Halaman

04 April 2011

YPU dan IPTA Jalin kerjasama

Oleh: Esah Abdullah

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah menjalin kerjasama dengan beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam usaha melahirkan usahawan di kalangan siswazah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, YB Dato’ Mohamed Awang Tera berkata, setakat ini Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersetuju untuk mengadakan program perintis keusahawanan.

“YPU telah menyalurkan peruntukan RM150,000 untuk melahirkan 30 orang usahawan siswazah di kalangan anak Terengganu apabila tamat pengajian nanti,” katanya pada majlis perasmian program UMT Youngpreneurs 2011 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) petang semalam.

Selain itu, katanya, kerjasama turut dilaksanakan melalui pembukaan kedai serbaneka T’Shoppe di UUM manakala di UMT akan menyusul kemudian.

“Saya amat berharap, siswazah bukan setakat mengenggam ijazah apabila tamat pengajian tetapi juga berjaya menjadi seorang usahawan yang berilmu dan berjaya suatu hari nanti,” katanya.

Katanya, kunci kepada kesedaran dalam dunia perniagaan adalah ilmu pengetahuan tentang apa yang berlaku dan apa yang wajar dilakukan, justeru melalui pembudayaan keusahawanan di peringkat IPT ini memberi pengetahuanm luas kepada golongan sasar.

“Perlu diberi penekanan serta sama mengembleng semua usaha dan sumber yang ada di sekeliling ke arah mendorong ekonomi Melayu terus cemerlang dan gemilang,” katanya.

Dato’ Mohamed seterusnya memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa menyokong usaha dalam memartabatkan sektor keusahawanan kalangan siswazah kerana ia dilihat mampu memberi kehidupan lebih sempurna sekaligus dapat menjana kepada kekuatan ekonomi negeri.




03 April 2011

Pembangunan Zon Bebas Cukai giat dijalankan

Oleh: Raja Faisal & Syarifah


Lawatan kerja YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said ke Tasik Kenyir turut disertai Duta Perancis, Dr Jean Francois Bijion.

Lawatan Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad bin Said ke beberapa buah pulau hari ini (3 April) menunjukkan pembangunan yang progresif, hampir 50 peratus Kenyir Island Hopping yang meliputi 10 buah pulau kini sudah siap dibangunkan.

Daripada pulau-pulau yang dibangunkan, Taman Burung kini sudah siap sepenuh untuk di kunjungi secara tidak rasmi, terdapat 120 spesis burung tanah yang dilepaskan berkeliaran begitu jinak bagi pengunjung untuk mendekati.


Tinjauan ke Taman Tropika yang bakal menggamit pencinta keindahan alam semulajadi ke Tasik Kenyir.

Selain itu pembangunan infrastruktur lain seperti kereta kabel kini sudah dikenal pasti lokasi tapak-tapak bagi pemasagan kereta kabel bagi setiap pulau, kereta kabel yang akan dibina bermula dari Pulau Pin ke Pulau Bayas itu mengambil jarak sejauh 22 kilometer.

Menurut Dato’ Seri, bagi pembinaan Taman Tema Air akan bermula pada bulan jun ini yang akan dibina di pulau pos dan pada bulan yang sama Taman Orkid dijangka siap pembangunannya.


YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said tertarik melihat burung merak yang sedang makan di Taman Burung.

“Selain pembangunan infrastruktur darat, kita juga akan memasang lampu perhiasan di dalam air, dan ini merupakan sesuatu yang baru di Asia Tenggara” katanya ketika diadakan sidang media di Pulau Petang.

Beliau menjangka segala pembangunan yang di buat bagi pembangunan Tasik Kenyir untuk mejadikannya sebagai zon bebas cukai ini akan dapat dirasai pada lima tahun akan datang.


Melawat kerja-kerja pembersihan tasik yang sedang giat dijalankan.

Lawatan yang turut disertai oleh Duta Perancis, Dr Jean Francois Bijion dapat memberi peluang kepada MB untuk mempromosi Tasik Kenyir ke luar negara, Dr Jean menganggap Tasik Kenyir begitu interaktif dengan pemandangan yang cantik dan akan menjadi satu pembangunan yang dinamik di masa hadapan.

Lawatan tersebut turut diiringi Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Haji Rozi Mamat dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Haji Wan Mohd Wan Ibrahim.



