Halaman

20 May 2014

Insentif atlet naik lagi

Oleh: Aida Abd Rahman


Durian runtuh bakal menanti atlet Terengganu selepas kerajaan negeri bersetuju menambah insentif kemenangan kepada setiap pemenang pingat emas dan perak di Sukan Malaysia (Sukma) Perlis 2014 bermula 24 Mei ini.

Setiap pingat emas akan memperolehi RM6,000 dan perak RM5,000, masing-masing bertambah RM1,000 berbanding imbuhan yang disediakan kepada pemenang pada tahun sebelumnya. Sementara setiap pingat gangsa kekal RM2,000 seorang.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kenaikan insentif kemenangan itu sebagai menyuntik semangat atlet supaya mencapai sasaran Kontinjen Terengganu memperolehi 53 emas, 45 perak dan 51 gangsa.

"Dengan persediaan yang begitu rapi kita berkeyakinan penuh pada tahun ini dengan penuh semangat sebagaimana disebut oleh YB Exco (Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan Dan Sumber Manusia negeri, YB Rozi Mamat) sebentar tadi, insha-Allah kemenangan akan tercapai,” katanya di Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sukma Terengganu 2014, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong dan Ketua Kontinjen (Chief De Mission) Sukma Terengganu 2014, YB Mohd Mahdi Musa yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Haji Zainal Abidin Hussin.



Dato' Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri tetap komited dan tiada halangan untuk meneruskan legasi kelangsungan sukan di Terengganu berikutan bidang itu berada di landasan yang betul serta memberi impak yang besar kepada pembangunan negeri sejak dulu lagi.

“Kita amat serius untuk merampas kejuaraan kerana kita sudah membuktikannya sebanyak empat kali dan kebetulan tahun lalu, di tempat kedua, tiada sebab untuk kita tidak mengulangi sejarah kemenangan yang lalu.

“Kerajaan negeri menambah insentif itu pada asasnya tumpuan kita bukan kepada insentif, tetapi sebagai sokongan dan dorongan kerana kita melihat negeri lain juga mencontohi kita dan menyediakan insentif yang luar biasa juga. Jadi hari ini kita tidak mahu ketinggalan kerana kita yakin dan percaya pasukan kita ada harapan yang tinggi untuk mencapai kejuaraan tahun ini untuk kali kelima,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan negeri bersedia memberi komitmen dan menambah insentif kemenangan untuk setiap pingat emas dan perak, manakala mengekalkan nilai insentif pingat gangsa (RM2,000) serta kemenangan segera kepada pemenang emas (RM300), perak (RM200) dan gangsa (RM100).

Untuk rekod, kali pertama Terengganu muncul juara Sukma ketika menjadi tuan rumah temasya itu pada 2008 dengan meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa.

Dua tahun kemudian, kontinjen Terengganu sekali lagi ditabalkan juara di Sukma Melaka ( 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa), sebelum mencipta hatrik pada 2011 di Kuala Lumpur dengan pungutan 23 pingat emas, lima perak dan 10 gangsa. Terengganu terus mendominasi kejuaraan pada Sukma Pahang 2012 (62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa).

Bagaimanapun Selangor yang memperolehi 23 pingat emas, 17 perak dan 30 gangsa memintas Terengganu (19 emas, 13 perak dan 13 gangsa) untuk merampas kejuaraan pada Sukma Ke-16 Kuala Lumpur, tahun lalu.