Halaman

30 January 2010

UMT Kerjasama Lebih 20 Universiti Dunia

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengadakan kerjasama dengan lebih 20 institusi pengajian tinggi di seluruh dunia bagi meningkatkan lagi mutu pembelajaran di pusat pengajian itu.


Pertukaran MoU antara UMT dengan Universiti Kasetsart di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Antara university berkenaan termasuklah Universiti Bergen, Norway; Universiti Carolina and East Carolina ( USA); Universiti James Cook ( Australia); Institut Alfred Wagener (Polar and Marine Research in Germany); Universiti Selatan Brittany, Perancis ; Universiti Newcastle (United Kingdom); University Selatan Brittany, Perancis; Universiti Newcastle (UK); Universiti Kagoshima (Jepun); Universiti Air Langga dan Universiti Bung Hatta, Indonesia.

Naib Canselor UMT, Prof Dr Aziz Deraman, berkata antara kerjasama yang dilakukan antara pihaknya dengan universiti berkenaan ialah kajian, pertukaran ilmu pengetahuan dan program pertukaran pelajar.

“Pada masa ini, UMT mengadakan pertukaran pelajar dari China, Indonesia dan Thailand yang mengikuti pelbagai bidang pengajian di UMT,” katanya ketika majlis menandatangi MoU antara UMT dengan Fakulti Perikanan Universiti Kasetsart, di Pusat Konvensyen,

Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam (27 Januari).
Hadir sama, Prof Dr Suriyan Tunkijjanukij, Prof Dr Uthairat Na-Nakorn dan Prof Dr Methee Kaewnern serta delegasi Universiti Kasetsart.

UKOM


Kerajaaan Tambah Sekolah Elit dan Primier

Oleh : Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Kerajaan Terengganu sedang mengenalpasti sekolah-sekolah Menengah Bantuan Penuh Kerajaan di negeri ini yang sesuai untuk dijadikan Sekolah Elit dan Premier bagi menempatkan pelajar cemerlang.

Menteri Besar Dato’ Haji Ahmad bin Said, berkata bilangan murid sekolah rendah di negeri ini yang mendapat 5A semakin bertambah, tetapi tempat yang ditawarkan untuk mereka ke sekolah berasrama penuh (SBP) agak terhad.

Justeru itu, katanya, mereka mendapat tempat ke SBP, Sekolah Imtiaz, Sekolah Elit atau Premier yang sedia ada akan ditempatkan di sekolah Elit dan Premier yang bakal diwujudkan tidak lama lagi.

“Tahun ini 3,664 orang murid sekolah rendah di Terengganu mendapat 5A tetapi tidak semua ditawarkan melanjutkan pelajaran ke sekolah-sekolah berasrama penuh,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Juara Rakyat Peringkat Parlimen Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman pada hari ini. (30 Januari).

Dato’ Ahmad berkata, Kerajaan Negeri akan menambah nilai kemudahan sekolah-sekolah berasrama penuh kerajaan yang sesuai untuk dijadikan sekolah Elit dan Premier dan mereka yang mendapat 5A akan ditempatkan di sekolah berkenaan.

TEGANUKITA


28 January 2010

Tiga Juara Dunia Sukan Kraft Air Sertai Terengganu World Jetrace Challenge

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Buat pertama kalinya, tiga juara dunia sukan Kraft Air (lebih dikenali sebagai jet ski) akan menyertai kejohanan Terengganu World Jetrace Challenge 2010 yang julung kalinya dianjurkan di Pulau Duyong, Kuala Terengganu dari 4 hingga 6 Februari ini.

Penganjur bersama kejohanan itu, Raja Putra Shah Raja Shahar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tropical Marine Resources berkata tiga juara dunia itu ialah Amy Green yang merupakan juara dunia tiga kali dan juara 11 kali kejohanan Kebangsaan Amerika Syarikat, Chris Fish Fischetti yang pernah menjadi juara dunia tiga kali dan juara British Seth Wilkinson.

"Walaupun kejohanan The King Cup di Thailand telah diadakan sejak 14 tahun lepas, namun kejohanan itu jarang menarik penyertaan daripada juara dunia. Tetapi di Terengganu kita akan menyaksikan aksi tiga juara dunia bertanding," katanya kepada Bernama pada Rabu.

