Halaman

19 August 2011

Belia 4B anjur kejohanan futsal

Pergerakan Belia 4B(M) Cawangan Sekati sering terlibat dalam perlawanan dan kejohanan futsal bagi memastikan golongan belia sentiasa membabitkan diri dalam kegiatan sihat.

Terbaru, pergerakan itu dan Ibu Pejabat Polis Kontijen(IPK) Terengganu Bahagian Perhubungan Awam bertemu dalam perlawanan futsal persahabatan yang berlangsung di DB Sports Centre, Durian Burung,.

Perlawanan tersebut lebih menjurus kepada usaha mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak.

Program itu menyaksikan dua kategori dipertandingkan iaitu Lelaki dan Wanita di mana bagi kategori Lelaki, Pergerakan Belia 4B Cawangan Sekati mengalahkan IPK Bahagian Perhubungan Awan 5-3.

Manakala johan bagi kategori Wanita kemenangan menjadi milik IPK dengan menewaskan lawan 6-3.

Ketua Pergerakan Belia 4B Cawangan Sekati, Md Yassin Embong berkata, program seumpama itu dapat memupuk semangat kesukan di kalangan belia tempatan.

Beliau berkata, pihaknya berharap program tersebut memberi peluang kepada golongan belia untuk mengasah bakat mereka dan pergi lebih jauh di bidang bola sepak.




18 August 2011

Penerima terharu terima duit raya

Oleh: Suriati Ali



“Maizatul akan guna duit yang diterima daripada Tuanku Mizan ini sebaik mungkin untuk membeli pakaian serta kasut raya dan selebihnya akan di simpan dalam bank.

“Pemberian ini cukup berharga kerana mampu meringankan beban tok dan tokki yang menjaga Maizatul sejak berumur lima tahun , “ kata pelajar Sekolah Kebangsaan Paloh, Mazaitul Farisha Zainudin, 7 yang sudah kematian ibu dan bapa.


Mazaitul Farisha Zainudin, 7

Adik Maizatul antara 390 individu yang menerima bantuan di Majlis Pengurniaan Bantuan Kepada Fakir Miskin di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam (17 Ogos).

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berkenan hadir di Majlis anjuran Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM).

Hadir sama Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Sri Laksamana Raja bersama isteri To’ Puan Hajjah Rahimah Awang dan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama Isteri To’ Puan Hajah Norliza Mahmud.



Tetamu kehormat lain, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; semua barisan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan beberapa wakil rakyat.

Sebanyak RM120,000 diagihkan kepada 390 penerima di mana warga emas memperoleh wang tunai berjumlah RM250 seorang, baju melayu atau baju kurung; songkok atau tudung; kain pelikat atau kain batik manakala pelajar pula menerima sumbangan RM150 seorang.

Warga emas, Abdullah Othman, 72, berkata pemberian duit raya RM250 ini cukup bermakna bagi dirinya kerana dapat membeli serba sedikit barang keperluan dapur dan menyimpannya untuk digunakan ketika susah atau sakit.

“Raya tahun ini paling bermakna kerana bukan saja dapat duit raya malah turut menerima sepasang baju Melayu, songkok dan selipar,” katanya yang tinggal di Jalan Air Putih, Kemaman.



Seorang lagi penerima, Timah Salleh, 83 dari Batu 7, Dungun, berkata dia terharu dengan sumbangan itu kerana dapat membeli biskut dan barang kelengkapan raya lain.

“Pemberian yang diterima ini cukup bernilai bagi makcik yang tiada pendapatan tetap melainkan menerima bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebanyak RM300.

“Hendak bergantung kepada pendapatan anak-anak pun, mereka juga orang susah dan mempunyai anak ramai,” katanya.

USAHAWAN AIR BATU BERI SUMBANGAN KEPADA 100 FAKIR MISKIN

Oleh: Mohammad Ishak


Wan Arif menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin di Masjid Alur Lintah, Jertih, semalam.

Seorang usahawan Bumiputera yang menjalankan industri pengeluaran air batu terkemuka di daerah Besut, bermurah hati menyumbangkan pakej pakaian dan makanan kepada golongan miskin membabitkan tujuh kampung di Kawasan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, semalam.

Seramai 100 penerima dari Kampung Gong Matsom, Gong Badang, Kubang Bemban, Lapang Kotak, Kampung Telok,Pak Demalik dan Alur Lintah menerima sumbangan sempena majlis berbuaka puasa yang diadakan di Masjid Alur Lintah.

