Halaman

11 September 2011

KEHADIRAN RAMAI BUKTI AHMAD SAID POPULAR DI SISI RAKYAT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman



Kehadiran begitu ramai pengunjung ke rumah terbuka yang diadakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di kediamannya di Kijal Kemaman dan sebelumnya di kediaman rasmi di Kuala Terengganu jelas menampakkan betapa ‘popularnya’ Dato’ Seri Ahmad d sisi rakyat.

Mungkin pendekatan Dato’ Seri Ahmad yang bersahaja dengan rakyat dan tidak terlalu ‘protokol’ menyebabkan rakyat begitu senang berdepan dengan beliau dan sebenarnya itulah yang pernah disarankan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak.

Perdana Menteri yang memperkenalkan konsep “Juara Rakyat’ pernah meminta supaya pemimpin sentiasa turun padang menemui rakyat tanpa terlalu protokol, sebaliknya menghayati dan merasai denyut nadi kehidupan rakyat.

Dato’ Seri Ahmad sebaik sahaja dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu ke 13, meletakkan dasar rakyat adalah keutamaan, lalu memperkenalkan pendekatan dan konsep ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”, MPPNT.

Itulah menunjukkan apa yang ada dalam diri beliau kerana beliau seorang yang berasal dari keluarga sebuah kampong iaitu Teluk Kalong, Kijal Kemaman dan amat memahami sanubari dan denyut nadi rakyat .

Melalui konsep 5M, beliau meminta supaya pegawai kerajaan menghayati, menjiwai dan menghalusi , selain melaksana dan memantau setiap projek pembangunan untuk memastikan rakyat dapat menikmat sebenar-benarnya pembangunan yang dijalankan.

Oleh kerana Dato’ Seri Ahmad begitu prihatin dan cakna rakyat, maka balasannya ialah rakyat juga amat prihatin dan cakna kepada kerajaan dan kepemimpinannya yang terbukti melalui kehadiran yang begitu rakyat ke majlis-majlis yang dianjurkan.

Angka melebihi 10,000 orang yang hadir ke rumah terbuka Dato’ Seri Ahmad di Kijal semalam dan pada hari raya pertama melebihi 30,000 orang di kediaman rasminya adalah suatu angka yang amat besar, apatah lagi ia berlangsung secara ‘bersahaja’ tanpa jemputan dibuat.

Rakyat berasa terbuka hati di hari mulia untuk menemui seorang pemimpin yang berjiwa mulia yang sentiasa memikirkan kebajikan dan kesenangan untuk rakyat.

Semoga pendekatan merakyat yang ditunjukkan oleh Dato’ Seri Ahmad dan isteri To’Puan Seri Norliza Mahmud juga dicontohi oleh para pimpinan kerajaan yang lain.

`Penyu’ menang lagi

Oleh: Suriati Ali

Pasukan Terengganu yang beraksi di gelanggang sendiri malam tadi (10 September) berjaya menudukkan pasukan pelawat PKNS dengan keputusan 3-2.



Ini bermakna pasukan `Penyu’ berjaya melepasi halangan kedua dalam kancah Piala Malaysia yang bermula minggu lalu.

Pada aksi pertama, juara Piala FA itu menunjukkan aksi menyakinkan apabila mengalahkan Sime Darby 3-0 pada perlawanan sulungnya di gelanggang lawan minggu lalu.
Ini bermakna Terengganu menjuarai kumpulan B yang turut mengandungi pasukan Negeri Sembilan, PKNS dan Sime Darby.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu mendahului seawal minit pertama menerusi Ashaari Samsudin.



Bagaimanapun pasukan tuan rumah dipaksa bekerja keras mempertahankan asakan juara Liga Perdana, PKNS yang dua kali menyamakan kedudukan sebelum Manaf Mamat mengesahkan kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit ke-79.

PKNS yang dikejutkan dengan gol awal Ashaari dan hanya memerlukan lapan minit untuk mengikat kedudukan menerusi Fauzan Dzulkifli, sambil Zamri Hassan (m-62) memadam jaringan kedua Reeshafiq Alwi (m-54).




Tujuh peserta wakili Terengganu

Oleh: Suriati Ali



Komitmen tinggi dan kesungguhan tujuh peserta menzahirkan erti merdeka dalam Pertandingan Keceriaan Merdeka 2011 Terengganu membolehkan mereka terpilih untuk mewakili negeri pada peringkat kebangsaan.



Panel penilai mencalonkan Kampung Gong Guchil, Jerteh bagi kategori Kampung Tradisi dan Anjung Bestari); Sekolah Kebangsaan Tengku Bariah, Kuala Terengganu (Sekolah), Kolej Islam Sains dan Teknologi, Hulu Terengganu (Bangunan Swasta); Pejabat Majlis Perbandaran Dungun (Bangunan Kerajaan) dan Perumahan Bukit Sawa, Marang (Taman Perumahan).