Raja Putra Shah berkata Malaysia merupakan negara kedua di rantau ini selepas Thailand yang menganjurkan kejohanan kraft air dunia.

Katanya penganjur mensasarkan kira-kira 100 peserta terdiri daripada 60 peserta tempatan dan selainnya dari luar negara seperti dari Thailand, Serbia, Brunei, Indonesia dan United Kingdom.

Menurutnya kejohanan ini adalah yang pertama dianjurkan di Malaysia walaupun sukan itu amat popular sebagai aktiviti rekreasi air di negara ini.

Katanya untuk memastikan kejohanan itu dianjurkan secara sah, beliau telah menubuhkan Kelab Sukan Kraft Air dua bulan lepas dan telah mendapat kelulusan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

"Persatuan induk antarabangsa untuk sukan ini ialah International Jet Sports Boating Association (IJSBA) yang turut mengiktiraf kejohanan ini. Sebab itu tiga juara dunia akan bertanding di Terengganu," katanya.

Kejohanan tiga hari itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM87,500 yang mempertandingkan 10 kategori untuk pelumba profesional, rookie dan pelumba selebriti.

Raja Putra Shah berkata kejohanan itu akan diadakan di kawasan trek air sejauh 1.15km di perairan Pulau Duyong dengan tiga tahap kesukaran iaitu watercross, closed course dan kraft air individu (PWC).

Menurutnya kos minimum kraft air yang standard di pasaran berharga RM60,000 dan kos tambahan untuk mengubahsuai jentera itu untuk tujuan perlumbaan boleh mencapai RM40,000.

-- BERNAMA

Tesdec Ambil Alih Kursus YT

Oleh : AIDA ABD RAHMAN



Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) bercadang mengambil alih semua kursus Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) yang diuruskan oleh Yayasan Terengganu (YT) berikutan pusat kemahiran itu mampu menyediakan tenaga pengajar yang pakar dan pemantauan yang lebih baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains,Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata Tesdec akan mengambil tanggungjawab memantau perjalanan kursus berkenaan sepenuhnya sementara peruntukan sepenuhnya di bawah YT.

“Kita melihatkan kursus-kursus MLVK di bawah YT kurang dari segi pemantauan kerana kekurangan kepakaran, kebetulan Tesdec ada kepakaran kerana kita ada tenaga pengajar yang pengalaman maka amat sesuai kalau kursus MLVK yang dijalankan oleh pengusaha seperti pusat kemahiran di Terengganu dapat diserahkan kepada Tesdec kerana dapat buat pemantauan.

“Apa yang mustahak, selain dapat melatih mereka, kita juga dapat memberi peluang pekerjaan. Itu satu lagi objektif dan matlamat kerajaan negeri bukan sahaja beri latihan tetapi juga menyediakan peluang pekerjaan,” katanya ketika sidang akhbar di Majlis Mesra Media-Tesdec, di Restoran Verandah, Riyaz Heritage Marina Resort & Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, kelmarin (25 Januari).

Kursus berkenaan merangkumi kursus kemahiran tinggi seperti Ujian Tanpa Musnah (NDT), kursus asas biasa seperti jurusolek, gunting rambut dan kecantikan, selain kursus Sijil Kemahiran Malaysia tahap satu dan dua di bawah latihan vokasional.
Katanya, kursus yang dibiayai sepenuhnya oleh YT itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Dalam pada itu, Haji Ahmad Razif yang juga pengerusi Tesdec mahu memastikan pusat latihan kemahiran yang diwujudkan kerajaan untuk belia Terengganu bagi mengintegrasikan ilmu dan kemahiran serta merealisasikan hasrat melahirkan modal insan yang berkualiti.

Katanya, Tesdec yang ditubuhkan sejak 1996 telah melahirkan 25,000 pelatih memberi peluang kepada pelajar menyambung pengajian dalam bidang latihan akademik dan bukan akademik terutama golongan yang kurang cemerlang dan kurang berminat untuk meneruskan dalam pendidikan.

“Hari ini, kita lihat peluang mereka yang menyambung dan memilih latihan kemahiran boleh hidup lebih baik dan mempunyai pekerjaan yang bagus daripada mereka yang berkelulusan bidang akademik,”katanya.

