Halaman

31 March 2014

SBM wujud pusat pembelajaran sepanjang hayat

Oleh ; Esah Abdullah

Pertubuhan Orang cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Terengganu akan dijadikan sebagai Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat Zon Timur.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, YB Iskandar Jaafar berkata, pusat berkenaan akan memberi pelbagai kemudahan kepada ahli dan anak-anak ahli di tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Pusat berkenaaan akan beroperasi di bangunan baru dua tingkat yang berharga RM350,000 terletak bersebelahan Pejabat SBM Terengganu di Seberang Takir, Kuala Terengganu.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bangunan Baru SBM dan Karnival Sukan Zon Timur di Wisma Promacatera, Seberang Takir, Kuala Terengganu.

Turut hadir,Pegawai Khas kepada Menteri Besar, Dato' Haji Nasir Ibrahim Fikri; Presiden SBM Pusat, Encik Mohamad Nazari Othman dan Pengerusi SBM Terengganu Encik Mohd Abdul Nasir Malek.

Katanya, kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan miskin dan kurang upaya serta membelanjakan hampir RM1 juta setiap tahun untuk kesejahteraan hidup rakyat.

Sementara itu Encik Mohamad Nazari berkata, karnival sukan zon timur diadakan bersempena sambutan Jubli Emas SBM Pusat dengan menampilkan tujuh acara sukan antaranya, tenpin boling, ping pong, catur, dominos, congkak, dam aji.

Tuan rumah Terengganu muncul juara keseluruhan dalam karnival yang julung kali diadakan itu dengan 64 peserta cacat penglihatan dari tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.