Halaman

06 December 2010

Ben Ainslie Juara Piala Monsun 2010

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Teamorigin bersama skipper Ben Ainslie dinobatkan juara Piala Monsun 2010. Hadiah disampaikan SUK Terengganu, Dato' Mazlan Ngah. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Ben Ainslie dan Teamorigin dari Britain dinobatkan juara Piala Monsun 2010 buat julung kali dalam kejohanan Kapal Layar Piala Monsun edisi keenam, di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, semalam (5 Disember).



Dalam perlawanan akhir yang dilangsungkan pada petang semalam itu Ben Ainislie, 33 memintas Richard, 34, dari Perancis di kedudukan teratas dengan 126 mata berbanding Richard 111 mata.

Ia merupakan penebusan Ainslie yang pernah dikecewakan 0-3 oleh Adam Minoprio, tahun lalu, apabila bangkit daripada ketinggalan 2-1 untuk menang 3-2 ke atas Torvar Mirsky (Mirsky Racing Team).



“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya (lain Percy, Christian Kamp, Matthew Cornwell dan Mike Mottl), mereka menampilkan pelayaran terbaik. Keadaan begitu sukar di sini.

Kami perlu menangani keadaan berubah-ubah sepanjang perlumbaan, tiupan angin dan pasang surut dan arus sungai sepanjang laluan perlumbaan,” katanya.



Dalam satu kenyataan mengenai perancangan masa depan, Ainslie tidak mempunyai sebarang cita-cita meneruskan pembabitannya dalam match racing, sebaliknya akan kembali ke pentas Olimpik berikutan pembubaran pasukannya, TEAMORIGIN tahun depan.

Kejayaan menjulang Piala Monsun gemilang buat pemenang tiga pingat emas Olimpik dari Britain itu.

TEGANUKITA

Sokongan Demi Martabatkan Sukan Wanita-To' Puan Seri Norliza

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud sedaya upaya akan memberi sokongan dan bantuan yang sepatutnya bagi meningkatkan prestasi dan memartabatkan sukan yang disertai golongan wanita.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika meraikan pegawai dan atlit pada majlis makan malam sempena Kejohahan Hoki Wanita Bawah 16 Tahun Kebangsaan 2010, di Kediaman Seri Iman, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, malam kelmarin (2 Disember).

“Tahniah kepada Persatuan Hoki Wanita Negeri Terengganu kerana berjaya menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah bagi menganjurkan satu kejohanan yang besar dan banyak kepentingannya terhadap pembangunan sukan hoki tanah air.

“Kejohanan di peringkat awal inilah yang menjadi landasan terbaik untuk melihat kemajuan dan prestasi sebenar sukan di peringkat negara mahupun dunia,”kata beliau lagi.

Sebanyak 11 pasukan bertanding pada kejohanan tahunan itu yang menyaksikan Terengganu selaku tuan rumah mara ke peringkat separuh akhir bersama pasukan Melaka, Kuala Lumpur dan pasukan jemputan, Sekolah Sukan Bandar Penawar.

TEGANUKITA

735 Berjaya Hafaz 23 Surah Lazim

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


YB Muhammad Ramli Noh, YB Ahmad Razif, Dato' Mazlan Ngah dan Mohd Safaruddin Mustafa bersama kanak-kanak taska di majlis Penyampaian Sijil Hafaz Muqaddam di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Jadual waktu hafaz enam kali sehari yang dipraktikkan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu yang mengambil masa lima enam minit setiap sesi bacaan, mendorong peningkatan jumlah kanak-kanak hafaz al-Quran setiap tahun.

Setiap hari, antara waktu bemain dan aktiviti pembelajaran lain, mereka akan berehat sekejap untuk membaca Muqaddam dan cara begini diterima baik golongan kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun.

“Terdapat 63 buah Taska YPK atau dua buah setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negeri kata, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dn Penerangan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, YB Muhammad Ramli Noh dalam sidang media sebaik selesai majlis Penyampaian Sijil Hafaz Muqaddam, 23 Surah Lazim Kanak-kanak Taska YPK 2010, di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, semalam (4 Disember).



Hadir sama, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah YPK, Mohd Safaruddin Mustafa.



“Memupuk minat membaca dan meminati al-Quran kalangan kanak-kanak mendapat sambutan menggalakan lebih-lebih lagi sokongan kuat daripada ibu bapa yang sangat ketara sejak ianya diperkenalkan empat tahun lalu,” katanya.

