Halaman

05 March 2014

Hanelang FC Sertai Saingan Liga FAM

Oleh: Fauzi Mohd dan Mastura Jamaluddin 

Persatuan Bola Sepak Daerah Hulu Terengganu iaitu badan gabungan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menampilkan skuad Hanelang FC untuk beraksi pada saingan Liga FAM bermula 9 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB. Rozi Mamat berkata, penyertaan kali pertama Hanelang FC yang ditubuhkan Januari lalu merupakan satu lagi pencapaian Terengganu dalam pembangunan sukan bola sepak.

Menurutnya, Kerajaan Negeri yakin pasukan bimbingan Ketua Jurulatih, Mustafa Kamal Abdul Wahab berada pada landasan yang betul dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain berbakat dan berdisiplin.

“Saya yakin dengan gandingan pemain berpengalaman yang sebelum ini telah beraksi dalam Piala Presiden dan juga pemain baru.

“Kita mahu pemain fokus sepenuhnya kepada latihan yang diberikan Ketua Jurulatih Hanelang FC agar mereka dapat bersaing dengan 11 lagi kelab lain dalam Liga FAM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran pasukan itu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), Kuala Berang malam tadi.

Hadir sama, Pengurus Hanelang FC, Talaha Ali yang juga Yang DiPertua MDHT. Hanelang FC akan bertandang ke Bumi Kenyalang pada 9 Mac ini untuk aksi pertama bertemu Sabah Cebagoo FC dan diikuti perlawanan kedua menentang Harimau Muda FC pada 12 Mac.

Pada majlis sama, Rozi turut menyampaikan cek penajaan kepada Hanelang FC sebanyak RM100,000 daripada Erat Temurun Sdn. Bhd. dan RM50,000 tajaan Kamal Sport.

Tambah Rozi, Kerajaan Terengganu menubuhkan beberapa pasukan bola sepak seperti T-Team dan Hanelang FC bukan semata-mata mahu mencipta nama dan menjadi juara.

“Lebih jauh dari itu, kita (Kerajaan Terengganu) mahu jadikan sukan itu sebagai satu kerjaya dan untuk jangka masa panjang, Terengganu mahu lahirkan lebih ramai bintang yang bukan sahaja bermain untuk Terengganu, malah bermain di negeri lain,” ujarnya.