Halaman

07 June 2014

CUKAI PINTU SETIMPAL DENGAN PERKHIDMATAN DIBERIKAN.... PERPADUAN DIUTAMAKAN, LUPAKAN PERKARA PERTANDINGAN LALU , PERKUKUHKAN UMNO DAN BN UNTUK PRU 14 MERAMPAS KEMBALI KAWASAN YANG TEWAS



PENANGGUHAN kenaikan cukai pintu dibuat bagi memastikan penduduk mendapat perkhidmatan yang setimpal dengan cukai yang dibayar, kata Menteri Besar, Dato’ Hj Ahmad Razif Abdul Rahman.
Katanya, selagi penduduk didapati tidak mendapat perkhidmatan yang setimpal dari pihak berkuasa tempatan, selagi itu kenaikan cukai pintu ditangguhkan sehinggalah apabila perkhidmatan baik yang dapat diberikan kepada pendudukan dalam kawasan perbandaran atau bandaraya.
“Rakyat tidak perlu risau kerana kerajaan negeri akan membuat keputusan dengan mengambil kira kebajikan rakyat serta melihat kewajaran untuk menaikkan kadar cukai pintu ini,” katanya.
Beliau hairan kenapa pembangkang berarak membuat bantahan kenaikan sedangkan beliau telah mengumumkan penangguhan.
“Apabila pegawai saya bertanya kepada mereka berkaitan ini, mereka kata saja datang hendak kenal Menteri Besar baru” kata Dato’ Hj Ahmad Razif.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Kesyukuran dan Solat Hajat Umno Bahagian Kuala Nerus di bangunan Umno berkenaan di Pekan Batu Enam, Kuala Terengganu.
Ketua Penerangan Umno Bahagian Kuala Nerus merangkap Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar, Ustaz Rusdi Muda mengetuai solat hajat dan tahlil.
Seramai kira-kira 500 orang hadir di majlis itu yang turut dihadiri oleh Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus merangkap Timbalan Ketua Umno Bahagian berkenaan, Dato’ Basir Ismail. Dato’ Hj Ahmad Razif adalah Ketua Umno Bahagian tersebut.
 Dato’ Hj Ahmad Razif  sebelum iniberkata, pihaknya sedang memperhalusi dan menyemak semula cukai pintu itu selain membuat kajian berasas kepada beberapa pilihan.
“Kita dapati banyak kesilapan pemahaman berkaitan isu cukai pintu ini. Sebenarnya, dari segi tarif atau kadar peratusnya tidak naik tetapi tetap kekal sebagaimana tahun 1981.
“Cuma penilaian sahaja akan disemak semula berdasarkan penilaian semasa supaya ia bersesuaian dengan keadaan sekarang,” ujarnya.
Menyentuh tentang lawatan beliau ke daerah-daerah, Menteri Besar terlebih dahulu memberi peluang dalam tempoh tiga bulan bagi Majlis Perundingan Daerah untuk menyediakan plan aspirasi rakyat di daerah masing-masing untuk disampaikan kepadanya dan juga Pusat Transformasi Rakyat (Putra) di Pejabat Menteri Besar.
“Apa yang penting setiap pembangunan mestiah memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat,” katanya.
Beliau meminta supaya segala perkara-perkara yang telah berlalu sebelum ini dibiarkan berlalu dan menekankan supaya perpaduan dijadikan asas utama dalam perjuangan Umno, termasuklah di Bahagian tersebut.
“Kemenangan besar BN pada 2014 adalah hasil dari perpaduan jitu di semua peringkat dan marilah kita ulangi perpaduan yang kental itu bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke 14 dan saya kebetulan adalah Menteri Besar Terengganui ke 14,” katanya.
Katanya, hanya dengan senjata ‘perpaduanlah’ kita boleh mendapat kemenangan yang besar di mana sasarannya dalam PRU 14 ialah mengambil balik semula kawasan-kawasan yang kalah di Parlimen Kuala Nerus, Dewan Undangan Negeri (Dun) Tepoh, Bukit Tunggal dan Telok Pasu kerana setimpal dengan kedudukan Kuala Nerus sebagai kawasan Menteri Besar.
“Walaupun saya baru 24 hari menjadi Menteri Besar, tetapi terasa bagaikan tiga bulan dengan kesibukan, kesuntukan masa dan berkejar ke sana dan ke mari,” katanya.
Sambil bergurau beliau berkata, “sehinggakan ada yang mencadangkan saya memakai ‘pampers’ kerana tidak sempat untuk ke bilik air” .
Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian merangkap Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Basir Ismail melahirkan ucapan penghargaan kepada Menteri Besar baru itu yang telah membuat dua keputusan besar iaitu pertama mengembalikan peruntukan pembangunan di kawasan yang BN tewas dan keduanya menangguhkan kenaikan cukai pintu.
“Sebenarnya itulah yang dihasratkan oleh penduduk dan penyokong Umno yang banyak dilahirkan hasrat itu melalui usul-usul dalam mesyuarat agung Umno cawangan baru-baru ini,” katanya.
Selain itu, beliau menyampaikan hasrat pemuda supaya Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada pembinaan dan pemilikan rumah-rumah mampu milik untuk generasi muda yang baru berumah-tangga kerana itu adalah suatu keperluan asas bagi mereka.
“Apa pun pembangunan yang hendak dijalankan, kekuatan orang Melayu perlu dipertahankan supaya tidak sampai dipinggirkan” kata Dato’ Basir ketika membuat ucapan alu-aluan di majis tersebut.