Katanya, ketika mula diperkenalkan dulu (2007) 250 orang kanak-kanak berjaya menghafaz 23 surah lazim, diikuti 455 orang (2008) dan 594 (2009) manakala tahun ini (2010) meningkat kepada 735 kanak-kanak.



Menurutnya, program hafazan yang bermula setiap Januari iaitu bila sesi persekolahan bermula, telah menjadi perangsang kepada kanak-kanak Taska serta ibu bapa bagi melahirkan anak-anak cemerlang al-Quran bila meningkat dewasa.

TEGANUKITA

05 December 2010

Pesakit Kanser Perlu Perhatian Dan Sokongan Moral

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Tuanku Nur Zahirah berkenan memotong kek Ulangtahun ke-10 Hospis Terengganu di Ri Yaz Heritage Marine Resort dan Spa Pulau Duyung. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah berkenan merasmikan Majlis Ulangtahun Ke 10 Persatuan Hospis Terengganu di Ri Yaz Heritage Marina Resort dan Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, hari ini (2 Disember).

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud; Yang Dipertua, Persatuan HOSPIS Terengganu, To’ Puan Rahmah Elias dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Nordiyanah Hassan.

Persatuan amal itu ditubuhkan bertujuan membantu pesakit kanser yang memerlukan perhatian serta penjagaan berkualiti terutama di kalangan keluarga dan masyarakat.

Baginda bertitah, peranan dan sokongan moral ahli keluarga adalah sangat penting dalam membantu pesakit ini terus tabah selain mengelak tertekan dan lebih tenat.

“Dalam hal demikian, beta berharap supaya ahli persatuan dapat bersama-sama keluarga pesakit membantu mereka menjalani hari-hari mendatang dengan satu kehidupan lebih bermakna dan ceria.

“Ibarat kata perpatah, “berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”, beta mengakui dan memahami amat sukar untuk kita menyelami isi hati pesakit, mereka tentunya diselubungi keresahan dan kebimbangan sebaik disahkan menghidapi kanser,” kata baginda

Sementara itu, To’ Puan Rahmah, berkata setiap pesakit kanser amat memerlukan perhatian dalam pelbagai aspek termasuk fizikal, emosi, psikologi, sosial dan kerohanian pesakit. Oleh itu, kita sebagai masyarakat perlu memainkan peranan penting dengan memikul tanggungjawab itu seikhlas mungkin.

Katanya, kami sebagai ahli persatuan terdiri daripada doktor, jururawat, pekerja sosial, kaunselor dan sukarelawan pula menawarkan perkhidmatan kebajikan dan rawatan khas di rumah semata-mata ingin mereka menjalani kehidupan lebih baik.

“Penjagaan paliatif yang ditawarkan bukannya untuk menyakinkan pesakit supaya pulih sebaliknya memberi sokongan secara menyeluruh termasuk emosi dan kerohanian selain menjadi perantara pihak hospital.

“Pesakit yang dirujuk kepada HOSPIS lazimnya berada dalam keadaan kritikal, terlalu tenat dan tidak mampu pulih. Pada peringkat ini, aspek simpati, belaian, perhatian dan penjagaan daripada keluarga serta petugas kesihatan cukup penting dan mampu memberi kekuatan kepada mereka berdepan hari-hari mendatang,” katanya.


TEGANUKITA

02 December 2010

Yang di-Pertuan Agong Rasmi Kejohanan Piala Monsun

KUALA TERENGGANU, 1 Dis (Bernama) -- Yang di- Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan kejohanan kapal layar Piala Monsun di Marina Ri-yaz Heritage & Spa Pulau Duyong di sini Rabu.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said hadir pada perasmian kejohanan yang masuk tahun keenam itu.


Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Kejohanan Piala Monsun 2010 di Pulau Duyong. Hadir sama: Ahmad Shabery Cheek (kiri) & Ahmad Said (empat, kanan). Foto: Arjasneh Ahmad

Kejohanan kali ini disertai 12 pasukan terdiri French Match Racing dari Perancis, Team Origin (Britain), Team Gac Pindar (Britain), Black Match Racing (New Zealand), Mirsky Racing Team (Autralia), Gaastra Racing Team (Denmark), Team Azzura (Perancis), Hansen Global Team (Sweden), Black Swan Racing (Australia), Yanmar Racing (Australia), Waka Racing Team (New Zealand) dan Koo Racing Team-Evernew (Malaysia).