Pada masa yang sama, katanya Tesdec tidak pernah bercadang untuk menutup peluang kepada pelajar yang kurang cemerlang dalam pendidikan untuk menyambung pengajian dalam kursus tertentu walaupun Tesdec berhasrat menaiktaraf sebahagian kursus yang ditawarkan di pusat kemahiran itu.

“Kemungkinan selepas ini kita buka peluang untuk mengadakan tuning program di mana diploma kita boeh juga diambung di peringkat iazah tetapi menggunakan initusi yang berlainan kerana tak boleh ditawarkan di tempat kita kerana akan timbul konflik pada masyarakat apakah yang mahu difokuskan oleh Tesdec,”katanya.

TEGANUKITA

27 January 2010

Pandangan Pakar Rujuk Kes Hairuddin

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Ahmad Said bersama menegur adik Hairuddin Hassan berusia 22 bulan yang mengalami penyakit jantung berlubang,rosak hati, usus diluar,tiada lubang dubur dan pengalami penyakit simdrondown ketika melawatnya di Lorong Masjid Pak Madah, Marang. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kanak-kanak mengidap ketidaknormalan genetik, Hairuddin Hassan berusia 22 bulan yang dikesan mengidap jantung berlubang perlu mencari alternatif lain merawat penyakitnya itu berikutan berdepan dengan risiko koma berbulan lamanya jika menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said yang meninjau kanak-kanak malang itu di rumahnya di Kampung Pak Madah, Bukit Payong akan mendapatkan pandangan ketiga atau seterusnya daripada pakar perubatan lain berhubung rawatan perlu bagi merawat pesakit itu.

“Saya akan dapatkan laporan doktor untuk dapatkan pandangan ketiga atau keempat apa yang boleh kita lakukan. Kalau keadaan biasa kita boleh hantar untuk lakukan pembedahan jantung berlubang ini, tetapi oleh kerana masalah lain ia menjadi rumit... doktor juga kata sangat rumit. Sama ada doktor mampu bedah atau tidak. Selain harus tanggung risiko yang tinggi.

“Kalau boleh buat kita akan hantar. Kalau tanggung risiko kita akan biarkan terlebih dahulu. Kita tengok sejauh mana kerana Hairuddin mengalami pelbagai masalah .. jantung, usus,paru-paru dan juga down sindrown..banyak penyakit ada pada dia seorang,” kata beliau di Kampung Pak Madah, Bukit Payong, petang semalam (26 Januari).

Dalam pada itu, kerajaan negeri menghulurkan bantuan kewangan kepada keluarga kanak-kanak itu, selain akan membiayai pembelian beg najis untuk kegunaan pesakit yang dibekalkan setiap enam bulan sekali.

Katanya, kos menyediakan beg najis itu agak tinggi dan membebankan keluarga pesakit menyebabkan kerajaan negeri mengambil keputusan membekalkan alat itu berdasarkan keperluan dan kesesuaian pesakit.

Dalam kunjungan itu, Dato’ Ahmad melahirkan rasa terharu dengan nasib yang menimpa keluarga itu dan mengharapkan mereka bersabar dengan dugaan tuhan. Bagaimanapun, beliau menyifatkan kanak-kanak itu masih bertuah kerana mampu aktif dan bergerak cergas.

Sementara bapa Hairuddin, Hassan Awang, 45, yang bekerja sebagai pemandu lori di syarikat swasta di Kuala Terengganu bersyukur dengan kesanggupan kerajaan negeri meringankan bebanan keluarganya serta mencari pendekatan yang perlu untuk merawat penyakit yang dideritai anaknya sejak lahir itu.

“Saya rasa sedap hati dan lega dengan apa yang Menteri Besar cakap tadi..nak bantu anak saya dan saya yakin kesihatan serta masa depan anak bongsu saya ini akan lebih baik selepas ini..Rasa lega sangatlah” katanya yang mengakui terpaksa berulang-alik dari Kuala Terengganu ke Kuantan dua bulan sekali bagi merujuk pakar perubatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan .

Menurutnya, usaha kerajaan negeri mendapatkan pandangan daripada pakar perubatan juga suatu yang amat menggembirakan dia dan isteri, Ruhani Sulaiman, 40, berikutan pakar perubatan sebelum ini (IJN) sudah memaklumkan pembedahan jantung tidak mampu dilakukan berikutan risiko tinggi yang harus ditanggung akibat pembedahan itu kelak.


