Halaman

13 April 2011

PENGURUSAN INFORMASI DAN KOMUNIKASI YANG BERKESAN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Mesyuarat dan perbincangan dua hala di antara agensi penerangan negeri Sabah dan Terengganu Isnin lalu (11 April) telah menghasilkan rumusan yang penting ke arah menggerakkan sistem, kaedah dan pendekatan penerangan dan komunikasi yang berkesan kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata,pihaknya juga banyak menimba pengalaman Sabah dalam pendekatan dan kesungguhan mereka menyalurkan maklumat kepada rakyat serta pengurusan media yang berkesan.

"Sabah telah memartabatkan pengurusan informasi dengan meletakkan jentera penerangan dan berkaitan dengannya selari seperti program-prgoram pembangunan yang dijalankan dengan paduan agensi pusat dan negeri secara kolektif," katanya kepada Unit Komunikasi Negeri sejurus selepas perjumpaan dan perbincangan bersama agensi penerangan negeri Terengganu dan Sabah di Jabatan Penerangan Kota Kinabalu.

Jabatan Penerangan Sabah mempunyai lebih 400 orang kakitangan dan seramai 40 orang mengurus hal ehwal berkaitan liputan akhbar dan media serta 10 orang jurufoto seluruh negeri.

Antara agensi yang turut serta dalam perbincangan, taklimat dan percambahan bagi pihak kerajaan negeri Terengganu ialah Unit Komunikasi Negeri, Jabatan Penerangan Terengganu,Jabatan Penyiaran Kawasan Timur (Terengganu), Bernama Cawangan Terengganu dan Pejabat Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri (Agama dan Penerangan).

Turut bersama ialah wakil Majlis Sukan Negeri dan Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu.

Manakala di pihak Sabah diwakili oleh Jabatan Penerangan Sabah, RTM Sabah, Bernama dan turut hadir sama wakil Persatuan Isteri Wakil-wakil Rakyat Sabah (Barkisa).

Di sebelah malam, rombongan Terengganu diraikan dalam satu majlis makan malam dengan penampilan muzik gambus yang dari masyarakat Melayu Brunei di Sabah tetapi boleh memainkan lagu-lagu masyarakat Kadazan-Dusun.

Menurut YB Haji Khazan, walaupun Sabah mempunyai lebih 30 suku kaum dan etnik tetapi agensi-agensi penerangan di sana telah memainkan peranan berkesan dalam bidang komunikasi.

"Mereka boleh menerima seadanya kedudukan Sabah yang mempunyai pelbagai etnik dan kaum selaras dengan konsep 1 Malaysia," katanya.

Katanya,kita amat yakin bahawa Terengganu juga mampu menggerakkan jentera penerangan dan komunikasi dengan berkesan ke arah memberi kesedaran tentang hala tuju negeri untuk maju dengan cemerlang di bidang pelancongan, termasuk pembangunan Tasik Kenyir sebagai Zon Bebas Cukai.

Kita sudah terkemuka di bidang pendidikan, sukan dengan pelbagai kecemerlangan dicapai di peringkat nasional, kita mahu maju dan cemerlang pula di bidang pelancongan sepertimana yang dinyatakan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said, ujarnya.

Selain itu, katanya YB Haji Khazan, banyak juga program yang terus menjurus kepada bantuan dan kebajikan rakyat, seperti bantuan atap biru, baiki dan bina rumah, bantuan pakaian sekolah, dana hari raya dan sebagainya, semua itu adalah untuk rakyat.

Terengganu sasar 100 peratus keluaran padi

Oleh: Suriati Ali


Dato' Seri Haji Ahmad bersama petani menunggal (menanam) jagung di Langkap, Setiu. - Foto Syed Abdul Rahman.

Terengganu dijangka tidak lagi mengimport beras dari luar negara termasuk Thailand berikutan negeri ini mampu mengeluarkan hasil padi 100 peratus bagi kegunaan penduduk tempatan dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata keperluan penduduk negeri ini mencukupi apabila Projek Kelompok Padi Sri Cempaka (PKPSC) di Jelapang Padi, Setiu, beberapa tempat di Besut dan disusuli dengan Marang mengeluarkan hasil.

“Pihak kami menjangkakan mampu mengeluarkan hasil tanaman padi sebanyak 85 peratus di Setiu dan Besut manakala selebihnya iaitu 15 peratus lagi di Marang.

“Projek dan konsep sama iaitu setiap peserta mengusahakan empat hektar (10 ekar) sawah turut dilaksanakan di beberapa kawasan bersesuaian di Marang dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Menunggal (menanam) Jagung di Langkap, Setiu, petang semalam (12 Mac).



Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, YB Haji Ramlan Ali dan Adun Permaisuri, YB Haji Halim Jusoh.

