Halaman

05 September 2011


19 peyertaan dalam Pertandingan Keceriaan Merdeka 2011

Oleh: Mohammad Ishak


Mohd Iskandar (baju putih) bersama ahli panel dan penduduk Kampung Gong Gucil Jertih ketika melawat kampung itu.

Sebanyak 19 penyertaan membabitkan tujuh kategori menyertai Pertandingan Keceriaan Merdeka anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu yang sedang berlangsung sekarang dan berakhir pada 8 September ini.

Daripada jumlah itu masing-masing satu dalam kategori Bangunan Swasta,Pintu Gerbang dan Kampung Trdasional, lima penyertaan kategori sekolah, empat Bangunan Kerajaan, empat kategiri Taman Perumahan dan tiga kategori kediaman individu.

Pengerusi Penyelaras Pertandingan,Mohd Iskandar Jaafar yang juga Penolong Pengarah Penerangan Negeri berkata, pertandingan itu bertujuan membangkitkan semangat patriotik dikalangan rakyat negeri ini selain menceriakan lagi sambutan kemerdekaan tahun ini.

Katanya, pasukan panel penilai mula turun padang membuat penilian mulai hari ini dengan daerah Besut kawasan pertama dilawati membabitkan Pejabat Majlis Daerah Besut, Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud II, Taman Perumahan Pelagat Tiga dan Kampung Tradisonal Gong Gucil, Jertih.

Menurutnya, panel penilai akan membuat penilain dalam beberapa aspek termasuk jumlah pemasangan jalur gemilang, hiasan pintu gerbang, baner, tugu dan keindahan kawasan sekitar.

Beliau berkata, pasukan penilai pertandingan akan membuat penilian terakhir di daerah Kemaman yang akan diadakan pada 8 September.

Menurutnya, johan bagi semua pertandingan itu akan mewakili negeri Terengganu pada pertandingan peringkat kebangsaan akhir bulan ini.

Mohd Iskandar mengucapkan terima kasih kepada setiap penyertaan dalam pertandingan berkenaan kerana ia membuktikan semangat kerjasama dan sokongan terhadap usaha kerajaan membangkitkan semangat patriotik dikalangan rakyat negeri ini.


Mahasiswa pelapis kepimpinan negara

Oleh; Esah Abdullah

Tanggungjawab dan kewajiban adalah amanah yang mesti ditunaikan, lantas hanya mahasiswa yang memiliki jiwa kental , berfikiran matang dan berpandangan jauh mampu menyempurnakan tanggungjawab mereka dengan baik.

“Budaya membaca, menyelidik dan berdiskusi akan membentuk jati diri, karektor dan peribadi yang unggul dan seimbang dari semua segi,” kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said di majlis Minggu Mesra Siswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA, Kampus Gong Badak, semalam.

Hadir sama, Naib Canselor UNiSZA, Dato’ Prof. Dr. Alias Daud; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Abdul Manaf Ali dan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Encik Nordin Jusoh.

Katanya, di samping menuntut ilmu di dewan kuliah, pelajar juga perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran serta nilai insaniah agar dapat menghadapi persaingan dunia luar yang lebih bersifat glokal dan agresif.

Menurutnya, kampus UNiSZA dilengkapi prasarana, alat bantu dan persekitaran yang menyuburkan budaya ilmu serta kondusif ke arah kegiatan pelajar serta kemudahan kolej kediamannya adalah yang terbaik antara 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam negara.

“Mahasiswa perlu memiliki ketrampilan, sahsiah dan jati diri cemerlang agar aspirasi negara untuk melahirkan generasi pelapis kepimpinan terlaksana,” katanya.

Sehubungan itu, Menteri Besar menyeru agar semua pelajar tidak mempersia-siakan peluang dan ruang yang telah disediakan, belajar bersungguh-sungguh agar tercapai cita-cita serta laksanakan tanggungjawab dengan jujur dan amanah.

“Hindari daripada melakukan perkara yang melanggar peraturan yang ditetapkan kerana mahasiswa merupakan ikon kepada masyarakat,” katanya.

Katanya, UNiSZA akan terus memastikan kurikulum yang digunakan memenuhi syarat yang telah ditetapkan dan memastikan semua program mendapat pengiktirafan badan professional dan jaminan kualiti IPTA Kementerian Pengajian Tinggi.

