Halaman

15 January 2012

Insentif suntik moral kekal kejayaan- atlet OKU

Oleh: Aida Abd Rahman

“Saya mahu bantu keluarga dengan wang insentif ini. Malah, apa yang saya dapat menaikkan moral dan semangat saya untuk terus mencipta kejayaan,” kata atlet olahraga Orang Kelainan Upaya (OKU, Mohammad Azlan Mat Lazin, 21, selepas meraih ganjaran tertinggi berjumlah RM11,500 daripada kerajaan negeri sempena Majlis Penyampaian Insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan SEA dan Para Asean, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Haji Zainal Abidin Hussin.
Selain Mohammad Azlan, 10 lagi atlet OKU turut menerima imbuhan yang kesemuanya berjumlah RM49,000 di Sukan Para Asean Solo, Indonesia lalu, manakala seramai 29 atlet yang berjaya di temasya Sukan SEA Indonesia 2011 pula menerima ganjaran RM85,500.

Mohammad Azlan yang turut diumumkan atlet terbaik bagi ketagori T36 (sepastik) berkata, pengorbanan tenaga dan masa demi meraih kejayaan dalam sukan yang disertainya berbaloi apabila berjaya dalam kesemua acara dengan memungut empat pingat masing-masing dua emas bagi kategori 4X100 dan 100 meter, perak (lompat jauh) dan gangsa bagi acara 200 meter.

“Pastinya saya sangat gembira dengan kejayaan ini. Terima kasih kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sebab menghadiahkan ganjaran ini,” katanya.

Turut berkongsi kegembiraan itu rakannya, Hisam Che Soh, 31, yang memenangi emas bagi acara lontar peluru dan menerima imbuhan RM4,000 dalam majlis itu.

“Kami memang tidak sempurna dan usaha kami perlu lebih gigih berbanding atlet normal yang lain untuk mencapai setiap sasaran. Apabila mendapat pengiktirafan atas kejayaan ini, pastinya saya dan rakan-rakan senasib amat terharu serta menaikkan semangat kami untuk terus menempa kejayaan pada masa depan,” katanya.

Bagi atlet pencak silat wanita negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir pula, penghargaan yang tidak pernah putus daripada kerajaan negeri menjadi batu loncatan untuknya dan rakan terutama dalam sukan mempertahankan diri untuk terus melakar kejayaan dan memperbaiki prestasi semasa.

“Pengiktirafan kerajaan negeri amat saya hargai. Bukan mudah untuk mencapai kejayaan dan mengekalkannya. Namun berkat dorongan semua pihak kami yakin mampu melakukan yang terbaik demi negeri dan negara yang disayangi,” katanya yang memenangi perak bagi kategori silat olahraga E dalam temasya Sukan Sea lalu.




RM81 juta pulihkan Pantai Tok Jembal

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan menganggarkan kerja-kerja mengatasi masalah akisan Pantai Tok Jembal menelan belanja RM81 juta, meliputi kos menambak dan membina benteng ombak di kawasan berkenaan.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, sehingga ini pantai terbabit sudah terhakis 100 meter di mana jalan, gerai dan kemudahan awam di kawasan itu sudah dihanyut ke laut.

“Kerja-kerja membaikpulih akan dilaksanakan secepat mungkin sebaik menerima kelulusan peruntukan daripada Kerajaan Pusat,” katanya pada sidang media selepas meninjau ke kawasan hakisan di Pantai Tok Jembal hari ini.



Hadir sama, Ketua Setiausaha Pebendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang.

“Saya harap kementerian dapat meluluskan secepat mungkin agar kita dapat memulakan kerja-kerja membina benteng ini kerana jika kita lambat kerosakan ini akan merebak ke kawasan penduduk sekitar pula,” katanya.

Menurutnya, semua jentera kerajaan seperti Jabatan Parit dan Saliran (JPS) sudah menyiapkan rekabentuk serta anggaran perbelanjaan untuk projek berkenaan dan bersiap sedia untuk memulakan kerja dan kini hanya menunggu lampu hijau dari Pusat.

Tambahnya, kerajaan mengambil inisiatif membina benteng sementara bagi mengelak pantai terus terhakis akibat ombak yang mengganas.

Projek sementara pengawalan hakisan pantai kini sedang giat dijalankan menelan belanja RM19 juta yang terbahagi beberapa fasa termasuklah jajaran perlindungan pantai sejauh 515 meter (m) dengan kos RM2.5 juta.

Manakala jajaran fasa dua sejauh 1035m (RM6.5 juta) perlindungan pantai yang perlu dinaiktaraf di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) sepanjang 250m (RM1.3 juta) dan cadangan baru 1750m (RM10 juta).

Hakisan yang dikesan sejak 2009 ini menghadapi kesukaran untuk dipulih sepenuhnya kerana keadaan ombak besar akibat beberapa bencana sering terjadi dan kerajaan sentiasa membuat pemantauan terhadapnya.