Tetamu kehormat lain, Pengarah Pertanian, Haji Md Yusof Maidin; Pegawai Daerah Setiu, Encik Mohamad Nor Ibrahim dan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Encik Ishamudin Hashim.

Lebih 300 penduduk setempat termasuk peserta projek menanam jagung hadir memeriahkan majlis perasmian di mana secara simboliknya Dato’ Seri Haji Ahmad menaiki jentera pembajak tanah.



Dato’ Seri Haji Ahmad memberitahu kerja-kerja mereka bentuk, membina dan merancang pengairan Jelapang Padi di Setiu iaitu membabitkan kawasan seluas 173.2 hektar hampir 70 peratus siap.

“Apabila siap kelak, seramai 119 peserta terpilih akan mula menabur benih padi sebelum dapat menuai empat bulan kemudian,” katanya.

Lebih RM46 juta disediakan bagi menyiapkan PKPSC yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk empangan konkrit utama, tali air, struktur pelaras air, pam air, parit tadahan, pembetung saliran bawahan, rumah pam saliran, pintu kawalan dan sebagainya.



12 April 2011

Golongan belia diminta usah terpengaruh dengan media baru anti-kerajaan

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman


Golongan belia adalah diharapkan menjadi pendukung pembudayaan integriti.

Golongan belia di negeri ini diminta supaya tidak terpengaruh dengan berita-berita negatif mengenai pemimpin-pemimpin kerajaan yang disalurkan melalui media baru anti-kerajaan.

Sebaliknya, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku, meminta golongan belia menapis terlebih dahulu maklumat yang diterima, agar mereka tidak dikelirukan oleh golongan yang mahu menjatuhkan pemimpin kerajaan.

“Golongan pembangkang memang berniat buruk dan sentiasa berusaha untuk menjatuhkan pemimpin kerajaan melalui media baru yang pro kepada perjuangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang pelbagai acara sempena Program Sukan Ria Bersama Agensi Pembangunan Masyarakat (APMT) peringkat DUN Rhu Rendang di Kampung Kijing, baru-baru ini.



Antara acara yang diadakan termasuk bolasepak pantai, pertandingan mewarna kaum ibu dan sukan rakyat. Program itu diadakan khusus bagi merapatkan hubungan silaturahim antara belia di kawasan DUN berkenaan.

Haji Nik Dir berkata, golongan belia perlu bersyukur dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada mereka termasuk Dana Bakti Remaja pada setiap tahun.

“Kerajaan juga menyediakan kemudahan sukan dan riadah seperti gelanggang rakyat di mana setiap DUN dibina dua gelanggang untuk remaja bersukan,” tambahnya.

Beliau berharap golongan belia akan mendaftar sebagai pemilih apabila mereka layak berbuat demikian dan memilih pemimpin yang mampu membela nasib mereka apabila tiba hari mengundi.



JKR diminta ubahsuai pelan velodrom mini

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta mengemukakan pelan lain yang sesuai dengan cadangan kos asal pembinaan velodrom mini di Dungun.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata beliau sendiri pun terkejut membaca laporan akhbar yang mengatakan kos pembinaan projek berkenaan terlalu tinggi hingga hingga mencecah RM36 juta.

“Kerajaan negeri akur dengan keputusan agar JKR mengemukakan pelan baru yang sesuai dengan kos cadangan pembinaan velodrom tersebut yang dianggarkan RM3.5 juta saja,” katanya kepada pemberita petang semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, baru-baru ini bahawa kerajaan negeri dan MSN hanya mencadangkan anggaran peruntukan RM3.5 juta setimpal dengan peranan kemudahan itu kelak.

Katanya, anggaran kos oleh JKR dilihat amat tinggi bagi membina sebuah velodrom yang dirancang sebagai pusat latihan selain boleh dijadikan veneu untuk pertandingan peringkat tempatan.

Menteri Besar amat bersetuju dengan kos RM3.5 juta bagi membina velodrom mini di Dungun yang bertujuan menggalakkan rakyat tempatan berkecimpung dalam sukan lumba basikal.

“Jika pembinaannya menjangkau RM36 juta itu sudah dikira projek di peringkat nasional,” tambahnya.

Menteri Besar berharap velodrom tersebut dapat dibina secepat mungkin bagi membolehkan ia digunakan oleh golongan belia yang berminat dalam sukan berkenaan.



RAKYAT PERLU TAHU DAN FAHAM DENGAN JELAS PROGRAM PEMBANGUNAN KERAJAAN- KHAZAN

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri YB Haji Khazan Che Mat berkata, rakyat perlu diberi maklumat yang jelas dan tepat mengenai pembangunan dan apa yang dilakukan oleh kerajaan untuk mereka.

