Halaman

09 March 2014

"Bikers" beri motivasi kepada pelajar.

Bazlan (baju putih, tengah) bersama 'biker' dan pelajar.
Oleh: Aminudin Ismail. 

SERAMAI 25 penonggang motosikal berkuasa tinggi dari dua persatuan motosikal menyertai satu program motivasi pelajar di tiga buah sekolah menengah di Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Rakit, di Batu Rakit, hari ini.

Penonggang dari Terengganu teachers Bikers Club dan Tour de France dari Singapura itu mengunjungi tiga buah sekolah itu bagi memberi peransang dan motivasi kepada semua pelajar sekolah terbabit.

Sekolah yang mula dikunjungi kumpulan itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kemunting diikuti SMK Sultan Mizan dan SMK Batu Rakit.

Bazlan sedang berucap di SMK Padang Kemunting.
Ahli Dewan Undangan Negeri, Adun Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman berkata, pada mulanya dijangka seramai 40 'bikers' akan menyertai program itu tetapi disebabkan sesuatu yang tidak dapat dielakkan ia hanya disertai seramai 25 orang.

"Kehadiran anggota 'bikers' ini adalah untuk memberi semangat kepada pelajar-pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh bagi menjamin kehidupan pada masa hadapan.

"Selain itu, menjalani kehidupan yang lebih sempurna seperti memiliki motosikal besar ini ia memerlukan gaji yang besar dan apabila bergaji besar, jawatan yang kita pegang itu juga mestilah yang besar dan tinggi," katanya.

Selain itu, katanya, pelajar juga dapat berkongsi pengalaman hidup di kota besar Singapura daripada 'bikers' daripada Singapura. Manakala, 'bikers' dari guru-guru di Terengganu pula menceritakan pengalaman kehidupan mereka sehingga boleh bergelar seorang guru yang kini adalah satu kerjaya yang baik di negara ini.

Sehubungan itu, Bazlan mengharapkan semua pelajar ditiga buah sekolah yang dikunjungi penonggang motosikal berkuasa tinggi itu supaya belajar bersungguh-sungguh supaya mereka juga suatu hari nanti dapat memiliki motosikal berkuasa tinggi dan mampu menjalani kehidupan yang lebih baik.
Antara guru dan 'biker' yang hadir.

Pelajar SMK Sultan Mizan mendengar ucapan.


Pelajar memerhati guru mereka menonggang.
Cenderahati untuk ketua 'bikers'.