Halaman

09 March 2014

UniSZA, UKM jalin kerjasama capai kedudukan 300 universiti terbaik Asia

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjalin kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam usaha menjadi antara 300 universiti terbaik di Asia dalam tempoh tiga tahun lagi.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniSZA, Profesor Dr Mohd Ekhwan Toriman, berkata UniSZA dan UKM akan menjalankan pelbagai kerjasama termasuk dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

"Kita mahu menjalankan pelbagai kajian dan penyelidikan secara bersama yang diharapkan dapat memberi impak besar terhadap masyarakat di Pantai Timur dan Pantai Barat berdasarkan kedudukan universiti kami di Pantai Timur dan UKM di Pantai Barat.

"Kami juga sangat berterima kasih kepada UKM kerana sudi bekerjasama. Sebagai universiti yang masih baharu, kerjasama sebegini diharap dapat memastikan UniSZA terus ke hadapan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis ramah mesra dan majlis menandatangani Surat Hasrat (LOI), di UniSZA, baru-baru ini.

Sementara itu, Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Profesor Datuk Dr Mazlin Mokhtar, berkata beliau juga mengharapkan hubungan itu dapat memastikan kedua-dua universiti berada dalam kedudukan universiti terbaik di Asia.

"UKM sentiasa memandang ke hadapan dan kita berhasra gabungan keistimewaan UNiSZA dan UKM mengukuhkan lagi penyelidikan yang dapat memberi impak kepada masyarakat setempat.

"Penyelidik-penyelidik di UKM akan bekerjasama dengan penyelidik UniSZA dan penggabungan ini diharapkan dapat mencetuskan hasil penyelidikan yang boleh dimanfaatkan kerajaan mahupun masyarakat," katanya.

Beliau berkata, seramai 25 profesor dan pakar penyelidik UKM turut hadir pada majlis itu bertujuan untuk saling mengenali dan berbincang mengenai kepakaran masing-masing.