Kejohanan itu akan berlangsung sehingga Ahad ini.

-- BERNAMA


MB sedia tambah hadiah kemenangan Piala Monsun

2010/12/02

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berharap dapat memikat Jelajah Match Racing Dunia (WMRT) untuk mengekalkan Piala Monsun selepas 2012 dengan menawarkan hadiah kemenangan yang lebih besar.

Kontrak penganjuran Piala Monsun bersama WMRT berakhir pada 2012 dan perbincangan sudah bermula bagi memastikan acara itu kekal di Terengganu.

“Sudah tentu kami mahukan Piala Monsun kekal di sini sehingga selepas 2012,” kata Ahmad Said. “Kami sedang berhubung dengan Kerajaan Persekutuan mengenai perkara ini tatkala mereka berbincang dengan WMRT.

“Jelas sekali bahawa ia tidak boleh dipanggil Piala Monsun seandainya ia tidak diadakan di mana musim monsun melanda.

“Mungkin kami boleh menawarkan hadiah kemenangan lebih tinggi sekiranya ia akan dapat membantu kami mendapatkan kontrak jangka panjang.

“Kesemua kemudahan sudah sedia ada dan ia pasti sesuatu pembaziran seandainya kami tidak dapat melanjutkan



----dipetik dari Berita Harian Online

Tuanku Mizan Muncul Johan Piala Coronation

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Pasukan yang disertai Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, Yamnar Racing, berjaya muncul sebagai juara pada Kejohanan Kapal Layar Piala Coronation setelah menewaskan tujuh pasukan lain yang berentap di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, hari ini (30 November).

Baginda yang bertindak sebagai jurumudi tangkas mengendalikan bot layar bersama kru dan penasihat Piala Monsun, Dato’ Peter Gilmour dalam saingan tiga pusingan untuk mengumpul tujuh mata seterusnya memintas pesaing lain.

Juara Piala Coronation ditentukan berdasarkan pengumpulan markah paling sedikit antara lapan pasukan yang bertanding dalam kejohanan itu.

Selain baginda, Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek turut bertanding dalam pertandingan pembuka tirai kepada Kejohanan Piala Monsun yang bermula esok (1 Disember).

Baginda Tuanku Mizan kemudiannya berkenan ke majlis penyampaian hadiah dan santapan malam sempena kejohanan itu akan diadakan di Ri-Yaz Heritage dan Resort, Pulau Duyong, malam ini.

TEGANUKITA

Ubah Sikap Untuk Baiki Mutu Perkhidmatan

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Warga kerja Wisma Darul Iman mendengar amanat daripada Dato' Razak Ismal, di Perhimpinan Bulanan Warga Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Setiap penjawat awam perlu mempunyai sikap ingin berubah dalam melaksanakan tugas masing-masing bertujuan membaiki imej perkhimatan kerajaan yang dikatakan masih ditakuk lama.

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Razak Ismail, berkata terdapat segelintir masyarakat luar menggangap mutu perkhidmatan yang ditawarkan kerajaan tidak banyak berubah dan masih wujud kesulitan ketika berurusan.

Katanya, perlaksanaan tugas di sektor kerajaan cukup berbeza jika dibandingkan pihak swasta di mana kakitangan agensi itu mempunyai nekad untuk berusaha lebih maju semata-mata ingin mencapai sasaran yang ditetapkan majikan dalam tempoh tertentu.



“Oleh itu, sebagai penjawat awam, kita perlu membaiki persepsi negatif dengan melaksanakan tugas secara tekun, jujur, amanah dan bertanggungjawab.

“Saya mengakui terdapat perubahan dalam perkhidmatan yang ditawarkan tetapi tidak banyak dan kurang memuaskan, banyak lagi perlu dibaiki terutama berkaitan khidmat pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mengantikan Setiusaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah di Perhimpunan Bulanan Warga Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Anugerah Khidmat Cemerlang bagi tempoh bulan iaitu Julai, Ogos dan September disampaikan Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar, Datuk Wan Ahamad Wan Muda kepada penjawat awam terpilih.



Dato’ Razak turut memberitahu, slogan seperti Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunann serta Terengganu Ke Arah Globalisasi yang disuarakan pemimpin sewajarnya dilaksanakan dan tidak guna hanya mendengar atau menghayati sahaja.

“Sekiranya ingin maju dan mengubah imej perkhidmatan kerajaan, pelbagai pihak perlu memainkan peranan terutama pegawai atasan dan ketua jabatan di setiap unit.

