Halaman

11 March 2014

Dua sekolah mula kelas jam 9 pagi.

Jerebu  dipercayai daripada kebakaran di Lembah Bidong.
Oleh: Aminudin Ismail.

BERIKUTAN keadaan yang berjerebu di waktu pagi,  dua buah sekolah di kawasan Dun Batu Rakit terpaksa memulakan sessi persekolahan bermula jam 9 pagi sejak seminggu lalu setelah diarahkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Keadaan berjerebu di waktu pagi yang melanda beberapa kampung di kawasan Dun Batu Rakit itu adalah berpunca daripada pembakaran di beberapa kawasan belukar tanah gambut di Lembah Bidong yang berhampiran kampung itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit berkata, MKN mengarahkan kedua-dua sekolah itu memulakan sessi persekolahan agak lewat kerana keadaan berjerebu itu boleh menganggu kesihatan pelajar.

“Kedua-dua sekolah itu ialah SMK Batu Rakit dan SK Kampung Pagar Besi. Ini adalah arahan daripada Jabatan Alam Sekitar dan MKN bagi menjaga keselamatan dan kesihatan pelajar kedua-dua sekolah berkenaan.

“Saya harap keadaan akan kembali pulih supaya para pelajar ini dapat memulakan sessi persekolahan seperti biasa dan dapat belajar dengan sempurna terutamanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan UPSR , PPMR dan SPM,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa penduduk Kampung Pagar Besi yang ditemui mengakui bahawa keadaan jerebu yang melanda kampung itu agak teruk sehingga jarak penglihatan tidak sampai 200 meter pada waktu awal pagi.