Kerajaan tadbir urus masjid secara profesional

Oleh: Aida Abd Rahman



Kerajaan negeri mengambil pendekatan serius bagi memastikan masjid dan surau di negeri ini ditadbir urus secara profesional dan sistematik.

Peranan imam dan bilal serta jawatankuasa masjid menerusi penyelarasan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bertanggungjawab menguruskan hal ehwal pembangunan semua masjid dan surau di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat, berkata semua pihak yang dilantik itu perlu menggembeleng usaha yang bersepadu bagi menjadikan masjid sebagai institusi agama yang di pandang mulia dan tinggi di kalangan umat Islam serta semua bangsa.

Katanya, tidak hanya terhad dengan peranan itu, masjid juga menjadi pusat penyebaran ilmu dan dakwah berasaskan al-Quran dan as-Sunnah serta nadi utama mempelbagaikan aktiviti yang membangun umat dengan amalan dan penghayatan budaya Islam, merangkumi ibadat khusus seperti sosial, ekonomi dan politik dalam landasan yang benar.

“Bagi melahirkan masyarakat Islam yang komited terhadap masjid, kerajaan giat mempelbagaikan aktiviti dan program pengimarahan kepada seluruh masyarakat ke arah Pembangunan Masjid Cemerlang.

“Malah, kita juga mahu menjadikan pengurusan masjid dan surau dalam Terengganu lebih teratur, cekap dan sistematik. Soal kebersihan dan kesucian rumah Allah itu juga harus dititikberatkan khususnya kemudahan tandas di masjid yang berada di laluan utama dan jalan besar yang menjadi persinggahan ramai,” katanya ketika menjadi tetamu Radio Malaysia Terengganufm (Tfm) anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom), tengah hari ini.

Sehingga kini, sebanyak 481 masjid dan 1,528 surau (termasuk 96 buah surau sekolah) terdapat di Terengganu.

Bahagian Pengurusan Masjid bertindak sebagai penyelaras dan urusetia kepada semua Pejabat Agama Daerah berkaitan dengan pengurusan masjid.

Kerajaan negeri mewujudkan empat unit bagi memastikan pengurusan masjid yang lancar dan sistematik merangkumi Unit Pentadbiran, Unit Takmir, Unit Qariah dan Unit Masjid Kerajaan.

“Unit Pengurusan Masjid umpamanya bertanggungjawab dalam urusan yang berkaitan dengan pengimarahan masjid, memantau perjalanan pentadbiran, aktiviti dan pengurusan masjid-masjid kerajaan. Mereka juga menguruskan hal berkaitan dengan perjawatan, pengisian, penempatan dan pemantauan pegawai masjid kerajaan.

“Manakala Unit Takmir terletak di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bertanggungjawab dalam mengurus dan menyelaras Program Pengajian Pendidikan Agama Islam di masjid-masjid dan surau-surau yang dianjur oleh JHEAT dengan bantuan kewangan daripada Jakim,” katanya.

Selain itu, Unit Qariah bertanggungjawab dalam semua urusan yang berkaitan dengan pentadbiran, pelantikan jawatankuasa masjid dan surau, serta bertanggungjawab dalam urusan permohonan pembinaan, penyelenggaraan dan kebersihan atau keceriaan masjid dan surau.

Unit itu juga berkaitan dengan pelantikan, pentauliahan, elaun, kebajikan, tatatertib, penamatan atau persaraan, ganjaran dan tuntutan balik elaun serta hal lain berkait dengan pegawai masjid mukim.



Usah biar peristiwa hitam berulang

Oleh; Esah Abdullah

“Jangan ulangi kesilapan lalu dan kita tidak rela peristiwa hitam 1999 berulang lagi di negeri ini,” kata Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia merangkap Ketua Puteri bahagian Kuala Terengganu, Puan Nordiana Dato’ Shafie.

Katanya, peranan golongan muda terutama Puteri adalah asas utama dalam menarik pengundi muda terutama pengundi baru berusia 21 tahun ke atas untuk terus menyokong UMNO.

“Kita tidak mahu peristiwa hitam di Terengganu jatuh ke tangan pembangkang berlaku lagi dan berharap rakyat dapat membuat penilaian dan memilih kerajaan yang dapat membela nasib rakyat,” katanya di majlis Juara Rakyat Seribu Mawar, di Dewan Sivik Sungai Tong, Setiu petang semalam.

