Halaman

11 May 2014

Penambahbaikan demi kejayaan parti : Din Adam

Oleh: Aida Abd Rahman

"Perteguhkan roh perjuangan parti di semua peringkat seluruh Terengganu kerana masih belum terlambat untuk melakukan penambaikan dalam parti demi kejayaan pada pilihan raya akan datang. "

Demikian ulasan Ketua Bahagian Umno Dungun, Datuk Din Adam kepada Teganukita sempena ulang tahun Umno ke-68, hari ini.

"Kita semua harus bersedia melakukan pembaharuan, memuhasabah diri dan melakukan penambahbaikan bagi memastikan Umno lebih kuat dan padu di mana hasilnya dapat dilihat pada pilihan raya akan datang.

"Biar parti yang menjadi tunjang bangsa Melayu ini terus kukuh dan subur di kalangan bangsa dan agama kita, malah ia juga menjadi sumber kekuatan bagi mendepani cabaran masa depan yang lebih terarah dan gemilang. Pada masa yang sama kita tidak meminggirkan bangsa lain dalam rumpun kemajmukan kaum di negara kita,” katanya.

Beliau menyifatkan Umno satu parti keramat yang perlu bersifat lebih terbuka, demokratik dan mendengar suara akar umbi supaya usaha memperkasakan parti mampu direalisasikan tanpa meminggirkan mana-mana pihak dalam setiap gagasan dan perancangan.

Katanya, setiap kepimpinan dan juga ahli Umno harus memiliki jati diri dan matlamat yang jelas dalam perjuangan masing-masing demi memartabatkan parti.

“Umno akan terus kekal relevan dan sentiasa memenuhi aspirasi rakyat sepanjang zaman. Parti sejagat ini sudah terbukti melakukan banyak transformasi di peringkat Pusat sejajar dengan peredaran semasa demi menjaga kepentingan rakyat khususnya kaum Melayu,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Din berkata, kesepakatan dan penyatuan amat penting di semua aspek dan peringkat demi melihat gerakan perjuangan parti itu terus memberi refleksi yang cemerlang dan unggul kepada kehidupan dan pembangunan umat dan juga bangsa.