“Kita perlu menghasilkan guna tenaga pada setiap peringkat yang diperlukan untuk industri dan sektor pekerjaan di mana produk inilah yang akan menjayakan agenda negara dalam usaha membangunkan dan merealisasikan modul insan berketrampilan,” katanya.





UNiSZA ingin lahir pemimpin bersifat glokal, berfikiran global

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA) Terengganu mempunyai visi untuk melahirkan kepimpinan yang bersifat glokal, berakar umbikan budaya setempat tapi berfikiran global melangkaui bahasa, bangsa dan budaya.

Naib Canselornya, Dato’ Prof. Dr. Alias Daud berkata, UNiSZA turut berhasrat melahirkan modal insan yang boleh diharap untuk mengambil alih tanggungjawab pentadbiran dan pemerintahan pada masa hadapan.

“Mahasiswa ibarat berlian, meskipun tinggi nilainya namun berlian tidak akan bergemerlapan jika tidak digilap dan tanggungjawab untuk mengilapnya terletak kepada pelajar sendiri,” katanya di majlis Minggu Mesra Siswa Kampus Gong Badak, semalam.

Majlis berkenaan di rasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Abdul Manaf Ali dan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Encik Nordin Jusoh.

Katanya, sesi kali ini (2011) UNiSZA berjaya menempatkan 1,040 pelajar baru daripada 14,123 permohonan yang diterima dan paling ramai datang dari Kelantan, Terengganu dan Selangor.

“Gunakanlah segala ruang dan kebebasan yang diberi untuk memajukan diri serta sentiasa akur dan patuh segala peraturan yang ada demi kebaikan semua,” katanya.

Minggu Mesra Siswa berlangsung lima hari bermula semalam dipenuhi beberapa aktiviti termasuk pendaftaran pelajar baru (kemasukan ijazah) sessi 2011-2012 serta taklimat bersama pengurusan akademik.

Turut diadakan program bicara bersama tokoh, ceramah kenegaraan, ceramah Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (Jakim), Pelan Intergriti Nasional (PIN) dan taklimat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).






Piala Monsun 2010 : RM13.1 juta perbelanjaan setempat, 1,729 pekerjaan, 1.7 bilion penonton

Oleh FAUZI MOHD

Piala Monsun, acara kejohanan perahu layar antarabangsa di Pulau Duyong, Kuala Terengganu yang bermula sejak 2005, ternyata memainkan peranan penting dalam menjana pembangunan ekonomi Terengganu terutamanya penduduk setempat.

Pengerusi Tbest Events Sdn. Bhd. (Tbest), Tan Sri Sabaruddin Chik berkata, selain mengurangkan pergantungan kepada sumber ekonomi tradisional, ia juga mengubah lanskap khususnya di Pulau Duyong yang terletaknya di muara Sungai Terengganu.



"Penganjuran ini bukanlah satu pembaziran kerana ia mampu menarik kedatangan pelancong ke Terengganu yang mana keindahan dan kebudayaannya turut ditatapi oleh jutaan penduduk dunia, " kata beliau.

Piala Monsun pada tahun ini diadakan dari 22 hingga 27 November dengan pelbagai aktiviti sampingan berkaitan kapal layar selain perlumbaan utama yang disertai oleh pasukan kapal layar terbaik dunia.

Jelas Sabaruddin, Piala Monsun sebenarnya merupakan ilham bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berpendapat keadaan monsun yang biasa berlaku di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia pada penghujung tahun, tidak seharusnya menjadi penghalang kepada sebarang bentuk aktiviti ekonomi.

"Beliau mencadangkan pertandingan ini diadakan untuk merancakkan pembangunan di kawasan perkampungan nelayan seperti mana kita dapat perhatikan pada masa ini," ujarnya.

Katanya, berdasarkan perangkaan penganjuran pada tahun lalu, kedatangan pelancong ke Terengganu ketika berlangsungnya Piala Monsun 2010 berjaya menggalakkan perbelanjaan setempat berjumlah RM13.1 juta.



"Pada sepanjang enam hari berlangsungnya pertandingan itu, jumlah kedatangan penonton yang direkodkan seramai 170,772 orang dan pertandingan itu disiarkan menerusi televisyen ke seluruh dunia melibatkan penonton seramai 1.7 bilion orang.

