Halaman

23 April 2014

Ahmad Said tenang, kekal tiada komen berhubung tukar MB

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang terus menjadi `tumpuan’ berhubung spekulasi yang bertiup kencang di media sosial mengenai pertukaran kepimpinan tertinggi negeri sejak beberapa hari lalu, tetap tenang menangkis isu itu.

“Biarlah dia (penulis blog) membuat keputusan. Saya sudah katakan bahawa Terengganu 17-15, jadi dalam keadaan begitu, mengapa kita mahu mewujudkan keadaan yang tidak stabil dan sebagainya.

"Itu sahaja. Tidak perlulah dan jika dia pandai ulas dan tukang lantik (Menteri Besar) jadi biar dia buat keputusan (pertukaran). Saya tidak tahu dan saya katakan perkara ini tidak betul, penulis blog kata betul, saya kata betul, ada yang kata tidak betul, jadi nak buat macam mana. Kita orang politik ini, macam-macam spekulasi,” katanya di sidang media sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Epic Berhad Dan Felcra Berhad di Wisma Darul Iman, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Epic Berhad, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Bung Mokhtar Radin dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Epic Berhad, Encik Ramli Shahul.

Susulan isu berkenaan serta beberapa fitnah mengenai peribadi serta pentadbiran negeri yang hangat di media sosial sejak dahulu lagi, menyebabkan beliau tidak lagi mempercayai kenyataan menerusi medium itu.

“Sebab itu sekarang saya tidak mempercayai Facebook dan blog serta semua sekali (media sosial). Malah, saya sudah menutup akaun Facebook saya, tetapi masih ada dua, orang yang `klon’ nama saya, satu berdaftar di Amerika Syarikat dan satu lagi Singapura.

 “(Fitnah) saya berpeluk dengan Neelofa, berkahwin dan bersandinglah. Macam-macamlah. Kalau betul tidak mengapa, kita tiada masalah,” kata beliau sambil berseloroh bagi mengulas isu berkenaan.

Ahmad berkata demikian sebagai mengulas dakwaan yang tersebar di laman sosial dan blog, yang mengaitkan sumber yang boleh dipercayai daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Razak memetik sebagai berkata, bakal membuat penukaran Menteri Besar Terengganu tidak lama lagi.