“Mereka perlu sentiasa membuat pemantauan terhadap kakitangan bawahan di samping membaiki kelemahan diri supaya tidak di pandang remeh, jika ketua melakukan kesilapan dan tidak berdisplin, cukup sukar untuk menegur kakitangan lain terutama berkaitan kedatangan harian, tepati masa dan cara berkomunikasi,” katanya.


TEGANUKITA

KBS Cadang Kekal Piala Monsun

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang untuk mengekalkan penganjuran Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun selepas kontrak penganjurannya tamat pada 2012 nanti.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata pihaknya akan memaklumkan keputusan sama ada kejohanan itu diteruskan selepas 2012 nanti atau sebaliknya selepas perkara itu selesai dibentangkan di kabinet dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, sehingga kini KBS berpuas hati dengan pendedahan dan pencapaian penganjuran sukan itu selain kemudahan prasarana yang lengkap dan mendapat sokongan padu kerajaan negeri.

"Kita akan kaji laporan penilaian tentang penganjuran kejohanan termasuk dari sudut pulangan pelaburan dan pendedahan sukan ini kepada rakyat dan laporan ini kita bentangkan kepada Kabinet untuk diputuskan nanti,” kata beliau dalam sidang media selepas menyertai kejohanan Piala Coronation di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, hari ini (30 November).

Kejohanan yang diadakan sempena kejohanan Piala Monsun 2010 berlangsung selama enam hari yang berakhir 5 Disember ini turut disertai oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said.

Dato’ Seri Ahmad Shabery berkata, walaupun menerima cadangan untuk menukar lokasi kejohanan daripada Pulau Duyong ke Pulau Langkawi atau Putrajaya namun kementerian berpendapat lokasi yang sedia ada, adalah yang terbaik untuk kejohanan sukan itu.

Beliau berkata, penganjuran Piala Monsun di Pulau Duyong pernah menerima pengiktirafan daripada badan pelayaran antarabangsa, World Match Racing Tour (WMRT) apabila memenangi anugerah Pengurusan Terbaik pada tahun lalu.

Sementara itu, Dato’ Seri Ahmad berkata kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan dan kerjasama dalam memastikan Piala Monsun kekal diadakan di Terengganu.


"Selama ini kita telah mengeluarkan peruntukan yang besar bagi menjayakan kejohanan ini untuk memastikan kejayaan Terengganu menjadi antara penganjur yang terbaik,” kata beliau.

Malah, kerajaan negeri bersedia untuk menaikkan nilai hadiah pada kejohanan akan datang dan membincang mengenainya dengan pihak penganjur.

TEGANUKITA

PMINT Lancarkan Usaha Wujud Pulau Bebas Cukai

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kerajaan negeri berharap usaha mewujudkan kawasan bebas cukai di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dapat berjalan lancar mengikut tempoh ditetapkan dengan bantuan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang seperti hartanah, pelancongan dan pertanian.

Menteri Besar , Dato’ Seri Ahmad Said, berkata peranan PMINT amat besar dalam pembangunan negeri dan perbadanan itu diharap mampu memainkan peranan penting bagi membantu kerajaan memajukan tasik buatan manusia yang menjadi destinasi pelancongan terkemuka negara itu.

"Kerajaan negeri percaya PMINT boleh membantu mempercepatkan pembangunan di kawasan berkenaan termasuk mewujudkan rangkaian hotel dan lot-lot perkedaian," katanya selepas merasmikan majlis makan malam PMINT dan menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 20 kakitangan perbadanan itu, di Taman Tamadun islam, Kuala Terengganu, semalam (29 November).

Dato’ Seri Ahmad yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PMINT berkata tempoh untuk memajukan kawasan bebas cukai itu agak singkat iaitu 18 bulan hingga dua tahun.

"Terserah kepada PMINT untuk memajukan kawasan berkenaan sama ada dia hendak mendirikan hotel atau rangkaian perkedaian secara sendiri atau kerjasama dengan pelabur dari luar," katanya.

Sementara itu, di majlis yang sama turut diadakan penyampaian Sijil Amalan Persekitaran Berkualiti 5S oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) kepada PMINT di mana PMINT telah berjaya mendapat kan persijilan ini di dalam tempoh masa hanya empat bulan.

Ini merupakan hasil daripada kerjasama yang erat dan komitmen antara kakitangan PMINT bersama-sama dengan pengurusan yang bekerja keras sepanjang tempoh berkenaan.


TEGANUKITA