Terengganu terima dana khas RM200 juta

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri menerima bayaran balik Dana Khas Persekutuan berjumlah RM200 juta daripada Kementerian Kewangan Malaysia di Wisma Darul Iman, hari ini.


Penyerahan itu disempurnakan Ketua Setiausaha Perbendaharaan kementerian itu, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah kepada Menteri Besar Dato’ Seri Haji Seri Ahmad Said di tingkat 16, pejabat Menteri Besar.

Majlis penyarahan cek tersebut disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Hadir sama, Penasihat Undang-undang Negeri, YB Noorbahri Baharuddin; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.


290 mangsa banjir di Setiu dipindahkan

Oleh FAUZI MOHD

Sejumlah 290 orang daripada 72 keluarga di daerah Setiu dipindahkan selepas kawasan penempatan mereka dinaiki air.

Majlis Keselamatan Negara Terengganu setakat 9 pagi ini melaporkan, lima pusat pemindahan dibuka di Balairaya Hulu Seladang melibatkan 35 mangsa, Balairaya Kampung Besut (24), Pasar Lama Permaisuri (87), Sekolah Kebangsaan Kampung Besut (124) dan Surau Kampung Besut (20).


Keharmonian kaum perlu dikekalkan MB

Oleh: Mohammad Ishak


Ahmad dan Idris bergambar kenangan bersama Jawatankuasa MCA Besut


Kemesraan dan semangat kerjasama antara penduduk pelbagai kaum negeri ini yang menjadi teras kepada perpaduan perlu dikekalkan bagi mempastikan negeri ini dapat dibangunkan dengan baik dan sempurna.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, contoh perpaduan antara masyarakat Melayu, Cina dan Siam seperti yang diamalkan di Besut membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menjadi tonggak pemerintahan berjaya menunaikan tanggungjawab sebagai pemerintah.

Katanya, keadaan ini yang jarang berlaku di tempat lain memberikan kekuatan kepada BN untuk terus kekal mentadbir negeri ini berasaskan sokongan masyarakat pelbagai kaum kepada kerajaan yang ada sekarang.

“Oleh itu kerajaan berharap semua masyarakat Cina dan Siam di Besut walaupun bilangannya kecil tetapi undi mereka untuk BN adalah penting,” katanya pada majlis Malam Mesra Rakyat anjuran MCA Bahagian Besut di Dewan MDB Gong Kemuntong,dekat Jertih,malam tadi.

Kira-kira 500 ahli MCA bahagian itu menghadiri majlis yang turut dihadiri oleh Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalanya, Nawi Mohamad, Naib Ketua,Muhammad Pehimi Yusof, Bendahari,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin,Pegawai Daerah Besut, A Rahim Mokhtar, Yang Diprtua Majlis Daerah Besut, Ibrahim Mohamad dan Ketua Polis Daerah,Superentendan Kamaruddin Zakaria.

Ketika ini, ada 800 pengundi Cina dan Siam yang berdaftar layak mengundi di kawasan Parlimen Besut pada pilihanraya umum tidak lama lagi.

Mengenai pelbagai permintaan kaum Cina daerah Besut,Menteri Besar berkata, beliau akan mempastikan setiap permohonan mereka termasuk permintaan pembinaan dewan akan dipertimbangkan dan perlu mengikut proses biasa.

“Sehingga ini sudah banyak permintaan mereka sudah diluluskan dan sebahagian masih dalam pertimbangan manakala ada juga yang terpaksa ditolak,” katanya.





Balai Polis Pasir Akar, Cabang Tiga wakili Terengganu dalam anugerah MCPF

Oleh FAUZI MOHD

Dua balai polis di negeri ini terpilih mewakili Terengganu dalam Anugerah Balai Polis Cemerlang Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) 2011

Naib Pengerusi MCPF Datuk Kamaruddin Md Ali berkata, Balai Polis Pasir Akar, Hulu Besut terpilih bagi kategori Balai Polis Luar Bandar dan kategori Balai Polis Cemerlang bandar diwakili Balai Polis Cabang Tiga, Kuala Terengganu yang tersenarai ke peringkat akhir.

Katanya pertandingan dua tahun sekali ini berstatus antarabangsa kerana balai yang terbaik akan dipertandingkan ke peringkat Asia dan seterusnya.

"Balai Polis Pasir Akar terpilih hingga ke peringkat akhir kerana hubungan baik dengan komuniti setempat dalam pelbagai aspek," katanya baru-baru ini.


Maidam serah RM224,000 taja 112 pelajar UiTM

Oleh FAUZI MOHD

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) baru-baru ini menyerahkan tajaan derma siswa kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Terengganu menerusi program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB).

Tajaan hasil kutipan zakat itu berjumlah RM224,000 dan akan diagihkan kepada 112 pelajar yang diletakkan dalam program berkenaan.