Manakala Mohd Ridzuan Mohamad pula berjaya melayakkan diri bagi kategori Individu Kediaman.

Pengerusi Panel Penilai Pertandingan Keceriaan Merdeka 2011 Terengganu, Encik Mohd Iskandar Jaafar, berkata 19 penyertaan daripada semua kategori diterima pihak penganjur dan setelah dinilai hanya tujuh yang layak untuk dinilai pada Pertandingan Keceriaan Merdeka 2011 sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-54.



Katanya, penilaian dibuat berdasarkan kepada nilai patriotik, jumlah Jalur Gemilang, kreativiti dan kemampuan menterjemahkan semangat kemerdekaan melalui daya kreativiti serta kreatif.

Panel penilai terdiri daripada wakil Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Terengganu dan Ketua Biro Utusan Malaysia, Kuala Terengganu mengenal pasti tujuh kategori itu.


Penilaian peringkat kebangsaan akan dilakukan oleh wakil dari Ibu pejabat Jabatan Penerangan Malaysia pada 13 dan 14 September depan.

Pemenang yang berjaya pada peringkat kebangsaan akan menerima hadiah wang tunai antara RM2,000 dan RM10,000.


Pelumba TSG tunjuk belang di Brunei



Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Shahrul Mat Amin memahat nama sebagai juara di Brunei Darulssalam, semalam.

Dalam kejohanan Lumba Basikal Jelajah Brunei 2011 itu, Mohd Shahrul mengungguli saingan peringkat keempat kejohanan tersebut dari Tutong Town ke Bandar Seri Begawan sejauh 104.70 kilometer (km).

Pelumba berusia 22 tahun itu melintasi garisan penamat dengan catatan masa 2 jam 25 minit 34 saat meninggalkan Lloyd Lucien Reynante daripada pasukan 7 Eleven-RTS Racing dan rakan sepasukannya, Mohd. Harrif Salleh di tempat ketiga.

Ini adalah kemenangan ketiga pasukan TSG pada Jelajah Brunei 2011 selepas dua lagi pelumbanya, Anuar Manan dan Mohd. Harrif masing-masing turut memenangi peringkat kedua dan ketiga.

Anuar bagaimanapun menamatkan perlumbaan semalam di tempat kelima.

Selain menjuarai peringkat keempat, Mohd. Shahrul turut berjaya memenangi zon pecutan pertama dan menduduki tempat kedua di zon pecutan kedua selain menduduki tempat kedua dalam dua zon pendakian.

Apa pun, kejayaan Shahrul ini masih belum mampu menggugat kedudukan pelumba pasukan kebangsaan, Muhd. Adiq Hussainie Othman yang terus kekal menyarung Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan dengan catatan 11’29:25s.

Adiq Hussainie, 20, yang memenangi peringkat pertama jelajah ini Rabu lalu, bagaimanapun bakal berdepan cabaran hebat dalam perebutan gelaran keseluruhan tersebut pada saingan terakhir hari ini apabila pelumba Tabriz Petrochemical Cycling, Jahanbanian Kamnabi Hossein hanya ketinggalan enam saat di belakangnya.

Saingan terakhir hari ini akan berlangsung di Bandar Seri Begawan sejauh 146.50km melibatkan lima pusingan.



2,000 rai Pesta Tanglung di Kemaman

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELA SABERI

Perarakan dan pertunjukan tanglung pastinya menjadi acara tahunan yang paling ditunggu-tunggu setiap kali tiba perayaan kuih bulan yang disambut pada hari ke-15 bulan kelapan dalam kalendar Cina.



Ia diraikan menandakan berakhirnya musim menuai pada zaman dahulu kala dan masyarakat Cina akan menyambutnya dengan berkumpul bersama ahli keluarga.

Bagi kaum wanita, pada malam itu mereka akan sibuk membuat kuih bulan manakala kaum lelaki pula bersama-sama menghasilkan tanglung

Amalan memberi kuih bulan kepada rakan-rakan dan saudara-mara adalah bertujuan untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan kerana kuih bulan dianggap sebagai lambang penghormatan di dalam masyarakat tersebut.

Sesuai dengan semangat perpaduan dan menjana keharmonian kaum, malam tadi masyarakat Cina di daerah Kemaman telah merayakan Pesta Tanglung 2011 anjuran Dewan Perhimpunan Tiong Hua Daerah Kemaman.



Kira-kira 2,000 pengunjung hadir memeriahkan majlis yang diadakan di Dewan Seri Amar Diraja, Chukai yang turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

Apa yang menarik, kanak-kanak dan orang dewasa termasuk beberapa pelancong asing sama-sama berarak di sekitar Bandar Cukai, Kemaman dengan membawa tanglung.