"Selain itu, sebanyak 1,729 pekerjaan berjaya diwujudkan ketika berlangsungnya Piala Monsun 2010 daripada perkhidmatan sokongan kepada setiap pasukan hinggalah penyediaan makanan," jelasnya.

Sabaruddin berkata demikian bagi menolak dakwaan bahawa penganjuran Piala Monsun merupakan satu pembaziran dan menurut bekas Menteri Pelancongan itu lagi, pihaknya akan terus menganjur acara tersebut sehingga tahun depan.

Piala Monsun 2011 merupakan salah satu daripada lapan lokasi bagi Jelajah Perlumbaan Perahu Layar Dunia (WMRT) 2011 dan merupakan lokasinya yang terakhir bagi tahun ini.



Sebelum itu, perlumbaan telah diadakan di Perancis, Jerman, Korea Selatan, Portugal, Sweden, Switzerland dan Bermuda sebelum ke Malaysia.

Sabaruddin menjelaskan, pembangunan yang dilakukan menyebabkan mereka yang terlibat dipindahkan ke lokasi kediaman baharu berupa apartmen mewah lengkap dengan keperluan asas.

Katanya, kesan penganjuran itu turut merangsang pertumbuhan ekonomi perusahaan industri kecil dan sederhana.



"Sejak 2008, kerajaan melalui Kementeria Belia dan Sukan memperuntukkan sejumlah RM20 juta kepada syarikat bagi mengendalikan pertandingan ini dan pelbagai aktiviti lagi berkaitan belia," katanya.

Katanya, setiap kali penganjuran, Tbest tidak pernah melupakan penglibatan masyarakat tempatan termasuk kepada golongan muda.

04 September 2011

Bewah Man bakal jadi tumpuan

Penemuan Bewah Man, rangka manusia di Gunung Bewah, Tasik Kenyir yang dikatakan berusia 13,400 tahun, bakal menjadi tumpuan pada Seminar dan Pameran Perkembangan Arkeologi Terengganu mulai 25 Sept ini.

Penolong Kurator Sejarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT), Encik Azuan Harun selaku penyelaras pameran berkata antara lain, pameran itu bertujuan menyalurkan maklumat kronologi persejarahan dan budaya negeri melalui penemuan dan pembuktian bahan-bahan arkeologi.

"Penemuan Bewah Man pada 2009 akan menjadi fokus utama pada seminar yang akan mengumpulkan lapan pembentang kertas kerja di kalangan anggota akademik daripada pelbagai bidang sebagai satu perkongsian ilmu," katanya.
Encik Azuan berkata lawatan ke tapak penemuan Bewah Man merupakan antara pengisian program pada seminar tiga hari di Dewan Batu Bersurat LMNT.

Sempena seminar yang diadakan dengan kerjasama Kerajaan Terengganu itu, satu pameran arkeologi Terengganu selama seminggu akan diadakan mulai 25 Sept di Galeri Mandika di muzium berkenaan.

Ia antara mempamerkan bukti-bukti penemuan arkeologi Bewah Man dan pelbagai alat zaman batu.

Azuan berkata sebagai perbandingan, beberapa bukti penemuan arkeologi dari luar Terengganu juga akan dipamer seperti Perak Man dan Batu Meteor.



LPT2 Mula Diguna

Oleh: Ruslan bin Abdul Rahman



Ramai juga pengguna jalanraya telah menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa 2 yang dibuka sejak 22 Ogos lalu.

Tinjauan Teganukita semalam mendapati banyak kenderaan bergerak melalui LPT2 boleh dilalui sepanjang 70 kilometer bermula dari persimpangan Kuala Terengganu (Gemuroh) hingga ke persimpangan Bukit Besi.

Difahamkan terdapat sepanjang 6 kilometer masih belum siap sepenuhnya iaitu sebelum memasuki persimpangan Bukit Payong, tetapi masih boleh dilalui.

Beberapa orang ketika ditemui amat gembira dengan pembukaan laluan percuma tanpa tol itu dan dapat mengelak kesesakan lalu lintas terutama di musim perayaan ini.