Selain itu, katanya, Puteri sebagai tulang belakang dalam sistem politik negara dan peranan yang dimainkan oleh golongan ini memberi impak besar dalam pentadbiran negara.

Katanya, selaku golongan muda dan berpendidikan tinggi, Puteri perlu bangkit membuat satu transformasi baru sesuai dengan peredaran masa.

Puan Nordiana seterusnya berharap barisan kepimpinan Puteri sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang dan pastikan kepimpinan hari ini terus mengekalkan pemerintahan negara.

Ahli Parlimen Setiu, YB Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Ashaari Idris turut hadir dalam program berkenaan.





Exco jadi tetamu Tfm

Oleh: Suriati Ali


YB Datuk Haji Abdul Rahin ketika menjadi tetamu di Tfm.

Program Pemimpin Bersama Radio Malaysia Terengganufm (Tfm) dikeudarakan setiap Ahad nyata memberi kesan positif kepada pendengar, khususnya rakyat tempatan yang ingin mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan negeri Terengganu.

Slot itu yang diterbitkan selama 30 minit, bermula jam 12.15 tengah hari hingga 12.45 tengah hari, menampilkan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sebagai tetamu mendapat sambutan menggalakkan daripada pendengar.

Exco yang menjadi tetamu hari ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat telah memberitahu pendengar mengenai peranan kerajaan negeri dalam mengimarahkan masjid dan pelbagai isu berkaitan jawatan beliau.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan, Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib dan Pengerusi Jawatankuasa, Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Datuk Haji Abdul Rahin Mohd Said turut menjadi tetamu secara bergilir-gilir.

Ketua Bahagian Penerangan Tfm, Puan Noor Asmihan Mansor, berkata program berilmu anjuran bersama Unit Komunikasi Negeri (Ukom) ini bukan saja mampu menaikkan imej Tfm malah cukup bermanfaat kepada pendengar yang ingin mendapat maklumat terkini dan tepat mengenai perkembangan Terengganu.

“Semua Exco kerajaan negeri terlibat dalam rancangan ini dan mungkin dipanjangkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri bagi menghebahkan maklumat berkaitan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing,” katanya.





Terengganu perintis Manual Keluarga Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu muncul sebagai negeri perintis yang memperkenalkan buku panduan `Manual Keluarga Terengganu’ yang bakal diedarkan secara percuma kepada setiap keluarga sebagai usaha membentuk keluarga berkualiti dan cemerlang.

Buku panduan yang disediakan kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dijangka diedarkan pada penghujung tahun ini kepada setiap keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad, berkata program baru mewujudkan satu manual lengkap bagi setiap keluarga di negeri ini bertujuan memberi rujukan ke arah kecemerlangan hidup.

“Kita sediakan panduan kepada keluarga dan ibu bapa khususnya, supaya mereka mendapat input berguna daripada risalah atau buku yang kita hasilkan kelak. Sekurang-
kurangnya mereka boleh membentuk hubungan kekeluargaan yang baik, lancar dan sihat.

“Kita yakin, apabila berjaya membentuk keluarga cemerlang, pastinya kita dapat mengurangkan gejala sosial serta jenayah yang banyak membantutkan usaha pembangunan negeri mahupun negara amnya,” katanya kepada Teganukita dalam satu wawancara khas, di pejabat beliau, baru-baru ini.

Beliau berkata, buku yang sedang dalam proses penyusunan itu akan menjurus kepada banyak skop kekeluargaan yang merangkumi usia awal kelahiran sehinggalah dewasa mengikut acuan Islam dan gaya hidup yang sihat.

YB Yahya berkata, penerbitan buku panduan itu juga antara fokus utama portfolio beliau yang memfokuskan kepada pengukuhan dan pengupayaan ke arah melahirkan masyarakat seimbang dan cemerlang.

“Hasilnya kelak, pasti mampu mengurangkan masalah kemiskinan melalui peningkatan arah kecemerlangan kualiti hidup keluarga dan pembangunan masyarakat secara menyeluruh menjelang 2013,” katanya.

Sehingga kini, pelbagai program dijalankan bagi meningkatkan kualiti keluarga seperti `Second Honeymoon’, Program Ibu Sejati, Keluargaku Syurgaku dan `Parenting@Work’.