Dalam masa sama, pelbagai acara menarik juga diadakan antaranya perarakan kereta berhias, pertunjukan fesyen kanak-kanak, tarian singa dan pertunjukkan pakaian dan tarian masyarakat Cina.



Menurut Dato’ Seri Ahmad, semangat 1Malaysia yang dilaungkan pemimpin negara dapat dilihat pada pesta tanglung tahun ini.

“Melihat masyarakat Cina turut sama membantu pengunjung kaum lain yang ingin tahu berkatan perayaan ini menjadikan suasana pada malam ini sungguh harmoni.

“Kita berharap pada tahun-tahun akan datang acara ini akan diadakan secara besar-besaran seperti ini agar dapat mengeratkan perpaduan antara kaum,” katanya dalam ucapan pada majlis itu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamaed Awang Tera yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai dan Pengerusi Dewan Perhimpunan Tiong Hua Daerah Kemaman, Dato’ Jimmy Tan Yunn Siong.

Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan ‘Ang Pau’ kepada lebih 30 warga emas kaum Tiong Hua.

Lebih 10,000 kunjungi rumah terbuka MB Teluk Kalong

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELA SABERI

Tradisi rumah terbuka terus disambut dengan penuh meriah di seluruh negara bagi memberi peluang pemimpin dan rakyat bertemu dalam suasana muhibah sepanjang Syawal ini.

Sebentar tadi, kemeriahan itu terus terpancar apabila lebih 10,000 pengunjung berbilang bangsa hadir ke rumah terbuka Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di kediamannya di Teluk Kalong, Kemaman.



Biarpun acara rumah terbuka untuk orang ramai bermula pada pukul 10 pagi, tetapi pengunjung telah mula tiba sejak pukul 8 pagi bagi mengelakkan kesesakan dan mengambil peluang untuk bersalaman dengan Menteri Besar dan isteri, To' Puan Seri Norliza Mahmud.

Semangat kekeluargaan nyata terpancar di wajah setiap pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat yang sama-sama hadir untuk meraikan dan memeriahkan sambutan itu.


Pengunjung disajikan dengan pelbagai juadah istimewa dan makanan tradisional seperti lemang, ketupat, rending, nasi dagang, sate dan pelbagai jenis kuih raya selain dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu Hari Raya.



Sementara itu, di perkarangan rumahnya lebih 20 khemah dipasang berserta kerusi dan meja untuk orang ramai menjamu selera sambil berbual mesra antara satu sama lain dan tidak melepaskan peluang bergambar di kawasan sekitar itu.



Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Ahli Parlimen Kemaman, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera dan beberapa pemimpin negeri yang lain.


Terengganu sedia 347 pusat perpindahan untuk 51,700 mangsa banjir.

Oleh FAUZI MOHD, ESAH ABDULLAH dan SURIATI ALI

Terengganu kini melakukan persediaan awal bagi menghadapi musim banjir dengan melaksanakan kempen kesedaran di peringkat komuniti.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu, Mohd. Tarmizi Dan berkata, Program Bersama Komuniti pada Julai lalu mampu memberi kesedaran berhubung tindakan yang perlu diambil sebelum dan selepas banjir.

"Melalui program ini, orang awam di negeri ini akan tahu peranan masing-masing ketika berlaku bencana alam itu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan terjamin.

"Ini sangat penting bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti kematian dan penularan penyakit berjangkit," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya MKN Terengganu di sini hari ini.

Sebelum ini, pihaknya telah mengadakan program kesedaran komuniti peringkat negeri di daerah Hulu Terengganu dengan melibatkan lebih 200 peserta yang terdiri daripada pemimpin masyarakat peringkat kampung dan orang awam.

Dalam pada itu, Mohd. Tarmizi berkata, sebanyak 112 pangkalan hadapan di seluruh Terengganu sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan ketika bencana alam itu berlaku.

''Sebanyak 347 pusat pemindahan yang mampu menempatkan 51,700 mangsa banjir akan dibuka sebagai persediaan. Kapasiti tempat perpindah mangsa banjir ini ditambah berbanding 48, 192 pada tahun lepas," katanya.

Jelasnya, sebanyak 98 pusat perpindahan akan disediakan di Daerah Besut, Setiu (35), Hulu Terengganu (78), Kuala Terengganu (25), Marang (23), Dungun (52) dan Kemaman (36).

Daripada jumlah itu katanya, seramai 11,082 mangsa banjir mampu ditempatkan di Besut, Setiu (2,738), Hulu Terengganu (8,640), Kuala Terengganu (7,300), Marang (4,100), Dungun (9,615) dan Kemaman (8,270).