Menu rumah terbuka Aidilfitri anjuran ADUN Jabi menarik perhatian pengunjung

Oleh: Mohammad Ishak


Ramlan ditemani isteri (kiri) memotong ayam golek untuk diagihkan kepada tetamu.

Hidangan burung puyuh goreng celuk tepong dan ayam golek panas adalah antara menu yang mendapat sambutan luar biasa dikalangan tetamu yang mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali di kediamannya di Kampung Tanah Merah, kerandang, semalam.

Menu yang jarang disediakan itu berjaya menarik perhatian tetamu menyebabkan puyuh goreng tepung diserbu orang ramai yang ingin merasai kelazatannya selain ayam golek yang turut disediakan di situ.

Pendek kata, semua makanan dan minuman yang disedakan berkonsepkan tradisional yang membuatkan tetamu tidak jemu-jemu menjamu selera selain hidangan makanan lain yang disediakan sepanjang majlis diadakan.

Ramlan bersama isteri juga turut menyambut kehadiran tetamu yang hadir sambil beramah mesra dengan orang ramai dan mencerminkan sikap ramah dan mesra wakil rakyat berkenaan.

Malah,kata Ramlan, dia juga ada menerima kunjungan ramai ahli Pas dari daerah Besut dan Setiu yang hadir sama untuk berhari raya sekali gus membuktikan pemimpin Umno diterima semua pihak terutama daripada golongan bawahan.

Perkembangan menarik dan sihat ini sebenarnya turut berlaku hampir keseluruhan rumah terbuka yang dianjurkan oleh pemimpin Umno dari Bahagian Besut yang diadakan sebelum itu.

Ramlan yang gembira dengan perkembangan itu berkata, rakyat bawahan sebenarnya mulai sedar dengan kemampuan kerajaan pimpinan Umno dan tidak rugi menyokong parti itu kerana ia jelas sebuah kerajaan yang dinamik dan berkebajikan kerana sering membantu golongan yang memerlukan bantuan.


Pertandingan gamelan peringkat kebangsaan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) akan menganjurkan program Pertandingan Gamelan Peringkat Kebangsaan 2011 selama dua hari pada 29 hingga 30 Oktober 2011 bertempat di Taman Shah Bandar, Kuala Terengganu.

Pertandingan ini terbuka kepada semua kumpulan gamelan Melayu di negara ini. Objektif utama program Pertandingan Gamelan ini ialah sebagai satu wadah untuk memartabatkan seni gamelan Melayu ke peringkat yang lebih tinggi di samping untuk mewujudkan peluang kepada pencipta, penggubah muzik serta pencinta gamelan Melayu untuk menonjolkan hasil-hasil ciptaan lagu-lagu tradisi mereka untuk disebarkan kepada umum.

Sebanyak dua kategori gamelan dipertandingkan, iaitu ketegori pertama ialah kategori Gamelan Melayu Tradisional dan kategori kedua ialah Gamelan Melayu Kontemporari / Kreatif.

Dalam kategori Gamelan Melayu Tradisional, kumpulan dikehendaki menyampaikan dua buah lagu, iaitu satu lagu gamelan Melayu instrumental dan satu lagu gamelan Melayu secara vokal.

Dalam kategori gamelan Melayu Kontemporari, kumpulan dikehendaki menyampaikan dua buah lagu, iaitu satu lagu gamelan Melayu sama ada instrumental ataupun vokal dan satu lagu gamelan Melayu Kontemporari atau Kreatif ciptaan sendiri.

Hadiah bagi pertandingan ini ialah masing-masing sebanyak RM 10 000.00 ribu bagi juara kategori gamelan Melayu Tradisional dan juara bagi kategori gamelan Melayu Kontemporari, RM 5 000.00 bagi anugerah khas juri dan RM 1 000.00 bagi anugerah pemuzik terbaik di samping RM 3 000.00 bagi hadiah saguhati kepada kumpulan yang bertanding di pusingan akhir nanti.

Jumlah keseluruhan hadiah pertandingan ialah sebanyak RM 66 000.00. Kumpulan yang berminat untuk menyertai dan inginkan keterangan lanjut mengenai pertandingan ini bolehlah menghubungi

Urus Setia Pertandingan Gamelan - 09 6221444
sambungan 2122
Sulong bin Ismail - 012 9457739
Mohd. Noor bin Ismail -013 9820391

atau boleh juga melayari laman web di alamat museum.terengganu.gov.my.