Ia diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Wan Sulaiman kepada rektor universiti itu, Tengku Yusoff Tengku Mahmud.

Dalam ucapannya, Wan Harujan berkata, menjadi hasrat dan kepentingan kepada Maidam untuk membantu pelajar yang tergolong dalam kumpulan asnaf yang perlu dibantu.

"Ini bertepatan dengan program MDAB yang dibawakan oleh UiTM bagi membantu pelajar yang tidak berkemampuan tetapi mempunyai cita-cita untuk mengubah nasib diri dan keluarga," ujarnya.


T-Team , Terengganu benam lawan

Oleh: Aida Abd Rahman

Seakan memberi amaran awal kepada pasukan lain, T-Team terus melakar kejutan apabila sekali lagi mengutip tiga mata penuh selepas berjaya membenam Kuala Lumpur 3-0, di Stadium Hang Jebat, Melaka, semalam.

Pasukan bertaraf kelab yang dibimbing Yunus Alif itu merekodkan kemenangan dua kali berturut-turut untuk mengukuhkan cengkaman sebagai pendahulu liga apabila mengutip enam mata selepas mengharungi dua perlawanan.

Ketua pasukan T-Team, Zairo Anuar Zalani menjadi wira pasukan itu, apabila berjaya menghasilkan dua gol pada minit ke-30 dan minit ke-79, manakala gol terakhir dijaringkan oleh awang import, Zacharia Simukonda pada minit ke-69.

Sementara abang T-team, Terengganu turut melakar keputusan yang sama selepas berhasil mengutip tiga mata penuh apabila menumbangkan Felda United dengan jaringan 3-0, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Seakan melupakan kemelut yang melanda dalam skuad itu berhubung isu pemain import, pasukan kendalian Mat Zan Mat Aris mempamerkan aksi menarik sebaik wisel ditiupkan dan berjaya membolosi gawang Felda seawal minit ke-11 menerusi jaringan Ismail Faruqi.

Manakala penyerang berbisa Terengganu, Mohamad Ashaari Samsudin menjadi wira untuk tuan rumah meraikan kemenangan apabila menambah dua gol lagi pada minit ke-73 dan minit ke-93, sekaligus menutup peluang Felda meraih sebarang mata.




MB lega keputusan FAM lanjut daftar pemain import

Oleh FAUZI MOHD

"Terima kasih kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia). Ini maknanya FAM dengar kehendak kita".

Itu reaksi Dato' Seri Ahmad Said terhadap keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM yang memberi kelonggaran kepada persatuan negeri dan kelab melanjutkan pendaftaran pemain import sebelum 13 Februari ini.

Menurut Menteri Besar, tegurannya terhadap FAM mengenai perkara itu tempoh hari sebenarnya bertujuan untuk sama-sama melihat sukan bola sepak tempatan negara maju serta membangun.

"Saya bersyukur dan terima kasih kepada FAM yang buat keputusan untuk buka semula pendaftaran pemain import. Tujuan ambil pemain ini (import) untuk meningkatkan pencapaian bola sepak tempatan dan jumlah penonton ke stadium.

"Saya bukan bercakap sebagai seorang Menteri Besar, tapi saya bercakap bagi pihak peminat bola sepak di peringkat akar umbi, saya juga peminat bola. Jadi, saya tahu kehendak peminat," katanya.

Kata Dato' Seri Ahmad selepas merasmikan Konvensyen NGO's Negeri Terengganu 2012 di Hotel Primula, Kuala Terengganu semalam.


NGO Terengganu terima RM2 juta

Oleh FAUZI MOHD

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said mengumumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta bagi memenuhi keperluan badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh Terengganu.

Jelas beliau, peruntukan itu antara lain bagi membantu dari segi keperluan pentadbiran NGO-NGO berkenaan.

"Peruntukkan ini bagi memastikan tiada NGO di Terengganu yang tidak boleh bergerak kerana masalah kewengan dan diharapkan lebih banyak program dan aktiviti bermanafaat untuk pelbagai golongan dianjurkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Konvensyen NGO Negeri Terengganu 2012 di Hotel Primula, Kuala Terengganu semalam.

Konvensyen sehari yang dianjurkan oleh Biro Pengundi Luar dan NGO Badan Perhubungan UMNO Terengganu itu dihadiri kira-kira 2,000 orang yang mewakili lebih 165 NGO di negeri ini.

Konvesyen berkenaan merupakan pertama kali diadakan di negeri ini diadakan supaya anggota NGO memahami isu semasa yang sedang berlaku di sekitar mereka untuk ditangani.

Konvensyen anjuran Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu itu akan diikuti dengan forum khas bertajuk 'BN dan NGO Juara Rakyat' yang ahli panelnya terdiri daripada wakil Umno, MIC dan MCA.