina PKT pula , kedua-dua institut latihan itu akan dibina secara bersebelahan,” katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Baucar Buku 1 Malaysia di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah PKT, Puan Radiah Che Su dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

YB Ahmad Razif sudi menyampaikan sendiri baucar buku bernilai RM200 seorang kepada 479 penuntut PKT yang hadir di majlis itu.


Beliau turut memberitahu, baucar yang diperoleh itu cukup penting bagi setiap pelajar untuk membeli buku rujukan ilimiah berkaitan bidang masing-masing.

“Sekiranya bijak memanfaat apa yang diperoleh ini, sudah tentu mampu merangsang minda setiap penuntut untuk merekacipta projek inovasi yang hebat,” katanya.



Subsidi Rakyat - Pilihan bijak rakyat Malaysia.

Hanya Malaysia satu-satunya negara yang kawal Harga Barang.




Dengan adanya subsidi, harga runcit bagi satu kilogram tepung gandum di Semenanjung adalah RM1.35 sedangkan harga sebenarnya ialah RM1.90. Jadi bagi setiap satu kilogram gandum di Semenanjung, Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM0.55.

Rakyat Malaysia menikmati subsidi dalam berbelanja. 12 Barang Kawalan Berjadual iaitu Tepung Gandum, Ayam, Minyak Masak, Gula, Gas LPG, Baja, Minyak Tanah, Diesel, Simen, Roti (semua jenis), Petrol, Spirit motor, gasolin motor semua gred dan Bar bulat keluli lembut.

Kerajaan buka kawasan industri baru untuk pelabur

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan memberi tumpuan untuk membuka kawasan industri yang berpotensi di negeri ini apabila kawasan sedia ada sudah mencapai tahap maksimun bagi pembangunan baru.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw berkata, kerajaan tidak berhasrat meluaskan kawasan perindustrian yang sudah mencapai tahap maksimun seperti di Gong Badak sebaliknya mencari tapak lain yang lebih berpotensi.

“Kawasan Peindustrian Gong badak mempunyai keluasan 109.73 hektar dan pada dasarnya sudah capai tahap maksimun untuk pembangunan baru namun masih ada ruang bagi mana-mana syarikat beroperasi di situ,” katanya.

“Sekarang kita memberi tumpuan ke kawasan Batu Rakit sebagai tapak baru dalam industri pembangunan di samping dua kawasan industri lain iaitu di Bukit Kor dan Wakaf Tapai, Marang,” katanya.

Tambahnya, mana-mana pelabur atau syarikat mempunyai pilihan, jika melibatkan kayu kayan kawasan Wakaf Tapai paling sesuai.

Katanya, kerajaan bersedia membantu mana-mana syarikat yang ingin membuat pelaburan di negeri ini asalkan ia membantu menawarkan pekerjaan kepada anak tempatan di samping meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri.




SRS kawal kampung

Oleh; Esah Abdullah

Anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) diminta terus menjadi benteng menjaga keselamatan dalam kampung bagi memastikan komuniti sentiasa dalam keadaan harmoni dan selamat.

“Individu yang terlibat dalam pasuan rondaan perlu komited menjalankan tugas secara berskala seperti yang dijadualkan,” kata Pegawai Perpaduan Daerah Kuala Terengganu, Puan Norma Mohd Nor.

Katanya, anggota SRS dilindungi insuran dan sebarang kemungkinan yang terjadi ketika bertugas dilindungi sepenuhnya.

Menurut Puan Norma, jabatan mensasarkan 10 sektor SRS dapat diwujudkan tahun ini di samping 81 sektor di seluruh daerah Kuala Terengganu sehingga Disember tahun lalu.

Katanya, terdapat 90 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di daerah ini yang bersama memberi sumbangan kepada komuniti dengan melaksanakan pelbagai aktiviti bagi mengeratkan perpaduan masyarakat setempat.

“Jabatan menyediakan geran tahunan kepada KRT bagi melancarkan pelaksanaan program kemasyarakatan di peringkat akar umbi,” katanya.