Katanya, setiap program yang dijalankan memfokuskan empat teras utama bagi mencapai strategi yang dirangka kerajaan negeri khususnya bagi membasmi kemiskinan, mengurangkan gejala sosial, meningkatkan kualiti hidup keluarga serta pembangunan masyarakat secara menyeluruh.





Kadar jenayah di Terengganu menurun

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Kerajaan negeri bangga dengan kesungguhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu bertungkus lumus mengawal keamanan di negeri ini, sekaligus menyaksikan kadar jenayah sepanjang tahun lalu menurun.

Mengikut statistik polis, bagi tempoh 2010 Polis Kontinjen Terengganu berjaya mencapai kedudukan terbaik dari segi penurunan jenayah indeks bagi seluruh negara.

“Bagi tempoh 2010 terdapat 4,037 kes dilaporkan di negeri ini berbanding 5,319 kes tempoh yang sama pada tahun 2009.

“Kadar jenayah indeks telah dapat diturunkan sebanyak 1,282 kes bersamaan dengan negatif 24.10 peratus dan telah mencapai kadar yang ditetapkan di bawah NKRA sebanyak 20 peratus,” kata Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Kempen Keselamatan Dan Pencegahan Jenayah anjuran kerajaan negeri dan PDRM Terengganu di Sekolah Menengah Sultan Mansor, semalam.

Dalam usaha menangani kegiatan penyalahgunaan dadah pula, katanya . Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu turut mempamerkan prestasi amat membanggakan.

“Bagi tempoh 2010 terdapat sebanyak 11,338 kes dengan tangkapan seramai 11,539 orang. Peningkatan kes bagi tahun 2010 berbanding tahun 2009 ialah sebanyak 2,215 kes iaitu bersamaan dengan 24 peratus dan peningkatan tangkapan seramai 1,979 orang iaitu bersamaan 21 peratus,’ ujarnya.



Bidang usahawan alternatif siswazah

Oleh: Esah Abdullah


Dato’ Mohamed Awang Tera memukul gong gimik perasmian majlis penutup program UMT Youngpreneurs 2011 di Pusat Dagangan Terengganu. - Foto: Harish Fadzillah.

Penuntut di institusi pengajian tinggi perlu mencari alternatif lain sebagai kerjaya tetap dengan menjadikan bidang keusahawanan sebagai pilihan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Yahya Ibrahim berkata, peluang pekerjaan dalam sektor kerajaan dan swasta semakin hebat bersaing, oleh itu siswazah tidak terlalu memilih kerja.

“Bidang keusahawan satu bidang mulia yang digalakkan dalam Islam, kerana bidang ini berperanan mewujudkan jaringan pekerjaan kepada orang lain,” katanya di majlis UMT Youngpreneurs di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) petang semalam (2 April).

Katanya, program yang diadakan ini mampu mencanai hasil yang baik dan berkualiti serta memberi pendedahan tentang dunia keusahawanan serta merasa sendiri pengalaman berniaga.

Selain itu, pelajar perlu merancang halatuju kerjaya dari sekarang kerana mereka yang gagal merancang sebenarnya telah gagal sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

“Bijak membahagikan masa antara akademik, berpersatuan, ibadah dan riadah merupakan kunci kepada segala kejayaan,” katanya.

Dalam perkara lain, UMT menyediakan tempat kepada 6,000 pelajar setiap tahun dan hasil kajian pengesanan (2009) menunjukkan 34.7 peratus graduan telah mendapat kerja manakala 18.5 peratus telah melanjutkan pelajaran lebih tinggi.





Menjana usahawan siswazah

Oleh: Esah Abdullah


Dato’ Mohamed Awang Tera bermesra dengan penuntut UMT selepas merasmikan majlis penutup program UMT Youngpreneurs 2011 di Pusat Dagangan Terengganu. - Foto: Harish Fadzillah.


Program menjana usahawanan siswazah dilihat mampu menghasilkan graduan dan usahawan yang baik dan berkualiti di samping memberi pendedahan kepada pelajar tentang dunia keusahawanan.

Pengerusi Jawatankuasa pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri YB Dato’ Mohamed Awang Tera berkata, kerajaan menerusi halatuju pembangunan negeri mahu membudayakan aktiviti keusahawanan di kalangan siswazah.

