Halaman

Showing posts with label Dana Penyelenggaraan Agama. Show all posts
Showing posts with label Dana Penyelenggaraan Agama. Show all posts

13 December 2010

SIDANG DEWAN UNDANGAN NEGERI (HARI KEDUA)

Laporan Oleh: Esah Abdullah dan Suriati Ali


Adun BN berkumpul di lobi ketika sesi rehat Sidang Dewan DUN sambil berbincang sesuatu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

RM5.012 juta Kutip Hasil

Kerajaan negeri telah mengutip hasil sebanyak RM5.012 juta membabitkan 230 lesen daripada aktiviti pengambilan pasir di negeri ini dalam tempoh tiga tahun bermula 2007.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dan tambahan yang dikemukakan Mohd Abdul Wahid Endut (Adun Wakaf Mempelam-Pas), pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu (semalam).

“Sebanyak 43 lesen mengorek pasir dikeluarkan di Kuala Terengganu sepanjang tiga tahun itu dengan nilai hasil lebih RM1.45 juta. “Bagi daerah Kemaman, sebanyak 28 lesen dikeluarkan dengan nilai hasil lebih RM233,000 sepanjang tempoh sama; 29 lesen dengan nilai hasil RM896,00 (Dungun); 14 lesen dan nilai hasil RM230,00 (Besut); 69 lesen dengan nilai hasil RM1.47 juta (Hulu Terengganu); 47 lesen dan nilai hasil RM209,00 (Setiu),” katanya.

Daripada jumlah itu, sebanyak 67 lesen dikeluarkan pada 2007; 80 lesen dikeluarkan pada 2008 dan 81 lesen dikelaurkan sepanjang tahun lalu. Encik Mohamed berkata, peihak mengaku berlaku pelanggaran syarat lesen dan kecurian pasir, namun hanya mencatatkan kes yang kecil.

“Bagi megelak perkara yang buruk seperti di Selangor, kita telah menubuhkan satu pasukan pemantau bertujuan memantau segala aktiviti pengambilan pasir secara haram di negeri ini.

“Badan pemantau ini diketuai Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Setikar (JAS) dan pentadbir tanah di setiap daerah,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan lesen kerana berdasarkan rekod yang dikeluarkan pada setiap tahun, ia mencatatkan tidak 100 lesen dan ia akan dinilai semula setiap dua tahun dari segi keberkesanannya.

Perlu Tambah Elaun Bilal

Kerajaan negeri perlu mempertimbangkan untuk menambah elaun kepada bilal di 500 masjid seluruh negeri ini, selepas imam mendapat kenaikan elaun seperti diumumkan kerajaan pusat baru-baru ini.

Muhammad Ramli Nuh (Adun BN-Tepuh) yang juga Timbalan pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, berkata ketika ini imam mendapat elaun RM750 daripada Kerajaan Pusat dan kerajaan turut memberi elaun sebanyak RM200 sebulan menjadikan elaun keseluruhan berjumlah RM950.

“Kerajaan negeri wajar menambahkan elaun untuk bilal sebanyak RM300 lagi sebagai tambahan kepada RM450 yang diterima daripada kerajaan pusat sekarang.

“Pertambahan elaun untuk bilal ini tidak akan menyebabkan kesan kewangan terlalu besar kepada kerajaan negeri kerana dijangka membabitkan tambahan peruntukan sebanyak RM450,000 sebulan atau RM5 juta setahun,” katanya.

Encik Muhammad Ramli turut memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa sebuah loji baru perlu dibina segera bagi menampung peningkatan penduduk terutama dibahagian utara daerah itu, yang menyaksikan pertumbuhan pesat menerusi penubuhan universiti, perumahan dan pelbagai kemudahan lain termasuk sebuah kem tentera.

“Pembinan loji air baru yang dicadangkan di kawasan Manir itu, mampu mengatasi masalah tekanan air yang rendah dan terputus bekalan berikutan loji sedia ada sudah tidak mampu menampung keperluan yang semakin mendesak.

“Masalah terputus bekalan air sering berlaku, malah gangguan ini dialami sendiri anggota bomba yang ingin memadam kebakaran di premis perniagaan pada minggu lalu,” katanya ketika membahaskan Bajet 2011.

Wujud Dana Penyelenggaraan Agama

Kerajaan negeri disaran mewujudkan dana penyelenggaraan agama yang boleh dibelanjakan khusus untuk masjid dan kubur kerana masyarakat Islam begitu sensitif bila masalah berkaitan dua institusi berkenaan lambat mendapat maklum balas kerajaan.