Bercakap kepada Teganukita, beliau menyarankan agar agensi-agensi negeri dapat mengumpulkan maklumat-maklumat tentang pembangunan yang dijalankan untuk rakyat dan disampaikan kepada rakyat dengan apa cara sekalipun selaras dengan motto "Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan" yang diperkenalkan kerajaan negeri.

"Jika rakyat tidak mengetahui apa-apa yang dilakukan untuk mereka, menimbulkan persepsi yang negatif seolah-olah tiada apa yang mereka dapat hasil dari apa yang dilakukan kerajaan untuk mereka," katanya.

Pada masa kini katanya, pelbagai saluran maklumat dan komunikasi boleh digunakan, khususnya dengan perkembangan teknologi maklumat seperti blog, facebook dan sebagainya, di samping cara-cara lama melalui penerangan bersemuka dan penerbitan bahan bercetak.



SPNB buka kaunter bayaran di Terengganu

Oleh: Esah Abdullah

Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membuka kaunter bayaran di tiga daerah di negeri ini sepanjang bulan April untuk memudahkan pemilik Skim Rumah Mesra Rakyat menjelaskan bayaran pinjaman masing-masing.

Eksekutif Kanan, Seksyen Pemulihan Kredit dan Penguatkuasaan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Puan Sumi Suriamorni Ismail berkata, syarikat sentiasa mencari jalan untuk memudahkan urusan bayaran balik kepada orang ramai khususnya masyarakat yang tinggal di luar bandar.

“Biarpun pemilik SRMR ini sudah maklum semua urusan bayaran balik hendaklah dibuat melalui akaun bank tetapi syarikat tidak lupa turun ke negeri-negeri untuk mendekati masyarakat di samping bersedia berkongsi masalah berkaitan dengan skim ini,” katanya.

Katanya, sepanjang bulan April ini beberapa orang pegawai SPNB ditugaskan berada di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, Kampung Raja, Besut (19 April) dan Pejabat UMNO Bahagian Setiu, di Bandar Permaisuri, Setiu (20 April).

“Pegawai kita juga sedia menunggu di Pejabat UMNO Bahagian Kuala Terengganu, di Gong Kapas di sini (21 April) mulai pukul 10 pagi hingga 4 petang,” katanya.

Katanya, orang ramai boleh membuat bayaran balik dan bayaran tunggakkan serta bayaran insuran kebakaran dengan datang bertemu dengan pegawai SPNB di tempat-tempat yang dinyatakan dan boleh kemukakan sebarang pertanyaan berkaitan pembayaran.




MRSM KT perkenal program khidmat masyarakat

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Terengganu memperkenalkan program khidmat masyarakat bagi membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar di beberapa sekolah berhampiran maktab berkenaan, sejak bulan lalu.

Bagi tujuan itu, 50 pelajar dari lima buah sekolah menengah dipilih mengikuti tuisyen secara percuma yang diadakan di maktab berkenaan pada setiap hari Sabtu sebulan sekali.

Pelajar berkenaan ditempatkan dalam dua kelas manakala tiga mata pelajaran kritikal diajar kepada mereka iaitu Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

Pengetua MRSM Kuala Terengganu, Encik Mohamad Ali Mohamad, berkata lima sekolah yang dipilih menyertai program itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Mengabang Telipot, SMK Kompleks Gong Badak, SMK Sultan Mizan Zainal Abidin, SMK Batu Rakit dan SMK Padang Kemunting.

Beliau berkata, pihaknya berharap program tersebut yang dimulakan tahun ini akan mendekatkan warga MRSM Kuala Terengganu dengan masyarakat tempatan serta membantu meningkatkan mutu pembelajaran pelajar tersebut.



Budaya berniaga diperkenalkan di sekolah

Oleh: Esah Abdullah

Strategi ‘laut biru’ perlu diperkenalkan kepada Pembangunan Usahawan Muda (PUM) bagi cetusan idea dan kreativiti mereka dalam menghasilkan produk yang akan dikomersialkan.

Timbalan Pengurus Besar, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), M. Harith Hassan membuat saranan berkenaan dengan harapan golongan usahawan muda sentiasa membuat perancangan keuntungan untuk jangka panjang.

Katanya, pendedahan budaya berniaga di kalangan pelajar di sekolah menengah perlu berterusan ke arah melahiran bakal usahawan pada masa akan datang.

“Setakat ini terdapat 56 buah sekolah menengah di seluruh negeri telah menyertai PUM dan berharap suatu hari nanti mereka mampu mengeluarkan produk hasil ciptaan sendiri,” katanya di majlis Pelancaran Laman Web PUM di Permai Inn.

Pelancaran laman web ini antara lain katanya, untuk memudahkan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) mengetahui serta memantau setiap perkembangan peserta PUM.

Selain itu katanya, PMINT turut merancang untuk mengadakan seminar pendedahan Sistem Pembangunan Francaisor bersama Perbadanan Nasional Berhad (PNB) pada Mei depan untuk memberi peluang kepada usahawan yang berpotensi mendalami ilmu francaisor.

