Halaman

07 June 2014

KEM PENGAKAP TERBAIK DI ASIA TENGGARA DISERAH KEPADA MAJLIS PENGAKAP


"Kem Pengakap Tengku Ismail di Seberang Takir merupakan kem pengakap serba lengkap dan terbaik di Asia Tenggara," kataKetua Pengakap Negara Datuk Seri Dr Shafie Mohd Salleh.

"Pelbagai bengkel pengakap di peringkat dunia dan antarabangsa akan diadakan di sini " katanya.

 Beliau menyeru semua pemimpin dan anggota pengakap di negara ini agar menggunakan peluang yang ada untuk menaikkan imej Malaysia di mata dunia.

"Oleh kerana ibu pejabat WOSM sudah berpindah dari Geneva ke Kuala Lumpur, maka sudah pasti akan banyaklah aktiviti pengakap di peringkat antarabangsa akan diadakan di Kem Tengku Muhammad Ismail ini.

Datuk Dr Shafie  berucap pada majlis penutup Jambori Pengakap Antarabangsa Terengganu 2014 di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin di sini semalam yang turut dihadiri oleh Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Terengganu (MPNT) Datuk Abdullah Taib dan Ketua Pesuruhjaya MPNT Che Soh Muda.


 Menteri Besar Dato’ Hj Ahmad Razif Abdul Rahman semasa merasmikan jambori baru-baru ini berkenaan bersetuju menyerahkan kem itu kepada MPNT.

"Harapan saya agar MPNT lebih aktif dan dapat mempelbagaikan program pengakap pada masa akan datang.

"Persekutuan Pengakap Malaysia juga akan menjadikan Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail ini sebagai salah satu destinasi pilihan untuk menjalankan program-program peringkat kebangsaan, Asia Pasifik dan peringkat antarabangsa," katanya  

Sementara itu Majlis Pengakap Negeri Terengganu berjanji akan memastikan kem itu diurus dengan sempurna oleh pihaknya.