Halaman

08 May 2014

50 Murid S.K Seberang Takir Sertai Program Amal Mesra

Oleh: Noraini Jusoh

Kelab Mahasiswa Pengurusan Risiko dan Takaful, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah mengadakan Program Amal Mesra 2014 di Dewan Sivik Seberang Takir, hari ini.

Seramai 50 anak yatim dan miskin dari Sekolah Kebangsaan Seberang Takir menyertai program motivasi yang dikendalikan 23 fasilitator yang terdiri daripada ahli kelab berkenaan.

Mohamad Nuruddin Mohd Farza 
Pengarah Program Amal Mesra 2014, Mohamad Nuruddin Mohd Farza berkata, program tersebut merupakan salah satu tanggungjawab sosial yang dilaksanakan terhadap masyarakat setempat.

“Saya dan rakan-rakan merasa terpanggil untuk memberi sumbangan kepada murid miskin dan anak yatim di sekitar kawasan tempat pengajian kami bagi menaikkan semangat supaya mereka terus belajar dengan bersungguh-sungguh.

“Walaupun sumbangan ini dilihat kecil tetapi kami percaya sedikit sebanyak dapat memberi keyakinan untuk mereka berusaha dengan gigih sekali gus mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita ketika ditemui di Majlis Perasmian Program Amal Mesra 2014 di Dewan Sivik Seberang Takir, hari ini.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Unit Komunikasi Terengganu, Ruslan Abd Rahman yang turut menyampaikan motivasi sempena majlis itu.

Menurut Mohamad Nuruddin, pihaknya turut mendapat tajaan daripada pihak kerajaan dan swasta bagi menjayakan program tersebut termasuk Hotel Tabung Haji serta Nestle.