Halaman

30 March 2014

Pasar Payang Jadi Pilihan Pelancong

Oleh: Suriati Ali 

Setiap kali tiba cuti sekolah atau cuti am beberapa destinasi menarik di Terengganu terutama Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) pasti menjadi lokasi pilihan pelancong untuk membeli pelbagai barang yang digemari.

Kebanyakan pengunjung yang datang dari pelbagai negeri ghairah membeli pelbagai jenis barangan seperti batik, sutera, songket dan makanan tradisional Terengganu untuk di bawa pulang ke tempat asal masing-masing.

 

Tidak ketinggalan, barangan tembaga, rantai kunci penyu dan baju-T bertulisan Terengganu turut menjadi pilihan mereka sebagai tanda kenang-kenangan dan cenderamata kepada saudara serta rakan-rakan.

Tinjauan Teganukita mendapati, setiap pelanggan terpaksa berhimpit ketika membeli dan melalui lorong yang mengasingkan peniaga kerana terlalu ramai pelanggan yang berurusan sepanjang cuti penggal pertama persekolahan yang berakhir semalam.

Seorang pengunjung dari Pulau Pinang, Shamsinah Shamsudin, 33, berkata dia yang pertama kali datang Terengganu seakan teruja apabila berpeluang singgah ke destinasi tersohor iaitu pasar payang.

‘Bagi pengunjung luar, bagaikan satu perkara perlu untuk singgah di lokasi setiap kali datang ke Terengganu, selain beberapa tempat menarik lagi, termasuk Pantai Batu Burok dan Taman Tamadun Islam.

 “Berkaitan makanan pula, mesti menikmati nasi dagang dan membeli keropok lekor untuk dibawa pulang, selain dijadikan buah tangan kepada saudara atau rakan.” Katanya.

 Pengusaha kedai Batik, Nor Hayati Kamaldin, 26, berkata cuti persekolahan dan cuti umum adalah bonus bagi dia serta rakan niaga lain kerana mendapat keuntungan lebih berbanding hari biasa.

 Katanya, dia mengambil kesempatan menjual batik Terengganu secara lelong iaitu 11 helai dengan harga RM100 dan pelbagai jenis barangan lain secara murah.

 “Cara berkenaan mampu menarik minat pelanggan untuk mengunjungi lot kedai saya dan rata-ratanya memuji kecantikan batik Terengganu,” katanya.