“Melalui kesepakatan dan perancangan yang strategik dijangka dapat membendung peratusan pengangguran yang mencecah 80,000 setahun,” katanya ketika berucap di majlis penutup program Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Youngpreneurs 2011 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) petang semalam (2 April).

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Prof. Dr. Yahya Ibrahim dan Timbalan Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Haji A. Razak Sulaiman.

Katanya, mengikut data di Kementerian Pengajian Tinggi daripada jumlah berkenaan 70 peratus terdiri daripada siswazah Melayu dan di Terengganu sahaja sejumlah 7,000 orang yang tidak ada kerja.



“Dengan pelaksanaan program sebegini dapat melahirkan kesedaran minda serta kematangan berfikir dalam diri siswazah ketika membuat keputusan demi masa depan yang gemilang,” katanya.

Katanya, siswazah merupakan aset paling berpotensi sebagai agen tranformasi sektor keusahawanan dan melalui kegigihan, kreatif berinovatif akan membawa perubahan positif dalam membantu peningkatan ekonomi negeri.

Program ini berlangsung selama tiga hari bermula 31 Mac, merupakan usahasama Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UMT dan YPU yang disertai 750 orang siswazah serta 40 usahawan di negeri ini dengan menjual pelbagai produk.




Pembangkang belum sepakat pembahagian kerusi di Sarawak

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Pada jam 3 petang ini, bertempat di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan mengumumkan senarai nama calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada pilihan raya umum Sarawak, 16 April ini.

Atas semangat muafakat dan kerjasama erat antara semua parti komponen BN, senarai 71 nama calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum itu sudah pun diputuskan.

Seperti kebiasaannya, sudah pasti BN akan mengemukakan calon terbaik untuk bertanding pada pilihan raya tersebut, bagi memastikan pengundi yang diwakili mereka akan mendapat perkhidmatan terbaik daripada wakil rakyat mereka.

Bagaimanpun, keadaan ini tidak berlaku dalam kem parti pembangkang kerana sehingga ini parti-parti pembangkang masih belum mendapat kata sepakat mengenai pemilihan calon.

Walaupun hanya tinggal tiga hari lagi penamaan calon bagi Pilihanraya Umum Sarawak ke-10 akan dilakukan, parti pembangkang masih bertengkar sesama sendiri mengenai kerusi mana yang akan ditandingi calon-calon-calon mereka.

Sehingga ini, Parti Kebangsaa Sarawak (SNAP) dilaporkan terus memberi tekanan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan nada keras bahawa mereka akan bertanding di 27 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), bukan tiga seperti yang disarankan PKR.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padungan, Dominique Ng Kim Ho, pula bertegas mahu mempertahankan kerusi tersebut yang dimenangi atas tiket PKR, walaupun DAP mahu meletakkan calonnya bertanding di kerusi berkenaan.

Banyak lagi perbalahan yang berlaku dalam komponen parti pembangkang berhubung pembahagian kerusi dalam pilihan raya umum itu, menjadi bukti jelas bahawa mereka tidak ikhlas bertanding pada pilihan raya itu.

Parti pembangkang hanya mahu calon mereka menjadi wakil rakyat dan bukan ada niat mereka mahu membela nasib pengundi di kawasan yang mereka wakili, seperti yang berlaku dalam BN.

BN meletakkan calon bertanding atas dasar muafakat dan bukan atas dasar kepentingan parti kerana dalam setiap hal, rakyat dan pengundi akan menjadi keutamaan setiap komponen.

Justeru itu, setiap parti komponen rela berkorban demi rakyat dan mereka mengetepikan kepentingan parti sendiri.

Berdasarkan Pilihan Raya Sarawak ke-9 yang diadakan pada 20 Mei 2006, Barisan Nasional (BN) memenangi 62 kerusi daripada keseluruhan 71 kerusi yang dipertandingkan.

Parti Tindakan Demokrat (DAP) pula hanya menang enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) cuma menang satu kerusi.

Dua parti lain iaitu Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) dan calon Bebas (Parti Cinta Malaysia) masing-masing menang satu kerusi.

Perebutan kerusi yang berlaku dalam pakatan pembangkang itu sudah pasti akan memberi kelebihan kepada BN rakyat pastinya sudah jemu dengan sikap tamak pembangkang.

Dan jika parti komponen BN bijak menggunakan keadaan ini, tidak mustahil BN dapat menambah bilangan kerusinya pada pilihan raya kali ini.