Halaman

19 March 2014

STPM Terengganu meningkat

Oleh: Noraini Jusoh
Gambar oleh Zulkipli Putra

Terengganu terus mencatat peningkatan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun 2013 apabila 2,926 atau 97.47 peratus daripada 3,002 calon lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dan layak mendapat sijil, iaitu peningkatan 1.46 peratus berbanding tahun 2012.

Timbalan Pengarah JPN negeri, Hashim Mohd Zin menunjukkan laporan keputusan STPM negeri Terengganu sebelum mengadakan sidang media.
Tahun 2012 merekodkan 96.00 peratus atau 2,862 daripada 2,981 calon yang menduduki STPM berjaya mencapai lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dan layak mendapat sijil.


Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Hashim Mohd Zin berkata, daripada 2,926 calon yang mendapat lulus penuh, 171 (5.70 peratus) lulus penuh lima mata pelajaran, 58.53 peratus (1,757 orang) lagi lulus penuh empat mata pelajaran, diikuti 19.82 peratus (595 orang) lulus penuh tiga mata pelajaran dan 8.09 peratus atau 243 orang lulus penuh dua mata pelajaran.

“Baki 5.33 peratus atau 160 calon lagi lulus penuh satu mata pelajaran,” katanya ketika sidang media pengumuman keputusan STPM di Jabatan Pelajaran Negeri di Bukit Kecil, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, pencapaian berdasarkan gred purata sekolah (GPS) melebihi 2.60 adalah meningkat sekali ganda berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 23 buah sekolah berbanding 9 buah sahaja pada tahun 2012.

“GPS negeri meningkat daripada 2.40 pada tahun 2012 kepada 2.54 tahun 2013. Malah GPS negeri melebihi min GPS negara sebanyak 0.01.

“Fenomena keputusan sedemikian sedikit sebanyak kesan daripada pertukaran sistem terminal kepada sistem modular yang bermula tahun lalu,” ujarnya.

Menurut beliau, 23 sekolah cemerlang berdasarkan pencapaian GPS melebihi 2.60 adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu (3.15); Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu (2.89), SMK Bukit Payong, Jerteh (2.84); SMK Putra, Jerteh (2.81); SMK Chukai, Kemaman (2.81); SMK Tengku Ibrahim, Setiu (2.78); SMK Sultan Ahmad, Kuala Terengganu (2.76); SMK Tengku Bariah, Kuala Terengganu (2.75); SMKA Nurul Ittifaq, Besut (2.72).

SMK Cheneh Baru, Kemaman (2.72); SMK Kuala Telemong, Hulu Terengganu (2.71); SMKA Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu (2.70); SMKA Durian Guling, Marang (2.70); SMK Kuala Besut, Besut (2.69); SMK Nasiruddin Shah, Besut (2.67); SMK Badrul Alam Shah, Kemasik (2.66); SMK Merchang, Marang (2.64); SMK Manir, Kuala Terengganu (2.63); SMK Tengku Lela Segara, Marang (2.63); SMK Sultan Ismail, Kemaman (2.63); SMK Renek, Besut (2.62); SMK Tengku Intan Zaharah, Dungun (2.62) dan SMK Bukit Besar, Kuala Terengganu (2.61).