Wan Mohd Ariff Risauddin Wan Yusof, yang juga Ketua Penerangan Umno DUN Jertih, berkata pemberian sumbangan itu dilakukan setiap tahun oleh beliau kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Katanya, pemberian tahun ini lebih meriah kerana ia diadakan secara berkelompok berbanding tahun sebelumnya beliau mengadakan aktiviti seumpama itu dari rumah ke rumah.

“Sumbangan ini sebahagian daripada niat murni saya untuk membantu golongan miskin yang memerlukan bantuan terutama bagi menyambut persiapan Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata, ia juga sebahagian daripada khidmat komuniti yang dilaksanakan oleh syarikat Hasraff Ice yang menjadi pengeluar air batu tiub terunggul di daerah Besut.

Wan Ariff yang aktif dalam politik sebelum ini banyak membantu penduduk kampung mendapatkan sumbangan air batu percuma ketika mereka mengadakan majlis kenduri kahwin sekitar daerah berkenaan.



120 terima duit raya daripada Puspanita

Oleh FAUZI MOHD



Seramai 120 warga emas dan golongan miskin menerima sumbangan duit raya daripada Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Terengganu (Puspanita) yang disampaikan di Rumah Puspanita, Batu Buruk, Kuala Terengganu, sebentar tadi.

Sumbangan itu disampaikan oleh isteri Setiausaha Kerajaan Negeri, To’ Puan Rohani Abdullah yang juga Pengerusi persatuan itu.

Kesemua penerima dari sekitar Daerah Kuala Terengganu itu masing-masing menerima RM100 serta kurma dan bubur lambuk.

Berucap pada majlis itu, To’ Puan Rohani berkata, program tahunan itu bertujuan menceriakan golongan berkenaan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, peruntukan tabung Puspanita itu diperoleh menerusi sumbangan dermawan dan pihak swasta yang prihatin terhadap golongan miskin di daerah itu.

"Keprihatinan dan pemberian sumbangan ini selari dengan matlamat pertubuhan untuk membela nasib golongan yang memerlukan di negeri ini.

"Kita berharap duit raya yang diperoleh itu dimanfaatkan untuk persiapan Syawal keluarga mereka,” katanya.

Sebelum majlis pembahagian sumbangan itu, hadirin turut mendengar tazkirah Ramadan yang disampaikan penceramah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tunggal, Ustaz Ahmad Tarmizi Abd. Rahman.

Turut hadir, Pengarah Pembangunan Wanita negeri, Norrani Abdul Rahman.

Pertandingan Pelita Raya diteruskan untuk kekalkan tradisi

Oleh: Suriati Ali



Kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) akan terus menganjurkan Pertandingan Pelita Raya melibatkan lima kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, sebagai usaha mengekal dan mengembangkan tradisi itu.

Penduduk Kampung (Kg) yang terlibat iaitu dari Padang Hangus, Kg Pagar Ubi, Kg Raja, Kg Baru dan Kg Tokeng bagaikan tidak sabar-sabar menanti hari pertandingan yang dijangka berlangsung selama dua hari iaitu bermula pada 24 hingga 26 Ogos.

Kira-kira 200 rumah akan mengambil bahagian dalam pertandingan yang bakal
berlangsung selama dua hari iaitu bermula 24 hingga 26 Ogos itu.

Manakala lebih 10,000 pelita akan dinyalakan dengan mengikut kreativiti dan ciptaan tersendiri termasuk bentuk bangunan Kuala Lumpur City Center (KLCC), Menara Kuala Lumpur, kapal terbang dan sebagainya.

Hadiah keseluruhan yang bakal diterima pemenang berjumlah hampir RM30,000 di mana johan bagi kategori kampung berjumlah RM3,750 beserta piala pusingan dan individu pula memperoleh RM1,000.

Pengarah LMNT, Haji Mohd Yusof Abdullah berkata, pihaknya berasa bangga kerana mampu menganjurkan program yang mampu menghidupkan kembali tradisi lama ini sejak 2009 lagi.

Di samping itu, ia juga dapat menceriakan suasana kampung, memupuk semangat kerjasama antara penduduk dan pemimpin setempat.

“Pertandingan ini akan diteruskan kerana bukan saja mampu menyemarakkan kembali tradisi nenek moyang malah dapat mengasah bakat penduduk berkaitan mereka cipta pelita raya.

“Apa yang membanggakan, pelita yang dipasang itu bukan hanya dibeli dari kedai malah diperbuat daripada pelbagai jenis barangan terbuang seperti tin makanan, tempurung kelapa, botol plastik dan buluh,” katanya.



MBNT anjur program ceramah

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) dengan kerjasama Radio Malaysia Terengganu (Tfm) menganjurkan Program Ceramah al-Hidayah Nur Ramadan di Masjid Rawai, Bukit Payong, pada setiap hari Khamis sepanjang bulan Ramadan ini.

Program tersebut dikendalikan dua penceramah iaitu Ustaz Abdul Halim Awang dari Universiti Zainal Abidin (Unisza) dan Ustaz Dr Zulkefli Muda dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Pengerusi MBNT Mat Yusof Mat Ali, berkata ceramah tersebut yang disiarkan secara langsung melalui TfM dihadiri kira-kira 300 orang pada setiap kali ia diadakan.

“Selain penduduk tempatan, para pelajar dari beberapa sekolah berhampiran turut dibawa ke masjid berkenaan untuk mendengar ceramah tersebut,” katanya.

Beliau berkata, program itu merupakan antara program kerohanian yang diadakan MBNT bagi mengisi masa umat Islam sepanjang bulan Ramadan kali ini.

“Kita akan bekerjasama dengan Tfm pada masa akan datang bagi menjalankan program yang bercorak kerohanian,” ujarnya.



LKIM bantu promosi homestay nelayan

Oleh FAUZI MOHD

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu akan memperluas promosi projek inap desa (homestay) perkampungan nelayan di kalangan pelancong tempatan dan asing bagi menarik lebih ramai mengikuti produk pelancongan berkenaan.

Timbalan Pengarah LKIM negeri, Zali Ibrahim berkata, projek Homestay Persatuan Kawasan Nelayan (PNK) Setiu di Kampung Rhu Sepuluh, Setiu merupakan inisiatif penduduk tempatan yang diselia LKIM bagi menawarkan program penjanaan ekonomi kepada komuniti nelayan.

Menurutnya, penyertaan mereka dalam program itu bukan sahaja memberi pendapatan sampingan kepada nelayan terbabit tetapi masyarakat setempat turut menikmati pelbagai manfaat dengan kehadiran para pengunjung di kawasan itu.

“LKIM dengan kerjasama peserta homestay terbabit giat mengadakan di resort dan hotel yang terkemuka dengan mengagihkan brosur kepada orang ramai yang berkunjung ke pusat pelancongan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Projek Homestay PNK Setiu di bawah seliaan LKIM itu mula dilaksanakan pada akhir 2001 dengan melibatkan 20 peserta nelayan dari Kampung Penarik, Penarik Baru, Rhu Sepuluh dan Bukit Chalok.

Antara aktiviti menarik yang disediakan di homestay itu ialah memancing, menjala, menyusur sungai dan laut, sukan rakyat, dikir barat, lukisan batik dan demonstrasi makanan tradisional.

Tambah Zali, walaupun setakat ini homestay itu telah menerima ramai peserta termasuk pelancong asing dari Amerika Syarikat, Korea dan Jepun, usaha untuk meluaskan lagi promosi kepada orang ramai sentiasa diteruskan.

Dengan kerjasama Majlis Tindakan Pelancongan negeri katanya, peserta homestay diberi nilai tambah dengan mengikuti lebih 10 kursus yang diatur sepanjang tahun termasuk kursus etika, komunikasi dan penampilan diri.

“Kursus-kursus juga akan membantu mereka dengan memberi maklumat terbaru selain menambah pengetahuan mengenai alam semulajadi selain sejarah dan budaya masyarakat setempat,” katanya.

UniSZA beri tumpuan tarik pelajar luar negara

Oleh FAUZI MOHD

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sedang giat menarik kemasukan lebih ramai pelajar asing dari rantau ini khususnya dari Thailand bagi menyambung pengajian di universiti itu.

Naib Canselornya, Prof. Dato’ Dr. Alias Daud berkata, para pelajar itu akan diambil bagi mengikuti program diploma dan ijazah dalam bidang Pengajian Islam, Usuluddin dan Syariah.

Menurutnya, peluang itu diberi kepada pelajar miskin terutama dari Thailand memandangkan peluang seumpama itu tidak terdapat di negara asal mereka.

Pada masa sama, katanya, UniSZA turut menerima permintaan pelajar dari Singapura untuk menyambung pengajian mereka di universiti itu.

“Buat masa ini kita ada lima pelajar dari Thailand dan dua dari Singapura yang sedang menuntut di UniSZA.

“Kita akan tambah jumlah pelajar ini berdasarkan KPI (Indeks Prestasi Utama) yang menetapkan lima peratus pelajar luar negara menuntut di universiti di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan zakat daripada Bank Islam di UniSZA Kampus Kota di sini baru-baru ini.

Dr. Alias berkata, pihaknya juga menjangkakan pengambilan lebih ramai pelajar dari dua negara berkenaan akan mula dilaksanakan pada semester depan.

Menurutnya, buat masa ini, para pensyarah serta dekan dari kedua-dua belah pihak sudah mengadakan lawatan sambil mengenal pasti bidang pengajian mengikut kesesuaian.

“Kita juga sedang dalam proses mengiktiraf kelulusan institut pengajian di sana (Thailand serta Singapura) sebelum para pelajar dari negara berkenaan meneruskan pengajian di sini (UniSZA),” jelasnya.

Tambahnya, pihaknya dimaklumkan ramai pelajar di kedua-dua negara berkenaan berminat untuk meneruskan pengajian di UniSZA di samping kos pengajiannya yang murah.

17 August 2011

55 Pesakit di Hospital Setiu menerima sumbangan

Oleh: Mohammad Ishak


Ahmad bertanyakan sesuatu kepada seorang pesakit sambil diperhatikan Dr A Rahman dan Nordiana

Program Ehsan Ramadan anjuran Puteri Umno Negeri Terengganu berjaya mendekatkan pemimpin kerajaan negeri ini dengan rakyat apabila mereka saling bertemu sambil beramah mesra dengan pesakit yang dirawat di hospital.

Menerusi program itu Puteri Umno memilih semua hospital daerah seluruh negeri ini untuk dikunjungi pemimpin yang diketuai sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan pemimpin setempat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen hadir sama pada program berkenaan.

Ketua Penerangan Puteri Umno Malaysia, Datuk Nordiana Shafie berkata, pihaknya menganjurkan program berkenaan bagi mendekatkan pemimpin dengan rakyat terutama menjengok mereka yang sedang dirawat di hospital.

Menurutnya, selepas Dungun dan Besut semalam rombongan berkenaan mengadakan lawatan ke Hospital Setiu (HS) dan bakinya akan menyusul sebelum berakhir Ramadan ini.

Ahmad yang hadir bersama isteri turut disambut Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Indistri Asas Tani Negeri, Asha’ari Idris dan ADUN Permaisuri, Abd Halim Jusoh.

Pada majlis itu Ahmad turut melakukan lawatan ke wad sambil menyampaikan sumbangan hamper, makanan dan wang kepada 55 pesakit yang sedang dirawat di hospital berkenaan.

Nordiana berkata, jentera Puteri Umno negeri lain turut mengadakan program sempena Ramadan tetapi mengikut keperluan dan kepentingan penduduk negeri terbabit.

Tuanku Mizan hadir di Majlis Pergurniaan Bantuan



Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berkenan hadir di Majlis Pengurniaan Bantuan Kepada Fakir Miskin di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini (17 Ogos).

Sebanyak RM120,000 diagihkan kepada 390 penerima di mana warga emas memperoleh wang tunai berjumlah RM250 seorang, baju melayu atau baju kurung; songkok atau tudung; kain pelikat atau kain batik manakala pelajar pula menerima sumbangan RM150 seorang.

Pemberiaan hasil sumbangan Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) itu nyata mengembirakan penerima kerana dapat meringankan beban keluarga selain mampu membeli pelbagai barang keperluan hari raya.

Hadir sama Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Sri Laksamana Raja bersama isteri To’ Puan Hajjah Rahimah Awang dan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama Isteri To’ Puan Hajah Norliza Mahmud.

Tetamu kehormat lain, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; semua barisan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan beberapa wakil rakyat.

Program amal yang dianjurkan ini adalah untuk memenuhi matlamat penubuhan YDSM iaitu ke arah meningkatkan sosio-ekonomi penduduk Terengganu.