Solat Safar sebelum mula perjalanan

Oleh; Esah Abdullah

Pesanan dan ingatan ini mungkin boleh mengelak berlakunya perkara yang tidak diingini ketika berada di jalan-jalan raya pada musim perayaan atau hari-hari biasa.

Penolong Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) merangkap Imam Besar Terengganu, Haji Aizi Saidi Abdul Aziz menyarankan masyarakat khususnya orang Islam mengamalkan amalan sunah sebelum memulakan perjalanan menuju destinasi masing-masing.

Katanya, bagi mereka yang bermusafir, sangat digalakkan untuk melaksanakan solat Safar dua rakaat agar perjalanan yang dilalui dipermudahkan oleh-Nya.

“Amalan ini agak jarang dilakukan, sedangkan ia sebenarnya adalah salah satu ikhtiar sebagai umat Islam supaya perjalanan yang dilalui diberkati dan dilindungi Allah SWT,” katanya.

Menurutnya, sebagai umat Islam setiap amalan perlu bersandarkan agama dan ia tidak terhad apabila ditimpa kesusahan sahaja.

“Langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelakkan sebarang kemalangan atau perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Haji Aizi Saidi mengingatkan orang ramai khususnya pemandu perlu bertimbang rasa sewaktu berada di jalan raya dan melihat kesusahan orang lain sebelum melakukan sebarang tindakan yang boleh membawa musibah kepada keluarga dan juga orang sekeliling.




Hidupkan tradisi ziarah menziarahi


Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sempena musim perayaan Aidilfitri yang masih disambut dengan penuh meriah ini, kita semua patut menyahut pesanan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said supaya mengekalkan tradisi kunjung mengunjung dari rumah ke rumah.

Sesungguhnya tradisi ini dapat mengeratkan tali silaturahim antara saudara-mara, jiran tetangga dan sahabat handai, terutama jika mereka sangat jarang bertemu pada waktu-waktu lain melainkan di musim perayaan.

Dalam perutusan yang disiarkan dalam keluaran khas Teganukita, Menteri Besar mengajak umat Islam di seluruh negeri supaya mengetepikan fahaman politik, sebaliknya mengambil kesempatan sambutan Aidilfitri untuk mengeratkan hubungan sesama mereka.


Beliau berkata, mereka tidak sepatutnya berselisih faham disebabkan perkara remeh temeh kerana ia bukan saja bertentangan dengan ajaran Islam, tetapi juga merugikan agama, bangsa dan negara.

“Lebih elok lagi jika kita sama-sama mengajak generasi baru agar mengekalkan tradisi berkunjung dari rumah ke ramah bagi mengeratkan lagi silaturahim,” kata beliau.
Sejak kebelakangan ini, tradisi tersebut sudah semakin dilupakan, terutama di kalangan generasi muda.

Mereka lebih gemar ‘lepak’ di depan televisyen atau merempit bersama-sama rakan sebaya pada hari raya dan sepanjang musim perayaan.

Golongan dewasa patut mendidik generasi muda mengamalkan tradisi kunjung mengunjung, dimulai dengan rumah saudara-mara, diikuti jiran tetangga dan sahabat handai.

Pada musim ini juga kita perlu bermaaf-maafan dan melupakan segala perselisihan faham, termasuk perbalahan disebabkan ideologi politik yang berbeza.

Kita semua tidak patut menjadikan perbezaan fahaman politik sebagai penyebab untuk bermasam muka sepanjang waktu dan memutuskan tali silaturahim antara saudara mara dan jiran sekampung.

Masalah ini bukan saja dilarang keras oleh agama, tetapi amat merugikan agama, bangsa dan negara.

Kita semua, ,khususnya masyarakat Melayu sepatutnya bersatu hati, bermuafakat dan sentiasa tolong menolong antara satu sama lain.

Jika kita bersatu, kita pasti akan kuat, bak kata pepatah ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.

Justeru, sebelum sambutan Aidilfitri melabuhkan tirainya, marilah kita sama-sama kunjung-mengunjung rumah rakan-rakan seagama dan bermaaf-maafan antara satu sama lain.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.