“Saya harap ada peruntukan khusus untuk penyelenggaraan, supaya masyarakat di kampung-kampung tidak tertunggu-tunggu bila berlaku sebarang kerosakan rumah ibadat kerana peruntukan disediakan,” kata YB Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (BN-Air Putih) ketika membahaskan Bajet 2011, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) petang semalam.

Katanya, sebagai wakil rakyat beliau begitu rapat dengan masyarakat dan sentiasa berdepan dengan aduan kerosakan di masjid, surau dan tanah perkuburan yang perlukan peruntukan pemulihan segera.

YB Wan Abdul Hakim turut memuji sentuhan kerajaan mengenai Rancangan Tranformasi Kerajaan Pusat (GTP) yang kini diterjemahkan dalam perancangan negeri melalui enam sektor utama iaitu jenayah, kemiskinan, rasuah, infrastruktur pendalaman, pendidikan dan pengangkutan Bandar.

“Alhamdulillah, bajet yang dibentangkan hari ini memenuhi perancangan GTP dan sekurang-kurangnya empat komponen utama akan dilaksanakan,” katanya.

“Sudah sampai masanya, rakyat diberi keutamaan untuk memudah dan melancarkan mereka disaat berhadapan dengan kenaikan harga barang, minyak dan sebagainya,” katanya.

Katanya, semoga Allah SWT sentiasa memberkati dan merestui kita semua dan kerajaan yang meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalanya.

Tuntutan RM1 Billion

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Kerajaan Negeri sekarang (Kerajaan Barisan Nasional Terengganu) terpaksa menanggung beban akibat tuntutan saman daripada Syarikat Riyapadu berhubung kecuaian dan mungkir janji konsesi pembalakan di Tasik Kenyir pada semasa pemerintahan Pas di Terengganu.

“Jika tuntutan ini berjaya, mahu tidak mahu kita terpaksa bayar juga. Kita sangat keciwa dan dukacita kerana sepatutnya kes sebegini tidak sewajarnya berlaku,” kata Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said.

“Beliau mengulas isu tuntutan saman RM1 billion dikemukakan Riyapadu terhadap kerajaan negeri pimpinan Pas pada 12 Disember 2007 di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, berikutan kegagalan kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar ketika itu, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mematuhi perjanjian yang telah dimeterai.

Dalam writ saman yang difailkan syarikat itu, menyatakan pada 3 April 2003, pihaknya menandatangani perjanjian konsesi melalui tender mengambil hasil hutan di kawasan di Mukim Tembat dan Petuang, Hulu Terengganu (kononnya untuk Empangan Kedua).

Melalui perjanjian dengan kerajaan negeri (ketika itu di bawah Pas), Riyapadu diberi kebenaran mengambil kayu balak dan hasil hutan dan bersetuju membayar kerajaan negeri RM25 juta sebagai premium pembalakan.

Selepas itu, tiba-tiba konsesi itu ditamatkan dan kerajaan negeri waktu itu bertindak merampas kayu balak yang sudah ditebang dan dilelong kepada pihak lain.

Menurut Pengarah Riyapadu, Elly Azwin Datuk Abdul Hamid, Kerajaan Pas Terengganu pada masa itu bukan sahaja telah mungkir janji, malah juga melakukan pembohongan dan penyelewengan fakta.

Beliau mendakwa, penghakiman pada 27 Oktober 2010, mahkamah memerintahkan supaya defendan mengembalikan wang sebanyak RM25 juta yang telah dijelaskan oleh plantif (Riyapadu) padatahun 2003 kepada kerajaan negeri pimpinan Pas pada masa itu bagi bayaran premium konsesi balak.

“Lanjutan daripada penghargaan dan terima kasih terhadap keputusan mahkamah, Riyapadu juga meanjatkan rasa syukur kehadrat Allah SWT yang telah memamkbulkan doa kami selama tujuh tahun, termasuk yang dilafazkan di Masjid Nabawi dan Masjidilharam,” kata Elly Azwin dalam satu kenyataan akhbar.

Rata-rata masyarakat risau dengan tuntutan itu kerana ia adalah membabitkan wang rakyat akibat kecuaian, kelemahan pemerintahan kerajaan negeri semasa pemerintahan Pas.

TEGANUKITA