Halaman

03 June 2014

JKR serah UniSZA Kampus Tembila, Besut kepada pentadbir universiti.

Serah...Wan Abdul Rahman (kanan) dan Yahya sedang menandatangi dokumen penyerahan bangunan Unisza Kampus Tembila, di kampus itu, semalam.
Oleh: Mohammad Ishak.

UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Tembila, Besut, memasuki fasa baru apabila pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mula menyerahkan kompleks berkenaan kepada pentadbiran Unisza semalam. 

Naib Canselor UniSZA, Professor Dr Yahya Ibrahim berkata apabila kelengkapan sepenuhnya siap semua pelajar jurusan diploma tidak akan lagi ditempatkan di Kampus Gong Badak , sebaliknya mereka akan dipindah ke Kampus Tembila di Besut yang mempunyai kemudahan asrama untuk 3,000 pelajar.

“Rancangan yang sedang dijalankan ini menunjukkan bahawa UniSZA sedang berkembang maju seiring dengan universiti-universiti lain di negara ini”, katanya ketika berucap di majlis Penyerahan Projek Bangunan UniSZA Kampus Tembila peringkat 3 di sini semalam.

Penyerahan itu telah dibuat antara Jabatan Kerja Raya Malaysia yang diwakili oleh Pengurus Pembinaan Kampus UniSZA Ir.Wan Abdul Rahman Wan Hassan manakala UniSZA diwakili oleh Yahya Ibrahim sendiri. Turut hadir menyaksikan penyerahan itu ialah Arkitek Kanan JKR Cawangan Pendidikan dan Pengajian Tinggi Hanafi Hamdan.

Yahya berkata, UniSZA Kampus Tembila akan dijadikan sebagai kampus pusat kajian (research base) untuk beberapa jurusan termasuk bidang pertanian, informatik dan perkomputeran serta kejuruteraan.

“Satu lagi bidang yang akan turut dibangunkan melalui pusat kajian di Kampus Tembila itu ialah bidang Biomedic”, katanya.

Beliau berkata, sebagai usaha perkembangan, UniSZA dijangka akan mempunyai seramai 15,000 pelajar yang belajar di kampus induk Gong Badak dan Kampus Tembila menjelang tahun 2020 membabitkan pelajar dalam peringkat diploma,ijazah.

Sarjana dan kedoktoran nanti dari dalam dan luar negara. Katanya, beberapa lagi bidang baharu sedang dikenalpasti untuk dimulakan di UniSZA tidak lama lagi yang termasuk bidang telekomunikasi, robotik , rekabentuk yang turut memperkenalkan bidang perfileman dan reka fesyen mengikut kehendak pasaran semasa.

Sementara itu penyerahan UniSZA kampus Tembila peringkat ketiga itu membabitkan perbelanjaan RM225.13 juta yang mana pembinannya bermula sejak Ogos 2009.

Penyerahan itu membabitkan 21 blok bangunan Fakulti Pertanian, 9 blok bangunan fakulti Informatik yang mengandungi bilik-bilik kuliah, dewan syarahan , surau dan bilik-bilik pensyarah serta 126 buah bilik makmal,

Selain itu Fakulti Perkomputeraan pula mengandungi lima blok bngunan tiga tingkat termasuk satu kafeteria, dewan syarahan , makmal dan pejabat. Bangunan yang diserahkan itu juga selain mengandungi kemudahan enam buah lif, ia juga dilengkapi CCTV.