Hassan Awang dan isterinya, Ruhani Sulaiman, memeriksa alat pada perut adik Hairuddin yang mengalami usus di luar dan tiada lubang dubur malah pengalami penyakit jantung berlubang, rosak hati dan simdrondown.

Katanya, faktor pelbagai penyakit yang dihidapi Hairuddin menyukarkan pembedahan jantung dijalankan. Malah, anaknya kemungkinan koma dalam tempoh yang lama jika pembedahan itu dibuat.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berdepan dengan masalah usus dan tiada lubang dubur, selain pernah menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur tahun lalu bagi menebuk lubang najis pada bahagian perutnya yang perlu ditampal beg najis. Selain jantung berlubang, Hairuddin yang mengalami down sindrown juga berdepan dengan saluran paru-paru bocor.

TEGANUKITA

MB Lawat Pesakit Hydracephalus

Oleh : Kamarudin Mat Akib /Zulkipli bin CW. Putera


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said menyampaikan sumbangan kepada keluarga kanak-kanak menghidap penyakit Hydracephalus di Jalan Panji Alam, Kuala Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, meluangkan masa hampir sejam melawat adik Khaulah Al-Azwar Amrun, yang berusia tiga bulan dan menghidap penyakit Hydracephalus (air dalam otak), di rumah keluarganya petang semalam (25 Januari).

Pemimpin masyarakat di kawasan itu, termasuk Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Dato’ Che Mat Jusoh; Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Badrulhisham Zaki dan Naib Ketua Umno Bahagian, Dato’ Wan Hisham Salleh, turut berada di rumah keluarga pesakit di Jalan Panji Alam.

Kerajaan negeri akan membantu keluarga pesakit menyediakan keperluan pesakit, termasuk keewangan bagi mendapatkan rawatan di HKL.



Ibu bapa pesakit, Siti Norhayati Ahmad Hambadley dan Amrun Mamat memberi penerangan kepada Dato Ahmad mengenai keadaan anak mereka yang menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), bulan lepas.

Menteri Besar memberi jaminan kerajaan negeri akan membantu menyediakan keperluan pesakit, termasuk kewangan bagi membolehkan dia dan keluarga berulang-alik ke HKL bagi mendapat rawatan lanjut.

Dato’ Ahmad turut menghulurkan sumbangan peribadi bagi membantu meringankan beban pesakit.

TEGANUKITA

MB Lawat Padang Sasar

Oleh : Zulkipli bin CW. Putera


Dato' Ahmad melihat pelan pembinaan Padang Sasar Gong Badak ketika meninjau secara lebih dekat masalah banjir kilat yang dikatkan sering berlaku di kawasan itu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said mengadakan lawatan mengejut di Padang Sasar Gong Badak, hari ini (26 Januari) bagi meninjau secara lebih dekat masalah banjir kilat yang dikatakan sering berlaku di kawasan itu.



Perparitan di kawasan Padang Sasar Gong Badak akan dinaik taraf.

Beberapa pegawai kanan kerajaan, termasuk Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Dato’ Haji Mat Razali Kassim dan pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) , turut menyertai rombongan tersebut.


Menteri Besar dan rombongan turut meninjau hakisan di Pantai Tok Jembal.

Sempena lawatan itu juga Menteri Besar dan rombongan turut meninjau kesan hakisan ombak di kawasan pantai Tok Jembal.

TEGANUKITA

26 January 2010

Bubur Asyura Eratkan Silatulrahim

Oleh: Esah Abdullah



Semangat bergotong royong yang menjadi amalan masyarakat kampong terus disuburkan dengan pelbagai aktiviti yang membabitkan penduduk setempat dan ianya lebih meriah apabila tiba bulan Muharam atau bulan asyura.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memain peranan untuk mengatur program mengacau bubur asyura seperti apa yang dilakukan JKKK Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, baru-baru ini.

Sebanyak enam kawah bubur dimasak secara bergotong royong yang membabitkan JKKK, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Belia 4B, Cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO.
Program yang berlangsung di perkarangan bangunan KRT Bukit Wan turut dihadiri
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat.

YB Haji Khazan yang turut mengambil bahagian mengacau bubur asyura kemudiannya menikmati jamuan makan tengahari dengan lauk selera kampong seperti ikan singang sambal belacan, ikan panggang dan ulam-ulaman.