“Orang ramai yang berminat menyertai seminar berkenaan boleh menghubungi bahagian Pembangunan Industri dan Usahawan PMINT,” katanya.



Sepuluh pelajar cemerlang dibiayai RM1.5 juta

Oleh: Aida Abd Rahman


Daripada 405 pelajar cemerlang SPM 2010 hanya 10 daripada mereka bakal menikmati skim Pelajar Cemerlang bgi meneruskan pengajian mereka ke empat universiti luar negara yang sudah dikenal pasti. - Foto: Harish Fadzillah.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 juta menerusi Skim Pelajar Cemerlang bagi memastikan setiap pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 dapat meneruskan pengajian mereka ke empat universiti luar negara yang sudah dikenal pasti.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata daripada 405 pelajar cemerlang SPM 2010 hanya 10 daripada mereka bakal menikmati skim itu bagi membuat kursus persediaan A Level dan mengikuti kursus perubatan yang ditawarkan pihak universiti berkenaan.
Katanya, pada tahun ini Kerajaan Terengganu mengambil keputusan menghantar pelajar lepasan SPM ke Universiti Charles di Republik Czech, Kolej Pakar Bedah Diraja Ireland (RCSI), Kolej Universiti Dublin di United Kingdom dan Universiti McGill di Kanada.

“Pelajar yang terpilih ini perlu menjalani kursus persediaan A Level terlebih dahulu dan kerajaan negeri akan menaja sepenuhnya sebelum meneruskan pengajian mereka di empat universiti ini pada tahun depan,” kata beliau pada Perasmian Taklimat Persediaan menghadapi Temuduga ke IPT Lepasan SPM 2010 Daerah Kuala Terengganu Utara, di Sekolah Menengah kebangsaan Ibrahim Fikri, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Katanya, kuota kemasukan ke Universiti Charles seramai 50 orang, lima pelajar di Universiti McGill, manakala 50 pelajar ditawarkan mengikuti program berkembar dengan RCSI dengan tempoh pengajian tiga tahun dalam negara dan tiga tahun lagi di Ireland.

Haji Ahmad Razif sebelum itu menyampaikan anugerah kepada 33 pelajar cemerlang SPM 2010 bagi daerah Kuala Terengganu Utara yang mendapat keseluruhan A dalam semua mata pelajaran.




TADC jangka keluarkan 30,000 tongkol jagung hibrid sehari

Oleh: Aida Abd Rahman


Tanaman jagung hibrid di Kampung Nibong, Telemong dijangka mula mengeluarkan hasil bermula penghujung bulan ini. - Foto: Zulkipli Putra.

Sebanyak 30,000 tongkol jagung hibrid dijangka dapat dikeluarkan Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC) dalam masa sehari apabila ladang tanamannya di Kampung Nibong, Telemong mula mengeluarkan hasil penghujung bulan ini.

Pengerusi TADC, Encik Razali Idris berkata fasa pertama projek penanaman jagung hibrid itu mula dilaksanakan pada pertengahan Februari lalu di kawasan seluas lapan hektar.
Katanya, tanah di kawasan itu yang kebanyakannya dimiliki oleh orang kampung hanya terbiar selepas tidak lagi diusahakan dengan tanaman padi tetapi TADC mengambil inisiatif menjadikannya kepada projek tanaman jagung hibrid.

"Tanaman itu kini mula mengeluarkan hasil dan kita menjangkakan ia akan dapat dituai pada 23 April nanti di mana setiap hektar mampu menghasilkan lebih 10,000 jagung hibrid bermutu tinggi bagi pasaran tempatan dan luar negara," katanya, semalam.

Jagung hibrid bermutu tinggi itu boleh dituai dalam tempoh dua bulan selepas ditanam dan tanaman itu boleh diusahakan tiga kali dalam setahun.

Hasil kejayaan itu, katanya TADC juga merancang untuk memperluaskan projek tanaman jagung itu kepada lebih 121 hektar tahun ini bagi menampung permintaan terhadap tanaman itu.

Beliau berkata, projek tanaman jagung hibrid sebelum ini telah melalui fasa percubaan sebanyak 15 pusingan dan hasilnya didapati amat berkualiti tinggi sehingga mendapat permintaan yang menggalakkan daripada pengusaha tempatan serta Nelson's Franchise (M) Sdn Bhd (Nelson's).

"Jadi kita mengharapkan dengan perluasan projek tanaman sehingga lebih 121 hektar nanti ia bukan sahaja mampu menampung permintaan pasaran tempatan tetapi juga luar negara, “ katanya lagi.

Encik Razali berkata, projek itu juga dijangka dapat memberi peluang pekerjaan kepada 150 penduduk tempatan yang terdiri daripada peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).