Halaman

11 March 2014

KPI JKKK bakal dinilai

Oleh: Suriati Ali

Semua pejabat daerah di negeri ini diminta menwujudkan rekod petunjuk prestasi utama (KPI) Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi menilai prestasi sepanjang tempoh perkhidmatan.

 Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, A. Latiff Awang, berkata setiap pengerusi JKKK mempunyai tempoh dua tahun bagi mempamerkan prestasi, sekiranya gagal memenuhi KPI, mereka bakal berdepan ditamatkan perkhidmatan.

 Katanya, mereka yang tidak mampu memikul tanggungjawab di peringkat akar umbi akan menimbulkan rungutan rakyat sekali gus menjejaskan imej kerajaan.

Beliau menarik perhatian, bagi daerah Marang, sebanyak tujuh JKKK telah digantung tahun lalu dan tugas mereka diambil alih penghulu mukim untuk sementara waktu.
 "Kalau prestasi dan KPI tidak memuaskan, mereka boleh ditamatkan pada bila-bila masa.

Kerajaan negeri berhak memberhentikan mereka sebab mereka dipilih oleh kerajaan dan kalau tidak layak, boleh diberhentikan.

"Memang ada JKKK yang bermasalah dan antara masalah serta kesalahan yang dilakukan ialah tidakmengaadakan mesyuarat, tidak buat laporan selain timbul banyak rungutan daripada orang kampung," katanya. A. Latiff berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Bicara Media anjuran Unit Komunikasi Negeri, di  Hotel Primula,Kuala Terengganu, semalam.

 Sementara itu, beliau berkata, pada masa sama, lebih 1,000 JKKK di negeri ini akan melalui proses transformasi untuk tujuan penambahbaikan bagi memastikannya benar-benar berperanan membantu menyampaikan agenda pembangunan kerajaan kepada rakyat.

 Menurut beliau, proses itu merangkumi pelantikan pengerusi serta anggota JKKK baharu yang dijangka selesai Mei ini."Di seluruh negeri, 80 peratus JKKK adalah orang lama..

“Semua Pegawai Daerah diarah memantau KPI setiap JKKK di kawasan masing-masing secara berterusan demi kepentingan kerajaan dan rakyat setempat.

"Tugasan JKKK bukan saja dalam pembangunan fizikal malah dalam pembangunan ekonomi dan sosial," jelasnya.