''Semua agensi kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pejabat-pejabat daerah juga telah bersiap sedia mengikut peringkat masing-masing.

"MKN juga telah bersiap sedia dengan pelbagai barang keperluan mangsa banjir seperti bekalan makanan dan minuman, selimut serta lampin bayi di Depot Simpanan Keperluan Bencana di Pulau Kerengga, Marang," ujarnya.

Tambah Mohd. Tarmizi, orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang, etindakan.terengganu.gov.my bagi mendapatkan maklumat tepat dan terkini berkaitan situasi bencana alam itu di Terengganu.

UMT terima 2,382 pelajar baru

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Malaysia terengganu (UMT) telah mula menerima masuk 2,382 pelajar baru yang mengikuti program sarjana muda di institusi berkenaan.



Penolong Pendaftar Kanan, Pejabat Komunikasi Korporat UMT, Sayed Mohd Tamimuddin Sayed Ibrahim berkata, daripada jumlah berkenaan seramai 936 pelajar akan belajar di Fakulti Sains dan Teknologi.

“Manakala 400 pelajar di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan (465 orang), Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin (335 orang) dan Fakulti Pengurusan Sosial (246 orang),” katanya.

Menurut Sayed Mohd Tamimuddin, daripada jumlah tersebut 1,683 merupakan pelajar perempuan dan 699 pelajar lelaki.

Katanya, pendaftaran pelajar baru yang bermula 6 hingga 10 September itu disusuli MInggu Jalinan Mesra UMT dengan pengisian pelbagai aktiviti termasuk kebudayaan, kesukanan, majlis ikrar pelajar baru dan ceramah motivasi.




100 individu berjasa dari daerah Besut akan terima anugerah

Oleh: Mohammad Ishak


Seramai 100 individu yang pernah menyumbangkan khidmat bakti kepada masyarakat dan negara dipilih untuk menerima anugerah khas sempena Semarak Merdeka Peringkat Daerah Besut yang akan diadakan di Dataran Jertih Souq pada 24 September ini.

Mereka yang dipilih termasuk bekas pemimpin kerajaan, tokoh politik, akademik, agama, kebudayaan, ketenteraan, pendidian dan sukarelawan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Program, Dr A Rahman Mokhtar gambar)yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri berkata, sempena program paling berpristej itu dijangkakan kira-kira 15,000 penduduk daerah Besut akan menghadiri majlis berkenaan.

Katanya, tokoh bakal menerima anugerah ialah Bekas Menteri Pusat dan Exco Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Yusof Noor, Bekas Ketua Hakim Negara yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri, Tun Mohd Salleh Abas, Bekas Speaker DUN, Datuk Hussein Awang, dan beberapa bekas ADUN dari Besut.

Selain itu,katanya, profesor, jurutera, diplomatik,tokoh sukan dan individu lain yang terdiri daripada anak jati daerah Besut akan diseneraikan sebagai tokoh dalam bidang masing-masing dengan mengenepikan fahaman politik.

Dr A Rahman yang juga Setiusaha Umno Bahagian Besut berkata, program anjuran Umno Bahagian itu dengan kerjasama Pejabat Daerah Besut bertujuan membangkitkan semangat kemerdekaan kepada seluruh warga Besut.

Menurutnya,acara itu bertambah meriah dengan penyertaan lebih 10,000 peserta perbarisan dan konvoi kenderaan termasuk kereta buatan Malaysia, motosikal, vespa,basikal dan kenderaan pacuan empat roda serta kereta sewa.

Katanya, perarakan kenderaan terbabit bermula dari DUN Hulu Besut, Kota Putera, Jabi dan Jertih dan berakhir di Dataran Jertih Souq.

“Paling menarik ialah perarakan empat ekor gajah yang diikuiti oleh kontijen pelajar,kakitangan kerajaan dan swasta, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh daerah Besut,” katanya.

Lebih 5,000 hadir majlis Aidilfitri Parlimen Kuala Nerus

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Lebih 5,000 orang membanjiri perkarangan pejabat Parlimen Kuala Nerus, di Seberang Takir semalam bagi memeriahkan sambutan majlis Aidilfitri Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri.

Majlis tersebut turut diserikan dengan nyanyian beberapa artis terkenal tempatan, termasuk Noraniza Idris dan Heliza Helmi (AF).

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tepoh, YB Ustaz Haji Muhammad Ramli Nuh.

Sambil dihiburkan nyanyian daripada artis undangan, para hadirin disajikan dengan pelbagai hidangan tradisional, tarmasuk sate dan tapai.

Dato’ Haji Mohd Basir yang diiringi isteri, To’ Puan Sabariah Dato’ Muhammad Yusof dan anak-anak, berkunjung dari meja ke meja tetamu bagi bersalam-salaman dengan hadirin dan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri.