Halaman

09 July 2011

HENDAK JATUHKAN KERAJAAN CARA DEMONTRASI BUKAN AJARAN ISLAM-PM

Oleh: Ruslan Abdul Rahman-Pengarang Teganukita.



Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyifatkan tindakan perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan bukanlah dari ajaran Islam dan menurutnya ulamak-ulamak berpendapat tindakan atau cubaan hendak menjatuhkan kerajaan dengan cara demikian bukanlah dari ajaran Islam.

Perdana Menteri juga mengucap terima kasih kepada pihak keselamatan dan polis yang telah dapat menyuraikan perhimpunan haram atau demonstrasi jalanan di ibukota hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas menyampaikan hadiah Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) di Stadium Negeri, di Kuala Terengganu petang tadi.



“Saya harap apa yang berlaku ini menjadi iktibar kepada rakyat negara ini agar tidak berulang lagi. Tunjuk perasaan, perhimpunan haram dan demostrasi jalanan bukanlah cara yang baik kerana ia boleh menjejaskan ketenteraman dan menjejaskan ekonomi negara,” kata Perdana Menteri.

Katanya, kerajaan kesal kerana kita telah menawarkan stadium untuk perhimpunan tetapi mereka menolak dan ternyata mereka mempunyai motif lain bagi menggambarkan negara ini kucar-kacir kepada pihak luar.



Dato’ Seri Mohd Najib berkata, kerajaan juga bersependapat bahawa pilihan raya perlu berlaku secara bersih dan sebab itulah pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan macam-macam pendekatan untuk tujuan itu.

“Perhimpunan itu sudah bertukar kepada reformasi dan dan bukan lagi untuk menuntut pilihan raya yang bersih, namun saya bersyukur keadaaan terkawal dan keadaan tidak terjejas teruk termasuk kemudahan-kemudahan awam tidak banyak yang rosak,” katanya.



Beliau berkata, kalau hendak berlawan berhimpun dan berdemontrasi penyokong kerajaan pun boleh buat dengan jumlah lebih ramai, tetapi itu bukan caranya kerana ia boleh menjejaskan imej negara dan keyakinan pelabur,

Perdana Menteri juga turut menafikan khabar angin tentang pembubaran parlimen dalam masa terdekat ini dan menganggapnya itu sebagai berita palsu yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bakti muncul naib juara

Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali



Pasukan badminton Bakti yang diketuai Datin Paduka Seri Rosmah Mansor muncul naib johan dalam perlawanan badminton akhir sempena Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011, petang ini.

Mereka terpaksa akur dengan kehebatan pasukan Bakisa (Sabah) yang diketuai Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin yang berjaya mendapat johan dengan mata 4-1.

Datin Paduka Seri Rosmah yang berpasangan dengan Datin Sri Lee Sun Loo muncul satu-satunya regu yang berjaya memberi mata kepada Bakti, sebelum empat pasangan regu Bakisa mendominasi kesemua perlawanan untuk muncul pemenang utama, dalam perlawanan berlangsung lebih tiga jam bermula 3 petang tadi.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyampaikan hadiah kepada pemenang badminton dan tenpin boling, kira-kira jam 5.45 petang tadi.

Turut hadir, Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Datin Paduka Seri Rosmah; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan isteri yang juga merangkap Timbalan Yang Dipertua Bakti, Puan Seri Datin Hajah Noorainee Abd Rahman.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, Menteri-menteri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Terdahulu Dato’ Seri Mohd Najib yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud kira-kira jam 2.30 petang ini di sambut Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.


Malam Sentuhan Songket

Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali



Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dijangka hadir pada Majlis Malam Sentuhan Songket di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, malam ini.

Program tersebut merupakan acara kemuncak Program Tahunan Isteri Wakli-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011 yang berakhir hari ini.

Yang Dipertua Serikandi, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, berkata pada majlis itu tetamu dan peserta program pasti akan terhibur dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan tarian tradisional Terengganu.

“Upacara penyerahan bendera kejohanan PTIWRBNM kepada kontinjen Pahang turut diadakan sebagai sembolik berakhirnya kejohanan sama di Terengganu,” katanya.

Tetamu disaran memakai pakaian yang mempunyai sentuhan songket sama ada pada beg tangan, selendang, tudung, kain atau baju, sesuai dengan nama tema majlis tersebut.

Konsep yang dipilih penganjur itu dianggap bersesuaian berikutan mahu menonjolkan keunikan dan kehebatan Terengganu yang sememangnya kaya dengan budaya dan hasil seni tangan.

Meja tetamu akan dialas menggunakan kain batik bertujuan mengekalkan indentiti Terengganu selain menceriakan majlis.


Produk Terengganu jadi tarikan

Oleh: Suriati Ali



Usaha membuka gerai jualan di lokasi kejohanan Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011 mampu mempromosikan pelbagai produk Terengganu secara dekat kepada peserta program itu.

Peniaga perlu bijak mempromosi produk masing-masing supaya dapat menarik minat pembeli yang kebanyakannya terdiri daripada tetamu luar Terengganu termasuk Sabah dan Sarawak.

Pengusaha gerai yang juga Ahli Jawatankuasa Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI), Marang, Puan Rosmaini Mohd Jantan, berkata dia dan beberapa rakan niaga lain berasa cukup bertuah kerana diberi peluang berniaga di tapak program itu.



“Saya mengambil peluang sepenuhnya untuk mempromosi barangan jualan seperti keropok, bahulu, dodol daun palas, kerepek pisang dan kerepek ubi kepada pelanggan,” katanya.
Peniaga produk batik dan sutera, Cik Noraime Mohd, berkata program seperti ini sewajarnya diteruskan kerana dapat mempromosi pelbagai produk secara dekat kepada pelanggan.

“Mereka tidak perlu pergi jauh dari lokasi kejohanan kerana semuanya boleh didapati di sini seperti pakaian sutera, kain batik dan makanan tradisional,” katanya.



Pengusaha kedai emas, Puan Mahani Mohamed, berkata dia tidak akan melepaskan mempromosi barangan jualan kepada peserta yang sememangnya mempunyai kuasa beli yang tinggi.


Bistari raih tempat ketiga

Oleh: Aida Abd Rahman/Suriati Ali



Pasukan Bistari (Melaka) menumpaskan Baiduri (Perak) dengan mata 3-2 untuk meraih tempat ketiga, dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat pertandingan badminton sempena Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011, yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Tiga regu yang memastikan kemenangan Bistari adalah pasangan Datin Seri Datuk Wira Hajah Asmah Ab Rahman dengan Datin Faridah Abdul Khalid (15-8,15-1); Datin Hajah Ahsenah Haji Othman dengan Datin Wira Hajah Zainun Tun Ghafar (15-12,5-15, 15-5) dan Datin Hajah Hasiah Harun dengan Datin Evelyn Tan Siew Beng (15-4,15-4).

Sebelum itu, pasukan Bakti yang diketuai Datin Paduka Seri Rosmah Mansor menepati ramalan apabila berjaya menumpaskan Baiduri (Perak)3-0, manakala Bakisa menundukkan pasukan Bistari (Melaka) 3-0, di peringkat separuh akhir petang semalam.



Lapan pasukan berentap di peringkat suku akhir melibatkan Sabati tewas di tangan Bakisa dengan mata 1-3, manakala tuan rumah, Serikandi dikalahkan Bistari (1-3), diikuti Bakti mengalahkan Pekerti (3-0) Baiduri memungut tiga mata penuh selepas menumpaskan Kasih (Selangor).

Sebanyak 12 pasukan mula bersaing di peringkat kumpulan di enam gelanggang Stadium Negeri, sejak pagi Khamis lalu.



Sementara itu, penentuan johan dan naib johan antara pasukan Bakti dan Bakisa sedang berlangsung bermula jam 3 petang tadi dan dijangka selesai kira-kira jam 5.30 petang ini.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan badminton dan boling.





MB sertai pertandingan golf

Oleh: Amirullah Othman dan Harun Hassan



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menyertai pertandingan golf di Green Acres Golf & Country Resort, Kuala Ibai, pagi ini sempena Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011 yang berlangsung di Terengganu selama tiga hari mulai 7 Julai lalu.



Turut menyertai pertandingan itu, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan wakil-wakil rakyat.

Wakil-wakil rakyat dari pelbagai negeri di seluruh negara turut menyetai pertandingan tersebut yang dimulakan kira-kira jam 8 pagi.



Pada sebelah petang mereka akan menghadiri majlis penyampaian hadiah program berkenaan di Stadium Negeri yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.

Pasar tani wanita pertama di Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan pendapatan peserta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Terengganu, termasuk menggalakkan mereka menceburi bidang perniagaan.

Pengarah Fama negeri, Encik Hasan Jusoh berkata Fama dengan kerjasama AIM mewujudkan sebuah pasar tani wanita untuk peserta-peserta AIM di Kuala Telemong, Hulu Terengganu awal Jun lepas.

"Ini merupakan pasar tani wanita yang pertama di Terengganu dan mungkin juga di negara ini," katanya.

Pada masa ini, Encik Hasan berkata seratus peratus peniaga di pasar tani itu terdiri daripada peserta AIM dan kebanyakan mereka mempunyai pengalaman asas dalam bidang perniagaan.

Beliau berkata, Fama membantu peserta-peserta pasar tani itu dengan menyediakan kemudahan asas seperti khemah di samping memberi bimbingan dalam bidang perniagaan manakala AIM pula membantu daripada segi kewangan.

Encik Hasan berkata, Fama memilih kawasan Kuala Telemong untuk mewujudkan pasar tani itu kerana ia merupakan salah satu daripada tiga pusat pertubuhan ekonomi desa di Hulu Terengganu.

Beliau berkata pasar tani wanita itu mungkin dikembangkan ke daerah-daerah lain bagi membolehkan peserta AIM berniaga, sekaligus meningkatan pendapatan keluarga.


Malam Ulek Mayang penuh warna-warni

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan




Malam Ulek Mayang yang menjadi penyeri Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011, diadakan di Dewan Besar Wisma Darul Iman malam tadi, dalam suasana penuh warna-warni.



Yang Dipertua Bakti, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, menjadi tetamu kehormat acara tersebut.

Yang Dipertua Serikandi, To’ Puan Hajah Norliza Mahmud dan barisan jawatankuasa Serikandi menunjukkan kehebatan mereka melalui persembahan tarian Ulek Mayang.




Persembahan Ulek Mayang yang merupakan tarian tradisional negeri ini menarik perhatian peserta dari luar Terengganu.



Malam Ulek Mayang diadakan secara tertutup bagi meraikan 14 kontinjen dari seluruh negara yang menyertai Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011 yang bermula 7 Julai dan berakhir hari ini.

Pada malam mini mereka akan menyertai Malam Sentuhan Songket di Taman Tamadun Islam yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.

Serikandi puas hati

SERIKANDI berpuas hati kerana berjaya menganjurkan Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011, yang berakhir hari ini.

Naib Yang Dipertua Serikandi, To’ Puan Hajah Sabariah Dato’ Muhammad Yusof, berkata pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak, khususnya jabatan-jabatan kerajaan yang turut memberi kerjasama bagi menjayakan program berkenaan.

“Program kali ini sangat berjaya kerana ia mencapai matlamat penganjurannya iaitu mengeratkan hubungan silaturahim antara pasukan-pasukan dan semua kontinjen yang menyertainya,” katanya.

Beliau berkata, Serikandi membuat perancangan rapi sebelum menjadi tuan rumah program itu dan pihaknya banyak mempelajari dari negeri-negeri lain yang pernah menjadi tuan rumah sebelum ini.

“Serikandi sebagai tuan rumah mengucapkan syabas kepada semua ahli kontinjen yang datang ke Terengganu kerana mereka memberi kerjasama baik dalam menjayakan setiap program yang diatur,” tambahnya.


08 July 2011

Produk Terengganu jadi tarikan

Oleh: Suriati Ali

Usaha membuka gerai jualan di lokasi kejohanan Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011 mampu mempromosikan pelbagai produk Terengganu secara dekat kepada peserta program itu.

Peniaga perlu bijak mempromosi produk masing-masing supaya dapat menarik minat pembeli yang kebanyakannya terdiri daripada tetamu luar Terengganu termasuk Sabah dan Sarawak.

Pengusaha gerai yang juga Ahli Jawatankuasa Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI), Marang, Puan Rosmaini Mohd Jantan, berkata dia dan beberapa rakan niaga lain berasa cukup bertuah kerana diberi peluang berniaga di tapak program itu.

“Saya mengambil peluang sepenuhnya untuk mempromosi barangan jualan seperti keropok, bahulu, dodol daun palas, kerepek pisang dan kerepek ubi kepada pelanggan,” katanya.

Peniaga produk batik dan sutera, Cik Noraime Mohd, berkata program seperti ini sewajarnya diteruskan kerana dapat mempromosi pelbagai produk secara dekat kepada pelanggan.
“Mereka tidak perlu pergi jauh dari lokasi kejohanan kerana semuanya boleh didapati di sini seperti pakaian sutera, kain batik dan makanan tradisional,” katanya.

Pengusaha kedai emas, Puan Mahani Mohamed, berkata dia tidak akan melepaskan mempromosi barangan jualan kepada peserta yang sememangnya mempunyai kuasa beli yang tinggi.