“Saya akan memberi lebih banyak masa untuk bertemu dengan penduduk kampong dalam keadaan santai begini disamping mengunjungi wagra emas yang uzur dari masa kesemasa,” katanya ketika ditemui TeganuKita selepas berkunjung kerumah warga emas Awang Said di kampong berkenaan.

Sebanyak 150 paket bubur asyura telah diagihkan kepada semua penduduk dalam Kampong Bukit Wan yang sekaligus dapat bersama merasai dan mengeratkan ikatan silatulrahim antara satu sama lain.

TEGANUKITA

Mohd Khaidill Kembali Aktif

Oleh : Aida Abd Rahman



Mohd Khaidill kini semakin pulih dan kembali aktif seperti biasa. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Mohd Khaidill Sharifudin 3 tahun dari Kampung Lubuk Kesung, Kemaman, yang masih menjalani rawatan susulan selepas pembedahan jantung di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur 20 Januari lalu dilaporkan sudah pulih dan kembali aktif seperti biasa.

Berita gembira berkenaan dimaklumkan oleh bapa kanak-kanak itu melalui panggilan telefon kepada wakil UKOM yang turut serta mengiringi mereka ketika menjalani pembedahan tempoh hari.

Menurut Sharifudin, Khaidill mula bangun dan berjalan pada jam 10.30 pagi ini, selain aktif bermain dengan permainan helikopter kegemarannya tanpa menunjukkan kesan sampingan akibat pembedahan.


Dato' Ahmad ditemani Dr David melawat adik Mohd Khaidill di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, selepas pembedahan.

“Insyaallah, kami akan dapat pulang dalam tempoh terdekat jika pemeriksaan terakhir melalui imbasan 2D Ecocardiogram oleh pakar perubatan di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur menunjukkan tanda positif,” katanya dalam nada ceria.

Pembedahan ke atas Khaidill yang ditanggung Kerajaan Terengganu berjalan dengan selamat dan lancar.


Isteri Menteri Besar, To' Puan Norliza turut melawat adik Mohd Khaidill.

Khaidill sebelum ini dilaporkan berdepan dengan masalah jantung berlubang dan ruang injap pembuluh darah ke paru-paru yang sempit menjalani pembedahan penutupan lubang dan pembesaran ukuran pada otot jantung serentak bagi memastikan paras oksigen dalam aliran darah yang normal.

TEGANUKITA

25 January 2010

RM13 Juta Bina T-Hotel

Oleh: Esah Abdullah

Sebuah hotel berharga RM13 juta dikenali sebagai T-Hotel bertaraf tiga bintang akan dibangunkan berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, tidak lama lagi.

Pembinaan hotel empat tingkat yang mempunyai 70 bilik turut menempatkan T-Kafe di tingkat bawah yang menawarkan pelbagai makanan tradisional seperti keropok lekor dan pisang goreng, akan siap akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohammed Awang Tera berkata, setakat ini kerajaan negeri telah melantik konsultan bagi tujuan kerja-kerja pembinaan.

“T-Hotel usahasama kerajaan negeri dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan memberi peluang kepada usahawan tempatan mengurus dan kini sedang mengenal pasti mereka yang layak menerajui perhotelan ini nanti,” katanya kepada pemberita di majlis Pelancaran Gegar 5S dan Gotong Royong di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) hari ini (25 Januari).

Turut hadir, Pengurus Besar YPU, Haji Azmi Razik dan timbalannya Haji Abdul Razak Sulaiman serta semua warga kerja YPU pelbagai peringkat.

Dato’ Muhammed berkata, tahun ini YPU akan membuka 20 cawangan T-Shope membabitkan negeri-negeri di luar Terengganu disamping menambah bilangan kepada 10 di seluruh negeri.

“Kita juga menyasarkan 350 usahawan tulin dapat dilahirkan dengan berbekalkan kemahiran, kecekalan dan kesungguhan untuk membangunkan perniagaan masing,” katanya.

Mengenai pelancaran Gegar 5S (sisih,susun,simpan, sapu, sentiasa amal (sokmo) yang mula dilaksanakan di YPU, Dato’ Muhammed melahirkan keyakinan YPU mampu mewujudkan budaya korporat yang standing dengan syarikat gergasi lain.

TEGANUKITA